Search in Bahasa Malaysia:

  • Mitsubishi Triton Athlete tampil di Thai Motor Expo

    Mitsubishi Triton bakal melakukan penampilan khas di Thailand Motor Expo yang akan berlangsung pada minggu hadapan, dengan varian baharu, Athlete, diperkemaskinikan bahagian dalaman dan luaran. Ia melibatkan perubahan kosmetik yang agak besar, namun masih mengekalkan penjana kuasa yang sama seperti sebelum ini, dengan imejnya telah didedahkan oleh Headlight Magazine.

    Semua varian bagi Triton Athlete Special Edition pasaran Thailand ini bakal dijanakan oleh enjin diesel 2.4 liter 4N15 MIVEC dengan variable geometry turbocharger dan intercooler, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 181 hp pada 3,500 rpm dan tork 430 Nm pada 2,500 rpm. Transmisi pula sama ada menerusi kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik lima-kelajuan.

    Untuk bahagian luarannya, bahagian hadapan Triton Athlete dilengkapi dengan gril sarang lebah bersama jaluran hitam. Malah bampar hadapan juga menerima jaluran hitam-jingga di hadapannya dan kekemasan hitam di dalamnya yang ditampilkan bersama lampu kabus. Gerbang roda hadapannya dan perumah cermin sisi juga ditampilkan dengan rona hitam.


    Tiga palang sport yang sama dengan warna badan juga terpasang di bahagian luaran dan ini termasuklah liner bagi tailgate. Bampar belakang juga ditampilkan dengan kekemasan hitam dan jingga, malah warna yang sama turut menghiasi pelekat yang ditampal pada sisi bawah pada pintu dan juga sisi palang sport.

    Bagi bahagian dalamanya pula, sekali lagi warna hitam dan jingga menjadi pilihan dan ini jelas kelihatan pada semua tempat duduk kulit upholstery. Begitu juga dengan roda stereng, tombol gear, panel pintu dan kotak storan konsol tengah yang turut ditampilkan dengan jahitan jingga. Selain itu, Untuk tempat duduk pemandu, ia disertakan dengan larasan elektronik lapan-hala. Elemen unik dan khas bagi varian Athlete yang turut ditampilkan termasuklah corong pendingin hawa, panel konsol tengah, kekemasan roda stereng dengan kekemasan logam.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan unit skrin sesentuh bersama sambungan Apple CarPlay dan Android Auto untuk telefon pintar. Lain-lain perincian dan harganya hanya akan didedahkan sepenuhya ketika pelancaran acara Motor Expo ini.

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT Adventure X di Malaysia

     
     
  • Toyota Rush 2018 buat kemunculan sulung global di Indonesia – 1.5L Dual VVT-i, tujuh-tempat duduk

    Baru saja kami siarkan teaser sebentar tadi, khabar terbaharu yang diterima dari Indonesia, Toyota Rush 2018 sudahpun membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global di negara berkenaan hari ini. Seperti yang anda telah tengok pada imej teaser dan juga imej yang bocor di internet sebelum ini, Rush generasi baharu berkenaan nampaknya diberikan imej yang berbeza sedikit dari generasi sebelumnya.

    Jika sebelum ini Rush dilihat seperti SUV kompak sebenar, model generasi baharu ini menampilkan rupa sebuah MPV yang diberi penggayaan seperti SUV – prinsip rekaan yang hampir serupa dengan Honda BR-V dan juga Mitsubishi Xpander. Seperti juga sebelumnya, Rush turut akan dipasarkan di Indonesia dengan jenama Daihatsu selepas ini, di bawah nama Terios.

    Model generasi baharu ini dijana enjin baharu 2NR 1.5 liter DOHC – enjin dari siri yang sama pada Perodua Myvi 2018 dan juga Toyota Avanza generasi terkini. Namun, unit dengan teknologi Dual VVT-i pada Rush ini ditala untuk mengekstrak kuasa 104 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan pilihan sama ada kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik.

    Seperti juga MPV-SUV mampu milik lain yang disasarkan untuk pengunaan di Indonesia seperti BR-V, Xpander dan Suzuki Ertiga, Rush menampilkan ruang kelegaan tanah yang agak tinggi dengan 220 mm – membuatkan ia kelihatan lampai.

    Untuk memudahkan anda membayangkan tinggi dan dimensi lain MPV-SUV ini, Rush mempunyai kelegaan tanah 19 mm lebih tinggi dari BR-V, manakala panjang 4,435 mm dan lebar 1,695 mm Toyota ini membuatkan ia 18 mm lebih pendek dan 40 mm lebih lebar dari saingannya tersebut. Manakala dengan dimensi 2,685 mm, Rush mempunyai jarak roda 23 mm lebih jauh dari BR-V.

    Rush pasaran Indonesia nampaknya hadir dengan spesifikasi yang agak tinggi. Untuk keselamatan, model ini didatangkan standard untuk semua varian dengan enam-beg udara, VSC, ABS, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan dan juga peringat tali pinggang keledar untuk kesemua tujuh-tempat duduk.

    Selain itu, Rush juga diberikan lampu hadapan LED dengan lampu panduan, lampu belakang LED, roda steering boleh laras, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kamera undur dan juga lapan buah pembesar suara – kesemua ini turut diberikan standard untuk semua varian.

    Berbanding model G, versi TRD Sportivo akan dibezakan dengan penambahan papan pemuka dua-tona dengan material sentuhan-lembut, skrin sesentuh DVD-AVX tujuh-inci bersama sistem Miracast, Weblink serta sokongan Bluetooth dan Waze, paparan pelbagai info berwarna, penghawa dingin automatik dengan paparan digital serta pengecas USB pada semua barisan tempat duduk.

    Model TRD Sportivo ini juga tampil lebih garang dengan pemadanan pelindung bawah pada bahagian hadapan dan belakang, perumah lampu kabus lebih menonjol dan juga kemasan sisi tambahan. Model varian tertinggi ini juga menerima rim aloi 17-inci, berbanding model G yang hanya diberikan rim 16-inci.

    Walau bagaimanapun, Toyota masih lagi belum mendedahkan harga Rush generasi baharu ini dan ia hanya diumumkan pada tahun hadapan. Di Malaysia, Rush pernah dijual oleh UMW Toyota, malah Daihatsu Terios turut pernah dihasilkan dalam bentuk Perodua Kembara dan Perodua Nautica.

    Dengan spesifikasi yang ditawarkan pada model generasi baharu ini, Rush dijangka bakal memberikan cabaran yang sengit untuk BR-V di Indonesia. Jika ia di bawa ke Malaysia dengan harga yang tepat, ia tentu juga bakal menggugat pasaran SUV-MPV dari Honda berkenaan. Apa pula pendapat anda?

     
     
  • Proton Savvy 18 – rekaan konsep lanjutan pereka asal

    Ketika ini, tentunya kita sudah biasa dengan kerja-kerja rekaan digital yang dihasilkan oleh Saharudin Busri yang bertugas di Pusat Rekaan MIMOS. Sekadar mengingat kembali, beliau pernah mengasilkan beberapa rekaan model-model Proton yang dibayangkan semula, seperti Suprima X dan Suprima R.

    Terbaru, beliau menghasilkan pula rekaan konsep bagi semua model kompak Proton yang unik sebelum ini, Proton Savvy Concept. Dan, model Savvy bukanlah terlalu asing buat beliau; ketika model berkenaan dibangunkan kira-kira 15 tahun lalu, Saharudin bertindak selaku ketua pereka untuk model berkenaan ketika itu.

    Jadi, rekaan konsep yang sedang kita tatap ini bolehlah dianggap sebagai kesinambungan kepada rekaan lama yang pernah dihasilkan dulu. Paling penting, rekaan ini merupakan imajinasi terbaru pereka asalnya terhadap bagaimana model Savvy perlu hadir di masa akan datang.

    Pendekatan rekaan konsep terbaru ini cuba membawa imej “Sporty & Sexy” pada Savvy, yang sejak dulu memang disasarkan untuk pengguna muda-mudi dari generasi baru kini – ia dihasilkan agar mampu melengkapi unsur kepantasan dan gaya ranggi yang tersendiri.

    Beliau menamakan rekaan ini Savvy 18; dengan harapan Proton akan dapat kembali seperti pada zaman kegemilangannya pada tahun 2018 dengan kerjasama Geely. Ia semacam satu tribute dan sekaligus sebagai sebuah harapan beliau kepada jenama Proton.

