Saga model paling laris di M’sia, pintas Myvi untuk April 2021; Proton jual 15k unit 3 bulan berturut-turut

Saga model paling laris di M’sia, pintas Myvi untuk April 2021; Proton jual 15k unit 3 bulan berturut-turut

Proton telah pun mengumumkan prestasi jualan mereka untuk April 2021 – mereka berjaya menjual sebanyak 15,017 unit kenderaan bulan lalu, mengekalkan momentum jualan melebihi 15k unit untuk bulan ketiga berturut-turut tahun ini. Angka tersebut menunjukkan ia adalah peningkatan sebanyak 0.18% berbanding bulan Mac. Proton biasanya akan mencampurkan jualan domestik dan eksport dalam pengumuman mereka.

Dengan jualan melebihi 15k unit berkenaan, Proton menganggarkan mereka kini memegang 26.7% bahagian dalam pasaran. Jualan kumulatif untuk empat bulan pertama tahun ini sudah pun mencapai 47,843 unit, dengan anggaran pegangan bahagian pasaran sebanyak 24.4%. Ini mungkin membuatkan Proton selesa berada di tempat kedua di belakang Perodua dalam kedudukan keseluruhan.

Proton juga mendakwa model paling mampu milik keluaran mereka, Proton Saga merupakan model paling laris bulan lalu, dengan jualan sebanyak 5,472. Ini bermakna Saga telah pun berjaya memintas jualan model paling laris di Malaysia sejak sekian lama iaitu Perodua Myvi pada April 2021. Ini juga sebenarnya kali kedua Saga mencatatkan rekod sebagai model bulanan paling laris selepas Mei 2020, walaupun jualan pada bulan lalu sebenarnya lebih rendah dari Mac.

Barisan SUV Proton terus mencatatkan jualan yang memberangsangkan dan menyumbangkan bahagian yang besar secara keseluruhan. Sebanyak 3,583 unit Proton X50 telah berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang April (rekod tertinggi setakat ini), serta 2,101 unit untuk X70. Ini bermakna Proton berjaya menjual sebanyak 5,684 unit SUV sepanjang bulan lalu, iaitu bulan kedua tertinggi pernah dicatatkan untuk barisan model X, hanya sedikit rendah berbanding rekod pada Mac.

Tiga lagi model Proton juga telah mencatatkan jualan bulanan terbaik untuk 2021 pada April. Persona telah terjual sebanyak 2,266 unit (kedua dalam kelas sedan segmen-B), Exora berjaya dijual sebanyak 616 unit, manakala Iriz yang dibantu dengan model edisi terhad R3 juga telah mencatatkan jualan bulanan terbaik sejak 2019, terjual sebanyak 974 unit (ketiga dalam kelas hatchback segmen-B).

“April adalah bulan yang bagus untuk industri automotif dan selain dari PROTON, beberapa jenama lain juga mempunyai bulan terbaik tahun ini. TIV dianggarkan melebihi 56,000 unit kerana semua jenama sedang berusaha untuk memenuhi pesanan penjualan sebelum berakhirnya insentif cukai penjualan PENJANA pada akhir bulan Jun,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eskekutif, Proton Edar.

“Bagi Proton, kami meneruskan usaha untuk memenuhi permintaan produk kami yang tinggi di samping mengekalkan tahap kualiti produk. Pada masa yang sama, kami fokus untuk meningkatkan khidmat pelanggan dan menangani masalah berkaitan dengan ketersediaan alat ganti, satu aspek yang sangat penting ketika jumlah penjualan kami sedang meningkat. Kami menjangkakan situasi akan semakin pulih dan kami tetap berusaha keras untuk memendekkan jangka masa itu,” tambahnya lagi

Bulan lalu juga upacara pecah tanah untuk kilang stamping terbaharu Proton juga telah dibuat di Tanjong Malim. Fasiliti bernilai RM200 juta berkenaan dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2022, dan ia membolehkan Proton menghasilkan panel-panel badan yang lebih besar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required