Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda Civic Type R solekan khas di Tokyo Auto Salon

    Mugen_Civic_TypeR_Front_BM

    Honda Civic Type R telah menerima suntikan selepas jualan oleh beberapa syarikat penalaan (tuner) khas untuk dipamerkan di Tokyo Auto Salon tahun ini.

    Jentera JDM yang ditala khas ini oleh dua jenama talaan terkenal iaitu Mugen dan Modulo menjadikan perhatian ramai dalam acara pameran automotif tersebut.

    Mugen, telah menampilkan kit penggayaan yang lebih agresif pada Civic Type R ini. Ia dimulakan dengan bampar yang direka khas bersama kekemasan beefier splitter berwarna hitam dengan kontras hitam sutera pada bahagian badannya. Sedikit serpihan hitam turut ditambah termasuk pada bahagian skirting sisi yang lebar dan wing belakang yang lebih ringan berbanding versi standard.

    Mugen_Civic_TypeR_back_BM

    Malah apa yang dilakukan oleh Mugen ini lebih pada penampilannya, tetapi tidak mengubah langsung bagi sudut teknikal dan mekanikal. Begitu juga dengan varian Modulo yang didatangkan dengan imej yang lebih garang termasuk menampilkan penutup tangki minyak baharu, skirting sisi yang lebih garang dan sedikit sentuhan merah pada bahagian badannya.

    Honda Civic Type R ini telah dilancarkan pada Oktober lalu sempena dengan Tokyo Motor Show 2015. Ia digambarkan sebagai “model Type paling ekstrem dan paling berprestasi tinggi yang pernah dibangunkan”.

    Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 310 PS dan tork 400 Nm antara 2,500 dan 4,500 rpm.

    Enjin ini turut ditampilkan dengan pengecas turbo baharu, yang bekerjasama dengan sistem Variable Timing and Lift Electronic Control (VTEC) dan Dual-Variable Timing Control (VTC) ciptaan Honda.

    Penjana kuasa ini juga turut berpadu tenaga dengan kotak gear manual enam-kelajuan, yang membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sehingga 270 km/j.

    Galeri Honda Civic Type R 2015

     
     
  • Mercedes-Benz GLE 250 d, GLE 400 4Matic telah dilancarkan di Malaysia – 3.0L V6, harga dari RM487k

    2016-mercedes-benz-gle-400-suv-launch-official-001

    Selain Mercedes-Benz GLC 250 4Matic, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut membawa masuk model SUV mewah GLE 250 ke pasaran tempatan. Didatangkan dengan dua varian iaitu GLE 250 d dan GLE 400 4Matic, kedua-duanya telah diberi penambah baikan pada bahagian luaran dan dalaman, serta turut menampilkan teknologi baharu bagi menaik taraf penjana kuasanya.

    Varian GLE 400 dijanakan oleh enjin 3.0 liter turbo berkembar V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 333 PS dari 5,250 hingga 6,000 rpm dan puncak tork 480 Nm antara 1,600 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi 7G-Tronic, yang mampu memacu SUV ini dari 0-100 km/j dalam hanya 6.1 saat serta mencapai kelajuan maksimum pada 247 km/j. Penggunaan bahan apinya pula tercatat sekitar 8.8 liter bagi setiap 100 km.

    2016-mercedes-benz-gle-400-suv-launch-official-005

    Manakala bagi varian diesel GLE 250 d 4Matic pula, ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter bi-turbo empat-silinder, yang telah diberi penambah baikan untuk penjimatan bahan api yang lebih optimum iaitu sekitar 5.4 liter bagi setiap 100 km. Manakala kuasa yang mampu dihamburkan mencecah 204 PS pada 3,800 rpm dan puncak tork 500 Nm antara 1,600 hingga 1,800 rpm. GLE 250 d 4Matic turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic, yang mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.6 saat serta berkeupayaan mencecah kelajuan maksimum sehingga 212 km/j.

    Bagi rekaan luarannya, ia telah diberi suntikan yang lebih segar berbanding model terdahulu. Bahagian hadapannya lebih berketerampilan dengan padanan gril yang berimej lebih mantap. Selain itu, lampu belakangnya juga telah direka semula serta paip ekzoz yang pula lebih menonjol.

    Kedua-dua varian juga diserlahkan dengan rekaan luaran AMG Line dengan pakej pengayaan lebih elegan termasuk menampilkan rim aloi lima-jejari bersaiz 20-inci bagi GLE 250 d dan 21-inci dengan jejari-berkembar bagi GLE 400. Kedua-duanya juga ditampilkan dengan bumbung matahari.

    Bagi bahagian kabinnya, antara perubahan yang dilakukan ialah roda stereng tiga-jejari baharu, corong udara tengah yang direka semula serta skrin sistem hiburan COMAND Online yang ditampilkan umpama tablet.

    Kedua-dua varian juga menampilkan skrin bersaiz 8.0-inci dan sistem COMAND turut didatangkan bersama pemain DVD dan pengesan tanda trafik termasuk fungsi amaran salah jalan. Model GLE ini turut menawarkan pakej Sistem Hiburan Tempat Duduk Belakang sebagai standard termasuklah dua paparan bersaiz 20.3-inci dan kit bebas tangan Kleer.

