Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Pemakaian tali pinggang keledar, topi keledar perlu dikuatkuasa secara tegas dan berterusan – MIROS

    Rear_Seat_belt-003-850x566

    Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar perlu dikuatkuasa secara tegas dan berterusan untuk mencegah kemalangan maut, menurut laporan Bernama.

    Katanya lagi, untuk mencapai kesan jangka panjang, tindakan penguatkuasaan yang berterusan terhadap pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar perlu ditingkatkan serta lebih menonjol menerusi publisiti.

    Lee turut meminta pemasaran sosial dipertingkatkan dengan memberi tumpuan terhadap inisiatif advokasi serta program berasaskan komuniti kepada pengguna jalan raya mengenai faedah memakai tali pinggang keledar dan topi keledar.

    gempak-mufors-road-safety-campaign 39

    Tambahnya lagi, pendidikan keselamatan jalan raya juga perlu untuk pelajar sekolah serta kurikulum lesen memandu.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan pengeluar kenderaan memasang peringatan memakai tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan dan belakang.

    Menurut Lee, pada 2014, MIROS membuat kajian mengenai pemakaian tali pinggang keledar di seluruh negara dan hasilnya mendapati pemandu mencatat kadar pematuhan 81.7% diikuti penumpang hadapan dan belakang yang masing-masing merekodkan 68.1 dan 86%.

    Sementara itu, katanya kajian dibuat MIROS pada 2015 mendapati kadar pemakaian topi keledar di Malaysia adalah 73%.

     
     
  • Laluan skyway untuk haiwan liar bakal dibina di LPT2

    LPT2_PTBM

    Cadangan Kementerian Kerja Raya untuk membina laluan skyway di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan binatang liar melintas jalan di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), disambut baik oleh kerajaan Terengganu.

    Menurut laporan Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu Ir Rosli Othman berkata perkara ini akan dirundingkan bersama beberapa pihak berkenaan sebelum melaksanakannya.

    “Pada dasarnya Menteri Besar Terengganu bersetuju dengan cadangan pembinaan laluan udara itu namun kajian rapi mengenainya akan dilakukan terlebih dahulu oleh pihak berkenaan, termasuk membabitkan kos yang besar bagi tujuan pembinaan tersebut.

    “Beberapa pihak seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kerja Raya akan melakukan kajian mengenai cadangan pembinaan itu,” katanya.

    Walau bagaimana pun, beberapa aspek juga perlu dikaji termasuk lokasi cadangan pembinaan laluan udara yang menjadi tumpuan haiwan liar di LPT2 yang sepanjang 180 kilometer itu.

    Cadangan pembinaan laluan udara itu dicadangkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketika melawat LPT2 baru-baru ini.

    Sebelum ini, beberapa kes kemalangan jalan raya dilaporkan di sepanjang LPT2 membabitkan kematian beberapa ekor haiwan liar seperti harimau belang dan tapir.

    Dalam perkembangan berkaitan Rosli berkata LLM melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pagar untuk memastikan pagar di sepanjang LPT2 tidak diroboh atau dirosakkan penternak haiwan.

    Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan mengadakan sesi penerangan kepada semua penternak haiwan supaya tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran di LPT2 atau berdepan tindakan kompaun.

     
     
  • Volkswagen Cares untuk pelanggan dilancarkan

    Volkswagen Cares Programme-06

    Volkswagen Malaysia telah melancarkan program Volkswagen Cares yang pertama iaitu satu siri bengkel kereta secara percuma yang eksklusif untuk para pemilik kenderaan Volkswagen. Ia dianjurkan di Volkswagen Wearnes Sg Besi dan telah dihadiri oleh 12 orang pemilik kenderaan Volkswagen.

    Program Volkswagen Cares dibangunkan sebagai usaha untuk meningkatkan dan menambah baik pengalaman pemilikan pelangan Volkswagen. Program percuma ini akan dianjur dan dijalankan oleh para pengedar Volkswagen yang mengambil bahagian untuk para pelanggan masing-masing.

    Sesi pada hari ini dikendalikan oleh Alex Chen, Pengurus Servis, Simon Chin, Penolong Pengurus Wearnes Automotive dan Charles Lim, Pengurus Besar perkhidmatan selepas jualan Wearnes Automotive.

    Sesi yang terdiri daripada dua bahagian itu melibatkan silibus yang bersifat teori. Ia merangkumi aspek keselamatan, tip-tip menjimatkan bahan api, langkah-langkah keselamatan anak-anak yang betul serta apa yang perlu dilakukan dalam situasi kecemasan.

    Malah, penerangan lanjut mengenai perbezaan ciri yang ada pada kenderaan Volkswagen dan bagaimana ia boleh digunakan sepenuhnya untuk manfaat para pemiliknya juga ada diberikan. Demonstrasi secara amali berkaitan tip-tip penyelenggaraan dan pemeriksaan mudah turut ditunjukkan oleh juruteknik selepas jualan yang terlatih.

