Pembuat komponen berasaskan material gentian karbon dari Thailand, NKGarage telah mendedahkan kit badan lengkap untuk Honda City RS generasi terbaharu, dan ia sudahpun mula boleh dibeli. Seperti produk-produk mereka sebelum ini, kit penggayaan luaran lengkap untuk City GN1 ini semuanya diperbuat dari bahan ringan tersebut.

Kit berkenaan terdiri dari lip spoiler hadapan berharga 8,900 baht (RM1,182), skirt sisi berharga 14,000 baht (RM1,860), lip spoiler bampar belakang berharga 6,000 baht (RM797), penutup bonet hadapan berharga 15,000 baht (RM1,993), sirip vortex generator berharga 8,500 baht (RM1,129), penutup cermin sisi berharga 3,500 baht (RM465) dan juga spoiler but belakang berharga 6,500 baht (RM863).

Unit demo NKGarage ini ditambah lagi dengan berberapa aksesori yang menaikkan lagi rupa agresifnya. Antaranya ialah sistem ekzos lengkap dari satu lagi jenama yang berasal dari Thailand iaitu JTCtitanium, sistem brek dengan cakera berliang bersama angkup lebih besar dari Endless, set rim 15-inci Volk Racing TE37 bersama tayar Toyo Proxes R888 R bersaiz 195/50R15, suspensi yang merendahkan lagi badan kereta serta sepasang tempat duduk hadapan Recaro Sporster CS berwarna merah.

Seperti model generasi sebelum ini, City generasi baharu ini dihasilkan oleh Honda Thailand, dan negara tersebut menjadi pasaran pertama menerimanya, didedahkan buat pertama kali pada November tahun lalu. Bagi membolehkan model ini bersaing dalam segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 dan menerima insentif potongan cukai istimewa di Thailand, ia diberikan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo, sama seperti enjin pada Civic 1.0L pasaran Eropah.

Berbanding enjin L15B 1.5L Turbo pada Civic yang hanya diberikan sistem VTC dan K20C1 2.0L Turbo pada Civic Type R yang hanya menerima sistem VTEC pada injap ekzos, enjin P10A2 pada City ini diberikan VTEC sebenar dengan aci sesondol pelbagai durasi pada injap kemasukan.

Enjin ini juga menerima sistem intercooler yang disejukkan oleh cecair dan juga pengecas turbo dari Borg Warner. Jadi kuasa yang dihasilkan juga adalah antara yang paling bertenaga dalam pasaran dengan angka 122 PS dan tork maksima 173Nm. Namun tiada pilihan kotak gear manual diberikan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

Empat varian City ditawarkan dalam pasaran Thailand iaitu versi paling paling asas S, V, SV dan buat pertama kali ia diperkenalkan dalam varian yang paling sporty – City RS, tetapi kesemuanya dijana oleh enjin yang sama.

Kita di Malaysia mungkin akan menerima model ini tidak lama lagi, kerana unit ujiannya sudah pun kelihatan diuji di Lebuhraya Persekutuan minggu lalu. Namun, masih lagi sukar untuk diagak adakah pasaran Malaysia turut akan menerima enjin turbo yang sama atau kekal dengan enjin 1.5 liter i-VTEC NA seperti model generasi sedia ada.

Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand