Subaru WRX 2022 sah akan muncul di NYIAS 19 Ogos

Subaru WRX 2022 sah akan muncul di NYIAS 19 Ogos

Subaru telah mengesahkan WRX 2022 akan membuat penampilan pertamanya semasa New York International Auto Show (NYIAS) 19 Ogos nanti. Bersama dengan pengumuman itu, mereka juga telah menyiarkan beberapa lagi teaser bagi menambahkan keterujaan orang ramai terhadap sedan prestasi tersebut.

Dalam video yang dimuat naik di laman web khas Subaru, kita boleh menyaksikan sebuah WRX berwarna oren membuat aksi sampai menaikkan debu tebal di padang pasir, dan turut mendengarkan bunyi daripada enjin boxer. Bukan semua benda didedahkan, tetapi kita masih dapat melihat beberapa lagi perincian.

Jika anda hentikan video pada saat ke 28, anda boleh melihat lampu belakang yang seakan-akan BRZ terbaru. Dalam bahagian lain video itu, kita juga boleh melihat perincian seperti kemasan hitam pada badan dan rim, serta dua muncung ekzos pada satu bahagian yang mungkin menjadikan keseluruhannya ada empat. Daripada teaser sebelum ini, kita sudah mengetahui WRX baru akan menggunakan gril serta skup atas bonet yang lebih besar.

Ini adalah antara konsep rekaan yang digunakan untuk membezakan WRX dengan model Impreza biasa, tetapi asasnya masih lagi sama iaitu Subaru Global Platform. Platform ini telah digunakan pada semua model terbaru Subaru, termasuklah Impreza generasi kelima (termasuk versi XV/Crosstrek), Legacy generasi ketujuh, Forester generasi kelima, Outback generasi keenam, Levorg generasi kedua serta Ascent.

WRX baru dijangka mendapat enjin boxer empat silinder 2.4 liter turbo FA24F seperti Ascent, Outback dan Legacy, tetapi kuasanya mungkin lebih tinggi daripada 260 hp dan 376 hp yang mampu dihasilkan oleh model biasa yang disebutkan.

Transmisi manual enam kelajuan dan CVT adalah pilihan yang mungkin diberi, sementara sistem Symmetrical All-Wheel Drive pula datang secara standard. Selepas WRX diperkenalkan, kita juga boleh menjangka ketibaan model STI yang lebih berkuasa pula.

WRX sudah ditawarkan sebagai pilihan tambahan kepada Impreza sejak generasi pertama sehingga generasi keempat. Walaubagaimanapun, bagi generasi kelima, Subaru telah mengambil keputusan untuk mengasingkan model WRX dengan model sedan/hatchback, sekaligus membawa kepada model WRX generasi pertama yang menggunakan nama kod VA.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required