    Selain itu, topik mengenai keselamatan dan penjimatan bahan api turut dibawakan. Begitu juga dengan aspek keselamatan seperti kawalan kelajuan, ABS, EBD dan ESP, turut diperbincangkan.

    Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, “Volkswagen Malaysia berbesar hati untuk mengumumkan inisiatif ini. Kami percaya dengan memperkasakan para pemilik dengan pengetahuan, kesedaran dan ilmu yang betul bersama usaha Volkswagen, kami mampu meningkatkan pengalaman pemilikan mereka secara keseluruhannya.”

     
     
  • GALERI: Mazda CX-5 2016 facelift 2.5L 2WD CKD

    2016-Mazda-CX-5-2.5L-2WD-facelift-1_BM

    Mazda CX-5 facelift CKD kini telah tiba di bilik pameran. Untuk varian 2.5L 2WD sedikit perubahan dilakukan untuk menyegarkan kembali model ini dalam pasaran.

    Pada bahagian luaran, gril pada bampar hadapan telah digantikan rekaan baharu lima-bar, diapit dengan lampu hadapan LED automatik bersama sistem lampu hadapan adaptif. Lampu nyalaan siang LED dan juga lampu kabus yang lebih kecil.

    Rim 17-inci pada model CBU terdahulu kini digantikan dengan rim aloi 19-inci dibaluti tayar 225/55R19. Tetapi untuk unit CKD ini, hanya rim berwarna perak ditawarkan berbanding rim dua-ton untuk pasaran negara lain. Pada bahagian belakang perubahan yang dapat disaksikan adalah pada lampu belakang LED baharu.

    2016-Mazda-CX-5-2.5L-2WD-facelift-4_BM

    Pada bahagian dalaman, sebahagian besar ciri-cirinya tidak berubah. Tetapi model ini telah dilengkapi dengan sistem infotaimen MZD Connect dengan skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci dan suis Commander Control. Sistem infotainmen ini juga dilengkapi juga dengan sistem navigasi.

    Ciri mewah yang ditampilkan termasuk tempat duduk larasan elektrik (pemandu sahaja), serta lampu dan penggilap cermin automatik. Kini trim pada papan pemuka datang dengan warna perak (berbanding hitam pekat sebelum ini). Terdapat balutan kulit pada trim di sekeliling unit MZD Connect dan barisan suis penghawa dingin, pedal penukar gear dan brek parkir elektronik juga kini direka semula.

    CX-5 2.5L facelift ini dijana dengan enjin petrol 2.5 liter SkyActiv-G empat-silinder pancitan bahan api terus, berkuasa 184 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 3,250 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik SkyActiv Drive (dengan penukar mod Sport), memacu roda hadapan.

    2016-Mazda-CX-5-2.5L-2WD-facelift-16_BM

    Untuk ciri keselamatan, CX-5 kekal dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, pemantau tekanan angin tayar, isyarat berhenti kecemasan, Kawalan Stabiliti Dinamik (DSC) dan kawalan cengkaman.

    Mazda CX-5 2.5L 2WD dijual pada harga RM154,766.70 (solid) dan RM155,166.70 (metalik). Model 4WD turut ditawarkan dengan harga RM166,266.70 (solid) dan RM166,666.70 (metalik). Model CKD ini dijual dengan harga RM10,000 lebih murah jika dibandingkan dengan model CBU.

    Untuk mereka yang ingin membeli model 2.0L, dua varian ditawarkan iaitu GL and GLS, dengan harga yang seperti sebelum ini – RM128,375.50 (solid) dan RM128,775.50 (metalik), kini berharga RM142,375.50 (solid) dan RM142,775.50 (metalik). Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    GALERI: Mazda CX 2016 facelift 2.5L CKD

     
     
  • Mitsubishi Outlander di Malaysia – CBU, 2.4L, RM167k

    Outlander_Ext_02

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini telah mengambil kesempatan untuk mempertontonkan SUV Mitsubishi Outlander serba baharu sebelum pelancaran sebenar pada April hadapan. Dalam masa yang sama turut mengesahkan tempahan bagi SUV ini telah dibuka secara rasmi.

    Outlander SUV ini didatangkan dengan harga pengenalan atas jalan eksklusif RM166,720.00 (termasuk GST dan tanpa insurans) bagi kenderaan yang ditempah dan didaftarkan sebelum 31 Mei 2016. Ia juga ditawarkan dengan pakej waranti selama lima tahun atau 100,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu.

    Hanya terdapat dalam varian 4WD, kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini dipadankan dengan enjin petrol 2.4 liter Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control (MIVEC) yang memberikan kuasa maksimum 169 hp pada 6,000 rpm dan kuasa tork maksimum 222 Nm pada 4,100 rpm.

    Kuasa dari enjin dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear automatik CVT dan sistem pacuan empat-roda Mitsubishi Multi-Select. Sistem tersebut membolehkan pemandu memilih tiga mod pemanduan iaitu 4WD ECO, 4WD Auto, dan 4WD lock. Gandingan enjin dan sistem transmisi ini mampu membuatkan Outlander 2016 ini mencapai kecekapan bahan api 12.8 km/l jika mod 4WD Eco dipilih.

    Outlander_Ext_27

    Imej hadapan Outlander ini direka dengan konsep ‘Dynamic Shield’ Mitsubishi yang terbaharu yang menampilkan elemen krom yang menghubungkan lampu hadapan dan lampu kabus serta liang kemasukan hadapan. Mengikut trend kereta baharu di pasaran, Outlander ini dilengkapi lampu hadapan LED berserta lampu nyalaan siang LED bina dalam, bumbung matahari dan roda aloi 18-inci dua-tona yang dibaluti tayar bersaiz 225/55R18.

    Pada bahagian dalam pula, ditampilkan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, dan suis kawalan penghawa dingin dua-zon diletakkan di bahagian tengah papan pemuka. Suis kawalan sistem infotainmen, telefon dan kawalan kelajuan turut dilengkapi pada roda stereng Outlander serba baharu ini.

    Bagi pengendalian yang lebih sporty, pedal penukar gear turut ditampilkan. Kesemua tempat duduk dibaluti kulit rona hitam. Tiada sistem brek parkir elektronik ditampilkan pada model ini, Outlander masih lagi menggunakan tuil brek tangan konvensional.

    Outlander_Int_19

    Outlander baharu ini menyediakan ruang kargo yang agak besar berkapasiti 1,608 liter (setelah tempat duduk barisan ketiga dilipat). Ia juga menampil pintu tailgate belakang yang berfungsi secara elektronik.

    Untuk ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan semua ciri terkini termasuk tujuh-beg udara, Kawalan Stabiliti Aktif (ASC),Kawalan Aktif Mula Terjahan (ASTC) Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS berserta EBD dan Bantuan Brek (BA). SUV ini juga dilengkapi sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna membuka kunci pintu dan menghidupkan enjin dengan butang penghidup tanpa mengeluarkan kunci dari poket.

    Tiga pilihan warna disediakan iaitu Merah Metalik, Putih Mutiara dan Kelabu Metalik. Jadi, adakah Outlander baharu ini menarik perhatian anda? Kongsikan bersama kami dalam ruangan komen di bawah.

     
     
  • Subaru Forester 2016 CKD mula diproduksi di Malaysia – dua varian dijadualkan untuk Q2 2016

    Subaru Forester facelift CKD production Malaysia begins

    Fuji Heavy Industries (FHI) telah mengumumkan produksi bagi model facelift Subaru Forester unit CKD akan dimulakan di kilang Tan Chong, Segambut.

    Forester kini menyertai model crossover XV, yang diproduksi di tempat yang sama sejak Disember 2012. TCS merancang untuk memasang sejumlah 10,000 unit Forester setahun. Berdasarkan imej di atas, unit CKD ini bakal menerima model 2.0 liter NA dengan dua varian iaitu 2.0i dan 2.0i-P.

    Pada November 2015, Forester facelift dengan penyamaran, dikesan sedang diuji di jalan raya di Malaysia, menambahkan lagi desas-desus mengenai model ini yang akan dilancarkan di sini. Forester facelift diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2015 lalu.

    Perubahan pada model facelift ini hanya sederhana, terdapat beberapa peningkatan elemen berbanding model sedia ada. Bagi luarannya, ia hanya diberi sedikit gaya yang berbeza pada gril hadapan dengan bampar baharu (2.0i-P dilihat mengekalkan bampar hadapan varian sebelum ini XT), lampu nyalaan siang berbentuk-C serta lampu belakang dan roda yang diberi penambah baikan.

    Untuk bahagian dalam, ia dilengkapi dengan panel instrumen baharu bersama paparan pelbagai-informasi LCD berwarna. Selain itu, terdapat beberapa elemen yang dipertingkatkan termasuk menampilkan material kulit. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem navigasi SD dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

    Bagi sudut mekanikalnya, Forester turut menambah baik casis AWD dan NVH bagi pengendalian yang lebih dinamik dan selesa. Peningkatan ini termasuk memantapkan lagi casis, menggunakan kaca pintu yang lebih tebal dan menambah baik kotak gear Lineartronic CVT.

