Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia kekurangan stok beg udara ganti

    Honda-Airbag-Stock-Announcement

    Honda Malaysia menerusi laman webnya telah pun membuat pengumuman, buat masa ini pihak mereka berhadapan dengan masalah kekurangan stok bagi beg udara ganti. Walau bagaimana pun, syarikat ini sedang berusaha untuk mengatasi sebarang kesulitan dan akan mewar-warkan perkembangan dari semasa ke semasa.

    Buat setakat ini, Honda telah melakukan panggilan balik yang melibatkan jutaan kenderaannya di seluruh dunia berhubung dengan inflator beg udara. Sebanyak lebih 100 insiden yang membabitkan kecederaan dan 13 kes kematian telah dicatatkan berlaku di seluruh dunia ekoran beg udara buatan Takata ini.

    Malah tiga kematian juga dilaporkan berlau di Malaysia, yang membabitkan Honda City dari generasi yang sama. Iaitu yang berlaku di Sabah yang melibatkan City tahun 2006 pada April, insiden kedua pula pada 1 Mei di Kedah (City 2003) dan terbaru di Kota Damansara pada 26 Jun lalu yang membabitkan perlanggaran kecik antara Honda City 2005 dengan sebuah Mercedes-Benz.

    Takata-Honda-NSX

    Kematian terbaru yang dilaporkan itu selepas Honda Malaysia membuat satu lagi panggilan balik yang melibatkan beg udara yang sama. Kali ini melibatkan 147,894 kenderaan dari lapan model, bagi menggantikan inflator beg udara hadapan. Sebelum ini, ia melibatkan beg udara bahagian pemandu.

    Walau bagaimana pun, buat masa ini, kami masih belum mendapat sebarang pengesahan rasmi dari Honda Malaysia. Namun bagi pemilik kenderaan yang terpilih, anda digesa supaya segera menghubungi Honda Malaysia untuk pengesahan dan jangan berlengah sekiranya beg udara kenderaan anda perlu digantikan.

    Kami akan melaporkan perkembangan terkini dari Honda Malaysia dari semasa ke semasa. Setakat ini, panggilan balik yang melibatkan beg udara buatan Takata turut membabitkan jenama lain termasuk Toyota, Nissan, Mitsubishi, Ferrari dan beberapa lagi. Sila baca artikel INI untuk mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya kenderaan juga terlibat.

     
     
  • Mazda 3, CX-5 CKD didapati dalam warna Soul Red mulai tahun depan – kos ekstra berbanding warna lain

    mazda3-sedan-australia

    Selain mengesahkan kemasukan model baharu Mazda CX-9 dan MX-5 RF, Mazda Malaysia menerusi Bermas, juga dalma perancangan untuk memperkenalkan warna ikonik Soul Red Metallic pada tahun hadapan bagi pilihan untuk model pemasangan tempatan (CKD), iaitu Mazda 3 dan CX-5 yang sebelum ini tidak menampilkan warna ini. Setakat ini, Mazda 3 yang menampilkan warna ini, adalah model yang diimport sepenuhnya (CBU).

    Sebab utama warna ini bakal diperkenalkan ialah apabila pengedar cat Nippon Paint menerusi Penolong Pengurus Besar untuk pemasaran kegunaan industri, Ong Eng Keong, baru-baru ini mengatakan kekemasan empat-lapisan yang digunakan di kilang Inokom di Kulim adalah kurang produktif.

    “Memandangkan model CKD bagi Mazda dengan pilihan warna Soul Red tidak menjadi pilihan disebabkan sistem empat-lapisan ini, maka ia mendorong kepada kekurangan produktiviti, memandangkan kereta tersebut perlu melalui proses di dalam oven sebanyak tiga kali,” ujarnya.

    2015-cx-5_2014-laas_eu_exterior_2-e1416451498971

    Justeru, usaha Bermaz untuk meneruska warna ini makin menampakkan keberkesanan, dan termasuklah dengan fasiliti mengecat baharu yang dibina di kilang pemasangan di Kulim yang khas untuk kenderaan Mazda. Dengan fasiliti yang dibina, ia akan menguji warna Soul Red ini sebelum ia digunakan sepenuhnya dalam produksi.

    Seperti kebiasaannya, Soul Red Metallic akan ditawarkan dengan kos pilihan ekstra, berbanding warna konvensional lain. Memandangkan kosnya masih belum dimuktamadkan, dan mungkin ia lebih kurang sama dengan beberapa model CBU lain termasuk Mazda 2 iaitu sekitar RM500.

