Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Mazda CX-5 versi facelift didedahkan harga baharunya- model 2.5L kini RM10k lebih murah, 2.0L lebih mahal

    Mazda-CX-5-facelift-CKD-price-list-1_BM

    Berikutan prebiu Mazda CX-5 facelift versi pemasangan tempatan (CKD) pada minggu lalu, beberapa pengedarnya telah pun mendedahkan harga kedua-dua varian SUV ini iaitu 2.0L dan 2.5L. Bukanlah suatu yang mengejutkan apabila CX-5 2.5L lebih murah berbanding model sebelum ini, tetapi model 2.0L pula naik harga, berikutan terdapat beberapa perubahan dalam senarai elemen bagi semua model ini.

    Bermula dengan varian 2.0L, kini pembeli boleh memilih dua varian 2WD (model 4WD tidak lagi ditawarkan) iaitu GL dan GLS. Dengan harga RM128,375.50 (solid) dan RM128,775.50 (metalik) bagi GL, manakala harga GLS pula ialah RM142,375.50 (solid) dan RM142,775.50 (metalik). Harga baharu ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM2,610 berbanding yang ditawarkan oleh Bermaz untuk harga CX-5 2.0L 2WD terdahulu (GL dan High-Spec). Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Terdapat beberapa pertambahan elemen pada varian GL iaitu ia turut disertakan dengan sistem hiburan baharu MZD Connect yang disambungkan dengan sistem bunyi enam-speaker. Selain itu, GL turut menerima lampu utama halogen projektor automatik dan lampu kabus serta lampu belakang jenis mentol, rim aloi 17-inci, butang penghidup enjin dan tempat duduk fabrik dengan pelarasan manual.

    Mazda-CX-5-facelift-CKD-price-list-3_BM

    Bagi varian 2.0L GLS pula, ia dilengkapi dengan lampu utama LED adaptif dengan pelarasan sendiri bersama lampu nyalaan siang LED sebagai standard berserta pengesan parkir hadapan dan fungsi navigasi untuk MZD (RM1,270 tambahan untuk GL). Seperti varian terdahulu High-spec, tempat duduk balutan kulit turut jadi pilihan buat GLS, tetapi ia juga turut ditawarkan pada GL dengan kos tambahan RM2,900.

    CX-5 2.5L ini turut mengekalkan pilihan 2WD dan 4WD seperti model CBU terdahulu. Bagi harganya, varian 2WD ditawarkan pada RM154,766.70 (solid)/RM155,166.70 (metalik), manakala model 4WD pula RM166,266.70 (solid) dan RM166,666.70 (metalik). Ini menjadikan versi CKD ini RM10,000 lebih murah berbanding model CBU yang terdahulu.

    Walau pun ada penurunan harga, senarai elemennya tidak dipandang remeh. Ia memberikan rim aloi baharu bersaiz 19-inci (dengan tayar 225/55R19) bagi menggantikan rim 17-inci pada model CBU dulu. Diikuti dengan rekaan berkemasan perak pada model 2.5L CKD.

    Mazda-CX-5-facelift-CKD-price-list-5_BM

    Elemen tambahan lain termasuklah lampu utama LED (terdahulu hanya bi-xenon) dan lampu belakang LED, sistem hiburan MZD Connect (dengan navigasi standard pada kedua-dua varian). Walau bagaimana pun, bumbung matahari elektrik dan sistem bunyi Bose sembilan-speaker tidak dikekalkan bagi varian ini.

    kedua-dua enjin 2.0 liter (153 hp @ 6,000 rpm/200 Nm @ 4,000 rpm) dan 2.5 liter (184 hp @ 5,700 rpm/250 Nm @ 3,250 rpm) SkyActiv-G suntikan-terus empat-silinder masih dikekalkan. Turut dikekalkan ialah transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan, namun versi baharu ini memiliki mod Sport yang lebih responsif, pemilihan butang kawalan berbanding tuil gear.

    Begitu juga dengan aspek keselamatan yang tiada perubahan, kesemua model masih kekal dengan enam beg udara, ABS dan EBD, bantuan brek, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan kawalan cengkaman. Walau pun Bermaz masih belu mengumumkan harga baharu ini, namun ia dijangka akan berlaku sewaktu ia dilancarkan kelak.

    GALERI: Mazda CX-5 facelift

     
     
  • PANDU UJI: Lexus IS 200t F Sport – kapasiti enjin diturun gred ke 2.0L, harga lebih tinggi

    LexusIS_Ext_04

    Apabila diberi peluang untuk menguji kehebatan Lexus IS 200t dari varian F Sport, pastinya ia tidak akan dilepaskan. Apatah lagi ingin sangat mengetahui kelebihannya selepas menguji model terdahulu, IS 250, yang memiliki kapasiti enjin lebih besar iaitu 2.5 liter. Namun Lexus berkata, walau pun enjinnya diturunkan grednya ke 2.0 liter, namun prestasinya tidak mengecewakan. Masih ada kelebihan yang dipertonjolkan.