    Di bawah hudnya, dijangkakan ia bakal memilih enjin petrol 2.0 liter aspirasi-natural (150 PS/198 Nm) yang dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT. Pilihan pengecas turbo yang lebih berkuasa turut ditawarkan, dengan kuasa 240 PS dan tork 350 Nm.

    Subaru Forester pemasangan tempatan dijangka akan dijual mulai suku kedua (Q2) tahun ini di Malaysia, Thailand dan Indonesia, antara Mac-Mei 2016. Pada majlis memulakan produksinya. Timbalan Presiden FYO Jun Kondo berkata, “FHI akan meneruskan kerjasama dengan Tan Chong International untuk menambah baik jualan Subaru di rantau Asia.”

     
     
  • Disiplin yang tinggi dan 5S faktor kejayaan Perodua

    PGM-Opening-1_BM

    Walaupun Proton lebih dominan dengan gelaran pembuat kereta nasional, Perodua sebagai ‘anak kedua’ mendahului pasaran kereta tempatan selama 10 tahun sehingga sekarang. Walaupun sangat selesa dengan kedudukan kini, tiada tanda-tanda Perodua akan ‘goyang kaki’ dan berpuas hati dengan kedudukan mereka sekarang yang dibuktikan melalui sasaran jualan yang semakin meningkat, begitu juga dengan rekod jualan.

    Apa kelebihan utama Perodua yang membuatkan ia kompetitif? Di samping mengetahui apa yang majoriti pembeli kereta di Malaysia mahu, kecekapan dari rakan kongsi Perodua iaitu Daihatsu turut menyumbang kepada kelebihan tersebut. Kecekapan yang dibawa ialah disiplin, dan ia membolehkan syarikat tersebut berkembang dengan pesat di dalam industri, kata Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd (PCSB) Yasumitsu Morita.

    Perodua_Axia_Standard_vs_Advance_-001_BM

    PCSB yang menguruskan operasi pengeluaran Perodua masih lagi mengembangkan pangkalan mereka di Sungai Choh, Rawang. Terdapat dua kilang di sana, di mana kilang lama memproduksi Myvi dan Alza, dan kilang baharu Perodua Global Manufacturing memasang Axia. Dijalankan dengan asas yang sama daripada segi teknologi dan proses seperti Daihatsu Kyushu iaitu kilang utama Daihatsu di Jepun, PGM yang berharga RM1.3 bilion telah mula beroperasi sejak ogos 2014. Tetapi ia hanya dilancarkan secara rasmi bulan lalu.

    Morita-san berkata kilang Perodua telah mempraktiskan Dojo, yang bermaksud “rumah untuk latihan”, bagi menjaga kualiti dan standard servis. Beliau juga berkata syarikatnya mengimplimentasikan organisasi 5S ditempat kerja yang terdiri daripada lima perkataan Jepun iaitu seiri (sisih), seiton (susun), seiso (sapu), seiketsu (seragam) dan shitsuke (sentiasa amal), untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa untuk semua.

    2015_Perodua_Myvi_Facelift_Premium_X_vs_Advance_-01_BM

    Percaya pada prinsip kepimpinan melalui teladan, “Saya dan Zainal akan menunggu seawal 7.30 pagi untuk menyambut pekerja kami di pintu masuk utama,” kata beliau merujuk kepada Timbalan Presiden PCSB Zainal Abidin Ahmad, yang juga hadir sebagai pensyarah kepimpinan yang dijalankan oleh Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di Universiti Teknologi Malaysia KL.

    Amalan sedemikian adalah sebahagian inisiatif Perodua untuk mengekalkan disiplin, dan ia akan menghasilkan kejayaan, kata Morita-san seperti yang dilaporkan Bernama. Beliau juga menasihati para pelajar agar berfikiran terbuka, sedia untuk menerima perubahan dan percaya dengan kebolehan diri sendiri untuk mencapai kejayaan.

    Tahun lalu, Perodua merekodkan jualan tahunan tertinggi dengan 213,300 unit, bersamaan sekitar 32% dalam bahagian pasaran di Malaysia. Perodua mensasarkan 216,000 untuk 2016, dan jika berjaya dicapai, ia merupakan rekod tertinggi untuk mereka.

     
     
  • Tiada kereta sifar-bintang mulai 2020 – NCAP Global

    Datsun_GO_zero-star_NCAP_02

    Setiausaha Agong World NCAP, David Ward, baru-baru ini berkata pada Autocar UK, pertubuhan global tersebut mahu semua kereta dengan sifar-bintang tiada menjelang tahun 2020. Ward percaya bahawa hujah yang dikemukakan oleh pengeluar kenderaan yang mempertahankan model-model dengan sifar-bintang ini adalah sebagai tindakan yang “tidak masuk akal”, selain menafikan pembeli kereta hanya mahukan keselamatan asas sebagai standard sahaja.

