Menurut laporan pelabur yang disediakan oleh AmInvestment Bank dan Public Investment Bank, Bermaz Auto (BAuto) baru sahaja mendapat kelulusan dari Mazda Jepun untuk memulakan program pemasangan tempatan (CKD) mereka yang ketiga membabitkan SUV segmen-B CX-30 tahun ini. Buat masa sekarang BAuto telahpun memasang CX-5 dan juga CX-8 di kilang Inokom Kulim, Kedah.

Perkara tersebut juga sebenarnya telah pun disebutkan dalam laporan sebelum ini yang menyebut bahawa BAuto merancang untuk memperkenalkan SUV Mazda baharu dalam versi pemasangan tempatan dalam tahun kewangan 2021 ini, yang bermula 1 Mei 2020 sehingga 30 April 2021.

CEO BAuto Datuk Francis Lee juga telahpun mengesahkan perkara berkenaan dalam satu temu ramah dan menyebut bahawa fasiliti Inokom akan ditingkat taraf dengan pelaburan sebanyak RM200 juta bagi menghasilkan model CKD baharu. Walau bagaimanapun, ketika itu masih belum dipastikan sama ada CX-30 atau MX-30 akan dipilih untuk projek berkenaan.

Dengan berita terbaru ini, nampaknya BAuto telahpun memilih CX-30 terlebih dahulu untuk dihasilkan secara CKD di Kulim. Sebelum ini Lee turut telah menyebut bahawa MX-30 dalam varian hibrid ringkas juga bakal masuk ke pasaran Malaysia, bersama trak pikap BT-50 generasi baharu.

Perician yang tertulis antara dua laporan berkenaan juga dilihat saling berkait, dengan Public Investment Bank mengatakan bahawa produksi CX-30 di kilang Inokom tersebut akan hanya bermula pada Disember tahun ini. Manakala AmInvestment Bank pula mengatakan bahawa model CKD baharu tersebut akan dilancarkan pada suku kedua 2021, namun sumber dari BAuto sendiri memberitahu kami bahawa pelancarannya akan berlangsung pada tahun 2022.

Antara isi yang agak ‘menarik’ dalam laporan AmInvestment bank berkenaan, ia menyatakan bahawa model CKD tersebut dijangka akan dijual RM15,000 lebih rendah dari versi yang diimport sepenuhnya (CBU) yang kini telah dijual dalam pasaran.

Mazda CX-30 CBU telah pun dilancarkan di Malaysia pada awal tahun lalu dan kini ditawarkan dalam tiga varian petrol – 2.0G, 2.0G High dan 2.0G High AWD – dijual pada harga bermula RM144,759 hingga RM170,459. Angka-angka yang disebutkan ini merupakan harga atas jalan tanpa insuran termasuk pengecualian cukai jualan sebanyak 15% untuk model CBU. Bermaz turut ada menawarkan CX-30 versi diesel dalam varian tunggal 1.8D High, berharga RM167,674.

Jadi berdasarkan dakwaan AmInvestment Bank yang mengatakan ia akan dijual RM15,000 lebih murah untuk versi CKD nanti, boleh dijangka CX-30 akan ditawarkan pada harga bermula RM129,759 sehingga RM155,459. Ini membolehkan SUV yang diletakkan antara CX-3 dan CX-5 ini berada pada tahap harga yang lebih kompetitif dalam pasaran.

GALERI: Mazda CX-30 2.0L Skyactiv-G CBU