10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Sebelum membeli sebarang motosikal, orang ramai perlu mempertimbangkan banyak perkara. Selain harga serta spesifikasi, rasa tunggangan juga perlu diketahui, apatah lagi tidak banyak kedai yang boleh memberi pelanggan peluang merasa terlebih dahulu sebelum membeli.

Di sinilah pentingnya laporan tunggang uji, yang mana bagi paultan.org/bm , kami sentiasa cuba mendapatkan model-model terbaru dalam pasaran secepat mungkin untuk menyediakan laporan tunggang ujinya bagi rujukan orang ramai. Tidak kiralah sama ada ia model yang berkapasiti tinggi, kapcai mahupun skuter.

Dalam tahun 2017, banyak juga model baru yang dilancarkan, dengan hampir semua wakil pengeluar menunjukkan ‘senjata’ masing-masing, malah ada juga model yang menandakan penyertaan pertama jenama dalam segmen tertentu. Kami ada senarai laporan tunggang uji manakah yang paling popular pada tahun ini, dan keputusannya agak menarik.

Berdasarkan statistik laman web kami, laporan yang paling popular tahun ini adalah model yang tidak melebihi 400 cc pun, tetapi ia terdiri daripada pelbagai genre termasuk skuter, sports, naked, santai dan bajet. Model yang popular di pasaran sudah tentu menjadi perhatian, tetapi ada juga model yang seakan dilupakan, namun apabila kami mengeluarkan laporannya, ramai yang tertarik.

Anda boleh saksikan sendiri senarai model ini di bawah, dan ia disediakan secara turutan menaik, bermaksud, dari kedudukan nombor 10, ke kedudukan nombor satu, iaitu yang paling popular. Anda juga mungkin boleh perasan, ada laporan yang dikeluarkan pada tahun 2016, tetapi ia masih mendapat sambutan pada tahun ini. Bagi yang sudah membaca laporan tunggang uji tersebut, adakah ia membantu dalam pembelian anda?

10. Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Model ini adalah satu penawaran Modenas ke dalam segmen mampu milik, dengan konsep ‘Motosikal Rakyat’, dan harganya cuma RM3,980 sewaktu dilancarkan. MR2 adalah lanjutan kepada model MR1, dan ia dikuasakan oleh enjin 110 cc serta padanan kotak gear empat kelajuan.

9. Honda Future FI – kapcai 125 cc yang kita terlepas pandang; adakah harganya berpatutan?

10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Honda Future FI ini diperkenalkan pada tahun 2016, dan ia adalah pengganti kepada model sebelumnya, dengan membawa pembaharuan dalam sistem bahan api, di mana ia menggunakan sistem suntikan elektronik (EFI). Kapasiti enjinnya berada di tahap pertengahan dalam segmen kapcai iaitu 125 cc, dan antara ciri menariknya adalah terdapat ruang simpanan yang boleh memuatkan helmet di bawah tempat duduk.

8. Yamaha NMax skuter terbaik kini?

10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Bagi mereka yang mementingkan praktikaliti, skuter memang adalah pilihan utama, dan Yamaha NMax adalah antara pilihan yang boleh dianggap berbaloi berada dalam pasaran Malaysia. Ia mempunyai saiz lebih besar daripada Nouvo dan didatangkan dengan pelbagai kemudahan seperti ruang simpanan yang luas, penggunaan bahan api baik kerana menggunakan sistem suntikan elektronik, enjin 155 cc dan brek cakera depan dan belakang. Harganya pula sekitar RM3,000 lebih murah berbanding pesaingnya, Honda PCX.

7. KTM Duke 250 dan 390 2017 – lebih garang, terus tunjuk prestasi baik menari di selekoh

10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Dua model jalanan permulaan daripada KTM ini mendapat sambutan hangat berkemungkinan kerana model yang digantinya sudah agak lama di pasaran, dan penampilan model baru ini lebih garang dan moden. Kedua-duanya adalah model naked, dan memberikan pilihan kepada pengguna bergantung kepada bajet serta kemahuan mereka. Selain enjin yang lebih berkuasa, Duke 390 juga menawarkan keistimewaan lain seperti meter digital berwarna.

6. Honda NSS300 punya bermacam kelengkapan, sesuaikah untuk perjalanan jarak jauh?

10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Satu lagi skuter yang masuk dalam senarai paling popular ini mempunyai enjin serta badan yang lebih besar, iaitu Honda NSS300. Model seperti ini juga dilihat semakin digemari pengguna di Malaysia kerana selain kegunaan harian, mereka juga mahukan kemampuan untuk berjalan jauh. NSS300 ternyata berkemampuan dan kami menunggangnya sehingga ke Pulau Pinang tanpa sebarang masalah.

5. Benelli RFS150i – hero tersembunyi?

10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Laporan tunggang uji Benelli RFS150i ini sebenarnya baru sahaja kami siarkan, tetapi ia cukup mendapat sambutan sehingga meletakkannya di tangga kelima. Segmen kapcai 150 cc ini sememangnya sedang hangat, tetapi model Benelli ini seperti kurang diendahkan. Daripada pengalaman kami, ia tidak kurang hebatnya, malah lebih murah berbanding dua pesaingnya.

4. Modenas Pulsar RS200 – adakah ia cukup sporty dan boleh menentang motosikal 250 cc?

10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Pulsar RS200 ini mungkin adalah model yang dibangunkan oleh syarikat motosikal India, iaitu Bajaj Motorcycles, tetapi ia dipasarkan oleh pengeluar motosikal tempatan, iaitu Modenas. Mungkin ramai yang mahu mengetahui kenapa Modenas cukup yakin dengan motosikal ini dan bagaimana prestasinya melalui laporan tunggang uji ini. Dari aspek penampilan, ia cukup garang.

3. Modenas Pulsar NS200 – pilihan terbaik untuk peralihan dari kapcai ke motosikal besar

10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Pulsar NS200 ini pula adalah satu lagi model kerjasama dengan Bajaj, tetapi ia menggunakan badan jenis naked. Ramai juga yang menggemari motosikal bentuk sebegini kerana lebih minimalis. Kedua-dua RS200 dan NS200 dikuasakan enjin satu silinder 200 cc yang mempunyai tiga palam pencucuh, dan kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 24.5 PS pada 9,500 rpm dan tork 18.6 Nm pada 8,000 rpm.

2. Modenas V15 beri alternatif gaya dan tunggangan kepada segmen motosikal bawah RM6k

10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Jangan terperanjat, kerana laporan tunggang uji yang berada di kedudukan kedua adalah sebuah motosikal santai, yang juga dibangunkan dengan kerjasama Bajaj, tetapi dalam masa sama turut mengingatkan kembali kepada model Jaguh yang pernah dipasarkan oleh Modenas dulu. Enjin model ini cuma 150 cc, dan ia dijual pada harga menarik, iaitu RM5,989 termasuk GST.

1. Yamaha NVX 155 – Adakah prestasi skuter ini cukup sporty seperti penampilannya?

10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Inilah dia di tempat pertama, Yamaha NVX 155, yang seperti kita juga seperti boleh jangkakan. Selain daripada penampilan sebuah skuter yang sporty, kami juga mendapati NVX mempunyai prestasi yang berpadanan, hasil penggunaan enjin 155 cc berkuasa 14.8 hp dan 13.8 Nm tork. Harga motosikal ini adalah RM10,500, dan ia didatangkan dengan kelengkapan berteknologi antaranya seperti sistem tanpa kunci dan meter digital.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required