    Walau pun begitu, padanan enjin 2.0 liter ini telah bergabung tenaga dengan pengecas turbo baharu serta teknologi Dual VVT-iW (Variable Valve Timing-intelligent Wide), membantunya memberikan ledakan kuasa yang sukar terjangka. Mampu bertindak bila-bila masa dan pastinya mendorong kepuasan pada tahap maksimum. Penjana kuasa ini mampu meledakkan kuasa sehingga 241 hp pada 5,800 rpm dan tork 350 Nm antara 1,650 hingga 4,400 rpm. Malahan ia juga memiliki kelebihan enam kuasa kuda tambahan berbanding model NX dan RX 200t biar pun menggunakan enjin yang sama.

    Selain itu, IS 200t ini turut digandingkan dengan transmisi automatik Sports Direct Shift lapan-kelajuan yang membantu menambahkan lagi kemantapan prestasinya. Padanan penjana kuasa ini memberikan IS 200t ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.0 saat sebelum berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum sehingga 230 km/j.

    Jika dibandingkan dengan jentera buatan Jerman, IS 200t bukanlah pesaing BMW 320i dan Mercedes-Benz C200 walau pun ada sedikit persamaan. Namun jika dibandingkan mengikut sudut kuasanya, di Malaysia, 200t ini mampu menyaingi BMW 330i M Sport (252 hp, 350 Nm, 5.8 saat) dan Mercedes-Benz C250 AMG Line (211 hp, 350 Nm, 6.6 saat). Selain C300 dengan kuasa 248 hp dan 370 Nm.

    LexusIS_Ext_29

    Tidak dinafikan, mengendalikan IS 200t F Sport ini memang cukup selesa. Sehebat tag harganya iaitu RM384,900, ia memang tidak lokek mempersembahkan prestasi yang mengagumkan, tidak kiralah sama ada pemanduan di kawasan bandar, kampung mahu pun dipacu di lebuh raya. Ia umpama memiliki karakteristik yang tersendiri di dalam pemanduan mengikut keadaan jalan.

    Jika sekadar memandu di kawasan bandar, tanpa perlu menagih kerahan tenaganya, IS 200t F Sport bersikap lebih tenang dan tidak mendesak untuk tekanan pedal, meluncur mengikut keadaan. Meski pun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, namun IS pantas memberikan respons yang diingini. Apabila keadaan mula lancar, ia tidak teragak-agak memuntahkan kuasanya.

    Ketika memacunya di lebuhraya, kekuasaan IS 200t F Sport lebih jelas terpancar. Kuasa turbonya pantas menyerlah walau pun tidak begitu memberikan tekanan pada pedal pendikit. Ia mampu meluncur lancar dan pantas dan efek turbonya memang tidak mengecewakan, membuatkan rasa terhadap enjin 2.0 liter ini seakan berkapasiti lebih besar.

    Penukaran gearnya juga pantas dan lancar, namun sedikit kelemahan terasa apabila jentera baru mula bergerak dan ketika daya pendikit mula menerima rentak. Ia agak kurang bertenaga untuk memberikan respons yang lebih sempurna, Tapi ini bukanlah isu yang besar kerana kotak gearnya seakan pantas menyembunyikan kelemahan ini. Bila kenderaan mula dipacu sedikit laju, penukaran gearnya bertukar rentak, lebih lancar. Namun jika jentera dipandu agak perlahan dan waktu itu mahu memotong kenderaan di hadapan, kelemahan ini juga sedikit terasa.

    LexusIS_Ext_11

    Namun pengendalian yang cukup selesa turut mengetepikan soal kekurangan ini. Pengendaliannya memang mantap tetapi sedikit kelemahan dirasai pada suspensi adaptifnya, sedikit terasa olengan badan. Perkara yang sama dirasai sewaktu memandu uji model RX. Walau bagaimana pun kelemahan ini seakan mampu diatasi oleh roda sterengnya yang lebih jitu.

    Ketika memandu dalam kelajuan yang tinggi, stereng bertukar karakter menjadi berat sekali gus mampu mengawal kenderaan supaya lebih stabil. Karakternya bertukar jika memandu dalam keadaan yang perlahan dan sederhana kelajuannya dengan roda stereng terasa lebih ringan.

    Penulis sempat menuju ke Ijok dan seterusnya Kuala Selangor, melalui jalan lama dengan keadaan laluan banyak berselekoh dan permukaan yang kurang rata. Di sinilah karakter IS 200t F Sport ini kian teruji. Adakalanya pemanduan sedikit terencat apabila terpaksa mengekori barisan lori dan treler, hendak memotong agak membahaya pula kerana keadaan jalan yang banyak selekoh. Namun apabila ada ruang dan kesempatan untuk memotong, penulis lebih senang memilih mod Sport atau Sport + kerana ia lebih pantas dan padu. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan dua mod lagi iaitu ECO dan Normal bagi sistem Pemilihan Mod Pemanduan.

