10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Tahun 2017 hampir melabuhkan tirainya, dan untuk tahun ini pasaran automotif dilihat kekal meriah. Malah jika diteliti data jualan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan keseluruhan kenderaan sehingga November lalu adalah 521,907 unit berbanding tempoh yang sama tahun lalu hanya sebanyak 515,293 unit.

Menurut data yang disediakan oleh MAA setiap bulan juga, kedudukan top 5 sering diduduki oleh tiga jenama popular di Malaysia iaitu Perodua, Honda dan Proton. Maka tidak hairanlah tiga jenama ini mendominasi senarai 10 pandu uji paling popular yang dibaca pada laman paultan.org versi bahasa melayu ini.

Selain dari dua jenama nasional dan satu jenama Jepun di atas, pembaca kami nampaknya kini menumpukan perhatian juga terhadap jenama Korea, buktinya dua jenama dari negara tersebut – Hyundai dan Kia – turut tersenarai kali ini.

Berikut adalah 10 laporan pandu uji paling popular di laman paultan.org/bm untuk tahun 2017 dalam turutan menurun.

10. PANDU UJI: Ford Everest 3.2L Titanium kurang popular, tapi tetap berkaliber, tahan lasak dan praktikal

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Walaupun agak kurang kelihatan di atas jalan raya, nampaknya ramai yang berminat untuk membaca pandu uji SUV Ford Everest yang diasaskan dari trak pikap Ranger T6 berkenaan. Walaupun kami turut memandu uji Toyota Fortuner tahun ini, namun hanya Everest yang berjaya mewakili SUV ladder frame dalam senarai 10 pilihan pandu uji paling popular untuk tahun 2017.

9. PANDU UJI: Kia Sportage 2.0 GT-Line, bakal ubah persepsi tipikal terhadap kenderaan buatan Korea?

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Seterusnya, masih lagi SUV, tetapi kali ini yang lebih mesra jalan raya iaitu Kia Sportage – SUV segmen-C dari Korea. Dengan rupa yang begitu menarik terutama dari muka yang seakan Porsche Macan dan Cayenne, tentu saja ramai yang ingin mengetahui bagaimana prestasi pemanduannya bukan?

8. PANDU UJI: Honda City Sport Hybrid i-DCD – prestasi lebih mengujakan dari model petrol konvensional?

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Ini merupakan satu-satunya sedan segmen-B dalam senarai pandu uji paling popular 2017. Jika Honda City facelift mungkin mempunyai karekter yang sama seperti versi asal kecuali dengan rupa yang lebih segar, tetapi versi Sport Hybrid ini memberikan pengalaman pemanduan yang jauh berbeza bukan sahaja dari segi penghantaran kuasa, malah turut berbeza pada talaan pengendaliannya. Pasaran Malaysia juga satu-satunya pasaran di dunia yang menerima model ini selain Jepun.

7. PANDU UJI: Hyundai Elantra 2.0 liter dan Sport 1.6 liter Turbo – paradigma baharu falsafah kejuruteraan Korea

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Jika Honda Civic 1.5 liter VTEC Turbo adalah buku, maka Hyundai Elantra Sport 1.6 Turbo T-GDI ini adalah ruasnya. Sedan segmen-C berkenaan dijana enjin yang membekalkan kuasa 204 PS/265 atau 31 PS/45 Nm lebih bertenaga dari Civic Turbo. Jadi tidak hairanlah mengapa pembaca kami begitu mahu mengetahui bagaimana prestasi sebenar kereta ini.

6. PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Nah, sebuah lagi SUV dalam senarai pandu uji paling popular tahun ini. Tidak dapat dinafikan, Honda CR-V antara SUV yang begitu memikat hati rakyat Malaysia sejak dari model generasi pertama. Model generasi baharu ini diberikan pelbagai ciri yang mendahului pesaing seperti enjin 1.5 liter VTEC turbo yang lebih berkuasa dari enjin 2.4 liter NA sebelum ini dan juga pakej keselamatan Honda Sensing.

5. PANDU UJI: Kia Grand Carnival – dibangunkan secara teliti untuk kemudahan penggunaan setiap penumpang

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Kia Carnival atau Naza Ria merupakan MPV bersaiz besar yang agak popular satu ketika dahulu. Namun setelah pelbagai berita kurang enak untuk didengar yang disampaikan oleh pemilik-pemiliknya, Naza Kia Malaysia tidak membawa masuk model generasi kedua MPV ini. Tanpa diduga, model generasi ketiga MPV berkenaan kembali menerjah pasaran Malaysia. Sebagai sebuah model dengan reputasi jualan yang agak baik sebelum ini, tentunya pengguna berminat untuk mengetahui lebih lanjut apa pembaharuan yang dilakukan terhadapnya.

4. PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Ertiga menjadi salah sebuah dari empat model Proton yang dilancarkan secara berterusan tahun lalu, dalam usaha mereka untuk bangkit semula menjadi peneraju dalam pasaran automotif tempatan. Adakah Proton Ertiga menawarkan alternatif lebih baik dari Perodua Alza? Mungkin ini faktor yang menarik pembaca bagi meletakkan MPV segmen-B nasional ini pada kedudukan keempat dalam senarai.

3. PANDU UJI: Geely Boyue – tanggapan awal terhadap SUV pertama Proton, jangka diperkenalkan pada 2018

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Walaupun ia hanya uji pandu ringkas di China dan masih lagi dalam bentuk asal pemanduan sebelah kiri, Geely Boyue tetap menarik jumlah pembaca yang ramai sehingga ia mampu berada di tangga ketiga. Sudah tentu ramai yang tidak sabar menantikan kemunculan SUV pertama dari Proton ini menjelang tahun hadapan bukan?

2. PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Berita berkenaan pelancarannya menjadi artikel paling popular untuk tahun 2017 di laman kami, dan ia juga dikatakan sebagai kereta yang paling kerap di cari oleh rakyat Malaysia pada laman carian Google – mengesahkan Myvi generasi baharu sebagai model terpenting di Malaysia tahun ini. Namun untuk laporan pandu uji, hatchback ikonik ini hanya berjaya berada pada kedudukan kedua paling popular.

1. PANDU UJI: Honda BR-V – adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan keluarga?

10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

Ia sebuah Honda, MPV keluarga dengan tujuh-tempat duduk, mempunyai rekaan seperti SUV, dan yang paling penting ditawarkan pada harga yang begitu kompetitif – ini mungkin kombo yang membuatkan begitu ramai yang ingin mengetahui apa pendapat kami terhadap Honda BR-V sehingga ia menjadi laporan pandu uji yang paling popular sepanjang 2017. Setelah dilancarkan pada Januari, model ini hanya mengambil masa tidak sampai tiga bulan untuk mencatatkan jumlah tempahan melebihi 8,500 unit.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required