    Rekaan konsep ini masih mengekalkan identiti dan unsur-unsur utama yang ada pada Savvy asal dahulu yang kemudiannya diterapkan dengan pendekataan rekaan yang lebih segar dan baru. Bentuk V yang ada pada bahagian logo hadapan dan belakang rekaan ini adalah karektor utama Savvy yang masih dikekalkan. Garis bahagian sisinya pula memberikan penampilan yang lebih tajam dan sporty yang diingini.

    Satu lagi unsur penting Savvy yang masih ditampilkan pada rekaan ini ialah sambungan garis yang bermula dari bahagian hud depan yang menyambungkan garis krom di depan dengan kemasan krom pada bahu sisi kereta ini. Dan, tak lupa juga kedudukan ekzos yang berada ditengah – semua ini ada pada rekaan asal Savvy lama.

    Sentuhan baru yang diberikan pula ialah seperti pada bahagian A-pillar krom dengan rekaan ala cabriolet untuk mendapatkan garis bumbung coupe – lebih mewah dan bergaya. Untuk bahagian depan, lampu-lampunya disorok sedikit; lampu utama yang nipis tak jauh dari ruang masukan udara sisi, dengan lampu DRL yang bersambung dengan kemasan garis krom antara menjadi kelainan utama. Lampu belakang pula menggunakan elemen sports car – nampak macam 3D dan lebih moden.

    Imej keseluruhannya adalah ringkas dan bersih, dengan warna dua tona antara badan kereta dan bumbungnya untuk menyuntik imej sporty. Nampak meyakinkan atau sebaliknya? Kalau anda ada apa-apa pandangan, sila kongsikan.

     
     
  • Toyota Rush 2018 – imej rasmi disiarkan di Indonesia

    Toyota Indonesia telah menyiarkan imej rasmi bagi Toyota Rush 2018, dan ia dimuat naik sebagai gambar utama laman Facebook syarikat tersebut. Satu gambar penuh kenderaan tersebut kemudiannya diikuti pula oleh gambar teaser lampu belakang yang diletakkan dengan tajuk “cutting edge vehicle illumination system”.

    Toyota Rush ini juga dikenali sebagai Daihatsu Terios di beberapa pasaran lain, dan sebelum ini, gambarnya pernah bocor sebelum pelancaran di Indonesia. Gambar rasmi yang disiarkan oleh Toyota Indonesia ini mengesahkan Rush 2018 sudah beralih lebih kepada sebuah MPV berbanding sebelum ini sebuah SUV. Ada juga bahagian yang kelihatan seperti daripada Toyota Fortuner.

    Maklumat yang tersebat mengatakan Rush 2018 akan dilengkapi dengan lampu utama bi-beam LED reflector, lampu siang LED berbentuk L, lampu belakang LED dan lampu LED di bawah cermin sisi. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Toyota pada tajuk gambar teaser tersebut.

    Dua varian Rush 2018 sudah pernah dilihat sebelum ini iaitu G dan TRD Sportivo. Sebagai tambahan kepada kelengkapan yang dinyatakan tadi, varian G mendapat fungsi enjin start/stop dan pengawal suhu manual digital dengan fungsi memori, manakala TRD Sportivo mendapat pengawal suhu automatik, bahan lembut pada papan pemuka dan sistem masuk tanpa kunci.

    Kedua-dua varian mendapat kamera undur, pengesan undur dan sistem informasi dan hiburan dengan skrin tujuh inci, manakala varian lebih tinggi, boleh disambung dengan peranti yang mempunyai sistem NFC, berserta sistem bunyi lapan pembesar suara. Di dalam kenderaan ini terdapat tiga tempat mengecas peranti elektronik.

    Untuk pemandu, terdapat stereng pelbagai guna yang boleh dilaras, panel instrumen analog serta paparan informasi digital. Bagi aspek keselamatan pula, ia dilengkapi dengan ABS, EBD, VSC, Hill-start Assist dan enam beg udara – lebih dua beg udara tetapi tiada kamera 360 darjah.

    Di sini, kita juga boleh melihat bahagian dalam Rush 2018, hasil daripada Rockomotif. Untuk yang di dalam gambar ini, skema warna dua tona krim dan hitam digunakan, bersama kemasan yang kelihatan seperti besi pada roda stereng dan keliling tombol gear. Panel istrumen kelihatan seperti daripada Innova dan Fortuner.