    Seperti mana yang dikatakan pada perenggan atas, olengan badan sedikit dirasai sewaktu merentasi jalan banyak selekoh dan terasa kesan bumpy yang minimal jika melalui permukaan jalan yang beralun atau tidak rata. Tetapi jika dalam kelajuan yang sederhana, ia dapat mengurangkan rasa itu.

    LexusIS_Ext_22

    Daripada segi ciri aerodinamiknya, IS 200t F Sport ini telah mencapai level tertinggi Cd iaitu hanya 0.25 Cd sekali gus meletakkan model ini dalam kelas yang tersendiri. Ia bukan sahaja mengurangkan daya seretan angin tetapi juga mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien iaitu dianggarkan hanya 7.0-liter bagi setiap 100 km, kestabilan yang lebih mantap sewaktu jentera dipacu laju dan pengurangan bunyi bising dari luar daripada menyerap masuk ke dalam kabin.

    Sesekali kaki harus bermain dengan pedal brek, sistem brek IS 200t F Sport memang antara yang paling selesa. Malah ia mampu menyempurnakan pemanduan biar pun terpaksa membrek dalam keadaan mengejut. Difahamkan sistem brek bagi model ini telah direka semula dan dipertingkatkan. Di mana cakera breknya telah ditingkatkan ke 17-inci berbanding 16-inci pada model terdahulu, sekali gus memberikan lebihan kuasa berhenti yang lebih optimum malah lebih responsif.

    Bukan itu sahaja, kesemua varian IS ini turut dilengkapi dengan Front Performance Rod bagi menambahkan kestabilan dan pengendalian yang lebih mantap. Di samping itu, ia mampu memberikan kemantapan pada kawalan termasuk ketika melalui selekoh tajam. Malah penguasaan pemanduan yang lebih selesa cukup dirasai menambahkan keseronokan pengendaliannya.

    Selain itu, pastinya sistem keselamatan VSC menjadi faktor utama ia bertindak lebih baik. Kawalan kestabilannya mampu bertindak secara responsif. Untung juga apabila Lexus menyertakan barisan elemen keselamatan standard yang boleh dikatakan lengkap bagi IS ini. Selain VSC, ABS dan EBD, IS ini turut dilengkapi dengan Bantuan Brek, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, Paparan Titik Buta (elemen baharu) dan juga Kepekaan Lintasan Trafik Belakang, selain memiliki 10 beg udara (model terdahulu hanya 8 sahaja), kamera undur dan cagak ISOFIX.

    Mengenai imejnya, sebenarnya tidak banyak perbezaan dengan model yang terdahulu. Namun ini tidak bermakna IS baharu ini ditampilkan dengan imej ala kadar walau pun sifatnya masih menyamai model terdahulu. Padanan lampu utama HID (Xenon) dengan lampu kabus hadapan LED yang dipertingkatkan serta gril radiator menyerlahkan sifatnya yang garang dan serba mewah.

    Manakala garisan sisinya juga melahirkan profil yang lebih menyerlah. Rekaan rim aloinya yang dipertingkatkan dengan padanan tayar 225/40 R18 (hadapan) dan 225/38 R18 (belakang). Bahagian belakangnya pula lebih elegan tetapi tidak begitu sarat. Nampak sedikit ringkas tetapi masih bersesuaian dengan imej keseluruhannya.

    Gaya elegan, sofistikated dan mewah menjalari bahagian kabinnya. Bahagian papan pemukanya tidak begitu sarat dengan butang kawalan dan lampu analog yang terletak pada bahagian tengah papan pemuka menjadi trademark Lexus untuk mengekalkan sentuhan klasik dan mewah. Tombol mod pemanduan terletak pada konsol tengah bersama Remote Touch Interface iaitu kawalan skrin pelbagai-fungsi yang telah dipertingkatkan.

    Ia turut dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, roda sterengnya juga dilengkapi dengan butang kawalan, penghawa dingin dua-zon, pedal penukar gear di belakang roda stereng, brek parkir kaki, skrin paparan EMV bersaiz tujuh-inci, dua terminal USB dan AUX, sistem navigasi dan sambungan Bluetooth dengan kit bebas tangan.

    LexusIS_Int_27

    Paling mengujakan bagi penulis ialah sistem audionya yang memang syok! Varian IS 200t F Sport ini dilengkapi dengan sistem audio Mark Levinson Premium Surround dengan 15-speaker bersama fungsi AM/FM, DVD, MP3 dan WMA. Sistem audio ini memang terbaik malah perjalanan panjang yang diiringi hiburan memang tidak membosankan.

