Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda mempatenkan rekabentuk enjin rotari wankel baharu di Amerika Syarikat, mungkin paten SkyActiv-R

    Screen-Shot-2016-04-04-at-10.45.02-AM-e1459737837601_BM

    Setelah produksi Mazda RX-8 dihentikan pada 2011, tiada lagi apa-apa pengumuman dibuat oleh pengeluar kereta dari Jepun tersebut berkenaan model gantiannya. Sehinggalah pada tahun 2015, Mazda menampilkan kereta konsep Mazda RX-Vision, membayangkan generasi seterusnya siri kereta sport berenjin rotari Mazda bersama enjin rotari baharu diberi nama SkyActiv-R. Tetapi perinciannya berkenaan enjin tersebut masih lagi belum diumumkan sehingga kini.

    Walau bagaimanapun, Autoevolution telah menemui fail permohonan paten dari Mazda di pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat, membuktikan usaha pembangunan enjin wankel-rotari generasi baharu berkenaan sedang giat dijalankan.

    Penemuan tersebut menyaksikan enjin rotari baharu Mazda yang berkemungkinan akan membawa nama SkyActiv-R seperti dicanangkan sebelum ini, mempunyai kedudukan port ekzos dan port kemasukan terbalik berbanding enjin rotari Mazda sebelumnya. Kini port ekzos diletakkan di bahagian atas dan port kemasukan pula diletakkan di bahagian bawah berbanding konfigurasi terbalik pada enjin wankel-rotari sebelum ini.

    Susunan semula kedudukan setiap port tersebut akan menambahbaik prestasi enjin rotari Mazda. Posisi port kemasukan yang diletakkan di bahagian bawah membolehkan lebih kemasukan udara kedalam kebuk pembakaran berikutan unit rotor berkenaan yang bergerak lebih jauh kebawah dan ‘mengaut’ lebih udara sebelum port tersebut ditutup. Mazda menggelar jumlah kemasukan udara secara semula jadi yang lebih banyak ini sebagai “efek induksi paksaan dinamik oleh efek inertia” membolehkan letusan pembakaran yang lebih besar berlaku seterusnya meningkatkan prestasi enjin.

    Mazda RX-Vision 14

    Konsep Mazda RX-Vision

    Kedudukan port ekzos yang telah diubah keatas pula membolehkan manifold ekzos diletakkan dibahagian atas dan membolehkan laluan ekzos menjadi lebih pendek, mengurangkan halangan serta menghasilkan lebih kuasa kuda.

    Kedudukan tersebut juga membolehkan pengecas turbo diletakkan dibahagian atas enjin, berbanding enjin 13B RX-7 FD-3S sebelum ini yang menyaksikan pengecas turbo terletak dibahagian bawah. Susunan ini membolehkan enjin diletakkan dengan kedudukan yang lebih rendah, membolehkan titik pusat graviti keseluruhan kereta tersebut juga menjadi lebih rendah, secara tidak langsung memberikan pengedalian yang lebih bagus. Tidak seperti sebelum ini dimana pengecas turbo yang diletakkan hampir dengan crossmember dan komponen lain dibahagian bawah menyebabkan enjin terpaksa diletakkan diposisi sedikit tinggi.

    Rekaan ini juga mungkin mengesahkan kereta sport siri RX seterusnya akan kembali ‘liar’ seperti RX-7 dengan kembalinya pengecas turbo pada enjin rotari Mazda untuk SkyActiv-R ini berbanding enjin Renesis pada RX-8 yang lebih ‘jinak’ tanpa didesak apa-apa induksi.

    Perubahan posisi liang port ini mungkin salah satu inovasi yang dilakukan oleh Mazda dalam pembangunan enjin SkyActiv-R baharu, kerana mereka juga dijangka akan menampilkan teknologi yang lain pada enjin tersebut menjadikannya lebih boleh diharap, serta mempunyai lebih kecekapan bahan api dan mengurangkan emisi. Kereta sport siri RX tersebut dijangka akan membuat kemunculan pertamanya pada tahun 2018, sempena ulangtahun ke-40 RX-7.