    Harga Toyota Rush 2018 di Indonesia masih lagi belum disahkan, tetapi Rockomotif mengganggarkan ia berada di sekitar 250 hingga 300 juta Rupiah (RM76,111 hingga RM91,333). Jumlah ini juga dikatakan meningkat sebanyak 10-15 juta Rupiah (RM3,044 hingga RM4,566) berbanding model sebelum ini.

     
     
  • Bilik pameran Volvo Sisma Auto secara rasminya dibuka – tawar khidmat jualan di Bukit Bintang

    Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini melancarkan bilik pameran terbaharunya di Kuala Lumpur yang dimiliki oleh Sisma Auto. Bilik pameran Volvo pertama di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ini terletak di tingkat bawah Menara Worldwide, Jalan Bukit Bintang dan dilancarkan sendiri oleh pengarah urusan VCM, Lennart Stegland bersama pengarah urusan Sisma Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim.

    Seperti juga bilik-bilik pameran Volvo baharu yang lain, premis Sisma Auto ini turut diberikan konsep Volvo Retail Experience (VRE) – tampil dengan persekitaran perniagaan yang serba mewah dengan elemen reka bentuk Scandinavia.

    Fasiliti terbaharu ini mampu untuk mempamerkan lebih dari enam buah kereta pada satu-satu masa, dan turut disediakan dengan kemudahan lain seperti lounge, studio bagi pelanggan memilih kemasan dan aksesori untuk kereta baharu mereka, ruang penghantaran tertutup, dan juga ruang jualan barangan dan cenderamata Volvo.

    Namun, bilik pameran di Kuala Lumpur ini tidak mempunyai khidmat selepas jualannya sendiri dan pusat servis bertauliah Volvo milik Sisma Auto terletak di Glenmarie, Shah Alam. Tetapi fasiliti di Bukit Bintang ini masih lagi mempunyai kaunter servisnya sendiri, di mana pemilik boleh menghantar kereta di sini, seterusnya Sisma Auto akan menguruskan urusan lain untuk menservis kereta berkenaan.

    Bagi pelanggan yang tidak sempat untuk menghantar kereta mereka bilik pameran mahupun terus ke pusat servis di Shah Alam, Sisma Auto turut menawarkan Concierge Service iaitu perkhidmatan mengambil dan menghantar semula kereta tersebut sama ada di rumah atau di pejabat pelanggan. Servis ini disediakan untuk semua pelanggan sekitar Lembah Klang.

    “Kami begitu bangga kerana dapat menyertai rangkaian Volvo, jenama yang nyata sedang meningkat selepas melancarkan barisan model baru yang mengagumkan dari XC90 hinggalah S90 T8 Twin Engine baru. Dengan adanya bilik pameran baru ini, kami berhasrat untuk membawakan pengalaman Volvo kepada mereka yang tinggal atau bekerja ibu kota,” kata Syed Khalil.

    Sempena pembukaan bilik pameran baru ini, SISMA Auto menawarkan peluang untuk memenangi lawatan ke Sweden yang ditaja sepenuhnya kepada pelanggan yang membeli mana-mana model baharu Volvo dari syarikat tersebut.

    Selain dari Volvo, Sisma Auto turut menjalankan operasi cawangan Jaguar Land Rover (JLR) di Glenmarie dan Pulau Pinang. Manakala bilik pameran Volvo di Bukit Bintang ini juga sebenarnya merupakan bilik pameran mereka untuk jenama JLR sebelum ini. Syed Khalil turut menyatakan bahawa syarikatnya masih amat komited untuk membangunkan jenama JLR di Malaysia dalam jangka masa panjang.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class 2018 – rekaan dalam didedah

    Mercedes-Benz A-Class 2018 masih lagi belum bersedia untuk penampilan pertamanya, oleh itu, pengeluar dari Jerman itu memberikan gambar awal bahagian dalam serba baru kenderaan tersebut. Ya, ia nampak lebih mewah dan jauh berbeza berbanding model A-Class W176 sekarang.

    Seperti yang pernah dilihat sebelum ini pada model prototaip, A-Class 2018 akan menggunakan tetapan kokpit dengan skrin lebar, seperti E-Class W213. Dengan penggunaan skrin ini, bahagian atas papan pemuka lebih rata, dan kemasan yang bersambung dari panel pintu, ke papan pemuka dapat dijadikan lebih sekata. Kemasan ini boleh didapati dalam beberapa pilihan bahan, termasuk kayu.

    Pelanggan juga boleh memilih tiga tetapan skrin – dua skrin tujuh inci, satu skrin tujuh inci dan satu 10.25 inci, ataupun kedua-duanya 10.25 inci. Memandangkan kebanyakan fungsi kenderaan telah dipaparkan pada kokpit skrin lebar tersebut, bahagian tengah lebih kosong, dan cuma mempunyai butang pengawal suhu dan pendingin hawa.

    Pada bahagian konsol tengah, kini terdapat pad sesentuh pelbagai fungsi untuk mengawal sistem informasi dan hiburan COMAND. Penambahan lain adalah termasuk lampu suasana 64 warna, roda stereng baru (daripada S-Class W222) dan corong pendingin hawa gaya seperti E-Class Coupe C238.

    Mercedes-Benz turut menyatakan bahawa ciri pemanas dan pengawal suhu di tempat duduk, serta pakej Multicontour Seat turut disediakan untuk tempat duduk hadapan buat kali pertama. Untuk tempat duduk, terdapat tiga pilihan iaitu Comfort dengan 20 pelarasan, manakala Sporty untuk didatangkan bersama beberapa kelengkapan spesifik lain.

    Turut didedahkan adalah ciri praktikaliti – A-Class 2018 kini mempunyai ruang simpanan belakang 370 liter, iaitu 29 liter lebih besar berbanding model sebelum ini. Lampu belakang yang terbahagi dua juga memberikan ruang masukan yang lebih luas (+20 sm), manakala lantai but itu sendiri adalah 11.5 sm lebih panjang.

     
     
  • BMW 530e plug-in hybrid kini di Thailand – RM457k

    Harga bagi BMW 530e iPerformance di Thailand telah pun diumumkan, sebelum G30 plug-in hybrid dilancarkan di sana hujung bulan ini. Menyertai diesel 520d dan petrol 530i di negara berkenaan, 530e didatangkan dengan dua varian iaitu Luxury pada harga 3,639,000 baht (RM457,446) dan M Sport pula berharga 3,939,000 baht (RM494,466). Kedua-duanya lebih murah berbanding 530i M Sport, yang dijual pada harga 4,339,000 baht (RM544,701).

    Seperti 530i, 530e pemasangan-Thailand, dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, dengan hamburan kuasa 184 hp dan tork puncak cecah 290 Nm. Ia juga dipadankan bersama motor elektrik 113 hp/250 Nm, serta gabungan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan, dengan sistem output keseluruhan mencecah 252 hp dan 420 Nm, iaitu lebih 70 Nm berbanding enjin petrol.

    Di bawah tempat duduk belakang, terletaknya bateri lithium-ion 9.2 kWh dengan litar suhu-rendah dan penyejukan bahan pendingin. Pengecasan bateri penuh mengambil masa selama tiga jam dan 15 minit dengan menggunakan soket domestik, atau dua jam dan 15 minit jika menerusi BMW i Wallbox 3.7 kW.

    530e boleh mencapai pacuan dari 0-100 km/j dalam hanya 6.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksium sehingga 235 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan 2.3 liter bagi setiap 100 km. Sedan saiz besar ini juga berkeupayaan dipacu dalam mod elektrik pada kelajuan sehingga 140 km/j, dan didakwa dengan penggunaan semua-elektrik sehingga 47 km. Secara realitinya, anggaran bagi mod hibrid pula sekitar 644 km.

    Kit standard yang dipadankan untuk model 530e spesifikasi Thai ini termasuklah aloi 18-inci, lampu utama adaptif LED dengan Bantuan Lampu Tinggi, paparan unit utama, Comfort Access, Display Key, material kulit Dakota, paparan instrumen digital 12.3-inci dan pendingin hawa dwi-zon, skrin belakang 10.2-inci, pengecas tanpa wayar serta sistem bunyi sekeliling Harman Kardon.

    Seperti biasa, model M Sport pula menampilkan penggayaan yang lebih agresif, dalaman yang dipertingkatkan (roda stereng, tempat duduk) dan roda yang lebih besar bersaiz 19-inci dengan jejari-berkembar.

