Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!

Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!

Siapa tak kenal Toyota Corolla? Model paling popular dari Toyota ini sudahpun sebati dengan imej sebuah kereta keluarga yang sangat boleh diharap sejak kemunculan pertamanya pada 1966. Namun disebalik sebuah kereta ‘ayah-ayah’, Toyota sebenarnya telah menghasilkan Corolla versi lebih sporty untuk pilihan pelanggan yang lebih muda. Dan apa yang lebih menarik, model berkenaan dihasilkan dengan dua ‘watak’ berbeza dikenali sebagai pasangan kembar Corolla Levin dan Sprinter Trueno.

Versi Corolla lebih ‘muda’ ini sebenarnya telah muncul sejak dari generasi pertama Corolla E10. Dengan bentuk belakang fastback dan hanya mempunyai dua pintu, model tersebut dikenali sebagai Toyota Sprinter dengan kod casis KE15/KE17, berbanding versi normal Corolla sedan empat- dan dua-pintu diberikan kod casis KE10/KE11.

Untuk pengetahuan anda juga, di Jepun Toyota mempunyai tiga jaringan pengedar yang berbeza iaitu Toyota Store, Toyota Corolla Store dan Toyota Netz (sebelum itu dikenali sebagai Toyota Vista Store bermula 1980 dan Toyota Auto Store bermula 1967) – kesemuanya mempunyai kuota jualan dan ada model-model tertentu hanya dikhaskan untuk jualan jaringan-jaringan tertentu.

Toyota Corolla KE10 (kiri) dan Toyota Sprinter KE15 (kanan)

Ketika era Corolla generasi pertama ini, model sedan Corolla hanya boleh dibeli di jaringan Toyota Corolla Store, manakala Toyota Sprinter pula hanya dijual di bilik-bilik pameran Toyota Auto Store. Walaupun hadir dengan dua bentuk badan berbeza dan sedikit kelainan pada muka, Corolla dan Sprinter berkongsi platform, sistem mekanikal seperti suspensi dan brek, serta sistem janakuasa dengan pilihan enjin siri ‘K’ – 1.0 liter 2K dan 1.2 liter 3K – yang sama.

Adik-beradik Levin dan Trueno hanya muncul menerusi Toyota Corolla generasi kedua dengan kod casis E20 pada tahun 1972. Seperti juga Corolla dan Sprinter sebelum ini, versi istimewa ini masih menggunakan platform dan konfigurasi suspensi yang sama dengan Corolla normal. Namun berbanding KE20 yang banyak terdapat di negara kita, badan adik-beradik yang Levin-Trueno ini menerima tiang-C yang lebih landai, memberikan rupa lebih sporty sekaligus diberikan nama samaran sebagai ‘Mango’ kerana bentuknya yang seperti buah mangga.

Sebelum kita pergi lebih jauh, anda tahu apa maksud Levin dan Trueno? Menurut kamus Oxford, Levin adalah bahasa Inggeris lama yang bermaksud ‘kilat’, manakala Trueno pula dalam bahasa Sepanyol bermaksud ‘guruh’. Jadi kembar Levin dan Trueno ini adalah pasangan adik-beradik ‘Kilat dan Guruh’ – sangat cool bukan?

Toyota Corolla Levin TE27

Levin dan Trueno E20 dihasilkan dalam pelbagai varian janakuasa. Model tertinggi untuk generasi ini dikenali dengan kod casis TE27. Sekiranya anda menjumpai Levin atau Trueno dengan kod casis ini, sudah tentu ketika diproduksi di kilang, ia diberikan enjin 2T-G bersama kotak gear manual lima-kelajuan.

Enjin 2T-G berkenaan diambil terus dari kereta sport flagship Toyota pada era yang sama iaitu Toyota Celica 1600GT TA22. Enjin berkapasiti 1.6 liter ini walaupun ia hanya mempunyai 8 injap, kepala selindernya menempatkan dua batang aci sesondol (DOHC) membolehkan setiap injap direka dengan saiz yang agak besar dari biasa.

Tidak cukup dengan itu, enjin ini didatangkan standard bersama dua buah karburator perlumbaan jenis side draught dari Mikuni, membolehkan kuasa setinggi 115 PS pada takat 6,400 rpm dihasilkan. Dengan berat badan kereta yang tidak sampai 1,000 kg, tenaga yang dijana mampu untuk membuat Levin dan Trueno TE27 ini mencapai kelajuan maksima 190 km/j – sesuatu yang sangat radikal untuk sebuah Corolla pada era 1970’an!

Toyota Sprinter Trueno TE27

Selain dari model tertinggi tersebut, Levin dan Trueno turut dijual dalam versi lebih rendah dengan kod casis KE25. Model ini menampilkan bentuk badan yang sama, tetapi tidak diberikan fender flare serta hanya dijana oleh enjin 3K 1.2 liter. Ketika ini juga sudah bermula di mana Levin hanya dijual secara ekslusif di Toyota Corolla Store, manakala Sprinter Trueno pula hanya boleh dibeli di Toyota Auto Store.

Susur galur Levin Trueno menjadi lebih rumit apabila masuk ke Corolla generasi ketiga E30. Pada tahun 1974, Toyota Corolla Levin TE37 diperkenalkan dalam bentuk badan Hardtop, juga seperti Mango, model ini diberi kelainan pada tiang-C berbanding model KE30 biasa.

Ia bukan sekadar direka dengan dua pintu, malah pintu berkenaan turut direka tanpa kerangka tingkap (frameless). Model tertinggi TE37 juga masih dijana enjin 2T-G yang sama dan juga berkuasa 115 PS. Model Levin Hardtop lebih rendah KE35/TE35 hadir dengan berberapa pilihan enjin seperti 3K 1.2 liter dan 2T 1.6 liter single cam.

Toyota Corolla Levin TE37

Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!

Toyota Sprinter TE66

Model Hardtop ini tidak hadir dengan versi penuh Sprinter Trueno, tetapi hanya ditawarkan dalam versi Sprinter dengan enjin paling berkuasa 2T 1.6 liter single cam. Kod casisnya juga berbeza di mana ia dikenali sebagai TE60/TE66 walaupun menggunakan casis yang sama.

Pada tahun 1977, versi dua pintu Corolla generasi ketiga diberikan bentuk badan serta muka berbeza dari versi asal, dan ia turut menampilkan model tertinggi Levin dan Trueno. Versi baharu ini menampilkan bentuk yang lebih bersegi dan kelihatan seperti kereta-kereta dari Amerika Syarikat.

Model Levin pada versi ini dikenali dengan kod casis TE55, dipadankan dengan enjin 2T-GEU. Secara asasnya, enjin ini adalah sama dengan enjin 2T-G seperti pada TE37, tetapi sistem karburator berkembar telah digantikan dengan sistem suntikan bahan api Bosch K-Jetronic. Sistem ini secara tidak langsung merendahkan kuasa kudanya dari 115 PS kepada hanya 110 PS, tetapi ia terpaksa dilakukan kerana karburator berkembar berkenaan tidak lagi mampu untuk mematuhi undang-undang pencemaran udara yang semakin ketat.

Toyota Corolla Levin TE55

Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!

Toyota Sprinter Trueno TE47

Model Trueno pula dikenali dengan kod casis TE47. Trueno diberikan muka yang lebih tajam berbanding Levin, bersama lampu belakang yang sedikit berbeza. Manakala dari segi bentuk badan, sistem mekanikal dan juga enjin, Sprinter Trueno TE47 ini masih sama seperti kembarnya Levin TE55.

Masuk ke model generasi keempat 1979, Corolla ditawarkan dengan lebih banyak variasi bentuk badan. Untuk model sporty sahaja, Toyota Corolla dan Sprinter E70 ditawarkan dalam tiga jenis bentuk badan iaitu Coupe Hardtop dua-pintu, Coupe tiga-pintu, dan juga Liftback tiga-pintu. Tetapi untuk versi Levin dan Sprinter Trueno, ia hadir hanya dalam bentuk badan Coupe tiga-pintu.