    GLE 400 juga didatangkan dengan kekemasan AMG Line untuk bahagian dalaman termasuk tempat duduk sport balutan kulit Artico buatan tangan, roda stereng sport balutan kulit Nappa, kluster instrumen dan pedal sport keluli tahan karat.

    Warna baharu juga ditawarkan untuk bahagian kabin termasuk ginger beige, espresso brown, saddle brown dan porselin.

    GLE turut menampilskan sistem Dynamic Selecr yang menawarkan empat mod pemanduan (Individual, Comfort, Slippery & Sport) dengan hanya memutar tombol kawalan yang terletak di konsol tengah. Malah varian GLE 400 pula ditawarkan satu lagi mod pemanduan tambahan iaitu Offroad.

    Elemen standard yang turut ditawarkan bagi kedua-dua varian termasuklah lampu utama Intelligent LED, Bantuan Tambahan Lampu Tinggi Adaptif dan penutup ruang kompakmen Easy-Pack. Malah GLE 250d
    turut didatangkan sengan suspensi keluli Kawalan Ketegaran sebagai standard. Manakala GLE 400 pula ditampilkan dengan suspensi Sistem Redaman Adaptif.

    Bagi kit keselamatannya, GLE 250 d didatangkan dengan Collision Prevention Assist Plus dan Lane Tracking Package (Bantuan Titik Buta, Bantuan Kekal Laluan). Manakala GLE 400 pula didatangkan dengan pek Bantuan Pemanduan Tambahan termasuk Bantuan Stering, BAS PLUS dengan Bantuan Lintasan Trafik, Brek Pra-Keselematan Pengesan Penjalan Kaki, Amaran Impak Belakang, Bantuan Titik Buta Aktif dan Bantuan Kekal Laluan Aktif.

    Bagi model import sepenuhnya (CBU) ini, varian Mercedes-Benz ini ditawarkan pada harga RM486,888 untuk GLE 250 d 4Matic dan RM568,888 bagi GLE 400 4Matic, kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti selama empat tahun tanpa had perbatuan daripada MBM.

    GALERI: Mercedes-Benz GLE 400 4Matic

     
     
  • Volkswagen Sri Hartamas dilancarkan

    Volkswagen-Sri-Hartamas-3S-Centre-01_BM

    Pusat 3S Volkswagen Sri Hartamas telah dilancarkan petang tadi oleh Volkswagen Malaysia dan FA Wagen Sdn. Bhd.

    Memiliki keluasan lebih 30,670 kaki persegi melibatkan tiga tingkat, Volkswagen Sri Hartamas bersedia untuk memenuhi semua keperluan pemilik kenderaan Volkswagen daripada jualan sehinggalah aspek selepas jualan yang merangkumi servis umum & pantas, diagnostik dan pembaikan utama.

    Pusat servis ini mempunyai lapan ruang penyelenggaraan bersama sepasukan 15 orang juruteknik berpengalaman dan bertauliah. Mereka mampu mendiagnos apa jua isu dengan efisien, pantas serta menawarkan servis berkualiti kepada pelanggan.

    FA Wagen Sdn. Bhd. telah melabur sebanyak RM5 juta untuk lokasi, bangunan, kemudahan serta ruang penyelenggaraan. Di samping peralatan dan kelengkapan diagnostik yang diluluskan oleh Volkswagen.

    Volkswagen-Sri-Hartamas-3S-Centre-02_BM

    Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, “Kerjasama kami dengan FA Wagen bermula pada tahun 2007 dan sejak itu telah mencapai banyak kejayaan. Pelaburan ke atas infrastruktur merupakan salah satu usaha kami untuk menambah baik perkhidmatan dan pengalaman pemilikan secara keseluruhannya. Volkswagen Malaysia akan terus fokus untuk meningkatkan pengalaman pemilikan para pelanggan.”

    Pengarah Urusan FA Wagen Sdn. Bhd., Cheng Seng Fook berkata, “FA Wagen berbangga untuk memperkenalkan pusat servis 3S terkini kami kepada anda. Kami mengakui bahawa para pelanggan adalah keutamaan kami. Maka, kami lihat wujud keperluan sebuah pusat servis Volkswagen di Sri Hartamas. Kami telah melabur sebanyak RM5 juta ke atas cawangan ini untuk meningkatkan lagi jenama Volkswagen.”

    Volkswagen Sri Hartamas beroperasi dari Isnin hingga Ahad, termasuk cuti umum untuk bilik pamerannya mulai jam 8.30am hingga 6pm. Manakala bahagian selepas jualan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai jam 8.30 pagi hingga 5.45 petang. Hari Sabtu pula, ia beroperasi dari jam 8:30 pagi hingga 12:30 tengahari.

     
     
  • Puspakom tawar 25 peringkat pemeriksaan kenderaan persendirian sukarela secara percuma sempena CNY

    Gambar_ Peringkat -peringkat Pemeriksaan Kenderaan Sukarela

    Sempena dengan Tahun Baru Cina (CNY) tidak lama lagi, Puspakom akan menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela (Voluntary Vehicle Inspection-VVI) Percuma mulai 17 sehingga 29 Januari 2016. Ia meliputi 25 peringkat pemeriksaan untuk semua pemilik kenderaan persendirian.