    “Alasan tersebut dikemukakan oleh beberapa pembuat kereta kerana mereka perlu menghasilkan kenderaan yang murah untuk menarik minat pembeli, selain mengelakkan pembeli membeli motosikal, tetapi tiada bukti sokongan terhadap alasan tersebut,” ujar Ward lagi.

    “Pembeli kereta perlukan keselamatan asas sebagai standard, dan kos pula tidak begitu besar, sama ada melalui kejuruteraan platform global yang lebih baik atau melabur sebanyak USD$50 (RM210) untuk beg udara. Hujah yang dikemukakan itu adalah sangat tidak masuk akal,” tambahnya lagi.

    World NCAP agak kesal dengan pengeluar-pengeluar yang rela menghasilkan kereta yang gagal mematuhi sekurang-kurangnya peraturan UN 924, walau pun bagi menampilkan satu “struktur pelanggaran yang ringkas dan satu beg udara”.

    Model kenderaan yang dihasilkan oleh Hyundai, Datsun dan Tata bagi pasaran Brazil dan India telah menerima kritikan keras dari organisasi ini sejak beberapa tahun. Ia dijangka berubah, dan Ward turut berkata bersama peraturan yang telah diperketatkan di pasaran tersebut, pastinya kadar penjualan akan meningkat.

    “Pengguna kini lebih memahami apa yang diperlukan, dan pembuat kereta yang tidak menawarkan waima elemen yang minimum mungkin akan dilabelkan sebagai ‘kegagalan dalam komersial’,” jelasnya lagi.

    Bertentangan dengan laporan penerbitan Inggeris tersebut tidak lama dahulu, di mana CEO General Motors Mary Barra telah mempertahankan pendirian syarikatnya yang tidak meletakkan beg udara bagi sesetengah modelnya yang dijual di Amerika Latin. “Terdapat banyak kes di mana apabila melebihi standard, ia kurang mendapat sambutan memandangkan harganya yang agak tinggi. Jadi orang di sana kurang berkemampuan untuk membelinya. Membuatkan keinginan untuk memiliki kenderaan tidak tercapai,” tegasnya.

     
     
  • Fasa pertama jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang di landasan dijangka mula beroperasi akhir 2016

    mrt sungai buloh

    Perkembangan terkini mengenai fasa pertama projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) bakal menyaksikan jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) antara Sungai Buloh dan Semantan dijangka memulakan operasi pada akhir tahun ini.

    Menurut Pengarah Projek Jajaran SBK Marcus Karakashian, pihaknya sedang menunggu pembukaan fasa pertama pada hujung tahun ini.

    “Kerja-kerja pembinaan trek di pintu masuk sudah siap dan sebuah tren elektrik sedang diuji di landasan antara stesen Sentral dan Surian. Manakala stesen-stesen bawah tanah pula sedang dilengkapi peralatan elektrik dan mekanikal,” katanya.

    Manakala ujian bersepadu berkemungkinan dijalankan pada September.

    Tambahnya lagi, masih ada banyak lagi kerja-kerja pembinaan yang masih perlu disiapkan. Namun mengesahkan fasa pertama ini berlangsung mengikut jadual.

     
     
  • Volkswagen up! dan Polo dapat sistem BeatsAudio baharu – sesuai untuk generasi media sosial

    Volkswagen-up-Beats-Audio-3

    Kerjasama antara pembuat kenderaan Jerman dan pakar audio terkemuka Amerika BeatsAudio, telah menghasilkan sistem audio premium baharu yang dipasang pada dua buah kenderaan. Model facelift Volkswagen up! dan Polo telah menerima padanan sistem bunyi baharu itu, yang disasarkan untuk golongan muda khususnya generasi media sosial. Ia bakal dipamerkan di Geneva Motor Show 2016 minggu hadapan.

    Sistem ini mengandungi tujuh loudspeakers berteknologi tinggi, dua tweeter pada tiang-A, dua woofer di bahagian hadapan, dua broadband loudspeakers di belakang dan subwoofer yang disambung pada bahagian tempat simpanan tayar ganti. Sebagai tambahan, 300-watt, lapan-saluran amplifier dan prosesor isyarat digital juga turut ditampilkan.

    Bukan itu sahaja, terdapat beberapa elemen luaran tambahan turut disertakan. Bagi up!, ia turut dilengkapi dengan pelekat rekaan istimewa “beats”, perumah cermin sisi dengan warna kontras dan rim aloi “Radial” 15-inci. Bahagian dalamnya pula, dipadankan dengan pad pemuka rekaan khas, roda stereng pelbagai-fungsi, plat ambang pintu khas dan tali pinggang keledar berwarna.

