Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

Lexus secara rasminya telah melancarkan crossover kompak UX200 ke pasaran Malaysia hari ini. Ia bukan sahaja menjadi model paling mampu milik yang ditawarkan oleh Lexus Malaysia, malah jenama tersebut kini mempunyai produk untuk masuk ke segmen yang berhadapan terus dengan model-model Eropah seperti Mercedes-Benz GLA, BMW X1, Audi Q3 dan juga Volvo XC40.

Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, UX 200 boleh dipilih dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia, bermula dengan varian paling asas UX 200 Urban berharga RM243,888, UX 200 Luxury berharga RM243,888, dan UX 200 F Sport berharga RM299,888. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan setiap pembelian dilindungi waranti lima-tahun tanpa had perbatuan.

Walau bagaimanapun, ketiga-tiga varian ini dijana oleh enjin yang sama iaitu enjin M20A 2.0 liter empat silinder Dynamic Force dengan sistem suntikan terus D-4S. Tanpa pendesak turbo, enjin ini mampu menghasilkan kuasa 169 hp pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 205 Nm pada takat 4,800 rpm.

Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

Kuasa hanya dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik Direct Shift CVT (dilengkapi launch gear pada nisbah pertama) dan diberikan 10-kelajuan maya. Ini membolehkan UX 200 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 190 km/j.

UX merupakan model pertama Lexus yang dihasilkan dari platform Global Architecture – Compact, atau sebenarnya platform yang sama dengan Toyota New Global Architecture (TNGA) yang sama untuk Toyota C-HR, tetapi dalam versi lebih premium. Ia diberikan sistem suspensi topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang, ditala bagi memberikan keselesaan dan kelincahan, bersama “personaliti pemanduan yang tersendiri”, menurut Lexus.

Ia dihasilkan dengan dimensi 4,496 mm panjang, lebar 1,840 mm, tinggi 1,520 mm, jarak roda 2,639. Berbanding NX, UX ini menampilkan panjang keseluruhan yang 144 mm lebih pendek, dengan jarak roda 21 mm lebih dekat.

Muka UX ini diberikan gril spindel signatur Lexus dengan elemen blok 3D yang memberikan bentuk berlainan pada sudut pandang berbeza. Ia diapit dengan lampu hadapan LED projektor (standard untuk semua varian) yang tirus dan tajam, dan diberikan jalur lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah bersepadu.

Untuk varian Urban, ia diberikan rim 17-inci berwarna kelabu gelap yang direka dengan liang aerodinamik, manakala model Premium hadir dengan rim 18-inci kemasan dua tona.

Pada bahagian belakang, ia diberikan lampu LED yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate, bersama elemen spindel yang sama seperti di bahagian hadapan. Jika anda lihat dengan teliti, lampu belakang crossover ini juga direka seakan spoiler dan sememangnya mempunyai fungsi aerodinamik dan memberikan lebih kestabilan pada kelajuan tinggi.

Lexus UX 200 kini rasmi di M’sia – RM244k-RM300k

Untuk model tertinggi F Sport, ia hadir dengan gril hadapan dengan elemen mesh unik, liang udara lebih besar dan juga set rim 18-inci dalam kemasan kelabu bagi disesuaikan dengan kemasan pada bampar hadapan dan belakang.

Masuk ke kabin, UX diberikan rekaan papan pemuka yang fokus untuk pemandu di mana panel kawalan lebih tertumpu kearah pemandu, membolehkan setiap butang dan suis dapat dicapai dengan mudah. Pada bahagian atas papan permukaan papan pemuka untuk varian Luxury, ia diberikan tekstur yang diinspirasikan dari kertas washi Jepun (material yang digunakan pada pintu rumah Jepun).

Fungsi Remote Touch diberikan menerusi touch pad pada perehat tangan di terowong tengah, bagi memudahkan pemandu mengawal sistem infotainmen.

Untuk varian Urban, ia menerima kelengkapan seperti lampu hadapan automatik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, skrin tujuh-inci untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital, sistem pendingin hawa dua-zon dengan liang kabin belakang, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan larasan berkuasa lapan-hala, upholsteri kulit sintetik Nuluxe, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara dan kemera undur.

Varian Luxury dengan harga RM40,000 lebih mahal pula akan ditambah dengan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang dengan fungsi auto-dimming, kemasan dalaman metalik, roda stereng larasan berkuasa, tempat duduk hadapan dengan liang pendingin hawa dan fungsi memori, upholsteri kulit, plat bendul sisi aluminium, skrin infotaimen 10.3-inci, lapan pembesar suara, sistem kamera 360-darjah dan juga pintu tailgate dengan fungsi bukaan tanpa sentuhan.

Bagi model F-Sport pula ia bukan sahaja hadir dengan ciri kosmetik lebih sporty seperti tempat duduk sport, pedal penukar gear, paparan head-up dan paparan instrumen digital dengan gaya seperti Lexus LFA (takometer dan gelang tengah yang boleh bergerak), malah hadir dengan peralatan prestasi seperti penyerap hentak adaptif.

Lexus UX juga dilengkapi dengan sistem keselamatan antara yang termaju dalam kelasnya, di mana kesemua model diberikan standard dengan sistem brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, lampu hadapan adaptif, lane centring assist dan lapan-beg udara. Model Luxury dan F Sport turut ditambah dengan pemantau titik buta dan juga amaran lintasan trafik belakang.

GALERI: Lexus UX 200 Urban

GALERI: Lexus UX 200 Luxury

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required