Kita sudah pun menerima hot-hatch yang paling ditunggu-tunggu dari Toyota tahun ini, iaitu jentera yang lahir dari kejuaraan rali dunia (WRC) dengan pembangunan bersama Tommi Makinen iaitu Toyota GR Yaris dilancarkan minggu lalu. Untuk pasaran Malaysia, kita menerima GR Yaris dengan kuasa 261 PS dan tork maksima 360 Nm.

Kuasa yang dihasilkan tersebut adalah sama dengan versi yang dipasarkan di Eropah, dan talaan tersebut dilihat sedikit lebih rendah dari versi pasaran domestik Jepun, yang menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm dari G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo yang sama berkenaan.

Enjin tersebut kini diiktiraf sebagai enjin 1.6 liter tiga-silinder paling berkuasa di dunia, dan seperti yang diketahui ia tidak ditala bagi menghasilkan kuasa paling optimum dari kilang kerana ia perlu melepasi ujian-ujian tertentu untuk diluluskan bagi dijual, contohnya ujian pencemaran udara.

Jadi, berapa agak kuasa yang dapat diekstrak dari enjin ini menggunakan segala hardware dari kilang tanpa pengubahsuaian kecuali talaan semula pada kotak komputer dan meningkat sedikit lagi tekanan boost turbo? Penala dari Britain, Litchfield Motors telah melakukan semula proses berkenaan dan menurut mereka ia konsisten untuk menghasilkan sekitar 308 PS dan tork maksima 387 Nm!

Ini adalah proses biasa yang dibuat oleh Litchfield. Sebelum menghasilkan pelbagai lagi komponen berprestasi tinggi untuk satu-satu model baharu, mereka akan menala dahulu kotak komputer bagi mendapatkan input berapa kuasa paling optimum yang boleh dihasilkan dengan segala komponen-komponen dari kilang. Dan bermula dari hasil tersebut, barulah mereka mula menghasilkan peralatan lebih ekstrem untuk kereta tersebut dan diproduksi untuk dijual dalam pasaran.

Toyota GR Yaris ini dijangka bakal mewarnai lapangan dunia ubahsuai selepas ini dan sudah tentu Tokyo Auto Salon 2021 yang akan berlangsung pada Januari nanti akan dipenuhi oleh pocket-rocket dari Toyota ini. HKS misalnya, mereka telahpun menghasilkan GR Yaris dengan kuasa 475 PS yang masih menggunakan komponen dalaman standard, dengan ubahsuai pengecas turbo lebih besar dan juga suntikan nitrus oksida.

Untuk mengetahui lebih lagi berkenaan Toyota GR Yaris ini dan kenapa ia begitu hype, lebih hype dari abangnya Toyota GR Supra, baca artikel-artikel yang telah kami tulis sebelum ini pada pautan di bawah: