Mercedes-Benz Malaysia secara rasmi telah melancarkan model elektrik terbaru mereka, Mercedes-Benz G580 dengan EQ Technology, yang merupakan versi elektrik kepada SUV ikonik G-Class. Model ini pertama kali diperkenalkan sebagai EQG Concept lebih tiga tahun lalu dan kini tampil dalam bentuk produksi sebenar.
Meskipun G580 masih dibina berasaskan ladder-frame seperti G-Class versi enjin pembakaran dalaman, struktur casisnya telah diperkuat bagi menampung bateri lithium-ion berkapasiti 116 kWh. Bateri ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 200 kW, membolehkan ia dicas 10%-80% dalam masa hanya 32 minit. Untuk pengecasan AC biasa pada kadar 11 kW, masa yang diperlukan untuk mengecas 10%-100% adalah sekitar 11.77 jam. Apabila dicas penuh, ia boleh bergerak sehingga 473 kilometer (WLTP).
Model ini dipacu oleh empat motor elektrik — dua di bahagian hadapan dan dua di belakang — dengan setiap motor mempunyai transmisi dua kelajuan yang membolehkannya berfungsi seperti sistem gear rendah dan tinggi pada kenderaan 4×4 biasa. Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa 587 PS (432 kW) dan tork 1,164 Nm. Sebagai perbandingan, Mercedes-AMG G63 dengan enjin V8 4.0 liter biturbo menghasilkan 585 PS dan tork 850 Nm.
Melihat kepada harga, G580 ditawarkan pada RM958,888 atas jalan tanpa insurans, iaitu hampir 51% lebih rendah berbanding G63 yang berharga RM1,948,888. Perbezaan harga ini disebabkan oleh insentif kerajaan terhadap kenderaan elektrik diimport sepenuhnya (CBU).
Dari aspek prestasi, G580 mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, sedikit perlahan berbanding G63 yang mencatat 4.4 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 180 km/j berbanding 240 km/j pada G63. Menariknya, Mercedes turut memperkenalkan fungsi G-Roar bagi meniru bunyi enjin V8 agar pengalaman pemanduan tetap mengujakan walaupun tanpa enjin pembakaran dalaman.
Salah satu ciri unik G580 ialah keupayaannya melakukan G-Turn, iaitu pusingan setempat sehingga 720 darjah yang boleh dilakukan di permukaan licin atau tidak berturap, apabila kenderaan berada dalam mod ‘Rock’ dan gear rendah diaktifkan. Selain itu, terdapat juga fungsi G-Steering yang membolehkan kenderaan membuat pusingan tajam 90 darjah menggunakan roda belakang sebagai paksi, sangat berguna dalam ruang sempit. Namun, kedua-dua fungsi ini hanya boleh digunakan dalam keadaan dan kelajuan tertentu, dengan had maksimum 25 km/j.
Bagi mereka yang ingin menggunakan G580 untuk aktiviti offroad, Mercedes menyediakan fungsi pemanduan ‘crawl’ pintar apabila gear rendah diaktifkan. Pemandu boleh mengawal kelajuan merangkak ini menggunakan pedal penukar gear di stereng, bermula serendah dua km/j bergantung pada keadaan laluan.
Dari segi keupayaan offroad, G580 menawarkan jarak kelegaan tanah 250 mm, sudut menjunam 32 darjah dan sudut mendaki 30.7 darjah. Meskipun sudut ‘breakover’ sedikit rendah, pada 20.3 darjah berbanding G-Class biasa (26 darjah), G580 menebus kekurangan ini dengan keupayaan meredah air sedalam 850 mm — iaitu 150 mm lebih tinggi berbanding varian G-Class dengan enjin biasa.
Untuk rekaan, G580 masih mengekalkan rupa asas G-Class tetapi menerima beberapa sentuhan khas sebagai model elektrik. Antaranya termasuk gril depan berlampu dengan jalur hitam berkilat serta lampu utama bulat dengan kemasan hitam sekeliling. Bahagian apron bawah pula dilengkapi dengan kemasan berbentuk empat segi, manakala bonet kelihatan sedikit lebih tinggi. Elemen lain termasuk salur udara khas pada lengkung tayar belakang dan kotak simpanan pengecas di bahagian belakang.
Reka bentuk dalaman mengekalkan susun atur seperti G-Class biasa, namun dilengkapi dengan paparan dan kawalan baru pada bahagian Offroad Cockpit yang terletak di antara corong penyaman udara tengah. G580 menggunakan sistem pengagihan tork sebagai pengunci differential maya, maka tiada butang khas untuk pengunci differential mekanikal. Varian G580 yang ditawarkan di Malaysia hadir dengan pakej Superior Line yang merangkumi papan pemuka balutan kulit Nappa, kemasan gentian karbon AMG dan pelapik bumbung Microcut berwarna hitam.
Ciri standard lain termasuk sistem suspensi adaptif, mod pemanduan Electric Dynamic Select, pakej Night, bumbung suria, rim AMG 20 inci, pemijak tepi, panel tepi pintu bercahaya, lampu utama Multibeam LED yang digelapkan, stereng kulit Nappa, lampu suasana, sistem Keyless-Go, balutan kulit Nappa hitam, tali pinggang Manufaktur berwarna kelabu magma dan pemegang tangan dengan ukiran tulisan Manufaktur.
Pada bahagian teknologi dan keselamatan, G580 hadir dengan sistem infotainmen MBUX lengkap dengan paparan tambahan untuk penumpang belakang, sistem audio Burmester serta pelbagai sistem bantuan pemandu. Antaranya termasuk Active Parking Assist dengan Parktronic, Lane Keeping Assist, sistem Pre-Safe, Guard 360, Blind Spot Monitoring, Active Distance Assist Distronic dengan bantuan stereng, kamera 360 darjah, Adaptive Highbeam Assist Plus dan navigasi MBUX Augmented Reality.
Mercedes-Benz Malaysia turut menawarkan versi edisi khas yang dinamakan G580 Edition, dijual pada harga RM998,888. Model ini tampil dengan tiga pilihan warna eksklusif Manufaktur iaitu South Sea Blue Magno, Opalite White Magno dan Classic Grey Solid. Versi ini juga menerima jalur pelindung luaran warna dan angkup brek berwarna biru, pemegang pintu dengan huruf ‘G’ timbul serta lampu ke arah lantai yang memaparkan tulisan ‘G – Stronger Than Time’.
Ruang dalamannya pula menampilkan gabungan kulit Nappa perak mutiara dan hitam, pemegang tangan berbalut kulit, kemasan gentian karbon biru, jahitan biru pada stereng serta karpet AMG yang turut dijahit dengan benang biru, menambahkan lagi elemen eksklusif kepada model ini.