Levin dan Sprinter Trueno untuk generasi ini dikenali dengan kod casis TE71. Levin menampilkan muka yang hampir sama dengan KE70 empat-pintu standard yang banyak dijumpai di Malaysia, manakala Trueno pula hadir dengan muka yang lebih tajam dan lampu belakang sedikit berbeza. Dari segi mekanikal pula, Levin dan Trueno TE71 masih dijana enjin 2T-GEU berkuasa 110 PS bersama kotak gear manual lima-kelajuan memacu roda belakang.

Toyota Corolla Levin TE71 (kiri) dan Toyota Sprinter Trueno TE71 (kanan)

Model dengan spesifikasi lebih rendah turut ditawarkan. Dengan bentuk badan dan muka yang sama dengan TE71, Levin dan Trueno versi kurang berkuasa ini hadir dengan dua jenis enjin iaitu model 1.3L dijana enjin 4K dengan kod casis KE70 dan model 1.5L dijana enjin 3A dengan kod casis AE70.

Model paling popular tentulah Levin dan Trueno dari generasi kelima iaitu AE86, di mana kereta ini telah mencapai ‘cult status’ setelah menjadi hero dalam siri manga dan anime Initial D. Sebenarnya untuk Corolla biasa generasi ini, Toyota sudahpun mula menghasilkan model dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan (FF) pada model AE80 (Corolla LE). Tetapi untuk Levin dan Sprinter Trueno, ia masih dibina dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR).

Platform dan juga kerangka badan model baharu ini sebenarnya dibina dengan mengambil banyak ciri dari Corolla E70, dan sebab itulah kebanyakkan komponen mekanikal AE86 seperti komponen suspensi, transmisi dan juga sistem stereng banyak boleh dipadankan secara plug and play pada KE70 biasa.

Toyota Corolla Levin AE86 Liftback tiga-pintu

Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!
Toyota Corolla Levin AE86 Coupe dua-pintu

Seperti biasa Levin akan tampil dengan muka yang hampir sama dengan Corolla biasa. Manakala pada generasi ini, Sprinter Trueno sudah mula diberikan lampu jenis retractable – membolehkan ia disembunyikan sekiranya tidak digunakan. Dengan rekaan ini, Sprinter Trueno dapat direka lebih aerodinamik memandangkan bahagian hadapannya yang lebih ‘nipis’ dan tajam.

Levin dan Trueno generasi ini juga tampil dengan dua bentuk badan berbeza iaitu Liftback tiga-pintu dan juga Coupe dua-pintu. Model spesifikasi kuasa tertinggi GT-Apex dan GT-V dijana oleh enjin yang lebih moden dari 2T-GEU iaitu 4A-GE. Enjin baharu ini masih bersesaran 1.6 liter tetapi diberikan rekaan kepala yang jauh lebih moden.

Berbanding enjin 2T-G yang hanya mempunyai 8 injap, 4A-G direka dengan 16-injap membolehkan aliran kemasukan campuran udara bahan api yang lebih eifisien. Sistem suntikan bahan api mekanikal K-Jetronic pula telah digantikan dengan sistem suntikan elektronik sepenuhnya (EFI) yang lebih canggih.

Toyota Sprinter Trueno AE86 Liftback tiga-pintu
Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!
Toyota Sprinter Trueno AE86 Coupe dua-pintu

4A-GE pada AE86 ini juga dilengkapi dengan sistem Toyota Variable Intake System (T-VIS) iaitu sistem yang menampilkan manifold kemasukan unik dengan dua rongga setiap silinder – hanya satu rongga dibuka ketika enjin beroperasi pada beban rendah, dan dibuka kedua-duanya ketika pedal pendikit ditekan agresif. Dengan cara ini, enjin akan sentiasa dibekalkan dengan aliran udara yang laju dalam apa jua jenis pemanduan, membolehkan kuasa diberikan sentiasa responsif dan mendapat penggunaan bahan api yang lebih ekonomi.

Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 130 PS dan tork maksima 149 Nm. Kuasa dialirkan ke kotak gear T50 manual lima kelajuan, dan model spesifikasi penuh turut hadir dengan unit LSD dilengkapkan pada gandar belakang. Jangan tak percaya, AE86 juga sebenarnya ada ditawarkan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan.

Selain dari versi paling berkuasa ini, Levin dan Trueno juga ditawarkan dengan enjin kurang bertenaga. Versi ini hanya dijana oleh enjin 3A 1.5 liter karburator, dan diberikan kod casis AE85. Walaupun dengan enjin yang tidak begitu mengujakan, Toyota tetap menawarkan Levin dan Trueno AE85 ini dalam bentuk badan Liftback dan Coupe sama dengan AE86.

Toyota Corolla Levin AE85 Coupe dua-pintu (kiri) dan Toyota Corolla Levin AE85 Liftback tiga-pintu (kanan)
Toyota Sprinter Trueno AE85 Coupe dua-pintu (kiri) dan Toyota Sprinter Trueno AE85 Liftback tiga-pintu (kanan)

Tetapi jika anda perhatikan dengan teliti, AE85 ini hanya dibekalkan dengan rim 13-inci, tiada tempat duduk separa-bucket dan hanya diberikan roda stereng dua jejari yang lebih kurus tanpa balutan kulit.

Masuk Corolla generasi keenam pada 1987, Levin dan Trueno kembali menggunakan paltform yang sama. Ini bermakna adik beradik ini menggunakan asas yang sama dengan Corolla E90, iaitu dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan. Bukan itu sahaja, enjin 1.6 liter Twin Cam 16V pada model dengan kod casis AE92 ini mampu menjana kuasa dan tork yang lebih besar dengan pengunaan supercharger pada enjin dengan kod 4A-GZE.

Varian tertinggi Levin dan Trueno AE92 ini dikenali sebagai GT-Z. Enjin 4A berkenaan disumbatkan dengan supercharger jenis roots SC12 bersama uniti intercooler yang terletak diatas enjin – sebab itulah Levin/Trueno GT-Z ini diberikan skup udara pada bonet. Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa setinggi 165 PS dan tork maksima 205 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

Toyota Corolla Levin AE92 GT-Z (kiri) dan Toyota Sprinter Trueno AE92 GT-Z (kanan)

Untuk rupa pula, seperti biasa Levin mempunyai muka hampir sama dengan Corolla SE biasa, manakala Sprinter Trueno masih menggunakan lampu jenis retactable. Tiada bentuk badan lain selain coupe dua-pintu ditawarkan, tetapi ia masih mempunyai varian lebih rendah dengan enjin 4A-GE tanpa supercharger dalam versi GT dan GT-Apex.

Untuk Corolla generasi ketujuh, model Levin dan Sprinter Trueno bukan sekadar menampilkan bentuk badan dua-pintu, malah kedua-dua adik beradik ini direka dengan bentuk yang tersendiri seolah-olah tiada kaitan langsung dengan Corolla AE100 SEG 1991. Namun hakikatnya, ia masih dibina dengan platform yang sama.

Levin hadir dengan lampu hadapan lebih besar bersambung dengan gril bahagian atas. Sprinter Trueno pula tidak lagi diberikan lampu retractable, tetapi mengenakan lampu lebih kecil, tanpa gril atas dan juga bampar seakan model Trueno AE86 dan AE92. Model supercharger GT-Z dengan enjin 4A-GZE masih lagi dikekalkan, tetapi untuk model GT dan GT-Apex, ia diberikan enjin NA 1.6 liter 4A-GE yang diberikan peningkatan ketara.

