Honda City nampaknya masih lagi kekal antara sedan segmen-B yang paling popular di Malaysia – pada 19 November lalu Honda Malaysia (HM) menyatakan bahawa tempahan untuk model generasi baharu berkenaan telah pun mencecah 9,000 unit dan 2,400 unit kereta telah dihantar kepada pelanggan selepas ia dilancarkan pada pertengahan Oktober tahun ini.

Angka tersebut nampaknya berganda pada akhir bulan lalu – kami diberitahu oleh pihak HM bahawa sejumlah 5,100 unit City 2020 ini telah dihantar kepada pelanggan yang menempahnya setakat 30 November! Sebagai perbandingan, Proton X50 yang dilancarkan dua minggu selepas City hanya berjaya dihantar 2,203 unit sehingga berakhir bulan lalu.

Untuk kemaskini terbaharu ini masih tiada lagi pecahan varian yang telah dijual dinyatakan oleh HM. Namun pada 19 November lalu, varian tertinggi untuk model janaan petrol sepenuhnya iaitu City 1.5L V menjadi varian paling popular, dengan menjadi pilihan 54% pelanggan dari angka keseluruhan yang ditempah tersebut.

Buat masa sekarang, Honda City 2020 dijual pada pasaran Malaysia bermula RM74,191 untuk varian asas S, RM81,664 untuk varian E dan RM86,664 untuk varian V – kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran, serta dengan pengecualian cukai jualan 2020. Istimewa untuk model S dan E, Honda kini menawarkan rebat RM2,000 dalam Jualan 12.12 dalam masa terhad.

Model generasi terkini ini masih dijana enjin 1.5 liter NA, namun telah dikemaskini dengan kepala silinder DOHC i-VTEC berbanding SOHC sebelum ini, menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm. Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

Pasaran Malaysia turut menerima City generasi baharu ini dalam versi hibrid dan ia akan diletakkan sebagai varian tertinggi RS e:HEV. Walaupun ia telah diperkenalkan sekali ketika pelancaran model 2020 ini tempoh hari, jualannya hanya bermula pada awal tahun hadapan kerana produksi model ini di kilang Honda di Pegoh, Melaka terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Model dengan teknologi elektrifikasi ini menampilkan unit penjana i-MMD, terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm.

Berbeza dengan sistem hibrid i-DCD dari City sebelum ini, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri seperti sebuah sistem hibrid range extender atau ‘generator pasar malam’, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

Lebih perincian berkenaan kelengkapan dan fungsi yang dibekalkan pada model generasi baharu ini, anda boleh baca artikel yang telah pun kami sediakan sebelum ini pada pautan di bawah:

Honda City 1.5L V 2020

Honda City 1.5L E Modulo 2020

Honda City 1.5L RS e:HEV 2020