Nissan Almera Turbo Vs. Honda City & Proton X50 – kami banding kos servis berkala hingga 100,000 km

Nissan Almera Turbo Vs. Honda City & Proton X50 – kami banding kos servis berkala hingga 100,000 km

Sebelum ini kami telah pun membuat perbandingan kos servis berkala untuk Proton X50 dan juga Honda City 1.5L 2020. Dan kini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah pun menyiarkan kos servis berkala untuk model baharu Nissan Almera Turbo, jadi menerusi artikel baharu ini kami buat perbandingan sekali dengan sedan segmen-B yang menjadi saingan terus kepada Honda City.

Kami tahu, mesti ada yang mempersoalkan kenapa buat perbandingan antara model yang berlainan segmen? Mestilah tak adil untuk Proton X50 kerana ia sebuah SUV manakala lagi dua model tersebut adalah sedan bukan? Pertama sekali, tujuan artikel ini dibuat bukanlah untuk kami namakan salah satu model ini sebagai model terbaik yang kami pilih, tetapi ia dibuat untuk panduan mereka yang sedang membuat penilaian model mana yang hendak dibeli.

Jika kita lihat dari segi segmentasi memang la perbandingan ini tidak masuk akal. Tetapi dalam dunia sebenar, memang ramai yang menyenaraikan tiga model ini sebagai ‘calon finalis’ sebelum mereka membuat keputusan untuk membeli kereta baharu berdasarkan julat harga yang hampir sama antara ketiga-tiganya.

Bukan semua orang mempunyai kriteria yang sama semasa membuat senarai akhir kereta apa yang patut dibeli. Untuk mereka yang masih bujang, atau baru kahwin dengan anak masih seorang, atau seseorang yang mahukan kereta kedua setelah mempunyai sebuah kereta keluarga yang cukup praktikal, tidak mustahil untuk mereka membandingkan Proton X50 dengan dua sedan segmen-B yang baharu dalam pasaran ini.

Walau bagaimanapun, sebelum ini kami telah pun menaikkan satu artikel berkenaan perbandingan kos servis antara Proton X50 dan pesaing terdekat dalam segmen sama iaitu Honda HR-V, yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Seperti yang kami sebut tadi, ketiga-tiga model yang kami bandingkan ini mempunyai julat harga jualan yang hampir sama. Nissan Almera Turbo dijual pada harga bermula RM79,906 hinggan RM91,310), Proton X50 berharga RM79,200 hingga RM103,300 dan model petrol sepenuhnya Honda City 1.5L berharga RM74,191 hingga RM86,561.

Sebelum bermula, ingin kami jelaskan bahawa perbandingan kos servis selama lima tahun atau 100,000 km ini dibuat berdasarkan jadual servis rasmi kesemua pengeluar yang boleh anda lihat pada laman web rasmi masing-masing. Proton X50 dan Honda City disarankan untuk diservis setiap 10,000 km/6 bulan, namun untuk Nissan Almera sela masa servisnya adalah setiap 7,000 km/6 bulan.

Jadi untuk Almera, jumlah keseluruhan servis yang kami ambil kira adalah sehingga 98,000 km/tujuh tahun, berbanding 100,000 km/lima tahun pada X50 dan City. Berberapa perkara lebih dari tempoh ini turut akan kami sentuh.

Nissan Almera Turbo Vs. Honda City & Proton X50 – kami banding kos servis berkala hingga 100,000 km

Satu lagi kami nak anda tahu, ketiga-tiga model ini digerakkan dengan enjin yang agak berlainan antara satu sama lain; Proton X50 dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, Nissan Almera menerima enjin 1.0 liter tiga silinder turbo, manakala Honda City petrol diberikan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC tanpa turbo.