    Volkswagen-up-Beats-Audio-8

    Sementara bagi Polo pula, ia didatangkan dengan gril radiator hitam berkilat, pintu cermin berwarna dan rim aloi “Syenit” 16-inci baharu. Pada bahagian dalamnya pula, ia ditambahkan dengan rekaan tempat duduk “beats” khas dan kekemasan panel pintu bersama roda stereng balutan kulit dan tali pinggang keledar berwarna.

    Menurut Ahli Lembaga Pengurusan Kereta Penumpang Volkswagen yang bertanggungjawab dalam Jualan, Pemasaran dan Selepas Jualan, Jürgen Stackmann, “Hampir tidak ada jenama yang menampilkan gaya hidup bagi generasi Facebook seperti ‘Beats’, maka up! baharu ini sangat sesuai untuk hiburan dan mobiliti moden.”

    GALERI: Volkswagen up! beats

    GALERI: Volkswagen up! facelift

     
     
  • 201,686 memandu tanpa lesen pada tahun 2014 dan 2015, termasuk pelajar sekolah – PDRM

    PDRM-4

    Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, sebanyak 201,686 saman atas kesalahan memandu tanpa le­sen telah dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap golongan remaja yang berusia antara 11 hingga 20 tahun yang sebahagiannya dipercayai pelajar sekolah di seluruh negara sepanjang tahun lalu dan 2014.

    Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mahamad Ak­hir Darus berkata, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 99,782 saman telah dikeluarkan, sedikit menurun jika dibandingkan pada tahun 2014 iaitu mencecah 101,904 saman.

    Katanya lagi, berdasarkan saman memandu tanpa lesen mengikut pecahan umur, sebanyak 16,862 saman dikeluarkan kepada remaja berusia 11 hingga 15 tahun sepanjang dua tahun itu sementara 184,824 lagi untuk golongan tersebut yang berumur 16 hingga 20 tahun.

    “Daripada 16,862 saman untuk remaja berusia 11 hingga 15 tahun itu, sebanyak 8,467 saman dikeluarkan pada tahun lalu sementara selebihnya pada tahun 2014.

    PDRM_OPS_PELAJAR2

    “Bagi remaja berusia 16 hingga 20 tahun pula, sebanyak 91,315 saman dikeluarkan untuk tahun 2015 dan 2014 pula sebanyak 93,509,” katanya.

    Manakala bagi ke­salahan memandu tanpa lesen turut dilakukan golongan muda berusia 21 hingga 25 tahun yang menerima sejumlah 158,296 saman bagi tahun lalu dan 2014. Bagi golongan berusia 26 hingga 30 tahun pula menerima 127,798 saman pada kedua-dua tahun itu sementara golongan 31 tahun ke atas mendapat 145,429 saman bagi tempoh yang sama.

    “Keseluruhan saman yang dikeluarkan untuk kedua-dua tahun bagi kesemua golongan itu ialah 633,209 saman,” ujarnya lagi.

    Semalam, media melaporkan PDRM mahu mengemukakan cadangan untuk tidak lagi mengenakan kompaun bagi pemandu yang memandu tanpa lesen, sebaliknya terus mendakwa mereka di mahkamah. Ia adalah sebagai usaha untuk memastikan semua pengguna jalan raya mempunyai lesen memandu dan tidak mengambil mudah tanggungjawab tersebut.

     
     
  • Haval M4 Elite dilancarkan di Malaysia, harga RM73k; Great Wall Motors kini dikenali sebagai Haval

    Haval M4 Elite launch 2

    Haval M4 Elite, yang diberi aksesori tambahan dari model Haval M4 (sebelum ini dikenali sebagai Great Wall M4), telah pun dilancarkan pagi ini. Ia merupakan salah satu bagi varian Haval M4 selain Comfort dan Premium.

    M4 Elite hanya ditawarkan bagi transmisi automatik AMT enam-kelajuan sahaja. Sebaliknya, varian Comfort dan Premium turut ditawarkan dengan transmisi manual lima-kelajuan. Semua varian dijanakan oleh enjin 1.5 liter aspirasi-natural VVT MPI empat-silinder yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 105 hp pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,200 rpm.

    M4 Elite ini tampil dengan beberapa perubahan gaya yang lebih ranggi termasuk menampilkan lampu utama projektor halogen baharu dengan lampu posisi LED serta lampu nyalaan siang (DRL) LED. Ia juga dipadankan dengan gril hadapan haksagon baharu dengan rekaan ‘sarang lebah’ yang lebih bergaya. Selain itu, ia turut dipadankan dengan rim aloi pelbagai-jejari 16-inci yang dibaluti tayar 205/60R16 dan rel bumbung.

    Bagi bahagian kabinnya, ia turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit dengan kombinasi warna merah-hitam, perakam video yang terletak di bawah cermin pandang belakang, sistem navigasi bersama skrin sesentuh dengan pemain DVD dan sambungan Bluetooth, paparan pandangan-sekeliling (AVM), konsol tengah, pembaca SmartTag dan butang kawalan audio pada roda stereng. Tidak seperti varian Premium, Elite tidak disertakan dengan kamera undur (kerana sudah ada AVM).

