Toyota C-HR facelift 2020 hadir dengan versi GR Sport dan kotak gear manual, hanya untuk pasaran Jepun

Toyota C-HR <em>facelift</em> 2020 hadir dengan versi GR Sport dan kotak gear manual, hanya untuk pasaran Jepun

Awal bulan ini, Toyota telah mendedahkan versi facelift 2019 untuk Crossover segmen-B C-HR, dan kini model berkenaan secara rasmi masuk pasaran Jepun. Selain dari rupa yang lebih segar bersama kit-kit yang dinaik taraf, C-HR JDM juga menerima versi yang menerima sentuhan dari sayap perlumbaan mereka, Toyota Gazoo Racing.

Berbanding model sebelumnya, model facelift ini diberikan gril bawah yang lebih besar, dan mempunyai kemasan pada bampar yang direka dengan apron yang kelihatan lebih lebar. Bahagian bawah gril bampar juga kini telah diwarnakan dengan warna badan bagi menyerlahkan lagi rupa dinamik SUV ini.

Lampu LED depan dan belakang model ini juga telah direka semula. Untuk bahagian depan, ia dilengkapi dengan lampu nyalaan siang (juga bertindak sebagai lampu isyarat membelok) yang disepadukan dalam unit lampu tersebut, manakala lampu belakang pula bersambung dengan spoiler berwarna hitam, memberikan imej yang lebih kemas.

Toyota C-HR <em>facelift</em> 2020 hadir dengan versi GR Sport dan kotak gear manual, hanya untuk pasaran Jepun

Bagi model Gazoo Racing yang digelar C-HR GR Sport pula, ia hadir dengan bampar hadapan berbeza, diberikan rekaan hampir sama dengan model-model GR Sport lain. Gril bampar model kelihatan lebih bersegi bagi memberikan ruang kemasukan udara yang lebih besar, bersama liang tambahan di bawahnya. Versi ini juga diberikan rim 19-inci kemasan dua tona, direka dengan jejari berbentuk-Y.

Namun untuk bahagian kabin, C-HR ini menerima perubahan yang minimal, menyaksikan hanya skim warna Orchid Brown sebagai pilihan tambahan baharu. Tetapi untuk versi GR Sport, ia diberikan berberapa ciri lain yang ketara, antaranya adalah roda stereng lebih kecil dan sporty diambil terus dari Toyota 86 facelift, tempat duduk sport, kemasan dalaman berwarna perak gelap, set pedal aluminium, serta logo-logo GR pada tempat duduk, roda stereng dan butang penghidup enjin.

Kesemua varian C-HR JDM ini dilengkapkan dengan sistem infotainmen Display Audio, hadir dengan sokongan sistem mirroring telefon pintar SmartDeviceLink, Apple CarPlay dan juga Android Auto. Data Communications Module (DCM) juga diberikan yang membolehkan sistem pilihan servis menjejak dari jarak jauh oleh operator pada T-Connect berfungsi, yang juga mempunyai fungsi concierge dan panggilan kecemasan.

Toyota C-HR <em>facelift</em> 2020 hadir dengan versi GR Sport dan kotak gear manual, hanya untuk pasaran Jepun

Sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Suite juga kekal sebagai ciri standard, yang terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan bantuan kekal lorong. Ia juga diberi tambahan sistem baharu termasuk sistem intelligent clearance sonar bagi mengelakkan kemalangan akibat pemandu tersalah pijak pedal, dan juga sistem opsyen brek automatik lintasan trafik belakang serta sistem kamera pemantau 360 darjah.

Untuk pilihan janakuasa pula, model pasaran Jepun ini tidak menerima versi yang dijana oleh sistem hibrid bersama enjin 2.0 liter baharu yang menghasilkan 184 hp. Ia masih kekal dengan dua pilihan seperti sebelum ini – model hibrid 1.8 liter dan juga versi petrol sepenuhnya 1.2 liter turbo.

Bagi model Hybrid, ia menggabungkan enjin kitaran-Atkinson 1.8 liter empat silinder 2ZR-FXE (94 hp/142 Nm) dan juga motor elektrik (72 hp/163 Nm) bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 122 hp, dan kadar penggunaan bahan api sehingga 25.8 km setiap liter mengikut standard WLTP.

Model petrol sepenuhnya pula dijana oleh enjin 8AR-FTS 1.2 liter empat silinder dengan pengecas turbo, berkuasa 115 PS/185 Nm. Kedua-dua versi berkenaan digabungkan dengan kotak gear CVT automatik, tetapi untuk model GR Sport dengan enjin 1.2 liter turbo, pembeli boleh memilih kotak gear manual enam-kelajuan, yang direka bersama sistem rev-match automatik yang akan memberikan kesan sama seperti teknik heel & toe ketika pemandu menurunkan gear secara agresif.

Bukan itu sahaja, Toyota C-HR GR Sport juga hadir dengan kerangka lebih tegar menerusi pemadanan pendakap pada tengah lantai, dan juga penyerap hentak, spring, bar anti-oleng, dan juga stereng yang ditala semula bagi memberikan pemanduan yang lebih dinamik. C-HR JDM sudah pun mula dijual di Jepun bermula hari ini dengan harga bermula dari 2,367,000 yen (RM91,100) hingga 3,095,000 yen (RM119,100).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required