Spesifikasi Proton X50 dibandingkan dengan Honda HR-V, Toyota C-HR, Mazda CX-3, CX-30 dan SUV lain

Spesifikasi Proton X50 dibandingkan dengan Honda HR-V, Toyota C-HR, Mazda CX-3, CX-30 dan SUV lain

Proton secara rasminya telah melancarkan SUV yang ditunggu ramai, iaitu X50. Empat varian ditawarkan, dengan harga antara RM79,200 hingga RM103,300. Melihat kepada senarai spesifikasinya, SUV ini mungkin mampu menarik minat ramai dan memberi saingan kepada model-model lain.

Jadi, bagaimana kedudukan X50 apabila dibandingkan dengan SUV segmen C dan B lain yang sudah berada ataupun akan tiba dalam pasaran Malaysia seperti Proton X70, Honda HR-V, Toyota C-HR, Mazda CX-3 dan CX-30, Subaru XV, Kia Seltos dan Hyundai Kona? Di bawah kami telah sediakan satu jadual untuk memudahkan pemerhatian anda.

Sebelum itu, kami ingin memberitahu bahawa dalam senarai ini cuma terdapat varian paling tinggi bagi setiap model, kerana berkemungkinan besar inilah varian yang akan dipertimbangkan oleh kebanyakan orang. Ia juga adalah varian yang mempunyai ciri paling lengkap. Bagi X50, varian paling tinggi adalah Flagship, sementara yang lain boleh dilihat dalam jadual di bawah.

Pada aspek harga, X50 Flagship adalah model paling murah antara kesemuanya (yang sudah ada harga), tidak termasuk Kia Seltos dan Hyundai Kona. Dua model Korea ini masih belum dilancarkan, tetapi Kona dijangka tiba hujung minggu ini.

Spesifikasi Proton X50 dibandingkan dengan Honda HR-V, Toyota C-HR, Mazda CX-3, CX-30 dan SUV lain

Melihat kepada kuasa enjin, unit tiga silinder 1.5 liter turbo direct injection yang digunakan pada X50 Flagship mampu menghasilkan 175 PS dan 255 Nm tork, iaitu kurang berbanding X70 yang menggunakan enjin empat silinder 1.8 liter turbo berkuasa 181 hp dan 300 Nm tork.

Walaubagaimanapun, apabila dibandingkan dengan SUV lain di dalam senarai, X50 menunjukkan kelebihan, meskipun enjin Kona mencatat kuasa hampir sama iaitu 175 hp dan 265 Nm. Kesemua X50, X70 dan Kona menggunakan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan – model Proton menggunakan jenis basah – sementara yang lain menggunakan sama ada automatik enam kelajuan ataupun CVT. Hampir semua varian yang dimasukkan dalam senarai juga menggunakan pacuan dua roda hadapan.

Pergi kepada dimensi, X50 mempunyai ukuran 4,330 mm panjang dan jarak roda 2,600 mm, meletakkan ia hampir dengan SUV yang sekian lama dijadikan sebagai tanda ukuran, iaitu Honda HR-V (panjang 4,334 mm dan jarak roda 2,610 mm).

Ukuran X50 juga menjadikan saiznya hampir seperti Seltos (panjang 4,315 mm, jarak roda 2,610 mm), sementara jarak roda pula sama dengan Kona yang mempunyai panjang 4,165 mm. Jika dibandingkan dengan X70, Subaru XV, Toyota C-HR dan Mazda CX-30, sudah tentu X50 adalah lebih kecil, tetapi dengan Mazda CX-3, ia tidak terlalu jauh (panjang 4,275 mm dan jarak roda 2,570 mm).

Untuk senarai kelengkapan, kedua-dua X50 Flagship dan X70 Premium X menyerlah dengan mempunyai kamera 360 darjah secara standard, bersama bumbung panoramik. Tiada SUV lain dalam senarai ini yang mempunyai kamera 360 darjah sementara bumbung suria pula cuma ada pada CX-30.

Cuma X50, X70 dan CX-30 yang datang dengan panel instrumen LCD digital manakala yang lain menggunakan tolok analog bersama paparan informasi kecil. Pendingin hawa automatik ada pada semua model ini (satu zon atau dua zon), tetapi corong pendingin hawa belakang cuma ada pada X50, X70 dan CX-30.

Pada bahagian hiburan, Android Auto dan Apple CarPlay tidak diberikan pada kedua-dua SUV Proton serta HR-V, tetapi ia mempunyai fungsi screen mirroring sebagai alternatif. Jika anda mahukan Android Auto atau Apple CarPlay, ia cuma ada pada C-HR, CX-30, Seltos dan Kona sementara untuk CX-3 pula ia disediakan sebagai pilihan tambahan.

Sudah tentu, kelebihan utama X50 Flagship adalah pada sistem keselamatan dan bantuan pemandu. Enam beg udara adalah diberikan terus pada varian ini, dan ia ditambah lagi dengan Autonomous Emergency Braking, Active Cruise Control, Active Lane Keep Assist, Blind Spot Assist dan Auto High Beam Control.

Model X70, CX-30 dan Kona juga ada pelbagai kelengkapan tetapi ia tidak sama seperti X50 yang cukup lengkap. SUV lain cuma ada beberapa sahaja sistem yang diberikan secara standard, ataupun tiada langsung.

Mengambil kira semua ini, X50 menyediakan nilai untuk wang yang agak menarik bagi mereka yang mencari SUV segmen B. Dengan enjin yang berkemampuan mengatasi model lain lebih tinggi, senarai kelengkapan yang banyak, terutamanya pada bahagian sistem keselamatan dan bantuan pemandu, ia memang cukup menarik. Anda rasa macam mana?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Ada ralat tu.. Kia Seltos ada Rear vents.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Zul Serena on Oct 28, 2020 at 5:54 pm

    nampak dah X50 menang…. tapi ia akan menjadi kalah apabila smpi ke pusat service proton ! harap diambil berat bab ini…. dah byk sgt review pasal pusat service proton…. tak mesra alam n slow… kemon proton ! kasi ubah !

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required