     
     
  • Bersabar mampu elakkan nahas di jalan raya

    20160329_0383

    Musim perayaan di Malaysia sering dikaitkan dengan nahas jalan raya. Memang menyayatkan hati apabila kepulangan orang tersayang yang dinanti, sebaliknya yang tiba di halaman rumah ialah van jenazah.
    Saban tahun, untuk tempoh dua minggu musim perayaan Aidilfitri, kematian yang dicatatkan sehingga mencecah 280 nyawa. Ini adalah satu angka yang amat tinggi dan dalam banyak keadaan, kemalangan boleh dielakkan tanpa menyalahkan takdir semata-mata.

    Walaupun faktor persekitaran jalan raya dan kenderaan turut menyumbang kepada kemalangan, faktor utama tetap bergantung kepada individu yang mengendalikan kenderaan. Penyelidik keselamatan jalan raya Sabey dan Taylor merumuskan pada 1980 bahawa 94% daripada punca kemalangan melibatkan faktor manusia.

    Memandangkan jalan raya semasa musim perayaan dipenuhi kenderaan, terutamanya untuk perjalanan jauh, kemungkin untuk terlibat dalam kemalangan adalah lebih tinggi berbanding dengan hari biasa. Oleh itu, setiap pengguna jalan sama ada penunggang motosikal atau kereta, hendaklah beranggapan bahawa risiko menggunakan jalan raya adalah lebih tinggi pada musim perayaan.

    JPJ_EMERGENCY_LANE1

    Secara umumnya, kemalangan boleh dielakkan jika setiap pengguna jalan raya mempertingkatkan tahap kesabaran serta bertolak-ansur, selain daripada bertawakal, sama ada pada masa musim perayaan atau pun pada hari biasa.

    Sikap ini boleh diterjemah dalam berapa sikap terpuji seperti mematuhi hadlaju yang ditetapkan, tidak memandu secara merbahaya seperti mengekori rapat dan menukar lorong sesuka hati, tidak memotong pada garisan berkembar, tidak memotong barisan, tidak menggunakan lorong kecemasan, memakai topi keledar secara betul, memakai tali pinggang keledar, memakaikan alat pengekang untuk kanak-kanak (contohnya, kerusi keselamatan), mengelakkan diri dari menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau ubat, tidak memandu dalam keadaan mengantuk dan letih, dan lain-lain.

    Selain itu, pengguna jalan yang bijak juga mesti tahu membaca risiko kerana kebolehan untuk membaca risiko akan membantu pemandu atau penunggang untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kemalangan berlaku. Contohnya, risiko kemalangan adalah lebih tinggi ketika jalan licin atau hujan dan gelap.

    Crash accident collision

    Bagaimana pun, artikel ini menekankan kepada sikap sabar dan beberapa perkara yang boleh dipraktikkan untuk keselamatan yang optima. Bukankah sebulan berpuasa mendidik kita untuk menjadi orang yang sabar. Pengguna jalan yang sabar pastinnya tidak memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

    Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa impak kemalangan adalah bergantung kepada kelajuan. Kelajuaan sewaktu pelanggaran akan membezakan sama ada ia membawa kepada kemalangan maut, kecederaan serius atau pun kecederaan ringan. Pada kelajuan tinggi, sekiranya ada objek pada laluan seperti kenderaan rosak, pemandu akan terlewat untuk bertindak, manakala kenderaan pula akan memerlukan jarak yang lebih jauh untuk berhenti. Sekiranya berlaku pelanggaran, sudah tentulah impaknya adalah lebih besar.

    Pemandu yang sabar juga tidak akan mengekori kenderaan hadapan pada jarak dekat dalam kelajuan yang tinggi. Sikap pemandu yang suka ‘mencucuk’ atau ‘tailgate’ ini merupakan satu sikap yang amat kurang bijak kerana ia meletakkan pemandu dan penumpang pada risiko yang amat tinggi semasa melakukannya.

    volvo self-driving cars 01

    Bayangkan anda ‘mencucuk’ kenderaan depan pada kelajuan 110 km/j hanya pada jarak kurang dari satu kenderaan, apakah akan terjadi sekiranya kenderaan di hadapan terpaksa membrek secara mengejut atas sebab-sebab tertentu?