    Pemilik kenderaan boleh menghantar kenderaan masing-masing untuk diperiksa di semua cawangan PUSPAKOM di seluruh negara kecuali di cawangan Shah Alam, Mak Mandin dan Kota Bharu.

    Pemeriksaan VVI yang merangkumi peringkat seperti Ujian Pengeluaran Asap, Gelincir Sisi, Bahagian Atas dan Bawah kenderaan, Brek dan Suspensi dapat memberi pencerahan kepada pelanggan mengenai bahagian-bahagian kenderaan yang berkemungkinan rosak dan memerlukan perhatian. Laporan melalui pemeriksaan VVI ini dapat memudahkan pelanggan membuat penyelenggaraan dan pembaikan selanjutnya terhadap kenderaan mereka.

    puspakom-cermin-gelap-850x534

    Kempen VVI secara percuma ini adalah sebahagian daripada inisiatif dan tanggungjawab korporat PUSPAKOM dalam meningkatkan tahap kesedaran keselamatan kenderaan di kalangan orang ramai, terutamanya mengenai kepentingan menjalankan pemeriksaan kenderaan secara berkala. Inisiatif ini juga adalah seiring dengan seruan kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang tinggi pada musim perayaan.

    Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Kami mengalu-alukan kedatangan pelanggan ke pusat pemeriksaan kami untuk menjalani VVI secara percuma. Pelanggan boleh terus mengunjungi cawangan kami tanpa perlu menunggu dan membuat temujanji. Melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan terhadap kenderaan adalah sama penting. Ini boleh menjamin keselamatan kenderaan dan orang tersayang anda.”

    Pelanggan boleh menjalani VVI secara percuma dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari (mengikut waktu operasi setiap cawangan). Untuk maklumat lanjut, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol PUSPAKOM 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang PUSPAKOM di www.puspakom.com.my.

     
     
  • Pusat 3S Nissan Mertzyu Auto dibuka di Kota Kinabalu

    Mertzyu Auto Nissan 3S Centre

    Mertzyu Auto Sdn Bhd, pengedar sah Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd (ETCM) telah melancarkan secara rasmi Pusat 3S pengedar pertamanya di Kota Kinabalu, Sabah pada hari ini.

    Pembukaan ini mencatat sejarah sebagai pusat 3S ‘hibrid’ Nissan yang pertama seumpamanya. Ia mewakili kerjasama pertama di antara Tan Chong dengan pengedarnya sebagai pusat jualan, servis dan alat ganti yang beroperasi sepenuhnya. Metzyu Auto menjalankan operasi jualan bagi kereta Nissan sementara Tan Chong Ekspres Auto Service (TCEAS) menjalankan operasi Selepas Jualan untuk servis dan alat ganti.

    Memiliki keluasan penuh 40,000 kaki persegi, bilik pameran ini mampu mempamerkan sehingga enam buah kereta pada satu-satu masa. Terdapat lima ruang servis di Pusat Servis ini yang mampu menyelenggara sehingga 30 buah kenderaan pada operasi penuh.

    Ribbon Cutting_Mertzyu Auto Nissan 3S Centre

    Pengarah Urusan Mertzyu Auto Sdn. Bhd., Oi Thiam Seng berkata, “Dengan pelaburan sekitar RM1.5 juta, ia merupakan pusat sehenti yang menawarkan kemudahan buat para pelanggan untuk memandu uji rangkaian model Nissan, melakukan servis dan mendapatkan alat ganti dengan semuanya di bawah satu bumbung.”

    Pusat 3S Nissan Mertzyu Auto mengadaptasi standard identiti Global Retail Visual Nissan demi menawarkan perkhidmatan 3S sepenuhnya, mengekalkan perhubungan pelanggan yang berkualiti. Antara kemudahan tambahan yang ditawarkan termasuklah tempat cuci kereta, perkhidmatan merias, pembelian dan memperbaharui insurans, petak penghantaran dengan penghawa dingin dalaman, sebuah lounge dan tempat minum bersama ketersambungan WiFi demi keselesaan pelanggan.

    Berucap pada majlis pelancaran tersebut, Pengurus Besar Kanan ETCM, Christopher Tan menjelaskan bahawa Kumpulan Tan Chong telah mengembangkan rangkaiannya dengan agresif di kawasan Malaysia Timur sejak dua tahun lalu.

    “Pasaran Malaysia Timur amat penting buat ETCM. Kami kini mempunyai 14 buah cawangan dan pengedaran di Malaysia Timur dengan tiga pusat 3S di Sarawak dan empat 3S di Sabah. Pusat 3S Nissan Mertzyu Auto nyata mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan menerusi penawaran barisan model Nissan yang mantap dan menarik,” katanya.

    Mertzyu Auto merupakan sebahagian daripada rangkaian 20 pengedar Nissan yang mantap di seluruh negara. Penambahan pengedar telah dirancang untuk tahun 2016.

