Honda HR-V 2021 – lukisan paten bocor!

Honda HR-V 2021 – lukisan paten bocor!

Honda HR-V generasi ketiga sebelum ini sudah pun diumumkan akan membuat kemunculan sulung peringkat globalnya pada 18 Februari nanti. Namun, gambaran awal untuk model tersebut nampaknya sudahpun bocor menerusi gambar paten yang disiarkan oleh akaun Facebook Vanhoe Rage.

Menerusi set gambar berkenaan, HR-V 2021 dilihat bakal menampilkan dua rekaan gril berbeza. Yang pertama, seperti yang dilihat pada gambar spyshot prototaip ujiannya, ia menggunakan rekaan jalur melintang. Manakala satu lagi versi diberikan gril dengan elemen rekaan Diamond-pin, seperti Mercedes-Benz dan juga kebanyakkan model-model baharu dari jenama China.

Secara keseluruhan, bentuk model generasi baharu ini sememangnya adalah versi produksi untuk model konsep Honda SUV e:concept yang didedahkan di Beijing tahun lalu. Malah dengan gambar spyshot unit prototaip ujian yang dijumpai dan digabungkan dengan rekaan e:concept, imej bayangan yang dihasilkan oleh Theophilus Chin sebelum ini telah menghasilkan rupa yang hampir sama seperti rekaan paten yang terdedah tersebut.

HR-V generasi baharu ini menampilkan rupa yang jauh berbeza dari generasi sedia ada. Ia direka dengan muncung yang kelihatan tinggi dan panjang, garis bahu yang lebih tegap serta garis bumbung dan pintu belakang yang lebih bersegi. Namun pembuka pintu belakang yang ‘disorokkan’ pada sebelah atas memberikan bayangan seolah-olah ia model tiga pintu masih dikekalkan sebagai identiti HR-V.

Model generasi seterusnya ini juga sudah mula menggunakan rekaan muka signatur baharu Honda dengan lampu dan gril yang lebih bersegi, serta lampu belakang yang lebih nipis, seperti yang diterapkan pada Honda Civic generasi ke-11.

Tiada sebarang lukisan untuk bahagian dalaman didedahkan. Tetapi menerusi teaser yang disiarkan oleh Honda bulan lalu, boleh dibayangkan HR-V akan dipadankan dengan papan pemuka yang direka lebih melintang dan ringkas, bersama skrin infotainmen yang berdiri sendiri.

Model konsep Honda SUV e:concept (atas kiri), imej bayangan Theophilus Chin (atas kiri) dan spyshot unit prototaip ujian di Jepun (bawah)

Bahagian lain yang boleh dilihat dalam gambar teaser tersebut adalah pengawal pendingin hawa serta tombol gear seperti Jazz dan City, serta tweeter pada bahagian pintu yang mungkin menunjukkan tambahan jumlah pembesar suara.

Tiada sebarang bayang perincian teknikal yang untuk model generasi baharu ini, tetapi Honda telah mengesahkan HR-V akan datang dengan pilihan sistem hibrid e:HEV seperti Jazz dan City. Kedua-dua model berkenaan hadir dengan sistem hibrid dua motor elektrik Intelligent Multi Mode Drive (i-MMD) berkuasa 108 PS/253 Nm, bersama enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127 Nm.

Juga boleh dijangka HR-V generasi ketiga ini akan turut hadir dengan pilihan enjin petrol sepenuhnya, termasuk enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang telah pun digunakan pada model generasi sedia ada pada pasaran-pasaran tertentu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required