Hyundai Elantra N Line diprebiu dalam video sebelum didedahkan – bunyi lebih garang, rupa lebih sporty

Selepas model asasnya didedahkan Mac lalu, tidak lama lagi Hyundai bakal memperkenalkan pula Elantra generasi baharu dalam versi N-Line pula – teaser telah disiarkan dalam bentuk video, menunjukkan ia dipandu dengan badan yang masih dilindungi pelekat penyamaran. Ini bukan model penuh Hyundai N seperti i30 N dan Veloster N, namun ia adalah versi yang lebih sporty bagi menggantikan Elantra Sport pada model generasi sebelum ini.

Video tersebut masih belum mendedahkan sebarang perincian teknikal, tetapi menerusi khabar yang bertiup sebelum ini, ia tidak akan menggunakan enjin 2.0L NA dan kotak gear CVT seperti model standard, sebaliknya akan dijana oleh enjin 1.6 liter Turbo-GDI seperti Elantra Sport sebelum ini dan Elantra GT (nama i30 di Amerika) N Line berkuasa 201 hp/265 Nm, bersama kotak gear DCT tujuh-kelajuan.

Khabar tersebut mungkin tepat kerana menerusi video teaser di atas, Elantra N Line ini menghasilkan bunyi yang lebih garang dan bunyi gear ditukar menerusi pedal penukar gear juga tidak seperti transmisi CVT.

Kita mungkin tidak dapat melihat dengan jelas apa perbezaan rupa Elantra N Line ini dengan versi biasa kerana pelekat penyamaran yang digunakan. Namun boleh dilihat, ia menerima kit badan yang lebih labuh, suspensi lebih rendah, rekaan rim yang berbeza, serta tip ekzos berkembar diserlahkan pada bampar belakang (tip ekzos disorokkan pada model standard).

Seperti Elantra Sport, Elantra N Line ini akan berhadapan dengan saingan yang sama di Amerika Syarikat ketika dilancarkan nanti, seperti Honda Civic Si dan Volkswagen Jetta GLI. Menerusi laporan sebelum ini, Elantra generasi baharu tersebut turut dikhabarkan akan dihasilkan dalam versi N sebenar, dijana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 275 PS/353 Nm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required