Toyota rancang GR86 versi Lexus? Mungkin digelar Lexus UC, tampil sistem hibrid untuk lebih kuasa

Toyota rancang GR86 versi Lexus? Mungkin digelar Lexus UC, tampil sistem hibrid untuk lebih kuasa

Nampaknya kembar Toyota GR86 dan juga Subaru BRZ mungkin akan ada satu lagi adik kembar – menerusi khabar angin yang sedang berlegar di internet, divisi mewah Toyota iaitu Lexus dipercayai kini sedang membangunkan kereta sport baharu mereka yang diasaskan GR86/BRZ generasi baharu.

Menurut laporan portal automotif Jepun, Spyder 7, GR86 versi Lexus berkenaan mungkin akan didedahkan pada penghujung tahun ini. Ia mungkin akan diberi nama sebagai Lexus UC (Urban Coupe) yang akan diletakkan di bawah dua lagi kereta sport Lexus iaitu RC dan LC.

Lexus UC tersebut dijangka akan dijana oleh enjin boxer NA 2.4 liter sama seperti GR86 dan BRZ, tetapi akan digandingkan dengan teknologi hibrid elektrik bagi memberikan kuasa tambahan. Buat masa sekarang enjin pada GR86 dan BRZ tersebut menghasilkan 235 PS dan tork maksima 250 Nm dalam keadaan standard.

Walaupun menerima sistem hibrid, model ini akan masih tetap ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual dan juga automatik. Sistem hibrid berkenaan juga dikatakan akan membuatkan kereta ini lebih panjang kerana pek bateri yang akan dilengkapkan.

Menguatkan dakwaan ini, seorang pengguna Twitter dengan akaun Marin_Kawasaki telah menyiarkan foto intipan yang didakwa sebagai unit prototaip ujian Lexus UC tersebut. Foto berkenaan memaparkan sebuah Toyota GR86 dengan gril hadapan spindle signatur Lexus, serta lampu hadapan yang direka semula.

Walau bagaimanapun, kereta tersebut boleh jadi bukan unit prototaip ujian dari Toyota sendiri. Sebelum ini, syarikat pembuat kit badan dari Jepun, Aimgain turut ada menawarkan kit badan yang membolehkan Toyota 86 generasi sebelumnya kelihatan seperti Lexus LF-Sport.

Jika benar-benar Lexus UC ini akan dihasilkan, ia mungkin akan menampilkan ruang dalaman yang juga lebih mewah. Bagi GR86 dan Subaru BRZ, ia adalah kereta sport yang dihasilkan untuk mereka yang gemar memandu, dengan kos lebih murah dari kos kereta sport lain, sebab itulah ia tidak menampilkan material-material yang premium pada bahagian kabin.

Buat masa sekarang, Lexus sendiri belum mengesahkan atau menafikan mereka sedang membangunkan kereta sport UC tersebut kepada dua portal automotif, Car and Driver dan juga Carscoops. Walau bagaimanapun, jurucakap Lexus ada memberitahu mereka bakal memperkenalkan “berberapa perkara yang menarik selepas ini”.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required