Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

Imej bayangan kereta nasional ketiga dihasilkan oleh Theophilus Chin berdasarkan teaser yang ditunjukkan Februari lalu

Walaupun berlaku kemelut politik yang menyebabkan negara berubah tampuk pemerintahan, projek yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu iaitu projek kereta nasional baharu (NNCP) tetap akan diteruskan oleh kerajaan baharu, lapor Berita Harian.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beliau meminta Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Daihatsu untuk memberi taklimat serta membentangkan kertas kerja kepada kerajaan mengenai kaedah kedua syarikat automotif itu dapat membantu membangunkan projek tersebut.

“Ini adalah demi keperluan untuk mengembangkan sektor automotif negara. Saya juga mencadangkan kepada pengurusan (Dreamedge) untuk memberikan taklimat mengenai kemajuan kereta nasional ketiga.

“Ini kerana kita sudah mengenal pasti platform dan pelaksanaannya. Perkara ini perlu diperjelaskan,” katanya selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Perodua Suppliers Association (P2SA) dan Perodua Dealers Association (PDA).

Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

Menurut Azmin lagi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada Februari lalu turut akan diteruskan kerana ia adalah agenda dan rangka kerja untuk industri automotif masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata cadangan Menteri Kanan itu akan disempurnakan oleh pihaknya secepat mungkin. Beliau turut menjelaskan cadangan kertas kerja itu juga tidak semestinya merangkumi projek kereta nasional baru sahaja tetapi membabitkan ekosistem industri secara keseluruhan.

“Kita akan bentangkan kepada kerajaan bagaimana Perodua dapat membantu ekosistem automotif tempatan, bukan saja tertumpu kepada kereta nasional ketiga.

“Ia merangkumi ekosistem dari tenaga kerja hinggalah teknologi serta vendor,” katanya.

Teaser dari Dreamedge sendiri yang ditunjukkan pada Februari lalu

Perkara ini juga selari dengan apa yang dinyatakan oleh CEO MARii Datuk Madani Sahari Mac lalu. Menurutnya NNCP tidak akan dihentikan kerana ia bukan projek yang menerima dana kerajaan, tetapi projek dengan dana swasta, dan NAP 2020 memberikan berberapa insentif untuk projek sebegini.

Menurut Datuk Madani lagi, DreamEdge mahu mendedahkan prototaip kereta baharu mereka pada acara Malaysia Autoshow 2020 – pada awalnya dirancang akan berlangsung pada April ini, tetapi ditangguhkan ke Julai nanti kerana wabak virus COVID-19 yang masih belum reda.

Projek NNCP ini disuarakan oleh Tun Dr Mahathir pada Jun 2018, dan selepas berberapa perbincangan dan penilaian, Ogos tahun lalu DreamEdge telah diumumkan untuk menerajui projek ini.

Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

Menerusi apa yang dikongsikan oleh CEO DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, ketika pengumuman awalan pada Ogos tahun lalu, syarikatnya setakat ini merancang untuk mengeluarkan sebuah kereta sedan hibrid segmen B besar sebagai model pertama. Teknologi utama yang terlibat di dalam projek ini pula dimaklumkan akan diperoleh atau disokong oleh Daihatsu Jepun. Walau bagaimanapun, teknologi spesifik yang bakal digunakan berkenaan masih belum diperincikan.

Namun dalam laporan dari Affin Hwang Investment Bank pada Disember 2019, kereta ini akan dijana sama ada dengan enjin pembakaran dalaman konvensional atau unit penjana hibrid petrol elektrik, dan dijangka akan diberikan pelbagai teknologi terkini seperti sistem-sistem terhubung serta teknologi bantuan pemanduan. DreamEdge tidak mempunyai kilang sendiri, tetapi ia akan dihasilkan secara kontrak, dengan khabar menyatakan bahawa ia akan dibina oleh subsidiari Daihatsu iaitu Perodua.

Konsep rekaan dan pembangunan projek ini akan diterajui oleh DreamEdge, bersama rakan teknologinya iaitu Daihatsu – yang telah mengesahkan pembabitannya pada Oktober lalu – yang akan membangunkan unit janakuasa serta membekalkan platform. Walau bagaimanapun, DreamEdge telah menegaskan dalam mesyuarat dengan Affin Hwang berkenaan kereta tersebut bukan satu lagi model rebadge Daihatsu.

Kerajaan baharu teruskan projek kereta nasional ketiga – Perodua dan Daihatsu perlu berikan taklimat

Menurut laporan dari Affin Hwang lagi, garis masa pendedahan kereta ini juga telah dirombak semula – prototaip penuh kereta ini akan didedahkan pada pertengahan tahun 2020, manakala produksi penuh akan berjalan pada separuh pertama 2022 – lebih lewat setahun dari yang dijangka. DreamEdge turut mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 3,000 unit kereta ini pada tahun pertama produksinya nanti.

Ketika majlis pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bulan lalu, DreamEdge telah pun meletakkan teaser prototaip kereta berkenaan untuk tatapan orang ramai – diletakkan dalam kotak gelap dan hanya mendedahkan bahagian lampu hadapan dan belakang.

DreamEdge menyifatkan kereta ini sebagai “akan memberikan keseronokan memandu, mesra keluarga, penggunaan bahan api yang sangat jimat dan bernilai untuk wang,” dan ” menerima rekaan moden dan furistik, lengkap dengan fungsi terhubung terkini dan juga sistem bantuan pemanduan terkini,” serta “akan dihasilkan dan meningkatkan kebolehan R&D tempatan, meningkatkan kebolehan jurutera tempatan dan mewujudkan bakat yang berkemahiran tinggi.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required