    Kerap kali kemalangan di lebuh raya melibatkan banyak kenderaan sekaligus, dan ini biasanya disebabkan mereka saling mengekori rapat di antara satu sama lain pada kelajuan tinggi. Oleh itu, jarakkan kenderaan anda dengan mempraktikkan apa yang dipanggil jarak ‘two-second rule’ yang dipelajari di sekolah memandu. Ketika jalan basah, tingkatkan daripada 2-saat ini kepada 3 saat atau lebih, selain daripada memperlahankan kenderaan, bagi membolehkan anda berhenti atau mengelak dalam keadaan kecemasan.

    Di negara Jerman, pemandu di lebuhraya digalakkan menggunakan formula ‘kelajuan di bahagi dua’ untuk menentukan jarak selamat mengekori kenderaan hadapan. Katakan anda memandu pada jarak 100 km/j, maka jarak selamat untuk mengekori kenderaan hadapan ialah 50 meter, dan sekiranya ada memandu pada 60 km/j, maka ruang 30 meter mesti dikosongkan antara kenderaan anda dengan kenderaan yang diekori.

    driving

    Pengguna jalan yang bersikap sabar juga tidak akan melakukan perkara yang menyalahi undang-undang seperti menggunakan lorong kecemasan. Mungkin masih jelas dalam ingatkan kita peristiwa bagaimana paramedik gagal untuk menyelamatkan nyawa dua adik beradik yang mengalami kemalangan di lebuh raya kerana ambulan tersekat pada lorong kecemasan.

    ‘Madrasah Ramadan’ bukan sahaja mengajar kita soal agama, tetapi meliputi akhlak kita secara meluas, termasuklah di jalan raya. Oleh itu, adalah sesuatu yang menyedihkan apabila kita tidak mampu memanifestasikan menjaga akhlak yang baik walaupun sudah sebulan berpuasa. Ini bukan sahaja boleh mengancam nyawa kita dan ahli keluarga sendiri, malahan mereka yang tidak berdosa.

    Oleh itu, bersabarlah di jalan raya terutamanya apabila berlaku kesesakan yang teruk. Elakkan nahas hanya kerana kegagalan kita untuk bersabar dan bertolak ansur sehingga membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.

    Artikel ini disumbangkan oleh Yusof Ghani dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

     
     
  • Elektrik Bas Inovasi Malaysia pertama ciptaan 30 jurutera muda tempatan, beroperasi pertengahan 2017

    unnamed-3

    Jurutera tempatan kian berinovasi dan kreatif dengan menghasilkan pelbagai ciptaan yang mampu membanggakan negara. Terkini, sekumpulan 30 jurutera muda lulusan universiti tempatan berganding tenaga bagi mencipta bas elektrik buatan negara pertama itu.

    Idea menghasilkan teknologi hijau itu berikutan ia kini mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran dan kos penyelenggaraannya adalah minimum berbanding penggunaan bas konvensional, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Sync R&D Sdn Bhd Nurulhanom Laham, kejayaan 30 jurutera muda itu amat membanggakan kerana mereka masih baharu dalam membangunkan teknologi seperti itu selain selain sebelum ini kejuruteraannya hanya dimiliki negara China.

    “Sebenarnya banyak permintaan daripada pengusaha bas namun bekalan agak terhad selain kurang kemudahan penggunaan kenderaan elektrik seperti stesen pengecas,” katanya kepada Bernama.

    Projek ini telah pun dimulakan sejak 2011 dan telah dipatenkan sebagai Elektrik Bas Inovasi Malaysia (EBIM).

    Nurulhanom berkata bas elektrik itu mampu menjimatkan kos operasi pengusaha bas di negara ini antara 60% hingga 70% iaitu penjimatan lebih RM300 juta setahun berbanding penggunaan tenaga diesel.

    Jelasnya, bas elektrik itu dibuat mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan United Nations Economic Commission for Europe yang membolehkan ia beroperasi dengan selamat di atas jalan raya.

    “Ia kini sudah di peringkat akhir iaitu ujian dan pengsijilan bagi menjamin setiap komponen kenderaan itu berada di tahap terbaik dan selamat serta memenuhi standard sebelum ia boleh dipasarkan,” katanya.

    Teknologi baterinya mampu menggerakkan bas sejauh 200 kilometer selaras dengan purata perjalanan operasi bas di ibu kota untuk sehari, katanya.

    Jelasnya proses reka cipta menelan belanja kira-kira RM30 juta itu bakal siap sepenuhnya Ogos ini dan dijangka dapat digunakan di atas jalan raya pada pertengahan 2017.