    GALERI: Mazda RX-Vision

     
     
  • Kerajaan sedang menyediakan mekanisma untuk teksi, Uber dan Grabcar beroperasi bersama – Menteri

    liow tiong lai

    Dalam usaha untuk membenarkan aplikasi perkongsian kenderaan atas talian seperti Uber dan Grab beroperasi di atas platform yang sama seperti pengusaha teksi, Kementerian Pengangkutan sedang dalam usaha merangka mekanisma kearah itu.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Kerajaan sedang mengkaji pelbagai isu berkaitan servis perkongsian kenderaan ini, termasuk keperluan untuk pemandu servis tersebut untuk mendaftarkan kenderaan mereka, dan mengambil lesen servis kenderaan awam (PSV).

    Liow juga berkata Kementerian sedang mencari jalan untuk mengurangkan masalah pemandu teksi. Contohnya, setiap unit teksi hanya perlu untuk menjalani prosedur pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) selepas setiap enam bulan.

    Taxi Drivers Protest Against GrabCar 6

    “Kerajaan berharap untuk menyelesaikan isu berkaitan Uber dan GrabCar secepat yang mungkin. Saya harap kami mampu untuk mempercepatkannya. Ia sepatutnya tidak memerlukan masa yang terlalu lama,” kata beliau kepada The Star dan The Sun.

    Perselisihan faham antara pengusaha teksi dan pengendali aplikasi perkongsian kenderaan ini menyaksikan pemandu teksi mengambil beberapa tindakan termasuk tindakan undang-undang untuk memastikan suara mereka didengari. Tindakan yang paling drastik diambil oleh kumpulan pemandu teksi ini ialah mengadakan perhimpunan jalanan di sepanjang Jalan Bukit Bintang, menyebabkan laluan tersebut tertutup dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan itu.

     
     
  • Malaysia bakal berunding dengan Brunei untuk pendekkan masa perjalanan darat Kuching ke Lawas

    Pan-Borneo-Highway

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengesahkan Malaysia bakal berunding dengan Brunei untuk mencari kaedah sesuai bagi memendekkan perjalanan dari Kuching ke Lawas berikutan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM16 bilion.

    Katanya, sekarang perjalanan darat dari Kuching ke Lawas dianggarkan 20 jam berikutan adanya pemeriksaan imigresen dan kastam di sempadan Malaysia dan Brunei, laporan Bernama.

    “Kita akan bincang dengan Brunei, bagi cari kaedah untuk memendekkan perjalanan dari Kuching ke Lawas iaitu antara 12 hingga 14 jam,” ujarnya tempoh hari dalam lawatannya ke Sarawak.

    Kini terdapat empat pemeriksaan kastam dan imigresen di sempadan Malaysia-Brunei iaitu di Sungai Tujuh, Miri dan Kuala Belait, Brunei serta Tedungan, Limbang dan Kuala Lurah, Brunei.

    Najib berkata untuk perjalanan dari Kuching ke Miri, masa perjalanan akan dapat dipendekkan daripada 14 jam kepada sembilan jam kalau tidak berhenti-henti setelah projek lebuh raya itu siap kelak.

    Perdana Menteri sekali lagi memberi jaminan projek Lebuh Raya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol kerana ia merupakan laluan utama pengguna jalan raya di negeri ini.

     
     
  • Penang kemuka pelan laluan 30km LRT Bayan Lepas

    lrt-depot

    Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengemukakan pelan bagi laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Menurut laporan The Star, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, Chow Kon Yeow, telah mengesahkan permohonan ini dikemukakan pada 29 Mac lalu untuk laluan LRT pertama di negeri tersebut.

    Projek LRT ini adalah sebahagian daripada Pelan Utama Pengangkutan Penang (PTMP) bernilai RM27 bilion. Ia akan menghubungkan antara Komtar dan Bayan Lepas bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memendekkan jarak perjalanan di antara dua kawasan terbabit.

    Laluan sepanjang 30 km itu akan bermula di bahagian utara pulau berkenaan, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Penang dan berakhir di bahagian selatan pulau. Mengikut perancangan awal, terdapat 27 stesen LRT di sepanjang laluan, malah pada masa hadapan ia akan bersambung dengan laluan bagi monorel dan juga LRT lain.

    Ketua Menteri Penang, Lim Guan End, berkata PTMP ini adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri berkenaan, di samping menambah baik pengangkutan awam lain termasuk teksi, bas, teksi air, feri, kereta kabel dan terbaharu sistem LRT/monorel.