    Waktu operasi untuk bilik pameran Mertzyu Auto Nissan adalah dari 8.00 pagi – 9.00 malam setiap hari Isnin hingga Sabtu, dan 9.00 pagi – 5.00 malam setiap hari Ahad dan Cuti Umum. Pusat Servis TCEAS pula dibuka dari 8.30 pagi – 5.00 malam setiap hari Isnin hingga Sabtu.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC 250 4Matic dilancarkan – RM329k

    GLC 250 4MATIC (5)

    Sebuah lagi SUV baharu dari Mercedes-Benz telah pun dibawa masuk ke pasaran Malaysia yang pastinya mampu menambat hati golongan kelas atasan. Mercedes-Benz GLC 250 4Matic telah pun dilancarkan semalam di KLPAC, dengan tag harga RM328,888 (bersama GST dan tanpa insurans).

    Tampil dengan falsafah reka bentuk yang lebih sensual dan memiliki kemodenan estetika pada sudut padangan klask yang lasak, GLC 250 4Matic turut mempunyai sedikit sentuhan gaya model seniornya, G-Class, tetapi lebih berciri moden.

    Daripada sudut pandangan hadapan, karakteristiknya juga terserlah dengan gril radiator tiga-dimensi bersama satu ram berkembar serta menempatkan logo jenama ini pada garisan rekaan baharu. Malah padanan lampu hadapan LED bersama Sistem Pencahayaan Pintar turut memberikan pandangan yang cukup mantap buat SUV ini. Bampar hadapan dengan ‘underguard’ bersepadu turut didatangkan dengan ciri tambahan bagi versi off-road dengan satu sudut tuju yang lebih besar serta ditambah dengan versi AMG yang bergaya.

    Bagi profil sisinya pula, ia kelihatan umpama model coupe namun masih mengekalkan imej yang elegan. Garisan sisinya lebih landai dan mantap.

    Pada bahagian belakangnya pula, terserlah imej penuh maskular dengan garisan kontur yang berorientasi melintang dan padanan lampu belakang LED. Ia juga ditampilkan dengan spoiler belakang bagi memberikan imbasan penuh sporty.

    GLC 250 4MATIC (2)

    Menjengah bahagian kabinnya, rekaan penuh elegan merajai segenap ruang. Malah rekaannya juga telah dipertingkatkan dengan gaya yang lebih moden dan mewah. Padanan material berkualiti tinggi yang memberikan ilham gaya mewah turut dapat dilihat menerusi kekemasan kayuan pada papan pemuka serta pilihan kulit nappa. Bumbung matahari yang boleh dibuka turut menjelmakan imej elegan dan serba mewah itu.

    Rekaan utama pastinya lebih tertumpu pada bahagian papan pemuka dan konsol tengah. Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah sistem hiburan Audio 20 CD, skrin paparan bersaiz tujuh-inci, sistem navigasi Garmin Map Pilot, sistem Burmester Surround Sound dengan 13 speaker dan kamera belakang 360-darjah.

    GLC 250 4MATIC (35)

    Walau pun kelihatan agak kecil daripada pandangan luaran, namun ruang kabin dan tempat penyimpanan barang di bahagian belakang amat memuaskan. Tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 40/20/40 dengan menawarkan ruang kargo yang lebih luas iaitu mencecah 1,600 liter iaitu lebih 500 liter dalam keadaan normal. Pintu kargo juga boleh dibuka secara automatik dengan sistem ‘HANDS FREE ACCESS’.

    Bagi aspek keselamatan, SUV ini turut dilengkapi dengan Collision Prevention Assist Plus, Crosswind Assist, Attention Assist dan Active Parking Assistant sebagai standard.

    GLC 250 4Matic ini dipadankan dengan enjin 2.0-liter dengan hamburan kuasa 211 hp pada 5,500 rpm dan puncak tork 350 Nm antara 1,200 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan.

    Padanan enjin dan transmisi ini membolehkan SUV ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya tercatat sekitar 6.5 hingga 7.1 liter bagi setiap 100 km (menurut ujian European NEDC).

    Terdapat lima mod permanduan bagi Dynamic Select iaitu Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual dengan tombol kawalannya terletak pada konsol tengah. Manakala Pakej Kejuruteraan Off-Road juga ditampilkan termasuk fungsi Aturan Kelajuan Menurun Bukit, off-road, dan laluan licin.

     
     
  • Benelli TnT25 bakal berada di Malaysia – RM12,990

    Benelli_TnT25_BM_1

    Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd (BKM) pemasang dan pengedar motosikal jenama Benelli dan Keeway di Malaysia akan melancarkan sebuah model baharu pertengahan bulan Januari ini.

    Benelli TnT25 merupakan keluarga terbaharu dalam rangkaian model Benelli di Malaysia, akan mula berada di pasaran tempatan selewat-lewatnya sebelum penghujung Januari ini di semua rangkaian pengedar yang bertauliah.

    Beberapa buah negara termasuk Itali, India, Thailand dan Indonesia telah pun mula memasarkan model ini sejak November lalu. Kemasukannya ke Malaysia adalah bagi memenuhi permintaan pengguna yang mahu menaik taraf kelas motosikal dari cub ke naked sport.

    Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan, Komunikasi dan Hubungan Luar BKM, Wan Najib Wan Daud berkata, Benelli TnT25 adalah model naked sport terbaharu dari keluarga Benelli di mana sebelum ini pasaran tempatan telah pun diperkenalkan dengan model TnT300, Tnt600 dan TnT899 dan TreK 1190.

    “Kemasukan model baru ini adalah untuk memberi pilihan kepada pengguna sedia ada atau yang baru selain memberi kemudahan untuk tidak perlu menaik taraf kelas lesen B2 kepada B,” katanya.

    Wan Najib menambah, BKM ada menerima cadangan dari pengguna agar memperkenalkan model di bawah 300cc bagi memberi kemudahan kepada pengguna yang tidak mahu menaik taraf kelas lesen dan percaya model Benelli TnT25 adalah yang terbaik untuk golongan ini.

    Benelli TnT25 menggunakan enjin silinder tunggal selain beberapa perubahan kecil dilakukan terhadap model baru ini seperti penggunaan bahan api yang ekonomi, sistem gantungan teleskopik terbalik 41mm dan sistem pembrekan dengan cakera tunggal 280 mm.

    “Pengenalan model ini adalah untuk memberi pilihan kepada pengguna selain mengukuhkan kedudukan jenama Benelli di pasaran tempatan namun jika ia berjaya memberi impak yang besar kepada pasaran ia merupakan bonus kepada BKM,” katanya lagi.

    Benelli TnT25 akan dijual pada harga RM12,990 (tidak termasuk GST) dan didatangkan di dalam dua warna pilihan iaitu merah dan hijau.

    Model tersebut didatangkan dalam tempoh jaminan selama setahun atau 10,000 kilometer (yang mana datang dahulu) dan tempoh jaminan boleh dilanjutkan lagi untuk tiga bulan dengan syarat pemilik harus mendaftar pembelian melalui laman web BKM iaitu www.benelli.keeway.my

     
     
  • Petron Blaze 100 Euro 4M dilancarkan di Malaysia

    Petron-Blaze-100-Euro-4M-1_BM

    Petron Malaysia telah melancarkan bahan api baharu Petrol Blaze 100 Euro 4M bagi pasaran tempatan. Majlis pelancarannya telah di Stesen Petron Batu Tiga, Shah Alam, pagi tadi yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Petrol Blaze 100 ini dijual pada harga RM2.80 per liter, iaitu sedikit lebih mahal berbanding V-Power Racing yang dijual oleh Shell. Malah ia juga 45 sen lebih mahal berbanding RON 97, yang kini berharga RM2.25 per liter.

    Blaze 100 Euro 4M dirumuskan dengan Tri-Activ, sebuah formula mempunyai tiga aksi yang memberikan kuasa, perlindungan enjin dan kilometer lebih baik. Bahan api berprestasi tinggi ini menawarkan tindak balas enjin sangat baik serta kuasa pecutan optimum. Ia turut menawarkan pembersihan enjin luar biasa untuk mengekalkan kecekapan enjin dan penjimatan bahan api lebih baik.

    Petron-Blaze-100-Euro-4M-2_BM

    Menurut Ketua Jabatan Dagangan Runcitnya, Faridah Ali, pelancaran Petron Blaze 100 Euro 4M adalah sebahagian daripada janji syarikatnya kepada pengguna untuk memperkenalkan bahan api dan perkhidmatan yang inovatif.

    Disebabkan faktor pengagihan yang terhad bagi tangki simpanan bahan api yang menawarkan Petron Blaze 100, gred bahan api baharu ini akan menggantikan Petron Blaze 97 yang sedia ada di stesen-stesen yang dipilih. Beliau juga menyatakan bahawa syarikat itu merancang untuk meningkatkan bilangan stesen yang menawarkan RON 100 bahan api bergantung kepada permintaan pengguna.

    Dengan pelancaran Petron Blaze 100, pemilik kenderaan jentera berprestasi tinggi (kereta dan motosikal berkuasa tinggi, termasuk model spesifikasi seperti Honda Civic Type R, Toyota 86 dan sebagainya), kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan bahan api yang lebih bersesuaian.

     
     
  • Honda Wave Dash FI dilancarkan – dari RM5,299

    Honda_Wave_Dash_BM_7

    Boon Siew Honda telah melancarkan model terbaharu, Honda Wave Dash FI, yang lebih berkuasa dan lebih selamat serta memiliki penjimatan bahan api yang lebih cekap. Dengan slogan ‘Racing Absolute’, Wave Dash FI baharu ini turut menawarkan prestasi yang lebih menarik dan lebih sporty.

    Ia ditawarkan dengan dua pilihan varian iaitu Wave Dash S (brek cakera tunggal) dan Wave Dash R (brek dwi cakera). Malah Boon Siew Honda turut berikan pilihan model Wave Dash Repsol Edition dengan pelekat badan Repsol tetapi memiliki persamaan sifat dengan Wave Dash R.

    Honda_Wave_Dash_BM_21

    Wave Dash FI dipadankan dengan enjin berkapasiti 109cc penyejuk udara, empat-lejang, OCH yang mampu memberikan kuasa maksimum sehingga 8.38hp pada 7,500 rpm dan puncak tork pula pada 8.42Nm pada 6,000 rpm. Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi automatik empar plat jenis basah dengan empat-kelajuan.