Khas untuk perbandingan ini, jadual kos keseluruhan yang kami sediakan di atas menyatakan dua angka untuk Almera iaitu pada 70,000 km/5 tahun dan juga 98,000 km/7 tahun. Boleh anda lihat pada tempoh lima tahun pertama (sekiranya pemilik secara purata tidak memandu kereta berkenaan lebih dari 7,000 km setiap enam-bulan), Almera merupakan model dengan kos servis paling rendah.

Ini kerana Almera diberikan lima servis percuma yang merangkumi kos upah dan alat ganti pada servis perbatuan 7,000-, 21,000-, 35,000-, 49,000- dan 63,000-km. Jika diperhatikan, kesemua servis terpilih ini adalah servis-servis kecil yang melibatkan penukaran minyak enjin, penapis minyak, penapis udara kabin dan juga isian semula cecair pembersih cermin hadapan.

Honda turut memberikan lima servis percuma kepada pemilik City tetapi hanya merangkumi kos upah pada perbatuan terpilih termasuk servis besar, manakala Proton juga memberikan pakej serupa kepada pemilik X50, tetapi ia hanya terhad kepada 30,000 pelanggan pertama.

Nissan Almera Turbo Vs. Honda City & Proton X50 – kami banding kos servis berkala hingga 100,000 km

Klik untuk besarkan

Jadi jika ikut tahun yang dinyatakan oleh pengeluar, memang Almera dilihat sebagai model dengan kos servis berkala paling rendah. Tetapi jika dikira berdasarkan perbatuan, kos servis berkala untuk Almera pada 98,000 km adalah lebih mahal dari Honda City, tetapi masih lebih rendah dari Proton X50.

Nissan Almera dan Proton X50 kedua-duanya disarankan untuk menggunakan minyak enjin sintetik penuh. Manakala untuk City, Honda menyatakan bahawa minyak semi-sintetik dengan RM114.69 setiap penukaran boleh digunakan untuk jarak perbatuan 10,000 km, dan ia diberikan secara standard dalam pakej servis.

Namun untuk pemilik City, anda masih boleh memilih untuk menggunakan minyak jenis sintetik penuh dengan harga RM130.80 untuk setiap servis (termasuk gasket penutup palam buang minyak), dan kos keseluruhan sehingga 100,000 km/5 tahun adalah RM3,830.81. Jadi jika anda menggunakan minyak enjin sintetik sepenuhnya untuk semua servis, kos servis berkala untuk City ini masih yang paling murah antara ketiga-tiga model ini.

Jika lebih diteliti setiap jadual model-model ini, penapis minyak enjin Honda City hanya perlu ditukar setiap 20,000 km, bermakna penapis yang berharga RM34.10 berkenaan tidak perlu ditukar sekali pada setiap sesi penukaran minyak enjin. Manakala pada X50 dan Almera, ia masih bersifat konvensional di mana penapis tersebut ditukar sekali dengan minyak enjin pada setiap servis.

Manakala untuk penapis udara enjin, dalam tempoh 100,000 km, X50 perlu menukarnya sebanyak lima kali berbanding hanya tiga kali pada Almera dan City dengan kos pada model Nissan tersebut paling rendah kerana harga komponen yang paling murah. Begitu juga untuk penapis udara kabin, dalam tempoh sama Proton X50 perlu menukar sebanyak lima kali, berbanding hanya empat untuk Almera dan tiga untuk City.

Dua sedan segmen-B ini menggunakan kotak gear CVT automatik, manakala Proton X50 dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar jenis basah DCT tujuh-kelajuan automatik. Untuk itu, City perlu menukar minyak transmisi CVTF berkenaan setiap 40,000 km/24 bulan, dan Almera pula setiap 84,000 km 48 bulan. Manakala X50 pula minyak transmisi perlu ditukar setiap 90,000 km/54 bulan.

Jika diperhatikan, dalam tempoh 100,000 km kos untuk menukar minyak transmisi Almera adalah paling mahal dengan harga RM414.75 (termasuk upah). City walaupun perlu ditukar dua kali dalam tempoh tersebut kos keseluruhannya hanya RM258.48, sementara X50 pula sekali penukaran menelan belanja RM237.36.

Untuk palam pencucuh pula, Proton X50 hanya menggunakan komponen biasa yang berharga RM96.84 satu set yang perlu ditukar setiap 40,000 km. Nissan Almera pula menggunakan palam pencucuh platinum yang berharga RM120 yang perlu ditukar setiap 98,000/84 bulan. Manakala Honda City memerlukan palam pencucuh iridium yang paling mahal berharga RM554.20, dan ia boleh bertahan untuk setiap 100,000 km.

Perkara lain yang turut perlu diselenggara termasuk penukaran penapis petrol, yang perlu dibuat setiap 20,000 km untuk X50, manakala City pula bertahan dalam tempoh yang sangat lama iaitu setiap 140,000 km/84 bulan. Namun ETCM tidak menyatakan bila penapis petrol Almera perlu ditukar.

Bagi cecair penyejuk pada radiator, Proton X50 perlu menukarnya setiap 60,000 km/36 bulan, Almera perlu ditukar setiap 98,000 km/84 bulan, dan Honda City sekali lagi menampilkan sela masa penukaran yang sangat jauh iaitu setiap 200,000 km/10 tahun.

Untuk Nissan Almera, tali sawat (untuk menggerakkan alternator dsb) perlu ditukar setia 28,000 km/24 bulan dengan kos RM151 (termasuk kos upah RM14). Manakala untuk City, Honda tidak menyatakan bila komponen tersebut perlu ditukar – biasanya untuk situasi seperti ini, ia perlu ditukar berdasarkan penilaian juruteknik setiap kali memeriksanya pada setiap servis.

Aci sesondol pada enjin Almera dan City digerakkan oleh rantai logam ‘timing chain’ yang biasanya bertahan dalam tempoh dalam masa yang agak lama. Manakala untuk Proton X50, ia menggunakan sistem tali sawat ‘timing belt’ – ia perlu diperiksa pada 100,000 km, manakala penukarannya pula perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

Berapa kos untuk penukaran timing belt berkenaan? Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar tali sawat yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

Selain dari komponen-komponen servis yang perlu ditukar secara berkala ini, kami turut meninjau berberapa komponen haus dan lusuh lain yang perlu ditukar mengikut penggunaan pemilik, dan tidak tersenarai dalam jadual servis berkala.

Untuk Nissan Almera, kos penukaran pad brek hadapan termasuk upah adalah RM387, dan kasut brek untuk sistem dram di belakang pula adalah RM 412. Tiada maklumat yang kami dapat untuk komponen sama pada Honda dan Proton.

Satu lagi kelebihan bagi sedan seperti Honda City dan Nissan Almera adalah ia menggunakan kerana ia menggunakan tayar yang lebih kecil dan murah dengan rim dari 15- hingga 16-inci bergantung varian, berbanding Proton X50 yang dibekalkan dengan rim 17- hingga 18-inci bergantung pada varian.

Begitu juga brek, di mana Proton X50 bukan sahaja diberikan angkup serta pad brek yang lebih besar dan mahal, malah ia diberikan sistem brek cakera untuk semua roda, berbanding Honda City dengan angkup dan pad brek lebih kecil serta hanya menggunakan sistem dram yang lebih tahan lama di belakang.

Secara ringkas yang boleh kami katakan, kos untuk menyara sebuah sedan adalah jauh lebih murah dari sebuah SUV berdasarkan berberapa faktor yang boleh anda baca pada satu lagi artikel kami pada PAUTAN INI. Lagi sekali nak kami tegaskan, artikel yang kami tulis ini bukan nak tunjuk model mana yang paling bagus, tetapi ia lebih menumpukan kepada apa yang perlu anda tahu sebab kami tahu bahawa bajet, citarasa, keinginan, keperluan dan pelbagai faktor adalah tidak sama untuk setiap individu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required