    Dengan saiz ukuran 4,662 mm panjang, 1,810 mm lebar, 1,430 mm tinggi dan jarak roda 2,800 mm, ruang dalaman Lexus IS ini juga boleh dikatakan agak luas dan cukup selesa. Tempat duduk balutan kulit sepenuhnya dan tempat duduk pemandu turut memiliki 10 pelarasan secara elektronik dan memori. Malah ia juga memiliki ruang storan berkapasiti 480 liter dengan posisi tempat duduk belakang normal.

    Bagi semua varian IS, ia ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Starlight Black GF, Sonic Titanium, Sonic Quartz (tidak ditawarkan bagi F Sport), Platinum Silver dan Red MC.CS, tetapi bagi F Sport, ada dua warna eksklusif iaitu White Nova GF dan Heat Blue CL. Setiap pembelian mana-mana model Lexus turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

    Secara konklusi, dengan kapasiti enjin yang diturunkan (dengan alasan mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien) tetapi harganya pula memang cukup tinggi, IS 200t F Sport harus mempergunakan jenamanya untuk menyaingi model pesaing lain. Biarpun prestasinya jarang mengecewakan dengan pengendalian yang mampu meledakkan adrenalin, jika terlihat pada tag harganya, perlu diseimbangi keputusan antara bersandarkan jenamanya atau pun prestasinya yang menjadi taruhan. Pilihan di tangan anda!

     
     
  • Jalan yang ditutup di Lebuhraya Dr Lim Chong EU dibuka sempena CNY mulai 5 hingga 9 Feb

    my_sample_image

    Pihak Pengurusan Tapak Projek Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan kenyataan, sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, jalan antara persimpangan Lebuhraya Kampung Jawa dan Hilir Sungai Keluang 1 di Lebuhraya Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung yang kini ditutup akan dibuka sepenuhnya bermula 5 hingga 9 Februari.

    Bermula 10 hingga 14 Febuari pula, jalan berkenaan akan hanya ditutup pada 10 malam hingga 5 pagi.

    Mulai 15 Febuari dan seterusnya, jadual penutupan jalan itu adalah seperti biasa iaitu dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari serta 9 malam hingga 5 pagi.

    Pada masa ini jalan berkenaan ditutup setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari serta 9 malam hingga 5 pagi bagi menaik taraf Lebuhraya Bayan Lepas sejak Ogos tahun lalu.

     
     
  • Ferrari FF 2016 diprebiu sedikit dalam perbentangan tahunan – bakal diperkenalkan hujung bulan ini

    Ferrari_FF_Facelift

    Ferrari mengambil kesempatan untuk menayangkan sedikit imej model Ferrari FF versi facelift ketika sesi pembentangan tahunan bersama para pelabur. Imej tersebut diselitkan bersama slaid pembentangan bagi bagi salah satu isu yang diusulkan.

    Biar pun tiada sebarang pengumuman rasmi mengenainya, namun difahamkan imej terbabit adalah sama dengan yang bakal ditampilkan pada Ferrari FF 2016. Dijangka bakal dijanakan oleh enjin 6.3 liter V12 yang telah dipertingkatkan, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 690 hp. Enjin ini juga dikatakan bakal dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan empat-rodanya juga telah dipertingkatkan.

    Selain itu, Ferrari FF 2016 juga ditampilkan dengan beberapa pembaharuan termasuk sistem hiburan baharu dan juga dilengkapi dengan beberapa komponen aerodinamik aktif.

    Ferrari FF 2016 dijangka bakal diperkenalkan pada penghujung bulan ini di Concorso d’Eleganza Villa d’Este.

     
     
  • JPJ memperketatkan proses pendaftaran kenderaan import di Langkawi dengan kerjasama Kastam

    JPJ_new_fleet_4

    Mengulas mengenai langkah pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Jan lepas, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata proses pendaftaran kenderaan import di Langkawi kini diperketatkan menerusi sistem bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kastam Diraja Malaysia (KDM) yang dibangunkan Julai lepas.

    Menurutnya lagi, sistem itu membolehkan penyaluran maklumat secara langsung antara JPJ dan KDM mengenai permohonan mendaftarkan kenderaan yang diimport ke Langkawi.

    “Selama ini banyak penipuan untuk mengelakkan cukai berlaku kerana kami masih pakai kaedah manual. Sekarang ini tidak lagi kerana sistem komputer kami diintegrasikan dengan sistem kastam hingga isu penipuan cukai sukar dilakukan,” katanya.

    Dalam pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 baru-baru ini, Najib berkata langkah memperketatkan pengecualian cukai kenderaan import di pulau bebas cukai itu bertujuan meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil kerajaan.

