10 video paling popular di paultan.org/bm untuk 2019

10 video paling popular di paultan.org/bm untuk 2019

Sebelum ini kami sudah menunjukkan kepada anda 10 artikel paling popular untuk tahun 2019. Dalam artikel itu juga kami ada nyatakan bagaimana prestasi laman web kami meningkat dari 9.5 juta pelawat pada tahun 2018, kepada 15 juta pada tahun 2019 – semuanya dengan sokongan daripada anda dan terima kasih kami ucapkan.

Selain daripada artikel bertulis, kami juga cuba menyajikan anda dengan video berkenaan kereta atau motosikal terkini sama ada di dalam atau luar negara. Setelah tahun 2019 berakhir, kami dapat memerhati video manakah yang mendapat paling banyak tontonan melalui semua platform yang ada.

10. ULASAN VIDEO: Modenas Kriss 110 2019 di Malaysia – RM3,377

Video ini baru sahaja disiarkan pada penghujung bulan November yang lepas, tetapi sudah mendapat 140,000 tontonan. Ia adalah ulasan daripada kami berkenaan Modenas Kriss 110 2019, setelah mengujinya selama beberapa hari.

Motosikal ini menampilkan gaya serba baru untuk Kriss, manakala enjin pula adalah unit 110 cc 6.6 hp yang digabungkan bersama kotak gear empat kelajuan. Dijual pada harga RM3,377 tidak termasuk insurans, Kriss 110 2019 diletakkan sebagai sebuah kapcai mampu milik dengan kelengkapan yang diberi juga adalah asas sahaja.

9. TINJAUAN AWAL: Proton Saga 2019 – dari RM32,800

Setelah tiga tahun berada dalam pasaran, Proton Saga akhirnya diberikan facelift yang pertama dan dilancarkan pada bulan Ogos tahun lalu. Perubahan yang diberi bukan setakat pada penampilan, malah kotak gear juga ditukar kepada unit automatik empat kelajuan keluaran Hyundai.

Banyak lagi bahagian yang dinaik taraf pada Saga ini, termasuklah sistem keselamatan, di mana ia boleh didapati dengan kawalan kestabilan elektronik, ABS dan dua beg udara. Keseluruhannya ada tiga varian, dengan harga antara RM32,800 hingga RM39,800. Video ini mendapat 155,000 tontonan.

8. Axia rosak kalau pakai minyak RON97? Mitos RON95 vs RON97

Video ini kami buat bagi mengelakkan orang ramai salah faham berkenaan video yang tular mengatakan kereta berkapasiti kecil seperti Perodua Axia akan rosak sekiranya menggunakan petrol RON 97. Video penjelasan kami ini mendapat 168,000 tontonan.

Apa yang lebih penting untuk diketahui sebelum memilih petrol RON 95 atau RON 97 adalah nisbah mampatan enjin dan bukan kapasitinya. Kami juga pernah menyiarkan satu artikel berkenaan ujian beza menggunakan petrol RON 95 dan RON 97 pada Proton Saga, dan anda boleh membacanya di sini.

7. ULASAN VIDEO: GPX Racing Demon 150GR dan 150GN di Malaysia – dari RM9k

Pengeluar dari Thailand, GPX Racing telah membuat kemunculan di Malaysia dengan pelancaran beberapa model menarik termasuklah Demon 150 GR dan GN. Dalam video yang mendapat 174,000 tontonan ini, anda boleh melihat penerangan kami selepas mengujinya di dalam litar.

Beza antara dua model ini cumalah penampilan, tetapi kedua-duanya adalah motosikal bersaiz kecil seperti ‘fun bike‘ yang dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok 149 cc dan berat sekitar 130 kg. Kelengkapan lainnya adalah termasuk tangki bahan api lapan liter, rim 14 inci, tayar 120/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, panel paparan LCD monochrome, lampu siang, lampu LED di belakang dan juga pengecas USB 5 volt.

6. ULASAN VIDEO: Toyota Yaris 1.5G di Malaysia – RM83,888

Sebelum ini, UMW Toyota memang ada memasarkan Yaris di dalam pasaran Malaysia, tetapi disebabkan ia adalah unit import sepenuhnya (CBU) dan harganya agak tinggi, ia kurang popular. Namun pada tahun 2019, Yaris kembali dalam versi CKD dengan harga bermula RM70,888.

