GALERI: Geely Boyue Pro muncul di China

GALERI: Geely Boyue Pro muncul di China

Bulan lalu, Geely telah mendedahkan versi facelift terbaharu untuk SUV segmen-C mereka, Boyue (yang juga kembar kepada Proton X70) dikenali sebagai Boyue Pro. Kini model tersebut telah membuat penampilan sulungnya di Beijing, China sempena pengenalan sistem infotainmen terbaharu dari Geely dikenali sebagai GKUI 19 yang dibangunkan subsidiarinya iaitu ECARX, dan sistem itu turut dipadankan pada Boyue Pro ini.

Gambar ini diperolehi oleh wakil kami sendiri di China, menampilkan dua lagi warna – merah dan biru – selain warna perak yang didedahkan bulan lalu. Seperti yang anda lihat, Boyue Pro ini tampil lebih kacak dengan muka signatur baharu Geely seperti sedan Binrui dan Borui, serta SUV Coupe Xingyue yang muncul pada awal tahun ini.

Lampu asal Boyue dirombak sepenuhnya dengan rekaan lebih nipis dan tirus, dan ia kini mengapit gril “expanding cosmos” yang lebih besar dan diposisikan pada sudut lebih tegak – menyerlahkan rupanya yang lebih gagah. Muka baharu ini juga membuatkan ia perlu menerima bonet baharu menampilkan rupa lebih berotot, bersama bampar hadapan baharu dengan rekaan liang kemasukan udara dan perumah lampu kabus yang menghasilkan apron lebih agresif.

GALERI: Geely Boyue Pro muncul di China

Bahagian belakang juga menerima sentuhan semula. Paling menyerlah adalah kedua-dua belah lampu belakang Boyue Pro ini di reka seakan ‘tertusuk’ terus dengan panel kemasan krom pada bahagian tengah yang merentangi pintu tailgate. Spoiler juga diberikan unit baharu bersama lampu brek ketiga diletak pada bahagian atas yang berlekuk di tengah.

Rekaan belakang Boyue Pro ini dilengkapkan dengan bampar lebih segar dengan pemadanan reflektor lebih panjang yang di letak menegak, bersama kemasan diffuser yang lebih ringkas. Perumah tip ekzos masih lagi kekal di kiri dan kanan, tetapi kini lebih lebar dan nipis untuk diserasikan dengan rekaan keseluruhan.

Bahagian dalam Boyue Pro ini turut berbeza dari versi asal. Anda boleh lihat papan pemuka baharu yang direka dengan lebih fokus kepada pemandu, bersama roda stereng rata di bawah yang nyata lebih sporty. Satu lagi kalau anda perasan, papan instrumen digital juga ditukar baharu menampilkan grafik seakan model-model Volvo terkini seperti XC90 dan XC40, bagi menggantikan panel seakan pada Volvo V40 untuk model sedia ada.

Papan pemuka Boyue Pro ini dihasilkan dengan kemasan dua-tona, bersama liang penghawa dingin lebih segar. Skrin untuk sistem infotaimen GKUI 19 yang dipadankan kelihatan jauh lebih tinggi dan lebar. Oleh itu butang-butang kawalan penghawa dingin direka dengan suis-suis lebih leper dan ditekan ke bawah bagi dimuatkan pada ruang lebih nipis.

Konsol gear juga berubah sepenuhnya menampilkan suis-suis yang disusun semula, suis mod pemanduan diganti dengan suis putar, serta menerima tombol gear yang lebih berpetak dengan suis posisi ‘P’ berada di atasnya.

Sistem audio Morel (Proton menawarkan sistem dari Kenwood untuk pasaran Malaysia) telah digantikan dengan komponen-komponen dari Bose pada Boyue Pro ini. Susunan semula suis-suis pada konsol gear tadi membolehkan satu ruang storan diletakkan di sebelah tuil gear – dalam gambar yang kami ambil ini kelihatan satu mikrofon diletakkan disitu, dan ia adalah sebahagian dari sistem karaoke SUV ini.

Boyue Pro yang ditampilkan ini dijana oleh enjin empat silinder 1.8 liter turbo yang sama, tetapi ia akan menerima talaan semula bagi memenuhi standard undang-undang emisi terkini. Ia kemudian turut akan ditawarkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang dibina bersama Volvo, sama seperti pada Xingyue dan SUV segmen-B Geely Binyue. Di China, model ditawarkan dengan pilihan dua kotak gear sama ada klac berkembar automatik tujuh-kelajuan atau enam-kelajuan manual.

Menurut Geely lagi, dengan pengenalan Boyue Pro ini bukan bermaksud Boyue sedia ada dihentikan pengeluarannya, tetapi kedua-dua model ini akan dijual sekali di bilik pameran dengan Pro adalah untuk pilihan mereka yang mahukan gaya lebih sporty. Ini adalah perkara biasa di China – contohnya Honda Accord mempunyai satu lagi kembar lebih sporty dikenali dengan nama Honda Spirior, manakala Honda City mempunyai kembar yang dikenali sebagai Honda Crider yang di buat hanya untuk pasaran republik tersebut.

Kita di Malaysia sedang ternanti-nanti kemunculan Proton X70 versi CKD. Dikhabarkan model yang akan di pasang di Tanjung Malim berkenaan mempunyai rekaan berbeza dari model sedia – adakah ia akan menerapkan rekaan Boyue Pro ini? Atau ia akan menerima sentuhan-sentuhan tersendiri dari Proton? Sama-sama kita tunggu kemunculannya nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required