     
     
  • Mazda CX-9, MX-5 RF baharu bakal tiba di M’sia hujung 2016 atau awal 2017; MX-5 menerima pilihan manual

    2017-mazda-cx-9-1

    Menurut sumber dari Bermaz iaitu pengedar rasmi Mazda di negara ini yang telah mengesahkan model baharu bagi Mazda CX-9 dan Mazda MX-5 RF bakal tiba di Malaysia, sama ada hujung tahun ini atau pun awal 2017.

    SUV tujuh-tempat duduk CX-9 merupakan model terpenting antara keduanya, mengambil alih model generasi pertama yang telah memasuki usia sembilan tahun. Model baharu ini bakal dipadankan dengan enjin pengecas turbo, 2.5T SkyActiv-G dengan kuasa 250 hp dan tork 420 Nm yang pastinya lebih menawarkan penjimatan bahan api dan cukai jalan berbanding model lama 3.7 liter naturally-aspirated V6.

    Mazda-MX-5-RF-11-e1461817741478

    Bagi MX-5 RF pula, ia adalah varian bagi roadster ND baharu, dengan operasi manual bagi bumbung boleh buka secara elektrik. Dengan butang untuk membukanya, panel bumbung dan tingkap belakang boleh dibuka, biar pun kenderaan dalam kelajuan 10 km/j.

    Paling penting, Bermaz mengesahkan RF juga bakal didatangkan dengan kotak gear pilihan manual enam-kelajuan (selain automatik) dengan padanan enjin 2.0 liter SkyActiv-G naturally-aspirated dengan kuasa maksimum 158 hp dan tork puncak 200 Nm.

    GALERI: Mazda CX-9 baharu

    GALERI: Mazda MX-5 RF

     
     
  • Sultan Johor pilih Proton Perdana baharu untuk ‘F 1’

    Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang berjaya mendapatkan ‘F 1’ memilih untuk memadankan nombor pendaftaran tersebut dengan Proton Perdana baharu. Semalam, Sultan Ibrahim berkenan untuk memasang sendiri nombor plat berkenaan pada model terbaharu Proton Perdana bernilai kira-kira RM138,000 itu di Istana Pasir Pelangi.

    Baginda kemudian memandu Proton Perdana varian 2.4L itu bersama Ahli Lembaga Pengarah Proton Holdings Bhd, Datuk Zainuddin Che Din dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Fuaad Kenali. Baginda memandu kenderaan itu dari Istana Pasir Pelangi menuju ke Istana Bukit Serene.

    Pada Khamis lalu, Sultan Johor memenangi bidaan nombor plat kenderaan ‘F’1’ iaitu siri nombor pendaftaran baharu bagi Putrajaya dengan bidaan sebanyak RM836,660. Sebelum ini, baginda juga berjaya memiliki ‘W1N’ dengan harga RM748,000 pada tahun 2014 dan ‘WWW 1’ berharga RM520,000 pada tahun 2012.

    Pada pertengahan Mei lalu, timbalan menteri pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi mengumumkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima nombor pendaftaran kenderaan baharu yang bermula dengan abjad ‘F’ dan ‘V’ untuk kenderaan yang didaftarkan pada Jun dan Julai ini.

    Dilancarkan pada pertengahan bulan Jun lalu, Proton Perdana generasi ke-empat ini hadir dengan dua varian iaitu 2.0 dan 2.4. Ia ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) RM113,888 bagi varian 2.0. Manakala 2.4 pula berharga RM138,888. Kedua-duanya turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

    Perdana 2016 ini masih lagi mengekalkan enjin Honda K24Z 2.4 liter i-VTEC DOHC empat-silinder untuk varian 2.4L dengan kuasa sehingga 178 hp pada takat 6,500 rpm dan tork puncak 222 Nm pada takat 4,300 rpm. Begitu juga dengan varian 2.0L dengan enjin Honda R20A 2.0 liter i-VTEC SOHC empat-silider dengan hamburan kuasa 154 hp pada takat 6,300 rpm dan tork sehingga 189 Nm pada takat 4,300 rpm. Kedua-dua varian ini juga menggunakan kotak gear automatik lima-kelajuan, juga dari Honda.

    Baca ulasan ringkas pandu uji Proton Perdana baharu ini di sini.