Toyota Corolla Levin AE100 GT-Z (kiri) dan Toyota Sprinter Trueno AE100 GT-Apex (kanan)

Berbanding enjin lama, enjin baharu yang dikenali dengan nama samaran ‘Silvertop’ (kerana rocker cover yang berwarna perak) ini mempunyai sistem VVT-i dan juga lima injap untuk setiap silinder, atau 20 injap secara secara keseluruhan. Bukan itu sahaja, ia juga diberikan sistem ‘4 Throttle’ iaitu satu throttle body untuk setiap silinder persis enjin perlumbaan sebenar. Ini membolehkan enjin 1.6 liter NA berkenaan mampu menjana sehingga 160 PS!

Corolla generasi ketujuh dengan kod casis AE111 adalah generasi terakhir hadir dengan versi Levin dan Trueno. Sekali lagi pasangan adik-beradik ini menampilkan rupa yang jauh berbeza dari Corolla SEG empat-pintu. Dan buat pertama kalinya, Levin dan Trueno menampilkan rupa yang hampir sama.

Kedua-dua model ini menampilkan rupa lampu hadapan bersama lampu kabus bulat bersaiz besar yang sama. Yang berbeza hanyalah rekaan bampar di mana Trueno tidak mempunyai liang udara pada bahagian atas, sementara Levin pula diberikan liang udara nipis pada bahagian gril. Manakala bahagian belakang kedua-duanya menerima spoiler dan kluster lampu yang sama, cuma dibezakan dengan rekaan grafik dalam lampu.

Toyota Corolla Levin BZ-R AE111
Toyota Sprinter Trueno BZ-R AE111

Tiada lagi varian dengan nama GT, GT-Apex dan GT-Z pada model ini, tetapi digantikan dengan varian BZ-V, BZ-G dan BZ-R. Model dengan enjin supercharger juga sudah tiada, tetapi enjin NA 1.6 liter 4A-GE 20V 4 throttle berkenaan diberikan sedikit lagi rombakan.

Enjin kali ini digelar Blacktop (lagi sekali, kerana rocker cover enjin tersebut kini berwarna hitam). Toyota telah menggantikan air flow meter pada sistem EFI dengan MAP Sensor bagi memberikan respon pendikit yang lebih tajam. Manakala diameter setiap throttle body dibesarkan dari 43 mm kepada 45 mm, serta nisbah mampatannya naik dari 10.5:1 kepada 11:1.

Ini membuatkan enjin Blacktop berkenaan sebagai enjin 4A-GE NA produksi paling berkuasa dihasilkan, mampu mengekstrak sejumlah 165 PS dan tork maksima 162 Nm. Satu lagi perkara yang menarik, kuasa kini disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan manual!

Tom’s Toyota Corolla Sport (kiri) dan Blitz Toyota Corolla Sport (kanan)

Selepas dari AE111, tiada lagi versi berprestasi tinggi dihasilkan oleh Toyota yang diasaskan dari Corolla. Sedikit demi sedikit, nama Corolla itu lebih dikenali sebagai kereta keluarga tanpa ‘semangat kesukanan’. Nama Sprinter Trueno terus lenyap, manakala Levin pula digunakan untuk Corolla pasaran China yang diberikan rupa yang sedikit lebih sporty dari model standard.

Namun sedikit harapan mungkin akan muncul tidak lama lagi menerusi Toyota Corolla Hatchback generasi ke-12. Kereta ini bukan sahaja direka lebih sporty, malah ia dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang mempunyai titik graviti rendah, menyebabkan sayap perlumbaan rasmi Toyota iaitu Gazoo Racing berminat untuk menghasilkan versi berprestasi tinggi.

Ia jelas mempunyai potensi untuk dimodifikasi di mana kami sendiri telah melihat dua buah Corolla generasi baharu yang diubahsuai di Tokyo Auto Salon 2019. Kereta berkenaan adalah Tom’s Corolla Sport yang menerima ubahsuai ringan, manakala Blitz Corolla Sport menerima kit pengecas turbo!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required