    Wave Dash FI ini turut dilengkapi dengan teknologi PGM-FI yang berfungsi bagi pembakaran bahan api yang lebih baik dan cekap tanpa mengorbankan kuasa pecutan motosikal. Ia memberikan prestasi lebih memberangsangkan, sekali gus memiliki kualiti tunggangan yang lebih baik serta lebih mesra alam sekitar.

    Tangki bahan api juga telah dipertingkatkan iaitu 4.0-liter dan ia dapat membantu penunggang mencapai jarak perjalanan yang lebih jauh.

    Bagi imej yang ditampilkan, ia ternyata lebih rugged dan sporty. Penambahan lampu isyarat yang bergaya dan pemantul cahaya di bahagian belakang serta posisi lampu tengah pada motosikal ini. Penambahan ciri ini turut meningkatkan lagi keselamatan penunggang dan pembonceng terutamanya pada waktu malam atau keadaan gelap. Malah model ini juga dilengkapi dengan plat pelindung haba bersadur krom baharu untuk tahap keselamatan yang lebih tinggi.

    Siri Wave Dash R dan S ini didatangkan dengan pilihan warna Merah Lincah, Biru Vital Metalik, Hitam Magelanik Mutiara dan Repsol Jingga Berkilau.

    Harga (tidak termasuk GST) yang ditawarkan pula ialah RM5,299 bagi Wave Dash S, RM5,549 (Dash R) dan RM5,699 (Dash R Edisi Repsol).

     
     
  • Shell Helix tawar Angpau Bertuah sempena CNY

    Every pack of Shell Helix motor oil now comes with Lucky Ang Pows containing cash or fuel vouchers

    Pada setiap musim perayaan utama di Malaysia, pengguna kenderaan dinasihati untuk menservis kenderaan mereka sebelum memulakan perjalanan. Ini termasuklah menukar minyak enjin supaya pergerakan enjin kenderaan berjalan lebih lancar.

    Bagi yang memilih minyak enjin Shell Helix, sempena dengan musim perayaan Tahun Baru Cina (CNY) kali ini, jenama ini bakal memberikan anda ganjaran bagi mereka yang bertuah.

    Mulai sekarang hingga 29 Februari 2016, setiap pembelian minyak enjin kereta penumpang pek empat-liter Shell Helix Ultra, Shell Helix HX 7 atau pek empat-liter/tiga-liter Shell Helix HX5 akan menikmati ganjaran serta-merta dalam bentuk Angpau Bertuah mengandungi baucar tunai atau baucar bahan api percuma.

    Terdapat dua cara untuk mendapatkan Angpau Bertuah ini. Pertama sekali, bagi pembelian di bengkel Shell Helix untuk menerima Angpau Bertuah yang mengandungi baucar tunai bernilai RM30 dan pelanggan berpeluang untuk memenangi RM888.

    Selain itu, pelanggan juga boleh membeli pek empat-liter produk Shell Helix di stesen Shell di seluruh negara untuk menerima Angpau Bertuah mengandungi baucar bahan api percuma bernilai sehingga RM20.

    “Kami mahu memberi ganjaran kepada pemilik kereta kerana menggunakan minyak enjin Shell Helix, terutamanya semasa musim perayaan. Teknologi terkini dalam minyak enjin kami memastikan pembersihan lebih baik, perlindungan lebih unggul serta prestasi dan penjimatan minyak lebih tinggi supaya anda boleh menikmati kebebasan dan keyakinan penuh di jalan raya,” kata Leslie Ng, Pengurus Besar Minyak Pelincir Shell – Malaysia dan Singapura.

     
     
  • Isuzu Malaysia tawar rebat tunai sehingga RM12,888 bagi tempahan D-Max atau MU-X sempena CNY

    Sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina (CNY) tidak lama lagi, Isuzu Malaysia menawarkan bonus rebat tunai sehingga RM12,888 dengan setiap tempahan D-Max atau MU-X.

    Dua tahun lalu, varian terbaru D-Max iaitu D-Max V-Cross diperkenalkan. Ia menampilkan tiga varian iaitu D-Max V-Cross 3.0 manual, D-Max V-Cross 3.0 automatik dan varian tertinggi iaitu V-Cross Safari. Ia dipacukan denngan enjin lebih berkuasa iaitu 3.0 liter yang mampu menghamburkan sehingga 177 PS pada 3,600 rpm dan puncak tork 380 Nm pada 1,800 hingga 2,800 rpm.

    Ia dijual pada harga RM101,343.90 (V-Cross 3.0 MT), RM107,459.90 (V-Cross 3.0 AT) dan RM118,485.90 bagi V-Cross 3.0 Safari.

    Manakala Jun lalu pula, Isuzu Malaysia telah melancarkan model MU-X yang hadir dengan dua varian iaitu 4×2 dan 4×4. Ia dipacu oleh enjin diesel commonrail 2.5 liter 4JK1-TCX empat-silinder dengan kuasa mencecah 136 PS dan tork 320Nm pada rpm serendah 1,800rpm.