Video yang melihat lebih dekat varian G paling tinggi ini mendapat 188,000 tontonan, dan kami turut menyertakan maklum balas selepas memandunya. Sebagai makluman, Yaris yang kita terima ini adalah versi ASEAN, yang berbeza dengan Yaris pasaran Amerika Syarikat dan Yaris Eropah.

5. RON100 vs RON95 di Malaysia – mampukah Petron Blaze 100 memberikan lebih hp dan Nm?

Ini adalah satu lagi video berkenaan penggunaan bahan api dan kesannya kepada kenderaan. Istimewanya kali ini kami mengisi petrol RON 95 dan RON 100 keluaran Petron pada kenderaan yang sama, kemudian melihat bezanya pada prestasi.

Ujian yang kami buat melibatkan tujuh buah kenderaan berbeza jenis dan juga sebuah motosikal, dan catatan prestasinya didapati melalui ujian dyno. Setakat ini video tersebut telah mencatat 198,000 tontonan dan anda juga boleh menontonnya sendiri untuk melihat keputusannya.

4. TINJAUAN AWAL: Perodua Axia 2019 – varian Style baru, VSC, ASA 2.0, RM24k-RM43k

Perodua Axia diberikan facelift pada bulan September lalu dan dalam video yang sudah mendapat 261,000 tontonan ini, kami melihat beberapa varian yang ditawarkan dan perbezaan di antaranya. Kesemuanya ada enam varian dengan harga bermula RM24,090.

Enjin Axia facelift ini masih lagi sama seperti sebelum ini, iaitu unit 1KR-VE VVT-i 1.0 liter tiga-silinder (67 hp/91 Nm), tetapi peningkatan yang lebih menarik adalah pada bahagian keselamatan, di mana ia boleh dilengkapi dengan kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0, sama seperti SUV Aruz.

3. TINJAUAN AWAL: 2019 Perodua Aruz SUV di Malaysia – RM73k-RM78k

Video berkenaan Perodua Aruz ini berada di kedudukan ketiga dengan tontonan sebanyak 269,000 dan ia juga bukan sesuatu yang pelik kerana berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Google, SUV tersebut turut berada dalam senarai 10 carian tertinggi di Malaysia.

Aruz menjadi penanda kemunculan semula Perodua dalam segmen SUV selepas Nautica dan Kembara sebelum ini, dan ia ditawarkan dalam dua varian yang berharga RM72,900 dan RM77,900. Kedua-duanya masih menggunakan enjin sama iaitu unit empat silinder NA 1.5 liter 2NR-VE dengan kuasa sebanyak 105 PS dan 136 Nm tork.

2. Daihatsu “SUV Kompak Baru” — bakal jadi SUV Perodua D55L 2020 nanti?

Video ini kami buat semasa berkunjung ke Tokyo Motor Show 2019, di mana Daihatsu ada mempamerkan sebuah SUV yang masih belum diberi nama. Walaubagaimanapun, ada ura-ura yang mengatakan ia bakal digunakan sebagai asas untuk SUV baru Perodua yang lebih kecil daripada Aruz. Mungkin dengan berita sebegitu video ini mencatat 329,000 tontonan.

Walaupun masih belum mempunyai nama, perincian teknikal SUV ini sudah disiarkan termasuk enjin yang menggunakan unit petrol tiga-silinder 1.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm, dipadankan bersama CVT yang memacu kuasa ke roda hadapan.

1. ULASAN VIDEO: Yamaha Y15ZR 2019 (V2) review + Dyno + Drag race di Malaysia

Rasanya, anda juga tidak akan terkejut dengan video Yamaha Y15ZR yang berjaya mencatat tontonan paling tinggi iaitu 910,000. Bukan setakat maklum balas pengalaman bersama motosikal ini, kami turut menyediakan laporan kuasa sebenar Y15 V2 ini atas mesin dyno serta ‘drag race‘ dengan NVX155.

Kami tahu skuter tersebut bukanlah saingan sebenar Y15 tetapi ia dibuat sebagai sesuatu yang berlainan dan tidak terlalu serius. Jika dibandingkan dengan Y15 sebelumnya, perubahan utama model V2 ini adalah pada bahagian lampu, meter serta beberapa bahagian kecil lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required