    BMW PHEV kian diterima di Thailand, sebagaimana mana di Malaysia. Jenama premium Jerman ini telah menjual sebanyak 852 unit bagi kereta iPerformance di negara tersebut dari Januari hingga Oktober 2017, meningkat sebanyak 234% tahun-ke-tahun, menurut laporan Bangkok Post. Ini mewakili 10.2% jumlah jualan BMW di pasaran, iaitu meningkat sebanyak 28%. BMW mula menjual model PHEV di Thailand sejak Disember 2015, apabila X5 xDrive40e diperkenalkan.

    Melihat sambutan terhadap BMW PHEV di Malaysia setakat ini, dan apabila Mercedes-Benz telah pun memperkenalkan model setandingnya E350e di sini (malah Volvo juga telah melancarkan S90 T8 Twin Engine), kami sasarkan untuk melihat G30 5 Series plug-in hybrid di pasaran pada tahun hadapan.

    Kini, G30 5 Series telah pun dijual dengan varian CKD 530i pada harga RM388,800.

     
     
  • Royal Enfield Himalayan akan masuk M’sia awal 2018

    Motosikal jenama Royal Enfield yang berasal dari United Kingdom mungkin tidak begitu popular di Malaysia, kecuali bagi mereka yang berminat dalam dunia motosikal klasik. Namun, di luar negara, nama ini cukup dikenali kerana ia sudah wujud sejak tahun 1890 sementara di India pula ia terkenal sebagai pilihan utama untuk motosikal yang lasak dan serba tahan.

    Model popular keluaran Royal Enfield tentunya adalah Bullet, tetapi pada tahun 2015, Royal Enfield telah memperkenalkan model jelajah baru yang digelar Himalayan. Berita baik untuk penggemar di Malaysia, model baru ini dikhabarkan sendiri oleh pengedarnya, The Big Bike Shop akan tiba dalam pasaran suku pertama tahun 2018. Harganya masih belum didedahkan, tapi kami meletakkan jangkaan di bawah RM40,000.

    Keseluruhan motosikal ini adalah baru, bermula dari casis, hinggalah enjin L410 411 cc overhead cam, silinder tunggal dengan sejukan udara/cecair yang digunakan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 24.5 hp pada 6,500 rpm dan 32 Nm tork pada 4,500 rpm. Transmisi pula menggunakan kotak gear lima kelajuan.

    Reka bentuknya mengambil pendekatan rekaan sebuah motosikal dual-purpose; kedudukan yang tinggi, rim 21 inci di bahagian depan manakala 17 inci dibahagian belakang. Ketinggian tempat duduk ialah 800mm. Berat basahnya pula ialah 183 kg. Ia sebuah jentera yang direka untuk kegunaan pada permukaan yang pelbagai dan jelajah.

    Antara ciri lainnya adalah sistem suspensi depan fork 41 mm, dengan jarak mendapan 200 mm serta penyerap hentak tunggal di belakang, dengan jarak mendapan 180 mm. Pelindung angin di bahagian depan jentera ini adalah ciri standard dan begitu juga dengan kerangka untuk membawa beg barangan dibelakang; ia diperbuat daripada kimpalan besi biasa untuk memudahkan kerja-kerja baik pulih sekiranya perlu.

    Lampu belakang dari jenis LED, sementara di depan hanya menggunakan lampu halogen biasa. Panel meter pula kekal menggunakan paparan analog, yang digandingkan dengan paparan LCD bagi bacaan odometer.

    Bermula tahun 2015, Royal Enfield dilihat semakin serius ingin bersaing dalam pasaran global apabila melabur untuk pembukaan pusat teknologi di United Kingdom, dan mengambil lebih banyak jurutera serta pakar dari dalam industri. Buah tangan pertama pusat teknologi ini sudah pun dipertontonkan di EICMA 2017, iaitu Interceptor 650 Twin dan Continental GT 650 Twin.


    GALERI: Royal Enfield Himalayan di GIIAS, Indonesia

     
     
  • Isu kenaikan harga minyak: Persatuan pengguna gesa kerajaan memperkenalkan semula petrol RON92

    Disebabkan harga petrol dilihat tidak begitu stabil dan sering mengalami kenaikan, persatuan pengguna menggesa kerajaan dan syarikat minyak untuk memperkenalkan semula petrol RM92. Di mana persatuan terbabit berpendapat, RON92 yang tidak diteruskan penjualannya sejak 2009, mampu menjadi alternatif bahan api bagi kumpulan pendapatan pertengahan (M40) dan rendah (B40), laporan The Sun.