    Haval M4 Elite launch 20

    Tidak mengenepikan aspek keselamatan, M4 Elite ini turut dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, ESP, kawalan cengkaman, Battery Alert System dan Bantuan Mula Mendaki.

    Kesemua varian M4 ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu merah, oren, hitam, putih, biru dan kelabu. Namun jika para pelanggan mahukan warna yang berbeza dan mengikut citarasa, ia turut menawarkan pakej ‘wrapped’ dengan harga yang akan dimaklumkan kelak.

    Bagi varian M4 Elite, harga (atas jalan tanpa insurans) yang ditawarkan ialah R72,339.41. Manakala bagi varian lain pula, ia berharga (tanpa insurans) RM52,688 (Comfort MT), RM59,519 (Premium MT), RM59,697.69 (Comfort AT) dan RM65,532.33 (Premium AT). Mulai Februari 2016, ia turut ditawarkan dengan waranti pengeluar selama tujuh tahun dengan perbatuan tanpa had.

    Haval M4 Elite launch 40

    Untuk promosi tiga hari ini (26-28 Februari 2016), pembeli M4 Elite juga akan menikmati rebat insurans atau baucer servis sehingga 25,000 km.

    Menurut pengedar eksklusif bagi Great Wall Motors dan kenderaan Haval di Malaysia, GO Auto, mensasarkan jualan sebanyak 1,500 unit bagi M4 Elite di pasaran domestik bagi tahun ini. Kenderaan Haval merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang pemasangan milik GO Auto di Gurun, Kedah.

    GO Auto turut mengumumkan, bagi meneruskan transformasi global GWM, kini GWM Malaysia dikenali sebagai Haval Malaysia. Setakat kini, Haval Malaysia mempunyai dua cawangan dan 19 pusat 3S.

    Foto rasmi Haval M4 Elite

     
     
  • Mazda CX-5 facelift dilancarkan di Thailand

    2016-Mazda-CX-5-facelift-Thailand-launch-1-1-e1456390185340_BM

    Mazda CX5 facelift telah dilancarkan di Thailand, menampilkan rupa paras baharu yang ditingkat taraf serta beberapa teknologi baharu. SUV tersebut datang dengan empat varian iaitu 2.0 C, 2.0 S, XD dan XDL. Varian 2.5 kini telah digugurkan dalam barisan varian CX-5.

    CX-5 2.0 C dan 2.0 S, ia dikuasakan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder Skyactiv-G berkuasa 165 PS dan tork maksima 210 Nm. Varian XD dan varian XDL pula dikuasakan dengan enjin turbodiesel 2.2 liter Skyactiv-D.

    Kesemua varian enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan Skyactiv-Drive yang datang dengan suis penukar mod pemanduan (mod Sport). Hanya varian XDL dilengkapkan dengan sistem pacuan empat-roda sementara varian lain kekal dengan pacuan roda-hadapan.

    2016-Mazda-CX-5-facelift-Thailand-launch-2_BM

    Dapat disaksikan perubahan pada bahagian luaran CX-5 ini melibatkan gril hadapan baharu, lampu hadapan LED baharu, lampu belakang, lampu kabus dan lampu nyalaan siang (DRL). Walau bagaimanapun, untuk varian 2.0 C tiada DRL dan teknologi LED dilengkapkan pada sistem lampu. Varian petrol dipadankan dengan roda bersaiz 17-inci manakala untuk varian diesel, roda bersaiz 19-inci yang lebih besar dipadankan.

    Pada bahagian dalaman pula, semua varian dilengkapi tempat duduk pemandu boleh dilaras lapan-cara dengan larasan power lumbar. Sistem MZD connect Mazda terkini juga dilengkapkan dalam CX-5 ini. Untuk varian diesel, sistem infotaimennya dihubungkan kepada sembilan-speaker Bose dengan sistem surround sound manakala untuk varian petrol hanya enam-speaker dibekalkan.

    Untuk teknologi baharu, hanya varian XDL dilengkapi pakej sistem i-ActiveSense Mazda, yang merangkumi lampu hadapan LED Adaptif (ALH) yang membahagikan cahaya lampu tinggi kepada beberapa unit dan mematikan atau menghidupkan lampu secara individu ketika berselisih dengan pemandu lain. Komponen lain di dalam pakej tersebut termasuk sistem amaran Lane Departure, sistem Lane-Keep Assist, Smart City Brake Support (depan dan belakang) serta Driver Attention Alert.