    “Rangkaian pengangkutan awam juga akan ditambah baik dan ia turut melibatkan laluan bagi basikal. Perubahan ini bukan setakat untuk pembangunan ekonomi negeri, ia juga bagi menambah baik Penang sebagai sebuah bandar tumpuan ramai,” ujarnya.

     
     
  • Khairul Idham berjaya membuatkan lagu Negaraku berkumandang di podium Moto3 GP buat pertama kali

    89-pawi_gp_0133_0.big

    Dalam musim pertamanya di Moto3 Grand Prix World Championship, dan hanya dengan perlumbaan ketiganya, Khairul Idham Pawi yang berumur 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia berjaya mengungguli perlumbaan Gran Premio Motul de la Republica Argentina. Sekali gua menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya menaiki podium sebagai juara pusingan di dalam kejohanan tersebut dan membolehkan Jalur Gemilang berkibar dan lagu Negaraku berkumandang buat pertama kali pada sesi penyampaian hadiah dalam siri MotoGP.

    Perlumbaan yang diadakan di litar Termas de Rio Hondo itu menyaksikan ia bermula dalam keadaan basah, dengan Khairul memilih untuk menggunakan tayar kering dan berharap litar akan kembali kering, membolehkan beliau mendapatkan cengkaman terbaik dari permukaan litar.

    Brad Binder yang berasal dari Afrika Selatan mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo memulakan perlumbaan dari petak pertama, di pintas oleh Khairul pada lap pertama dengan kelebihan setengah saat setelah dia hanya bermula di petak ketujuh. Khairul terpaksa bermula di petak ketujuh setelah dikenakan penalti tiga petak kebelakang kerana menunggang terlalu perlahan ketika sesi kelayakan bebas Jumaat lalu.

    Tindakan itu dilakukan oleh Khairul dalam usaha beliau untuk mendapatkan catatan masa yang lebih baik dengan cara mengekori dan ‘belajar’ dari penunggang yang lebih pantas, menjadikan petak keempat yang berjaya diperolehinya ditolak tiga tempat kebelakang.

    Khairul menghabiskan perlumbaan dalam masa 41 minit dan 35.2 saat di hadapan penunggang Sepanyol Jorge Navarro dari pasukan Estrella Galicia 0,0 dan Binder dengan kelebihan 26.1 dan 30 saat. Seorang lagi penunggang negara, Adam Norrodin juga berumur 17 tahun dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team hanya berpuas hati di tempat ke-11.

    Ekoran selepas motosikalnya tergelincir setelah melalui bahagian litar yang masih basah berhampiran garisan penamat semasa pertarungan merebut tempat kedua dengan Navarro. Adam bingkas bangun menolak jenteranya melintasi garisan penamat untuk memastikan tempat ke-11 tersebut.

    Menamatkan setiap lap dengan kelebihan tiga saat secara konsisten meninggalkan kelompok di belakang, prestasi Khairul mendapat pujian dari peminat MotoGP. “Untuk perlumbaan hari ini saya sangat gembira! Ada bahagian yang agak sukar di litar tetapi saya terus mengekalkan masa setiap lap dan kekal sebagai pendahulu perlumbaan. Saya menunggang sepantas mungkin pada lap pertama untuk menjarakkan diri dari pelumba lain,” kata Khairul.

     
     
  • Kemalangan jalan raya 2015 lebih tinggi – JPJ

    Sand lorry Jalan Duta accident 3

    Jumlah kemalangan jalan raya di negara ini menunjukkan peningkatan tahun lepas selepas angkanya turun pada 2014, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Arifin Che Mat.

    Katanya sepanjang tahun lepas, sebanyak 489,606 kemalangan dicatatkan iaitu peningkatan kira-kira 2.8 peratus berbanding 476,196 pada 2014, laporan Bernama.

    “Jumlah kemalangan jalan raya di negara ini terus mencatat peningkatan dalam tempoh enam tahun sejak 2010 kecuali pada 2014 apabila ia turun 0.2 peratus sebelum meningkat semula tahun lepas,” katanya.

    Arifin berkata 414,421 kemalangan dicatatkan pada 2010, meningkat kepada 449,040 kes pada 2011 diikuti 462,423 (2012) dan 477,204 (2013) sebelum turun 476,196 pada 2014.

    “Kes kemalangan maut turut meningkat sebanyak 32 kes atau 0.48 peratus kepada 6,706 kes pada tahun lepas berbanding 6,674 pada tahun sebelumnya,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau berkata JPJ melaksanakan pelbagai program dan kempen kesedaran serta meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan, sekali gus membantu mengurangkan kes kemalangan dan kematian pada masa akan datang.

     
     
  • Lencongan trafik sementara di LDP mulai 4 April

    damansara-puchong-expressway-ldp

    Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) telah mengeluarkan kenyataan hari ini berhubung dengan laluan trafik di persimpangan bertingkat Puchong Jaya, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) akan dilencongkan sementara bagi melancarkan kerja membaik pulih jalan mulai 4 hingga 10 April.

    LITRAK berkata kerja pemulihan jalan di kaki lima akan dijalankan di persimpangan lampu isyarat bagi meningkatkan kemudahan pemanduan, laporan Bernama.

    Kerja pemulihan berkenaan akan memberi kesan kepada pemandu yang datang dari Jalan Puchong (Jalan Klang Lama), Lebuhraya Bukit Jalil dan Puchong Jaya menuju ke persimpangan lampu isyarat berkenaan.

    Papan tanda akan diletakkan bagi memberi panduan kepada pengguna lebuh raya mengenai lencongan trafik berkenaan. Pengguna lebuh raya dinasihat mengikuti arahan papan tanda bagi memastikan lalu lintas yang lancar.

     
     
  • Proton perlu patuhi empat syarat utama untuk terus menerima bantuan kerajaan bagi kelangsungan – MITI

    tokpa-iriz-ev-1

    Selepas membuat keputusan drastik berhubung dengan penukaran pucuk kepimpinan tertinggi Proton Holdings termasuk peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed selaku Presiden Proton, isu ini turut mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Menterinya Datuk Mustapa Mohamed berkata Proton memerlukan masa yang lama untuk berfikir dan seterusnya melakukan tindakan serta kembali kepada pelan perancangan awalnya sewaktu mula beroperasi dahulu.

    Menurut Mustapa, model perniagaan sedia ada Proton tidak mampan dan kerajaan akan membuat pertimbangan sebelum memberikan lebih banyak bantuan. Di mana katanya, sehingga kini lebih RM13 bilion bantuan termasuk geran dan pelepasan cukai telah diberikan kepada Proton sejak 1983, laporan Astro Awani.

    Tegasnya, perlindungan yang selama ini diberikan kepada Proton, harus dihentikan.

    MITI turut mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini termasuk menyebut penguasaan pasaran Proton menurun dari tahap tertinggi 74% pada 1993 ke paras terendah iaitu 15% ketika ini dan Proton tidak mempunyai pasaran yang luas.

    Memetik daripada laporan Berita Harian, Mustapa berkata, “Proton juga menghadapi masalah apabila aset mereka tidak diguna pakai sepenuhnya. Ketika ini syarikat memiliki dua pusat pengeluaran yang beroperasi pada kadar 35% daripada tahap optimum. Keputusan untuk membuka dua pusat pengeluaran mungkin antara kesilapan lampau Proton.

    “Kira-kira tiga tahun yang lalu, Proton hampir menjalin kerjasama dengan syarikat automotif asing terkemuka namun mereka menarik diri pada saat akhir. Sekiranya kerjasama ini terjalin dan berjalan lancar, Proton kini mungkin berada pada kedudukan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Proton LHD Preve to Chile 11

    Beliau menegaskan, untuk kerajaan terus membantu Proton, empat syarat harus dipenuhi. Ini termasuklah mencari rakan asing strategik baru dan pengurusan syarikat yang lebih baik. Selain itu, syarat lain termasuk tiada campur tangan dalam perniagaan.

    Beliau menegaskan, syarat-syarat lain yang ketat juga akan dikenakan untuk kelangsungan Proton pada jangka masa panjang.

    Tambahnya, dengan situasi harga minyak yang rendah, kerajaan tidak mampu untuk meneruskan bantuan kepada Proton.

    Beliau turut dimaklumkan bahawa terdapat tindakan yang tidak profesional dalam membuat keputusan di Proton. Susulan itu, beliau ingin Proton turut melantik kumpulan pengurusan yang lebih sesuai.

