Honda City Turbo gaya NSX, Civic Type R dari NKSDesign Thailand – laju betul buat kerja!

Honda City Turbo gaya NSX, Civic Type R dari NKSDesign Thailand – laju betul buat kerja!

Walaupun baru sahaja Honda City 1.0 liter VTEC Turbo dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu, kita dah lihat dua jenis rekaan kit badan aftermarket untuk City GN1 ini iaitu keluaran NKGarage dan AZC Original. Jika dua rekaan ini lebih bersifat tersendiri, ini ada dua rekaan dari NKSDesign dari Thailand yang lebih klise dengan mengambil inspirasi dari model-model prestasi Honda.

NKSDesign menghasilkan kit badan mereka dengan meniru rekaan dari Honda NSX generasi baharu dan juga Honda Civic Type R FK8 – cepat betul diorang ni buat kerja! Untuk kit ‘City NSX’ selain dari bampar, ia turut diberikan ‘sayap’ splitter hadapan dan skirt sisi, bampar belakang dengan diffuser yang menempatkan perumah tip ekzos seperti port HDMI sama seperti NSX dan juga sayap GT di atas but belakang.

Manakala untuk ‘City Type R’, ia hadir dengan bampar hadapan dan belakang dengan rekaan FK8, lengkap dengan tip ekzos kembar tiga palsu di tengah bampar belakang, serta sayap but belakang yang turut menyerupai rekaan pada Civic Type R terkini berkenaan.

Selain dari kit-kit badan keluaran pihak ketiga ini, pemilik Honda City GN1 ini turut boleh memilih kit Modulo asli dari Honda, diperkenalkan ketika pelancarannya tempoh hari. Seperti model-model sedan City sebelum ini, model generasi baharu ini bukan dihasilkan oleh Honda Jepun, tetapi dibangunkan sendiri oleh Honda Thailand – setakat ini belum ada pasaran lain yang menerima City GN1 berkenaan.

Bagi membolehkan model ini bersaing dalam segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 dan menerima insentif potongan cukai istimewa di Thailand, ia diberikan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo, sama seperti enjin pada Civic 1.0L pasaran Eropah.

Berbanding enjin L15B 1.5L Turbo pada Civic yang hanya diberikan sistem VTC dan K20C1 2.0L Turbo pada Civic Type R yang hanya menerima sistem VTEC pada injap ekzos, enjin P10A2 pada City ini diberikan VTEC sebenar dengan aci sesondol pelbagai durasi pada injap kemasukan.

Enjin ini juga menerima sistem intercooler yang disejukkan oleh cecair dan juga pengecas turbo dari Borg Warner. Jadi kuasa yang dihasilkan juga adalah antara yang paling bertenaga dalam pasaran dengan angka 122 PS dan tork maksima 173Nm. Namun tiada pilihan kotak gear manual diberikan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required