     
     
  • Puspakom beroperasi separuh hari pada 5 Julai ini

    puspakom-cermin-gelap-850x534

    Puspakom telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa semua pusat pemeriksaannya di seluruh negara akan beroperasi separuh hari pada hari Selasa, 5 Julai 2016 bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

    Walau bagaimana pun, Puspakom akan memastikan setiap temujanji pemeriksaan pada hari tersebut mengikut jadual dan berjalan dengan lancar.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, para pelanggan yang mempunyai tarikh pemeriksaan yang luput pada 5 Julai dan ingin menjalankan pemeriksaan pada hari tersebut dinasihatkan membuat perancangan awal dengan mengunjungi pusat pemeriksaan Puspakom sebelum 12 tengah hari.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Kami telah mengambil inisiatif dengan melanjutkan waktu operasi pada hari Sabtu, 25 Jun 2016 dan 2 Julai 2016 sehingga 5.00 petang dan langkah ini telah dapat memenuhi permintaan pemeriksaan yang tinggi menjelang musim perayaan ini.”

    Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Puspakom di 1-800-88-6927 atau emel [email protected].

     
     
  • Kadar bayaran meletak kenderaan di tepi jalan di KL bakal dinaikkan bulan hadapan, ikut masa maksimum

    Public-Parking-Lots

    Kadar bayaran bagi parkir di tepi jalan di Kuala Lumpur khususnya di tempat tumpuan perniagaan bakal dinaikkan bulan hadapan. Malah masa yang ditetapkan bagi parkir di tepi jalan juga dihadkan kepada dua jam, selepas daripada itu, kenderaan akan ditunda.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, perkara ini akan diimplementasikan bagi menggelakkan orang ramai memandu memasuki pusat bandar tanpa keperluan penting, selain mahu menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, laporan News Strait Times.

    “Sebelum ini, kadar bayaran yang dikenakan adalah antara 50 sen hingga 80 sen sejam. Namun bagi kadar bayaran baharu ini akan ditetapkan menjadi RM2 untuk sejam pertama dan RM3 untuk jam kedua. Malah mulai 18 Julai ini, jangka masa maksimum meletakkan kenderaan di tepi jalan ditetapkan hanya dua jam.

    “Jika melebihi tempoh masa yang ditetapkan, kita tidak akan mengeluarkan saman. Sebaliknya, kita akan terus mengunci tayar atau pun menunda kenderaan tersebut,” ujar Tengku Adnan.

    Beliau turut berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai ruang parkir yang masih sedia ada menerusi papan tanda elektronik sama ada di kompleks parkir atau bangunan komersial di sekitar pusat bandar untuk menghalang orang ramai daripada meletakkan kenderaan di tepi jalan.

    “Kami mahu menguatkuasakan peraturan baharu ini, terutamanya di tempat tumpuan perniagaan seperti sekitar Bukit Bintang, Ampang dan KLCC. Namun kawasan seperti Bangsar, Sri Hartamas dan Kepong tidak terbabit dengan peraturan ini. Malah kami sedang mempertimbangkan untuk mengimplementasikannya di Brickfields,” sambungnya lagi.

     
     
  • Op Selamat 9/2016: 6,312 kemalangan dicatatkan dalam tempoh empat hari, Selangor catat kes tertinggi

    Crash-accident-collision

    Bagi Op Selamat 9/2016, telah mencatatkan sejumlah 6,312 kemalangan di seluruh negara sepanjang empat hari operasi bermula 29 Jun lalu. Di mana Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 2,051 kemalangan.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mahamad Khir Darus, umlah itu meningkat sebanyak 10.7% atau 610 kes berbanding 5,702 kes dalam tempoh sama tahun lalu, laporan Bernama.

    Bagi tempoh empat hari itu juga, sebanyak 64 kes kemalangan maut dicatatkan dengan 73 kematian dan bilangan ini menurun berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 89 kes kemalangan maut dengan 102 kematian. Penurunan sebanyak 25 kes kemalangan maut dan penurunan 28.4% atau 29 kematian.

    “Bagi negeri Selangor, daripada 2,051 kemalangan yang direkodkan, 16 daripadanya adalah kemalangan maut. Negeri-negeri lain yang turut mencacatkan kemalangan tinggi termasuk Kuala Lumpur dengan 895 kes, diikuti Johor sebanyak 859 kes, Pulau Pinang 478 kes dan Perak 435 kes,” katanya.

    PDRM-2

    Beliau berkata sikap pengguna jalan raya dikenal pasti menjadi punca utama yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan, iaitu mementingkan diri sendiri.

    “Dari segi jumlah saman yang dikeluarkan, untuk tempoh empat hari operasi, sebanyak 70,775 saman trafik dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan, jumlah itu didapati meningkat lebih 1,000 bagi tempoh sama tahun lalu.