     
     
  • Prasarana sasar 1.5 juta penumpang sehari menjelang pertengahan 2016 – melibatkan LRT dan bas Rapid

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan jumlah penumpang perkhidmatannya sehari akan meningkat kepada 1.5 juta orang menjelang pertengahan tahun depan.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azmi Abdul Aziz, unjuran itu berdasarkan pembukaan laluan sambungan LRT jajaran Ampang dan LRT jajaran Kelana Jaya serta pembukaan laluan baharu Mass Rapid Transit (MRT), memetik laporan Bernama.

    “Projek sambungan jajaran LRT laluan Ampang dijadualkan dibuka pada 31 Mac depan, projek sambungan jajaran LRT laluan Kelana Jaya pada 30 Jun depan manakala laluan MRT Sungai Buloh ke Kajang pada Disember tahun ini,” katanya.

    Katanya lagi, buat masa ini bilangan penumpang Prasarana telah mencecah 1,001,800 orang sehari meliputi penumpang laluan LRT Kelana Jaya, laluan LRT Ampang, laluan Monorel dan perkhidmatan bas Rapid KL termasuk Bus Rapid Transit laluan Sunway, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.

    Dalam masa yang sama, Prasarana akan mempertingkatkan kemudahan di semua 60 stesen miliknya supaya lebih mesra pengguna.

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo tetap utamakan hidupan liar

    Pan-Borneo-highway-02_BM

    Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo akan turut mengambil kira kepentingan hidupan liar di sesetengah kawasan yang terjejas seperti taman negara dan santuari hidupan liar.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, pendekatan itu bertujuan mengurangkan gangguan terhadap haiwan liar selain memelihara habitat semula jadi mereka, memetik laporan Bernama.

    “Bagi laluan ini, kita menempuh Santuari Hidupan Liar Samunsan, yang antara lain dihuni monyet proboscis, harimau dahan, burung enggang, lotong kelabu, ungka dan penyu. Manakala untuk memenuhi keperluan monyet proboscis, kami membina jambatan sepanjang 270 meter berbanding kira-kira 100 meter bagi membolehkan mereka bergerak bebas sepanjang tebing sungai di bawah jambatan ini,” katanya.

    Pan-Borneo-Highway_BM

    Turut dibina pos pengawal hidupan liar sepanjang laluan di santuari ini untuk menghalang pemburuan haram.

    Fadillah berkata pembinaan jambatan dua lorong akan memberi kesan minimal kepada hutan bakau di kawasan itu selain dilengkapi dengan lampu tanpa silau bagi melindungi penyu.

    Mengenai kerja pembinaan yang agak terlewat sedikit, beliau berkata keadaan itu tidak kritikal dan sebahagian besarnya disebabkan cuaca buruk.

    Jalan Telok Melanao-Sematan merupakan pakej kerja pertama di bawah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 783.9km di Bandaraya Miri dan dijangka siap pada awal Januari 2019.

     
     
  • KL MRT : Penutupan jalan di PJU 7/1 Persiaran Surian dari 10 malam ini (5 Feb) hingga 10 pagi esok (6 Feb)

    mrt-taman-tun

    MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd telah mengumumkan penutupan jalan sepenuhnya di PJU 7/1 berhampiran Persiaran Surian pada hari ini jam 10 malam sehingga 10 pagi esok (6 Februari 2016). Penutupan selama 12 jam ini adalah bagi kerja-kerja pemasangan struktur keluli pada penyambung jejambat di Stesen MRT Mutiara Damansara. Ia melibatkan penutupan sepanjang 500 m di kedua-dua arah di Jalan PJU 7/1 tersebut.

    Sepanjang tempoh penutupan itu, pengguna jalan raya yang ingin ke Mutiara Damansara melalui Jalan PJU 7/1 dari Kota Damansara atau LDP akan dilencongkan ke Jalan PJU 7/8.

    Manakala pengguna jalan raya yang datang dari arah Mutiara Damansara yang ingin ke Persiaran Surian (arah Lebuhraya LDP) melalui Jalan PJU 7/1 akan dilencongkan ke Jalan PJU 7/4 dan keluar dari Jalan PJU 7/8.

    Bagi yang datang dari Mutiara Damansara dan Damansara Perdana yang ingin ke Persiaran Surian (arah Kota Damansara) melalui Jalan PJU 7/1 akan dilencongkan ke Jalan PJU 8/1, kemudian terus ke persimpangan Damansara Perdana dan pusing ke kanan, seterusnya menghala ke persimpangan Bandar Utama dan membuat pusingan-U untuk akses ke Persiaran Surian.

    Sila rujuk rajah di bawah untuk lencongan dan jalan alternatif yang disediakan sepanjang penutupan ini.

    MRT_PJU_PT_BM

     
     
  • Kenaikan tambang pengangkutan awam tidak halang orang ramai menggunakannya – Syed Hamid

    Syed-Hamid-Albar

    Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar, walau pun kenaikan tambang pengangkutan awam dilaksanakan baru-baru ini, namun ia masih menjadi pilihan orang ramai untuk terus menggunakan perkhidmatan ini.

    Memetik laporan The Sun Daily, Syed Hamid berkata, diskaun turut diberikan kepada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), bagi membantu mereka mengurangkan beban akibat kenaikan tambang pengangkutan awam ini. Baru-baru ini, Prasarana dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah mengumumkan semakan struktur tambang bagi perkhidmatan masing-masing.

    “Jika diikutkan jumlah penumpang, ternyata ia tidak memberikan sebarang kesan. Malah menerusi angka yang kami peroleh, jumlah penumpang terus meningkat dan ini menunjukkan perkembangan yang positif,” ujarnya.

    Beliau turut menambah, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan sehingga RM250 juta setahun bagi kos pengendalian sistem rel di Malaysia.

    Syed Hamid turut menegaskan adalah tidak munasabah untuk menyemak tambang pengangkutan awak berdasarkan harga minyak dunia yang tidak menentu dan menurun sejak kebelakangan ini. “Kita tidak boleh meramalkannya, ada kos-kos lain yang perlu diambil kira. Saya rasa ini bukan satu isu,” katanya. Apa pendapat anda mengenai perkara ini?

     
     
  • Polis kenalpasti 20 kawasan kerap berlaku kemalangan di Lembah Klang – rancang ketatkan penguatkuasaan

    Crash-accident-collision

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sejumlah 20 kawasan di sekitar Lembah Klang yang kerap berlaku kemalangan hingga membabitkan kematian dan kecederaan serius.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur DSP Datuk Law Soon Hong, berdasarkan statistik dan angka, kawasan berkenaan telah mencatatkan kadar kemalangan yang tertinggi, menurut laporan The Sun.

    Lokasi yang disenaraikan adalah seperti berikut:

    Lebuhraya Lingkaran Kedua (MRR2)
    Lebuhraya Sprint
    Jalan Kuching
    Jalan Loke Yew
    Jalan Cheras
    Lebuhraya Besraya
    Jalan Tun Razak
    Jalan Duta
    Jalan Ipoh
    Lebuhraya KL-Seremban
    Jalan Klang Lama
    Lebuhraya DUKE
    Jalan Kepong
    Jalan Ampang
    Jalan Segambut
    Jalan Genting Klang
    Jalan Pudu
    Lebuhraya KESAS
    Jalan Sungai Besi
    Lebuhraya Persekutuan

    “Penunggang motosikal merupakan yang paling banyak terlibat dengan kemalangan maut diikuti dengan pemandu kenderaan lain yang gagal mengawal kenderaan sewaktu memandu. Tahun lalu, sebanyak 120 kes kemalangan telah dicatatkan berbanding 119 pada tahun 2014 di kawasan berkenaan,” ujar Law.

    Beliau turut menambah Ops Selamat 8/2016 sempena Tahun Baru Cina telah pun dilancarkan dan beroperasi sehingga 16 Februari ini dengan sekurang-kurangnya 300 anggota trafik bertugas di sekitar pusat bandar.

    Law turut berkata sebanyak 489,543 saman trafik telah dikeluarkan pada tahun lalu dengan amaun sebanyak RM9.7 juta. “Kami merancang untuk mengetatkan lagi penguatkuasaan termasuk mengenakan denda secara maksimum bagi mereka yang melanggar peraturan lalu lintas ini,” tambahnya lagi.

    Sementara itu, Law turut menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman sempena cuti Tahun Baru Cina ini untuk mengisi borang ‘Balik Kampung’ dan menyerahkannya di balai polis berhampiran. Ini dapat membantu pihak polis melakukan rondaan di kawasan tempat tinggal anda.

     
     
  • VIDEO: JANGAN LAKUKAN ini di stesen minyak

    Here's what NOT to do when you're at a fuel station…More details here: http://paultan.org/2016/02/04/video-things-not-to-do-when-youre-at-a-fuel-station/

    Posted by Paul Tan's Automotive News on Thursday, February 4, 2016

    Berapa kali dalam seminggu anda akan mengisi minyak kenderaan? Sekali? Atau mungkin lebih? Dan pernahkah anda melihat sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku di stesen minyak (atau anda sendiri pernah melakukannya). Sila tonton video khas dari Petronas Primax ini, yang menampilkan hos Driven Web Series.

    Perkara paling biasa yang dilakukan ialah membiarkan enjin terus hidup ketika mengisi minyak. Tahukah anda, minyak merupakan bahan yang amat mudah terbakar. Secara faktanya, bukan setakat minyak yang mudah mencetuskan pembakaran, tetapi wasapnya. Di mana enjin yang masih hidup ini berpotensi untuk menyalakan api, sama ada menerusi system ekzos yang panas atau percikan dari system elektronik. Itu sebabnya ada sesetengah kenderaan yang perlukan kunci untuk membuka penutup pengisi bahan api.