    Kenyataan ini dibuat susulan perbincangan antara MITI dan kumpulan pemimpin tertinggi Proton dalam enam bulan lepas tentang masa depan syarikat. Pelbagai pembentangan telah dilakukan oleh pihak Proton kepada Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Pelan penstrukturan semula itu bertujuan meningkatkan kualiti kereta, merancakkan lagi eksport dan menjadikan Malaysia sebagai hab industri automotif di rantau ini.

    “Susulan pengambilalihan Proton oleh DRB-Hicom Bhd pada tahun 2012, pemilik baharunya bertemu saya dan berkongsi pelan penstrukturan mereka untuk menjadikan syarikat automotif ini lebih kompetitif dan strategi untuk meningkatkan eksport. Bagaimanapun, Proton gagal memenuhi kehendak Dasar Automotif Nasional (NAP) 2009 yang menggariskan bahawa ia harus menjalin kerjasama strategik dengan syarikat asing,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

    Beberapa vendor Proton turut menyuarakan masalah. Berikutan itu kerajaan telah menyuntik sebanyak RM100 juta bagi pinjaman mudah bagi mengurangkan beban vendor. Namun disebabkan tahap pengeluaran dan jualan Proton ketika ini, ramai vendor masih berhadapan dengan masalah dan dikhuatiri akan gulung tikar dalam tiga hingga empat bulan akan datang.

    Dalam masa yang sama, kerajaan turut menghormati keputusan Tun Dr. Mahathir yang melepaskan jawatan sebagai Presiden Proton bagi memberikan nafas baharu dan membuka potensi sebenar Proton.

    Empat syarat kerajaan kepada Proton :

    1. Proton perlu segera kenal pasti rakan strategik asing.
    2. Syarikat perlu diuruskan secara profesional.
    3. Tiada campur tangan dalam perniagaan.
    4. Langkah tegas tingkatkan daya saing jangka panjang.

     
     
  • Proton Edar lantik Rohime Shafie sebagai CEO baharu

    rohime-shafie

    Selepas berita pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Proton dan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai Presiden Proton, hari ini Proton Edar turut mengumumkan pelantikan baharu bagi CEOnya.

    Rohime Shafie telah diumumkan sebagai CEO baharu Proton Edar bagi menggantikan Norzahid Mohd Zahudi yang sebelum ini memegang jawatan tersebut sejak Oktober 2014. Sebelum ini Rohime bertanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di Proton Holdings.

    Pada 24 Mac lalu, Dato’ Ahmad Fuaad Mohd. Kenali telah dilantik sebagai CEO baharu Proton bagi menggantikan Datuk Abdul Harith Abdullah, berkuatkuasa 1 April 2016.

    Malah Proton turut melantik Timbalan CEO baharu, iaitu Datuk Radzaif Mohamed, yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi, Pembuatan & Pengedaran Automotif di DRB-HICOM.

     
     
  • Toyota Hilux 2016 dibuka tempahan – dari RM90k

    2016-Toyota-Hilux-preview

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan tempahan bagi Toyota Hilux 2016 telah pun mula dibuka. Walau pun tarikh pelancarannya masih belum diumumkan, namun UMWT telah mendedahkan harga bagi Hilux serba baharu ini, di mana ia lebih rendah berbanding harga yang dijangka.

    Bagi satu-satunya varian single cab iaitu 2.4 4×4 manual, ia ditawarkan pada harga RM89,900. Manakala bagi varian double cab iaitu bermula 2.4 4×2 manual, berharga RN91,900, diikuti dengan 2.4 Standard 4×4 manual pada RM99,900.

    Untuk varian 2.4G 4×4 manual pula berharga RM109,900, manakala 2.4G 4×4 automatik pula RM121,900. Bagi varian spesifikasi tertinggi iaitu 2.8G 4×4 automatik pula ditawarkan pada harga RM133,900. Semua harga yang diumumkan yang diumumkan adalah harga atas jalan dengan insurans.

    2016-Toyota-Hilux-price-list-official

    Klik untuk besarkan imej

    Bagi luarannya, varian Hilux bukan-G didatangkan dengan rim keluli 16- dan 17-inci, manakala 2.4G (manual dan auto) pula menerima rim aloi 17-inci. Bagi varian 2.8G pula menerima rim pilihan 18-inci, termasuk lampu utama projektor LED (varian lain hanya reflektor halogen).

    Pada bahagian dalamnya, ia menampilkan sistem hiburan skrin sesentuh double-DIN 6.1-inci bagi varian G, di samping kemasukan tanpa kunci dan suiz mod pemanduan (Normal, Eco dan Power). Manakala bagi varian 2.4G dan 2.8G (foto dalaman di bawah) menerima tempat duduk pemandu dengan larasan lapan-cara dan tempat duduk balutan kulit upholsterty.

    Bagi varian bukan-G, unit utama double-DIN ditampilkan dengan pemain CD dan hos untuk input. Selain itu, roda stereng teleskopik juga dibaluti kulit.

    2016-Toyota-Hilux-preview-25

    Hanya spesifikasi tertinggi 2.8G automatik 4×4 dan 2.4G automatik 4×4 menerima Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC). Varian 2.8G juga menerima tujuh beg udara, sementara varian lain hanya menerima tiga beg udara. Lampu hadapan projektor LED (dengan lampu nyalaan siang LED) juga hanya dilengkapkan pada varian spesifikasi tinggi sahaja.

    Bagi laluan lasak, pacuan 4WD dan penguncian perbezaan turut ditampilkan bagi semua varian kecual 2.4 4×2 manual. Selain itu Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC), VCS dan Bantuan Mula Mendaki pula adalah elemen standard bagi 2.4G dan 2.8G sahaja.

    Jadi apa pendapat anda tentang harga yang ditawarkan untuk Hilux serba baharu ini? Dan varian manakah yang menarik perhatian anda? Atau pun anda lebih tertarik dengan trak pikap lain termasuk Ford Ranger, Mitsubishi Triton dan Nissan NP300 Navara?

    GALERI: Toyota Hilux 2016 2.8G 4×4 A/T pra-tonton di siri jelajah Toyota WOW 3

     
     
  • Renault Megane RS generasi seterusnya – hatchback lima-pintu, 300 hp, AWD, sistem stereng semua roda

    Renault_Megane_IV_025

    Perincian berkenaan Renault Megane RS generasi seterusnya akhirnya telah muncul. Sumber dari Renault Sport mendedahkan kepada Auto Express, Megane RS baharu kelak adalah sangat berbeza dari model sebelum ini dengan menampilkan kuasa lebih dari 300 hp, sistem stereng semua roda dari Megane GT (gambar diatas) dan hanya hadir dengan varian hatchback lima-pintu.

    Dengan mensasarkan Ford Focus RS sebagai saingan utama, sumber berkenaan menyebut Renault Sport sedang giat berusaha mengekstrak lebih kuasa dari enjin empat-silinder 2.0 liter turbo model tersebut. Megane RS sedia ada mempunyai kuasa setinggi 275 hp, dan generasi seterusnya dikatakan mampu untuk menjana lebih dari 300 hp dalam usaha mereka untuk menyaingi Ford Focus RS.

    Hatchback berprestasi tinggi dari Renault Sport ini juga bakal dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dan juga sistem stereng semua roda. Untuk sistem transmisi, ketua Reanult Sport, Patrice Ratti, sebelum ini mendedahkan Megane RS baharu ini akan dilengkapi dengan dua pilihan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau kotak gear klac berkembar EDC auto enam-kelajuan diambil dari Clio RS. Ini akan menyaksikan pertarungan antara Megane RS dan Honda Civic Type-R terhenti setakat ini dengan Megane naik ke persaingan kategori pacuan empat roda menentang Ford Focus RS dan Volkswagen Golf R manakala Civic-R kekal sebagai kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas dalam kategorinya.

    Akhir sekali, walaupun Megane RS buat masa ini hanya hadir dalam model hatchback tiga pintu, sumber tersebut mengesahkan Megane RS selepas ini hanya dijual dalam bentuk badan hatchback lima-pintu, dengan varian tiga-pintu digugurkan terus dalam barisan model. Megane RS ini dilaporkan akan membuat penampilan sulungnya pada suku kedua 2017, dijual pada harga sekitar 30,000 pound sterling (RM168k).

    GALERI: Renault Megane IV GT

     
     
  • VIDEO: ‘Pendengar Enjin’ Ford khas untuk Focus RS

    Proses produksi Ford Focus RS memerlukan sebuah dari sekumpulan enjin empat-silinder 2.3 liter EcoBoost diambil dijadikan sampel untuk ujian bunyi. Seperti dalam video di atas, Ford kini melatih pasukan “pendengar enjin” untuk memastikan enjin yang dipasang pada Focus RS tersebut berada ditahap prestasi terbaik.

    “Pasukan ini tahu bagaimana bunyi sebuah enjin yang telah ditala dengan sempurna dan mereka juga tahu jika terdapat bunyi yang kecil disebabkan ada masalah yang terjadi,” kata Gunnar Herrmann, naib presiden kualiti Ford Eropah. “Mereka seperti doktor yang mempunyai teknologi diagnostik termaju tetapi masih menggunakan stetoskop untuk mendapatkan petunjuk yang pasti tentang kesihatan pesakit,” tambah beliau.

    Juan Carlos, juruteknik kualiti dan penguji enjin produksi di kilang Ford Valencia, adalah salah seorang “pendengar enjin” berkenaan. Di dalam bilik khas istimewa untuk proses tersebut, Carlos menjelaskan “Operator dapat rasa, dan mendengar enjin tersebut. Mereka dapat rasakan dan membuat penilaian pada sesebuah enjin sama ada ia lulus ujian dan seterusnya diterima oleh pelanggan dengan tahap kualiti yang mereka berhak dapat.”

    “Enjin ini amat menakjubkan, ia menghasilkan bunyi yang hebat semasa ujian. Ia kelihatan seperti enjin tersebut mahu melepaskan diri kerana kuasanya,” Carlos menjelaskan bunyi tertentu yang dia jangkakan semasa setiap ujian yang dijalankan. Beliau juga menjelaskan proses mendengar enjin ini adalah penting untuk memastikan setiap enjin berfungsi dengan sempurna, dan menepati sasaran.

    Enjin 2.3 liter EcoBoost ini menghasilkan kuasa 350 PS (unit yang sama menjana Mustang S550), dan tork dicatatkan pada 440 Nm. Dengan fungsi overboost, tork setinggi 470 Nm mampu dilepaskan dalam masa 15 saat. Kuasa yang dihasilkan enjin ini membolehkan Focus RS memecut dari sifar hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat.

    Focus RS menampilkan empat-mod pemanduan iaitu Normal, Sport, Track dan Drift. Fungsi-fungsi mod pemanduan ini akan dijelaskan oleh Ben Collins, pemandu profesional dan ‘The Stig’ asal dari siri TV Top Gear, menerusi video di bawah.

     
     
  • MRT: Penutupan sepenuhnya di Lebuhraya Cheras-Kajang pada waktu malam selama sebulan

    MRT_CHERAS

    Beberapa penutupan lorong sepenuhnya akan dilaksanakan di Lebuhraya Cheras-Kajang selama sebulan mulai hari ini, 1 April 2016, bagi kerja-kerja pembinaan projek MRT.

    Menurut laporan Bernama, kerja-kerja penyelenggaran ini melibatkan kilometer 14.4 hingga 14.8 bermula jam 10 malam hingga 5 pagi. Sepanjang penutupan tersebut, sebanyak empat lorong sedia ada akan dikurangkan menjadi dua lorong untuk kedua-dua arah Kuala Lumpur dan Kajang.

    Satu lagi penutupan selama sebulan akan dilaksanakan di laluan susur 702 dan 703 (arah Kajang dan Kuala Lumpur) untuk kerja-kerja pembinaan di stesen MRT Suntex dan Sri Raya iaitu kerja-kerja mengecat. Manakala penutupan di susur 702 ke Hulu Langat pula bagi pemasangan pembentungan paip, dan juga kerja-kerja pembaikian di stesen Suntex.

    Satu lagi makluman, penutupan jalan di kilometer 14 hingga 14.7 selama tujuh hari mulai hari ini bagi kerja-kerja mengecat tanda lorong. Manakala satu penutupan lorong jangka masa pendek pula akan dilaksanakan di Jalan Kuala Selangor (arah-Subang dan arah-Kepong) akan bersambung selama 14 hari, mulai esok 2 April 2016. Penutupan ini bagi kerja-kerja mengecat di stesen MRT Subgai Buloh, akan dilakukan dari jam 11 malam hingga 5 pagi.

     
     
  • Proton tiada beza tanpa Tun M, kata Hamzah

    tun-mahathir-alami-proton

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Proton tidak akan terjejas setelah pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai pengerusi syarikat pengeluar kereta nasional tersebut. Kenyataan beliau itu telah dilaporkan oleh The Star.