    “Untuk operasi kali ini, kita masih menumpukan kepada enam kesalahan utama yang menjurus kepada berlakunya kemalangan iaitu memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, melanggar lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju selain kesalahan-kesalahan lain,” katanya.

    Dalam pada itu, Mahamad Khir berkata seramai 8,500 pegawai dan anggota trafik ditugaskan sepanjang 15 hari operasi tersebut.

    “Saya ingin menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan dan mengambil rehat secukupnya sebelum menyambung perjalanan,” katanya.

     
     
  • Trafik dijangka mengalami kesesakan berganda di pintu masuk Singapura-Malaysia sempena Aidilfitri

    johor causeway jam bernama pix

    Aliran trafik di pusat pemeriksaan imigresen di Woodlands dan Tuas dijangka akan mengalami kesesakan menjelang Aidilfitri minggu hadapan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Penguatkuasaan Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura, aliran trafik dijangka bertambah sesak pada 5 dan 6 Julai ini, laporan The Star.

    “Tahap keselamatan tetap menjadi keutmaan kami, apatah lagi bagi mengelakkan sebarang ancaman di Singapura. Dengan pemeriksaan keselamatan yang ketat, pastinya aliran lalu lintas akan bertambah sesak apabila mengalami pertambahan trafik pada musim perayaan ini,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh ICA.

    Bagi mengelakkan kesesakan luar biasa berlaku di pusat pemeriksaan tersebut, ICA menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan mereka sebaik mungkin.

    Malah ICA juga sedaya upaya akan menambah baik aliran trafik bagi kemudahan semua, tanpa berkompromi soal keselamatan.

     
     
  • PLUS umum tiada lorong tambah nilai di semua plaza tol mulai esok dan sepanjang cuti Aidilfitri

    toll plaza plus

    PLUS telah mengumumkan lorong tambah nilai kad PlusMiles dan Touch ‘n Go di Lebuh Raya Utara-Selatan tidak akan beroperasi mulai esok dan sepanjang cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

    Menurut Pengurus Wilayah Tengah PLUS Malaysia Berhad, Yusuf Abdul Aziz, langkah ini adalah untuk mengelak kesesakan di plaza tol kendaliannya, laporan Sinar Harian.

    “Bagaimanapun pusat khidmat pelanggan kami di beberapa plaza tol akan beroperasi seawal 7 pagi sehingga 10 malam setiap hari bagi kemudahan pengguna membuat urusan tambah nilai.

    Justeru, PLUS ingin menasihatkan pengguna untuk menambah nilai sebelum memulakan perjalanan dan ini boleh dilakukan di banyak tempat termasuk di stesen minyak, ATM dan pelbagai lagi.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menjangkakan beberapa kawasan bakal mengalami aliran trafik yang sesak lebih daripada biasa ekoran pertambahan 1.6 juta kenderaan di lebuhraya tersebut pada musim perayaan ini.

    Yusuf berkata, antara kawasan yang dijangka sesak di sebelah utara ialah dari Slim River sehingga Kuala Kangsar, manakala bagi laluan ke selatan dari Pedas Linggi sehingga Melaka.

    Kesesakan berikutan laluan trafik dari empat atau tiga lorong terpaksa berhimpit untuk melalui dua lorong, selain perlu melalui kawasan mendaki, katanya.

    “Bagi menyuraikan kesesakan trafik, PLUS bersedia membuka laluan kontra di kawasan berkenaan. Namun jika kesesakan amat teruk, kita akan minta pengguna lebuh raya menggunakan laluan alternatif. Diharap para pengguna mematuhi arahan semasa Plus dan pihak polis yang akan membantu mengawal selia trafik,” katanya.

    Yusuf turut mengingatkan pengguna lebuhraya agar tidak menyalahgunakan lorong kecemasan atau akan berdepan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

    “Perbuatan ini hanya akan mengganggu pengguna lain terutamanya pasukan operasi menyelamat apabila berlaku kecemasan,” katanya.

     
     
  • Nissan Serena S-Hybrid Tuned by Impul dilancarkan di Malaysia – dua varian, RM146k dan RM156k

    Impul-Serena_Front

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah memperkenalkan Serena S-Hybrid Tuned by Impul. Ia ditampilkan dengan dua varian iaitu 2.0L Impul Highway Star yang dijual pada harga RM145,578 dan 2.0L Impul Premium Highway Star pula berharga RM155,863. Kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans.