    Seterusnya menggunakan telefon bimbit atau merokok di pam minyak adalah sangat merbahaya. Penggunaan telefon bimbit, vape atau apa juga peranti elektronik mampu mengundang risiko. Di mana ia boleh menghasilkan percikan elektronik, dan seterusnya mampu menyebabkan kebakaran. Untuk itu, jangan sama sekali menggunakan sebarang peranti elektronik atau pun merokok di stesen minyak!

    Petronas-Coffee-Break-1_PT_BM

    Untuk penunggang motosikal, jangan sesekali duduk di atas motosikal anda ketika sedang mengisi minyak. Tangki minyak motosikal adalah lebih kecil berbanding kereya, dan selalunya saluran minyaknya lebih pendek atau tiada langsung. Jadi ketika anda mahu mengisi minyak , ada kemungkinan ia akan memercik keluar terutamanya jika sudah penuh. Apa yang boleh berlaku? Percikan yang terkeluar itu boleh terkena enjin yang panas dan kebarangkalian mampu mencetuskan kebakaran. Hendak selamat? Jangan duduk di atas motor anda sewaktu mengisi minyak!

    Soal keselamatan bukanlah suatu yang patut dianggap remeh, tak kiralah ketika berada di jalan raya mahu pun stesen minyak. Itulah pesanan dari Petronas untuk anda. Dalam masa yang sama, Petronas turut telah melancarkan kempen Coffee Break sempena Tahun Baru Cina 2016 ini, dengan menghidangkan 880,000 cawan kopi di 142 stesen Petronas pada hujung minggu 6 dan 7 Februari serta 13 hingga 14 Februari ini.

    Selamat Tahun Baru Cina bagi yang meraikannya dan ingat, sentiasa berhati-hati di jalan raya dan nikmati perjalanan anda bersama Petronas Primax.

     
     
  • Toyota hadiahkan Camry Hybrid 2.5 kepada pelanggan bertuah – terima lebih 9,000 penyertaan menerusi pertandingan ‘Beli & Menang Toyota’

    Ms. Khoo Bee Ngoh (right) received the new Toyota Camry Hybrid from Mr. Khong Man Chong, Executive Director of Sales Group, UMW Toyota Motor

    Dengan penyertaan melebihi 9,000 dari para pelanggan Toyota, seorang wanita bertuah telah dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ‘Beli & Menang Toyota’ yang tamat pada Disember 2015. Pemenang bertuah tersebut, Khoo Bee Ngoh telah membawa pulang Toyota Camry 2.5 Hybrid baharu.

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah menganjurkan siri jelajah ‘Toyota WOW Road Tour is Back 2 Excite’ sejak September hingga November lalu. Dan sebagai sebahagiab daripada promosi jualan istimewa ini, UMWT turut menganjurkan pertandingan ‘Beli & Menang Toyota’, di mana ia memberikan peluang kepada semua pelanggan yang menempah mana-mana model Toyota di siri jelajah tersebut, layak untuk memenangi Toyota Camry 2.5 Hybrid.

    Khoo yang membeli model Vios 1.5J (AT) di siri jelajah WOW di Sunway Pyramid, telah menerima hadiah yang dimenanginya ini di bilik pameran Toyota di Subang Jaya, yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Bahagian Jualan UMTW, Khong Man Chong.

    UMWT juga akan meneruskan siri jelajah WOW di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara pada tahun ini, di samping lebih banyak promosi jualan menarik turut ditawarkan.

     
     
  • Enjin GDI/TGDI Proton bukannya pengganti CamPro

    Pengumuman Proton mengenai barisan enjin baharu yang bakal diperkenalkan pada 2018 membuatkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana dengan nasib enjin CamPro. Di mana enjin tersebut yang buat pertama kalinya diperkenalkan menerusi model Gen2 pada tahun 2004, dan sejak itu ia telah menerima beberapa siri penaiktarafan sehinggalah enjin VVT digunakan pada Iriz.

    Melepasi sedekad, enjin tersebut agak sukar untuk diteruskan dengan keadaan pasaran sekarang, menurut Ketua Pegawai Teknikal Proton Abdul Rashid Musa. “Seperti yang anda tahu, (enjin baharu GDI dan TGDI Proton) tidak boleh menggunakan bahan api dengan RON yang rendah kerana ia adalah enjin yang sangat efisien,” ujarnya.

    Sambungnya lagi, “Jadi ia bergantung pada pasaran. Selain itu, ia juga banyak bergantung pada beberapa perkara termasuk kos. Dengan negara yang telah mengurangkan syarat dan kos menjadi lebih sensitif, maka enjin VVT lebih sesuai untuk pasaran.” Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, enjin suntikan terus baharu ini boleh dikuasakan dengan petrol RON 95.

    Rashid turut menambah, negara dengan memiliki syarat yang lebih tinggi termasuk emisi standard yang juga tinggi seperti bakal menggunakan Euro 6C, juga boleh menggunakan enjin GDI dan TGDI baharu ini. “Jadi inilah alasannya mengapa kami tidak menghentikan penggunaan CamPro, kerana ia bergantung pasaran mana yang dimasuki dan bersesuaian. Namun jika bergantung pada teknologi atau kos, kita akan mencari penyelesaian bagi kedua-duanya.”

    “Oleh itu, kita perlu lihat pasaran mana lebih bersesuaian berbanding hanya jual apa yang kita ada, Jika sasaran pasaran itu lebih sensitif soal harga, kita akan menawarkan teknologi yang lebih bersesuaian dengan harga yang kompetitif berbanding teknologi baharu,” ujarnya.

     
     
  • Lebuhraya Kinrara-Damansara – penjajaran laluan boleh digunakan untuk pengangkutan awam

    kidex-2

    Selepas dibatalkan sejak setahun yang lalu, penjajaran laluan yang direncanakn bagi Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) boleh digunakan untuk laluan pengangkutan awam, mengikut draf yang diusulkan oleh Perancang Pengangkutan Awam Selangor. Draf tersebut bagi mengusulkan penjajaran laluan yang sepatutnya digunakan untuk Kidex boleh ditukar menjadi laluan pengangkutan awam di kawasan terbabit, menurut laporan The Sun Daily.

    Laluan yang diusulkan itu melibatkan sepanjang 11 km, akan menghubungkan Seksyen 16 Petaling Jaya ke Bandar Kinrara. Di mana laluan utara-selatan itu akan bersilang dengan empat lagi laluan pengangkutan awam, yang kini beroperasi dari arah timur-barat, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran yang berkongsi berita ini dengan pihak media semalam.

    Beliau turut berkata laluan pengangkutan awam ini juga akan memberikan manfaat pada perkhidmatan komuter di kawasan terbabit, secara tidak langsung mampu memberikan sambungan pengangkutan yang lebih baik di sekitar Lembah Klang.

    kidex-1

    Buat masa ini, kerajaan negeri Selangor belum mengumumkan perincian mengenai rancangan ini, namun Rajiv berkata projek yang diusulkan ini akan memberikan kesan yang minima mengenai pengambilan tanah kerana ia menggunakan penjajaran yang sama dengan Kidex. “Membina laluan pengangkutan awam tidaklah begitu sukar dan memerlukan kawasan yang lebih luas berbanding pembinaan lebuhraya,” ujarnya.

    Kidex merupakan projek lebuh raya paling mahal yang pernah dicadangkan iaitu melibatkan kos sehingga Rm148 juta bagi setiap kilometer. Lebuh raya yang menghubungkan bahagian utara Damansara ke selatan Bandar Kinrara sepankang 14.6 kilometer ini dijangka memakan kos sebanyak RM2.2 bilion, dibina sepenuhnya secara jejambat.

    Namun kerajaan Selangor membuat keputusan untuk membatalkan Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) atas alasan syarikat konsesi gagal memenuhi syarat ditetapkan dalam tempohnya. Malah kerajaan negeri juga berpendirian bahawa pembinaan lebuhraya dalam negeri Selangor perlulah bermanfaat bukan sahaja kepada pengguna lebuhraya tetapi juga dinikmati oleh penduduk di mana lebuhraya itu dibina.

     
     
  • Lebuhraya GCE laksana ETC mulai 2 Mac ini

    GUTHRIE

    PROLINTAS Expressway Sdn Bhd telah mengumumkan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya di Plaza Tol Bukit Jelutong, Elimina dan Plaza Tol Lagong mulai 2 Mac ini.

    Pelaksanaan itu adalah sebahagian daripada usaha PROLINTAS untuk memastikan pengguna lebuh raya itu dapat melalui plaza tol dengan lebih lancar, pantas dan selesa. Malah bermula semalam, lorong tambah nilai 24 jam dibuka di kedua-dua belah arah bagi ketiga-tiga plaza tol.

    Ketua Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Ir Zainudin A. Kadir, berkata sistem tersebut akan bermula pukul 12 tengah hari pada hari berkenaan.

    Katanya sebagai insentif kepada pengguna, mulai 18 Januari lalu, kad Touch’n Go diberi percuma di setiap lorong tunai di ketiga-tiga plaza tol yang boleh didapati dengan membayar nilai sebanyak RM5 setiap kad.

    Selain itu, pengguna juga boleh membeli SmartTag dengan harga promosi bernilai RM99 yang mula dijual semalam dengan syarat pengguna menambah nilai minima sebanyak RM20 pada kad Touch’n Go mereka semasa pembelian.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 25, 2024