    “Operasi syarikat tersebut dijalankan oleh pentadbiran dan ahli lembaganya. Jadi bukan menjadi masalah siapa pengerusinya,” kata Hamzah. “Mungkin beliau telah sedar sudah sampai masanya untuk beliau melepaskan jawatan tersebut kepada orang lain.”

    Apabila ditanya adakah kepimpinan baharu Proton akan mengubah pandangan negatif orang ramai terhadap syarikat berkenaan, Hamzah berkata ia mungkin boleh kearah kedua-duanya. “Mereka yang masih di dalam Proton berfikir ia baik untuk syarikat,” dakwa beliau. Menteri berkenaan menyimpulkan, dipengaruhi politik atau tidak, telah tiba masanya untuk Tun Dr Mahathir meninggalkan Proton.

    Petang semalam, Proton mengumumkan pengerusinya, Tun Dr Mahathir, meletakkan jawatannya serta merta. Bekas Perdana Menteri itu dikatakan menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Datuk Seri Syed Faisal Albar, pengarah urusan kumpulan DRB-Hicom.

    “Kami menghormati niat beliau untuk mengundurkan diri; kami mahu menyatakan penghargaan yang tidak ternilai terhadap sumbangan, komitmen, dan dedikasi beliau sebagai Pengerusi sejak 2014 dan juga Penasihat sejak 2003,” melalui kenyataan dari Proton. “Kami juga ingin menyampaikan rasa terima kasih kami dan mengiktiraf peranan Dr Mahathir sebagai pencipta syarikat pengeluar kereta nasional.”

    Tidak dapat dipastikan lagi sama ada tindakan mengejut yang diambil Tun M ini ada kaitannya atau tidak dengan laporan yang ditulis oleh The Straits Times minggu lalu. Penerbit dari Singapura tersebut melaporkan pergolakan politik antara Tun M dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin menjejaskan Proton dalam permohonan mereka mendapatkan dana segera RM1.5 billion dari kerajaaan.

     
     
  • ETCM umum kenaikan harga untuk model Nissan

    Nissan-Teana-2.0XL-24

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar tunggal kenderaan Nissan di Malaysia hari ini mengumumkan kenaikan harga untuk beberapa model terpilih. Kenaikan harga itu melibatkan sebanyak 2.8% hingga 6.7% berkuat-kuasa 1 April 2016.

    Kenaikan harga hanya melibatkan empat model CKD iaitu Almera, Grand Livina, X-Gear dan Teana 2.0. Walau bagaimana pun, keputusan kenaikan harga ini tidak melibatkan empat lagi model Nissan iaitu Serena S-Hybrid, X-Trail, NP300 Navara dan NV200, di mana harganya masih kekal seperti sedia ada.

    Screen Shot 2016-04-02 at 8.04.17 PM

    Keputusan untuk menaikkan harga ini berikutan kemerosotan nilai Ringgit yang memberi kesan besar ke atas kos operasi keseluruhan syarikat. Walau bagaimana pun ETCM sentiasa mencari jalan dan menilai peluang untuk mengekalkan harga kenderaan Nissan seperti sekarang demi kepentingan para pelanggannya. Malah, ia menjadi antara syarikat automotif terakhir yang menaikkan harga kenderaan.

    Bukan itu sahaja, ETCM telah mengambil langkah rasionalisasi kos dan menilai semua operasi rantaian bekalan secara keseluruhan untuk mengurangkan kesan kemerosotan nilai Ringgit.

    Mengulas mengenai kenaikan harga tersebut, Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr Ang Bon Beng berkata, “Berikutan tekanan berterusan akibat kemerosotan nilai Ringgit sejak beberapa bulan lalu, ETCM telah melaksanakan beberapa langkah perlu untuk mengurangkan impak tersebut. Namun, oleh kerana tukaran wang asing yang tidak memberangsangkan dan peningkatan kos operasi yang berlanjutan, harga beberapa model terpaksa dinaikkan.”

    Dalam masa yang sama, ETCM tetap memberikan jaminan untuk terus menawarkan produk dengan nilai tambah dan kualiti khidmat pelanggan paling tinggi sebagaimana yang diharapkan oleh pengguna.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025