Subaru WRX 2022 – teaser rasmi akhirnya disiarkan!

Subaru WRX 2022 – <em>teaser</em> rasmi akhirnya disiarkan!

Setelah berbagai laporan dan spekulasi, akhirnya Subaru menyiarkan teaser rasmi untuk sedan prestasi baharu berdasarkan Impreza generasi terkini, Subaru WRX 2022, menandakan pendedahan penuhnya akan dibuat tidak lama lagi! Imej yang disiarkan ini memperlihatkan WRX generasi baharu tersebut terselindung di sebalik bayang-bayang, dan hanya menampakkan bahagian bonet hadapan (dan sudah tentu skup bonet ikonik WRX) serta bumbung.

Garis bumbung model baharu berkenaan nampaknya masih seakan sama dengan model generasi sedia ada. Tetapi sekiranya gambar ini dicerahkan, boleh dilihat bahawa garis tingkap WRX 2022 tersebut menerima rekaan yang berbeza, terutamanya pada bahagian cermin suku belakang.

Dengan mencerahkan gambar berkenaan juga boleh dilihat WRX generasi baharu ini menerima gril hadapan lebih besar. Skup udara pada bonet juga kelihatan lebih lebar dari sebelum ini. Subaru WRX 2022 ini dikatakan akan menjadi versi produksi dari model konsep Subaru Viziv Performance yang muncul di Tokyo Motor Show 2022.

Rekaan skup yang terdedah kali ini kelihatan agak sama, jadi boleh dijangka rekaan perincian lain untuk WRX tersebut seperti fender lebih lebar, spoiler kecil di belakang, lampu belakang dan empat tip ekzos turut akan diinspirasikan dari Viziv Performance.

Model konsep Subaru Viziv Performance

Seperti juga Impreza, Forester dan Levorg terkini, Subaru WRX generasi seterusnya ini diasaskan dari Subaru Global Platform (SGP). Dalam laporan sebelum ini, model baharu berkenaan dikatakan mempunyai dimensi 4,650 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,450 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,670 mm. Sebagai perbandingan, model generasi sedia ada menampilkan ukuran 4,595 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,475 mm tinggi, dan jarak roda 2,650 mm.

Untuk penjana, WRX 2022 ini dijangka bakal menerima enjin boxer empat silinder baharu FA24F 2.4 liter turbo, asas yang sama menjana model terkini Subaru Ascent. Untuk WRX, enjin berkenaan dilaporkan akan ditala bagi menghasilkan 290 PS dan tork maksima 412 Nm, jauh lebih berkuasa dari enjin FA20F 2.0 liter turbo pada WRX sedia ada yang menjana 268 PS dan tork 350 Nm.

Model dengan transmisi automatik dijangka akan terus menggunakan kotak gear CVT, serta ia masih ditawarkan dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan. Seperti model generasi pertama GC8, sistem pacuan semua roda semestinya adalah wajib untuk WRX.

Selepas Subaru WRX 2022 ini didedahkan kelak, boleh dijangka versi lebih berkuasa WRX STI akan menyusul selepas itu. Ia bukan sahaja akan menampilkan rupa yang lebih agresif, malah menerusi pelbagai laporan sebelum ini menyatakan enjin FA24F pada model STI tersebut akan ditala bagi menghasilkan 400 PS dan tork maksima 490 Nm, dengan menjadikan Mercedes-AMG A 45 S W177 yang berkuasa 421 PS dan tork 500 Nm sebagai kayu ukur.

GALERI: Subaru Viziv Performance Concept di Tokyo Motor Show 2017

GALERI: Subaru Viziv Performance STI Concept di Tokyo Auto Salon 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required