    Hadir dengan kit badan yang istimewa iaitu bampar hadapan baharu (tidak begitu kelihatan dramatik seperti Impul Serena Premium Version di Jepun), spoiler bampar belakang, skirt sisi dan spoiler bumbung, dengan saluran sport kekemasan krom dan sirip bonet menyerlahkan lagi gayanya.

    Selain itu, ia juga ditampilkan dengan roda aloi Impul Aura SX-50 18-inci dengan kekemasan logam berkilat, yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 3.

    Impul-Serena_Rear

    Kabin bagi Impul Highway Star tidak diberikan sebarang perubahan. Sebaliknya varian Impul Premium Highway Star menerima tempat duduk balutan kulit kombinasi dengan jahitan berbentuk permata serta sulaman logo Impul pada tempat duduk hadapan.

    Pelanggan dan pemilik Nissan Serena S-Hybrid CKD sedia ada yang berminat untuk mengubah suai kenderaan mereka dengan pakej Impul boleh berbuat demikian.

    Harga bagi kit Impul secara berasingan adalah seperti berikut:

    Screen Shot 2016-07-01 at 8.36.47 PM

     
     
  • Keputusan bagi nombor pendaftaran siri ‘F’ dikeluarkan secara rasmi – ‘F 1’ bernilai RM836,660

    Klik untuk besarkan imej

    Hari ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan keputusaan bidaan bagi nombor pendaftaran siri F iaitu bagi Putrajaya. Di mana, JPJ telah menerima sebanyak 11,683 tempahan yang dibuka mulai 1 Jun lepas dan ditutup pada 12.00 tengah hari pada 14 Jun.

    Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, telah berjaya membida nombor pendaftaran ‘F 1’ yang pastinya menjadi dambaan ramai. Dengan bidaan bernilai RM836,660, nombor pendaftaran tersebut berjaya menjadi milik Sultan Johor.

    Bagi nombor daftaran ‘F 2’ dan ‘F 3’ pula dibida dengan harga mencecah RM514,800 dan RM344,300 oleh individu persendirian dan pendaftaran syarikat. Manakala nombor pendaftaran ‘F 6’, ‘F 18’ dan ‘F 38’ diperuntukan bagi anggota pentadbiran kerajaan.

    Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail iaitu Sultan Kelantan juga turut membida nombor pendaftaran yang tersenarai dan berjaya memperoleh ‘F 12’ dengan harga bidaan sejumlah RM110,000.

    Menurut JPJ, jumlah tempahan siri F itu merupakan jumlah kedua tertinggi tempahan nombor pendaftaran selepas siri WWW yang dikeluarkan oleh JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2012.

     
     
  • Polis jangka angka kematian dan kemalangan bakal meningkat pada musim cuti Hari Raya tahun ini

    traffic-jam-bernama-2

    Op Selamat 9 dijalankan untuk musim Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kerana kemalangan jiwa di jalan raya dijangka akan meningkat lebih tinggi lagi, kata ketua polis Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik (TEID) persekutuan Datuk Mahamad Akhir Darus dalam laporan New Straits Times.

    Pengguna jalan raya, khususnya mereka yang memandu pulang ke kampung halaman masing-masing pada musim perayaan ini perlu mengamalkan pemanduan berhemah jika mahu sampai ke destinsi dengan selamat, kata beliau

    “Hidup dan mati ditentukan oleh Tuhan, dan bukan hak kami untuk bercakap sama ada ramai yang akan terkorban atau tidak, tetapi trend menunjukkan angka kemalangan dan kematian mungkin akan terus meningkat pada tempoh masa berkenaan (Op Selamat 9).

    “Jika pengguna jalan raya masih mengabaikan undang-undang trafik, tidak menghormati pengguna jalan raya yang lain dan memandu secara berbahaya, kes kemalangan pastinya akan meningkat.” kata Akhir. Beliau menambah Op Selamat merekodkan 330 kematian tahun lalu, meningkat 39.2% berbanding 237 kematian pada 2014.

    ferrari-458-speciale-accident-kuching-3

    Antara sebab utama kemalangan maut terjadi ialah hilang kawalan terhadap kenderaan, masuk ke laluan bertentangan, cuba memotong di kawasan yang bahaya serta membuat pusingan berbahaya di simpang.

    Ini disebabkan faktor-faktor termasuk memandu secara berbahaya, melanggar undang-undang trafik, sikap yang tidak bertimbang rasa di atas jalan raya dan perbuatan yang mementingkan diri sendiri, tambah Akhir. Statistik menunjukkan 20,458 kemalangan yang tidak melibatkan kematian dicatatkan semasa Op Selamat pada Hari Raya 2015 berbanding 18,484 kes pada tahun lalu, menurut laporan berkenaan.