    Walau bagaimana pun, pemain industri enggan memberikan pendapat berapakan kos bagi RON92 sekiranya ia dikembalikan ke pasaran.

    Namun, menerusi semakan ke atas harga minyak di Singapura, LEVO92, yang setanding dengan RON92, buat masa ini dijual pada harga S$2.19 seliter (RM6.66). Manakala LEVO95 yang setanding dengan RON97 pula dijual pada harga S$2.23 (RM6.78).

    Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Yusof Abdul Rahman berkata, inilah masanya untuk kerajaan mengembalikan semula RON92 bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup.

    Katanya kepada akhbar terbabit, “RON92 boleh digunakan bagi kenderaan dengan kapasiti enjin yang rendah, yang mana ia dimiliki oleh ramai golongan berpendapatan rendah. Malah kerajaan juga boleh menyalurkan subsidi bagi RON92 untuk membantu golongan B40 ini.”

    Walau bagaimana pun ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan berpendapat, kajian terhadap RON92 perlu dilakukan untuk mengetahui kesannya terhadap persekitaran.

    “Ia mungkin tidak sesuai untuk alam sekitar dan semua jenis kenderaan,” katanya sambil menambah kerajaan perlu mencari alternatif bagi memperkenalkan inisiatif subsidi yang disasarkan.

    “Sebagai contoh, subsidi petrol boleh dibagikan kepada individu yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan,” tambahnya lagi.

    Manakala presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata langkah untuk memperkenalkan semula RON92 bukanlah jalan penyelesaian yang tepat bagi majoriti industri automotif kerana telah diputuskan untuk meneruskan dan melaraskan penggunaan bahan api RON95 sebagai standard minimum.

    “Kenderaan baharu memerlukan RON95 dan yang lebih atas. Mengembalikan semula (RON92) akan mencetuskan huru-hara dalam industri,” katanya, sambil menambah daripada memperkenalkan semula RON92, adalah lebih baik kerajaan memastikan RON95 dan diesel diletakkan harga dan subsidi yang lebih adil.

    Awal minggu ini, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga minyak mentah dunia sekiranya harga runcit RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan. Di mana langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang.

    Semalam kerajaan memutuskan akan mengumumkan mekanisme stabil harga minyak sekiranya ia mencecah RM2.50 seliter bagi RON95 dan disel. Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata mekanisme atau langkah itu akan memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan rendah dan pertengahan.

     
     
  • Data jualan kenderaan Oktober 2017 mengikut jenama

    Bagi bulan Oktober 2017, statistik atau data jualan kenderaan di Malaysia seperti yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mencatatkan peningkatan sebanyak 14.9% berbanding bulan sebelumnya. Sebanyak 47,041 unit telah dijual – naik 6,085 unit berbanding September 2017.

    MAA menyatakan, antara perkara utama yang menyumbang kepada peningkatan itu ialah tempoh hari bekerja yang lebih panjang pada Oktober. TIV setakat ini ialah 472,723 unit, juga naik 1% berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 466,157 unit.

    Berikut pecahan mengikut jenama bagi statistik jualan bulan lalu. Empat jenama di kedudukan teratas menyaksikan angka jualan yang semakin kukuh. Perodua catat peningkatan 14.9%, manakala Honda pula naik 14.7%. Proton juga tidak ketinggalan dari corak ini; naik 13%.

    Bagaimana pun, jenama yang paling banyak menjual kenderaan bulan lalu ialah Toyota, dengan 6,210 unit terjual, naik 42.3% berbanding pada September. Hanya Nissan yang masih mencatatkan penurunan sebanyan 6.6%.

    Jenama-jenama lain yang turut menikmati peningkatan jualan adalah seperti berikut; Mazda (+38.3%), Mitsubishi (+68.5%), Renault (+108.3%) dan Mercedes-Benz (+22.3%). Jenama yang kurang bernasib baik dan mencatatkan penurunan pula antaranya BMW (-2.7%), Volkswagen (-28.2%), Subaru (-33.2%) dan Audi (-24.7%).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.30 (-0.08)
RON 97 RM2.58 (-0.08)
RON 100 RM3.10
VPR RM3.28
DIESEL
EURO 2M RM2.23 (-0.02)
EURO 5 RM2.33 (-0.02)
Last Updated 23 Nov 2017