    Bagi varian MU-X 2.5L 4×2, ia berharga RM147,543.40 dan untuk MU-X 2.5L 4×4 pula ialah RM160,210.40. Ia merupakan harga atas jalan berserta GST dan tanpa insurans. Setiap pembelian model ini turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun/100,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

    Untuk maklumat lanjut mengenai promosi CNY atau kenderaan Isuzu, sila layari laman web www.isuzu.net.my/home atau hubungi talian 1-300-88-1133.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC Edition 1 diprebiu di Malaysia

    Merc_GLC_Edition1_BM_003

    Hari ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan tiga model baharu SUV iaitu GLC, GLE dan GLE Coupe di Kuala Lumpur Performance Arts Centre (KLPAC).

    Namun antara model-model yang dilancarkan itu, pastinya Mercedes-Benz GLC 250 4Matic Edition 1 pastinya yang paling mendapat perhatian. Ia merupakan model edisi terhad yang turut dipamerkan di KLPAC mulai hari ini sehingga 17 Jan ini.

    GLC 250 Edition 1 kelihatan benar-benar menyamai model biasa GLC 250. Kedua-duanya ditampilkan dengan kit luaran AMG Line dan rim aloi multi-spoke bersaiz 20-inci. Hanya yang membezakannya ialah logo “Edition 1” yang tertampal pada dapra hadapan.

    Pada bahagian dalamnya, terdapat beberapa perubahan dilakukan. GLC 250 Edition 1 ini menerima rekaan dua-tona platinum white pearl di atas warna hitam kulit nappa. Manakala kekemasan kayuan berwarna hitam masih dikekalkan, bersama dengan longitudinal-grain aluminium pada papan pemuka dan stereng.

    Logo rekaan Designo juga terdapat pada perehat belakang pada tempat duduk hadapan dan belakang. Sementara pada panel pintu dan perehat tangan pada pintu turut menerima bentangan upholstery berwarna putih mutiara dengan rekaan berlia bersama jahitan putih. Pada perehat tangan bahagian tengah pula menerima kekemasan jahitan putih.

    Manakala jahitan kelabu kristal pula melatari bahagian papan pemuka, yang dibalut dengan kulit Artico buatan tangan berwarna hitam. Karpet lantai berwarna hitam dengan logo “Edition 1” juga menyerlahkan lagi gaya eksklusif model ini. Selebihnya, ia menyamai ciri yang ada pada GLC 250 4Matic.

    Berkenaan dengan harganya, MBM masih belum mengesahkan namun ia akan diumumkan apabila model ini bersedia untuk memasuki pasaran.

     
     
  • Setiawangsa-Pantai Expressway (DUKE 3) diuruskan oleh Ekovest Bhd – sepanjang 32km, siap tahun 2020

    DUKE-02_BM

    Bagi melaksanakan pembinaan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) atau DUKE 3, Ekovest Bhd. melalui anak syarikat milik penuhnya, Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan bagi pembinaan lebuhraya tersebut yang bernilai RM3.738 bilion bagi tempoh konsesi selama 53 tahun enam bulan.

    Perjanjian tersebut untuk mereka bentuk, membangun, mengendali, mengurus dan menyelenggara lebuh raya tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai DUKE Fasa 3, menurut laporan Utusan Malaysia.

    Menurut Ekovest, SPE akan menjadi lebuh raya pertama di Malaysia yang direka menampung penuh sistem tol elektronik dan dijangka menggunakan sistem aliran bebas pelbagai laluan semasa pembukaannya pada 2020.

    SPE akan dibina sepanjang 35 km, menghubungkan bahagian utara dan selatan KL. Kawasan yang terlibat ialah Universiti Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju, Setiawangsa, Ampang, Lebuhraya Bertingkat Tun Razak dan koridor Bandar Malaysia serta Kerinchi.

     
     
  • Penutupan jalan di Lebuhraya Cheras-Kajang diteruskan selama 15 malam mulai esok hingga 31 Jan

    MRT_CHERAS

    MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd telah mengeluarkan notis pemberitahuan berhubung penutupan jalan di Lebuhraya Cheras-Kajang akan diteruskan selama 15 malam iaitu dari 15 hingga 31 Januari ini.

    Jalan berkenaan akan ditutup di dua bahagian iaitu Penutupan A dan Penutupan B, dari jam 11 malam hingga 6 pagi secara sekejap-sekejap untuk membolehkan kerja penyudah dan mengecat dilakukan terhadap Tiang Penyambut 55 – Tiang Penyambut 57 SBG (Lintasan Khas).

    Menurut syarikat itu, penutupan A melibatkan jalan sepanjang 200 meter di KM18, Lebuhraya Cheras di mana dua lorong akan dibuka kepada kenderaan dari Kuala Lumpur ke Kajang.

    Sebagai alternatif, kenderaan boleh menggunakan jalan susur ke Bukit Dukung/Taman Koperasi Cuepacs dan Jalan Cheras Lama untuk ke Kajang.

    Penutupan B pula melibatkan penutupan laluan sepanjang 400 meter dari KM18.2 ke KM17.8 di Lebuhraya Cheras-Kajang.

    Sepanjang penutupan itu, pemandu dari arah Kajang menghala ke Kuala Lumpur dinasihatkan supaya membelok ke jalan susur untuk ke Jalan Kampung Bukit Dukung dan belok ke kiri bagi memasuki semula Lebuhraya Cheras-Kajang (Lebuhraya Grandsaga) untuk menuju ke Kuala Lumpur.