    Untuk Op Selamat 9, yang telah pun bermula pada 29 Jun dan akan berakhir pada 13 Julai nanti, Akhir berkata TEID akan melaksanakan sepenuhnya konsep penguatkuasaan, sambil fokus kepada enam kesalahan utama iaitu penyalahgunaan lorong kecemasan, memotong di garisan kembar, melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

    Pihak berkuasa juga telah membentuk 14 pasukan kecemasan yang disertai oleh anggota dari pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, St John Ambulance, Jabatan Pertahanan Awam dan Persatuan Bulan Sabit Merah untuk operasi berkenaan, tambah Akhir.

     
     
  • 1.3 juta kenderaan di Jepun dipanggil semula berhubung masalah beg udara Takata

    airbag_BM

    Panggilan semula oleh pengeluar-pengeluar automotif diteruskan diseluruh dunia, kali ini di Jepun. Pelbagai jenama automotif Jepun telah mengeluarkan notis panggilan semula melibatkan 1.3 juta kenderaan di seluruh negara mata hari terbit berkenaan, sebahagian daripadanya turut merancang lebih panggilan semula di luar negara dan menambah lebih dari sejuta unit kenderaan dalam senarai, lapor Automotive News.

    Setelah ditekan oleh kerajaan Amerika Syarikat, pembekal beg udara berkenaan – Takata Corp bersetuju untuk mengisytiharkan lebih banyak beg udara keluaran mereka sebagai bermasalah di Amerika bulan lalu. Berikutan perkara berkenaan, Kementerian Pengangkutan Jepun telah mengarahkan lebih banyak beg udara tersebut dipanggil semula.

    Mazda dilaporkan telah memanggil semula sekitar 1.57 juta kenderaan keluaran mereka di seluruh dunia, termasuk 490,000 kenderaan di Jepun sendiri. Jenama berkenaan mengatakan model yang terlibat ialah Demio (Mazda 2 untuk pasaran luar),RX-8, dan van Bongo. Panggilan semula pada kesemua model tersebut melibatkan penukaran inflator beg udara pada bahagian penumpang dan pemandu kecuali van Bongo yang hanya melibatkan bahagian pemandu. Mazda mengatakan panggilan semula untuk pasaran luar Jepun akan melibatkan Mazda 2, termasuk untuk pasaran Amerika Syarikat dan China, tetapi tidak menyatakan maklumat terperinci.

    Manakala Mitsubishi pula berkata, mereka akan memanggil semula sekitar 520,000 unit kereta. Model yang terlibat termasuk model Delica dan Pajero, sebahagiannya ada yang diproduksi tahun ini. Untuk itu, inflator beg udara bahagian pemandu perlu ditukar. Sekitar 92,000 Delica dan Pajero telah dieksport keluar negara, dan turut akan dipanggil semula kelak. Untuk model eK Wagon, eK Sport, Pajero Mini dan Toppo juga terlibat dalam panggilan semula, tetapi hanya melibatkan penukaran inflator beg udara bahagian penumpang.

    SRS-Airbag-e1418884179814_BM

    Subaru juga turut mengeluarkan notis panggilan semula terhadap 290,000 Legacy untuk menukar inflator beg udara sebelah pemandu. Walau bagaimanapun, bukan semua kenderaan yang dipanggil semula terdiri dari jenama buatan Jepun. Mercedes-Benz turut memanggil semula 93,000 unit kenderaan keluarannya dan antara model yang terlibat adalah C-Class dan E-Class.

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengatakan sehingga kini, tiada kenderaan dari jenama tersebut untuk pasaran Malaysia dipanggil semula. Berkenaan Mercedes-Benz yang diimport sendiri (grey import), MBM berkata mereka tidak ada cara untuk memeriksanya secara atas talian menggunakan nombor VIN, jadi adalah lebih baik pengguna menghantar sendiri kereta mereka ke pusat servis MBM bertauliah untuk diperiksa.

    MBM turut menyatakan, jika ada kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula ini dan pemilik menghantarnya ke pusat servis MBM yang bertauliah, mereka akan menukar komponen yang berkaitan.

    Anda juga boleh merujuk sama ada kereta anda terlibat dengan panggilan semula inflator beg udara Takata ini atau tidak pada pautan ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 04, 2024