Satu lagi siri plat nombor istimewa bakal dibuka bidaannya tidak lama lagi, dan kali ini giliran E. Siri ini akan dibuka bidaan pada 1 November ini selama 15 hari, dengan keputusannya dijadualkan akan diumumkan pada Disember, menurut laman web Exotic Ventures, organisasi yang mengendalikan siri plat ini.

Bidaan untuk siri nombor ini, bermula E 1 hingga E 999, akan ditawarkan menerusi dalam talian. Pembeli prospektif boleh memohonnya dengan meletakkan nombor plat E yang dikehendaki untuk bidaan, memasukkan jumlah bidaan, mengisi perincian dalam borang, dan membayar RM5 untuk bayaran pentadbiran dalam talian.

Ada panduan bagi harga bidaan minimum, dan untuk digit tunggal adalah bernilai RM15,000, diikuti dengan digit berkembar (22,33,99) pada RM10,000, sementara tiga- dan empat-digit nombor berulang pula, masing-masing bermula dari RM8,000 dan RM5,000. Bidaan paling murah bernilai RM200, untuk nombor empat digit standard.

Tetapi bukankah kerajaan Pakatan Harapan telah mewartakan bahawa tiada lagi plat nombor istimewa yang dikendalikan oleh organisasi persendirian? Pada Mei lalu, menteri pengangkutan Anthony Loke berkata, amalan ini telah pun berakhir. Beliau menjelaskan, NGO yang mengeluarkan plat terbabit hanya membayar RM1 juta kepada JPJ, sedangkan kutipan hasil bidaan adalah sangat tinggi, dijangka sekitar RM20 juta.

Malah Kementerian Pengangkutan juga telah memperkenalkan siri plat nombor khas baru-baru ini, “Malaysia” yang berjaya mengutip keuntungan sebanyak lebih RM13 juta. Pada Jun lalu juga, kementerian yang sama mengumumkan akan mengeluarkan siri nombor plat khas bagi setiap negeri, contohnya SELANGOR, KEDAH, PERAK dan lain-lain. Ia akan dikendalikan oleh JPJ negeri masing-masing. Pada mulanya, ia dicadangkan akan diperkenalkan pada September atau Oktober ini.

Antara siri nombor plat khas yang diperkenalkan sebelum ini ialah Q,FB,G1G-G999G, T1M, NBOS, G, Y, V, NAM, UUU, YA, KEN, XX, UU, SAM, K1M, PERFECT, RIMAU, UA dan beberapa lagi.