    Sumber foto : Laman web MRT

     
     
  • Perancangan Proton 2016 – Empat model baharu, meningkatkan perkhidmatan selepas jualan

    Perdana_red_front-e1444903108674_BM

    Tahun ini merupakan tahun yang penuh mencabar bagi Proton, bagi mengotakan janji untuk langkah pemulihan selepas perkembangan yang kurang memberangsangkan pada 2015 lalu. Syarikat pengeluar kenderaan nasional ini hanya mencapai jualan sebanyak 100,000 unit pada tahun lalu, berbanding mensasarkan sebanyak 115,000 unit pada tahun sebelumnya. Di mana keadaan ini “tidak begitu bagus” menurut CEO Proton Datuk Abdul Harith Abdullah.

    Oleh itu, Proton telah nekad untuk memperkenalkan produk baharu dan yang jauh lebih baik berbanding yang sedia ada termasuklah perkhidmatan selepas jualan bagi jenama ini. Sebagai mengotakan janji, syarikat ini akan memperkenalkan empat model baharu, di mana seperti yang kita ketahui, tiga daripadanya adalah Perdana, Persona dan Saga, dan satu lagi merupakan model hasil kerjasama di antara Proton dan Suzuki.

    Bagi Perdana di bawah segmen-D, ia dibangunkan berdasarkan platform generasi ke-lapan Honda Accord, dan ia bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini. Manakala Iriz yang menggunakan platform Persona pula akan memasuki pasaran segmen-B iaitu bersaing dengan Toyota Vios, Honda City dan Mazda2 Sedan, juga akan dilancarkan tidak lama lagi. Bagi Saga pula, ia masih menggunakan platform yang sama dengan model sedia ada, tetapi akan diberi suntikan yang lebih segar dan terkini.

    Bagi model yang masih belum didedahkan iaitu hasil kerjasama antara Proton dan Suzuki, ia dijangka diperkenalkan sebelum tahun 2016 berakhir. Walau bagaimana pun, Proton masih belum mendedahkan perinciannya, tetapi kemungkinan ia akan berada di bawah segmen-A. Mungkin ia merupakan model rebadged bagi Alto atau Celerio?

    Persona2_rear-e1447381658513_BM

    Datuk Harith berkata, model baharu ini akan menggunakan teknologi dan elemen keselamatan standard tetapi dengan harga yang berpatutan. Menurutnya lagi, ia adalah penting bagi memastikan produk ini bersedia “dengan teknologi dan kualiti terbaik”, selain mengekalkan harga yang kompetitif bagi jenama ini.

    Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad pula berkata Proton akan meneruskan nama model sedia ada termasuk Perdana, Persona dan Saga, seperti mana yang dilakukan oleh Toyota dan Honda yang membangunkan model baharu tetapi mengekalkan nama yang sama.

    Bagi membangunkan model baharu ini, Proton telah membelanjakan sebanyak RM2.20 bilion sejak dua tahun yang lalu, bagi peringkat kajian dan pembangunan termasuk membangunkan enjin baharu.

    Sebelum ini, Ketua Pegawai Teknikal Proton, Abdul Rashid Musa, berkata Proton mencari pengganti bagi enjin CamPro dengan enjin suntikan-terus baharu berkapasiti 1.3 dan 1.5 liter, bagi bentuk pengecas turbo dan aspirasi-semulajadi

    Bagi perkhidmatan selepas jualan pula, sememangnya ada kelemahannya bagi jenama ini. Namun Datuk Harith berkata, mutu perkhidmatan tersebut akan dipertingkatkan, malah syarikat ini hanya akan menambah pengedar 3S dan 4S bagi rangkaian jualan dan servisnya.

    proton-sg-petani-4s_BM

    Dengan penambahan sebanyak 29 pusat servis Suzuki yang telah diambil alih oleh Proton dan ditukarkan menjadi Proton Edar iaitu sebahagian daripada kerjasama Proton-Suzuki, kini rangkaian edaran Proton bagi pusat 1+1S, 2S dan 3S bertambah menjadi 105. Di mana Datuk Harith berkata, ia membuatkan Proton memiliki rangkaian edaran yang lebih mantap untuk menyokong kehadiran model baharu.

    Selain itu, Proton juga dalam perancangan untuk menggunakan kapasiti sepenuhnya bagi kilangnya di Tanjung Malim dan Shah Alam, yang berkeupayaan memproduksikan sehingga 300,000 unit kenderaan setahun. Syarikat ini turut mensasarkan untuk menghasilkan sebanyak 150,000 unit kenderaan pada tahun ini, iaitu bagi meningkatkan jualan sebanyak 50%.

    Bukan itu sahaja, Proton juga berazam untuk meningkatkan nilai dan keyakinan terhadap jenama, dengan memberikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik serta mempergunakan tekologi Suzuki sepnuhnya bagi model-model yang akan datang. Dengan kerjasama antara pakar kereta bersaiz kecil dari Jepun ini, diharap jenama ini mamou melangkah lebih cemerlang dan memberikan persaingan lebih jitu buat para pesaingnya.

    “Kami amat yakin bahawa tahun 2016 ini akan menjadi tahun yang lebih baik bagi Proton. Sekali gus menjadi titik perubahan baharu bagi Proton,” ujar Datuk Harith.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024