    2016-Mazda-CX-5-facelift-Thailand-launch-3_BM

    Untuk varian tanpa pakej i-ActiveSense, ia masih lagi dilengkapi dengan sistem Advanced Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, ABS, beg udara, Kawalan Stabiliti Dinamik, Bantuan Mula Mendaki, dan sistem pantauan tekanan angin tayar.

    CX-5 XDL dijual dengan harga 1.69 juta baht (RM199,657), sementara XD dijual dengan harga 1.53 juta baht (RM180,754). Untuk varian diesel ia dijual dengan harga lebih murah dari sebelum ini kerana sistem percukaian baharu Thailand yang berdasarkan kadar emisi C02. Untuk model petrol pula ia dijual dengan harga 1.22 juta baht (RM144,130) untuk varian 2.0 C dan 1.33 juta baht (RM157,126) untuk varian 2.0 S.

    GALERI: Mazda CX-5 2.5L 4WD CKD (spesifikasi-Malaysia)

     
     
  • Yamaha MT-09 2016 bakal dijual di Malaysia mulai Mac ini – warna baharu, dengan tag harga RM45k

    2016-Yamaha-MT-09-Malaysia-8-e1456395232361

    Hong Leong Yamaha telah mengumumkan harga bagi Yamaha MT-09 2016 ialah RM44,653, iaitu tiada perubahan harga dari tahun 2015. MT-09 2016 kini didatangkan dengan dua warna baharu iaitu Grey Night Fluo dan Silver Grey & Race Blu.

    MT-09 turut didatangkan dengan enjin 847 cc tiga-silinder, cecair-penyejuk, DOHC, empat-injap dengan bingkai die-cast aluminium diamond, bersama kotak gear enam-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan ialah 115 hp pada 11,500 rpm dengan tork 87.5 Nm.

    Sistem ABS dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) adalah standard untuk model CBU, tetapi ia tidak dilengkapi pada model pemasangan tempatan (CKD). Aksesori tambahan adalah seperti yang terdapat di dalam katalog Yamaha, termasuklah sistem ekzos titanium dan rear carrier.

    Yamaha MT-09 2016 ini akan boleh didapati di pasaran Malaysia mulai Mac ini. Yamaha turut mengumumkan pengenalan MT-10 dan MT-07 Moto Cage Night Fluo di pasaran UK.

     
     
  • GALERI: Ford S-Max – generasi kedua di bilik pameran SDAC, bakal dilancarkan tidak lama lagi

    Ford S-Max 2nd gen MY-30

    Ford S-Max generasi kedua dijangka bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Model dengan kod nama CD539E ini telah pun dipamerkan di bilik pameran SDAC di Petaling Jaya.

    Seperti mana model terdahulu, S-Max generasi pertama, MPV tujuh-tempat duduk baharu yang diperkenalkan di Paris pada tahun lalu, boleh didapati dengan penjana kuasa 2.0 liter EcoBoost dengan kuasa 240 PS dan 345 Nm yang pada dasarnya tidak berubah dari CD340. Penjana kuasa ini, yang turut menampilkan butang start/stop secara auto, juga dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Bagi pasaran Malaysia adalah model spesifikasi Titanium, di mana ia merupakan varian pertengahan di pasaran United Kingdom, dengan roda 17-inci (dan tayar 235/55) jika diikut pada konfigurasinya, dan model pasaran tempatan ini turut menampilkan unit rekaan unik dengan 10-jejari.

    Kit standard termasuklah sistem hiburan skrin sesentuh TFT lapan-inci dengan SYNC 2, sistem kawalan penghawa dingin elektronik dua-zon dan corong penghawa dingin belakang serta skrin TFT berwarna 10.1-inci pada kluster instrumen.

    Masih tidak lagi spesifikasi didedahkan, tetapi model tempatan ini kelihatan turut menampilkan beberapa elemen daripada senarai pilihannya.

    Termasuklah sistem audio Sony, dengan pertambahan dari empat-speaker ke lapan-speaker. Ia juga ditampilkan dengan kawalan pelarasan automatik tempat duduk hadapan dan tempat duduk balutan kulit pada unit yang dipamerkan pada S-Max di Malaysia yang turut dilengkapi dengan pilihan Titanium X-Pack.

    Di samping tempat duduk balutan kulit sepenuhnya dengan pelarasan 10-cara bagi tempat duduk pemandu dan lapan-cara bagi tempat duduk penumpang hadapan, pek ini juga didatangkan bersama lampu utama adaptif LED bersama pelarasan automatik. Tempat duduk hadapan turut dilengkapi dengan fungsi mengurut, beroperasi menerusi skrin sesentuh lapan-inci.

    Kita akan menantikan bilakan S-Max generasi kedua ini akan dilancarkan secara rasmi di negara kita. Malah harganya juga belum didedahkan, namun kemungkinan di antara RM230-RM240k, yang agak sedikit tinggi berbanding varian generasi pertama.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025