Cadangan untuk Bajet 2022: apa yang anda mahu – potongan SST, cukai jalan lebih rendah, EV murah?

Cadangan untuk Bajet 2022: apa yang anda mahu – potongan SST, cukai jalan lebih rendah, EV murah?

Tidak lama lagi kerajaan akan membentangkan bajet tahunan baru, dan jika mempunyai sebarang idea apa yang perlu dimasukkan sekali, anda boleh menghantar cadangan ke laman web rasmi kementerian kewangan.

Memang, tiada jaminan cadangan kita akan dimasukkan terus ke dalam Bajet 2022, tetapi ia sekurang-kurangnya dapat menunjukkan apa yang dimahukan oleh rakyat dan harapnya dapat digunakan untuk membuat keputusan. Sebelum ia dibentangkan, di sini ada beberapa perkara yang boleh kami fikirkan.

Kami sudah membuat laporan tentang bajet tahunan, terutamanya topik-topik yang berkaitan dengan pengangkutan dan automotif agak lama, jadi anda boleh membuat carian untuk membuat rujukan. Sebagai contoh, laporan Bajet 2021 ada di sini.

Sambungan tempoh pengecualian SST bagi kenderaan?

Cadangan untuk Bajet 2022: apa yang anda mahu – potongan SST, cukai jalan lebih rendah, EV murah?

Semasa perintah kawalan pergerakan pertama dilaksanakan tahun lepas, jualan kenderaan baru menerima impak besar kerana pengedar dipaksa tutup. Bagi meningkatkan permintaan dalam sektor automotif, kerajaan telah memperkenalkan pelan rangsangan ekonomi Penjana yang memberikan pengecualian cukai jualan 100% untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk kenderaan import (CBU).

Ia awalnya dilaksanakan dari 15 Jun hingga 31 Disember 2020, tetapi kemudiannya disambung lagi ke 30 Jun 2021, dan seterusnya 31 Disember 2021 di bawah pelan Pemerkasa+. Namun, walaupun pelanggan dapat menikmati harga kenderaan lebih rendah, syarikat kereta masih bermasalah untuk memenuhi tempahan yang diterima dan sedia ada.

Ini kerana pelbagai lagi fasa lockdown dilaksanakan dalam beberapa bulan yang lepas, menyebabkan kilang pengeluaran kereta dan pusat pameran ditutup. Masalah ini menjadi lebih teruk dengan gangguan bekalan pula, termasuklah kekurangan cip.

Pada bulan Julai, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meminta pengecualian cukai jualan ini diberikan sambungan sekali lagi, untuk menutup kembali “masa yang telah hilang.” Ini pastinya memberi manfaat kepada ramai pembeli kenderaan, di mana masih ada yang menunggu kereta baru mereka dan berharap ia dapat didaftar sebelum pengecualian cukai Penjana tamat.

Adakah anda rasa pemotongan cukai ini sudah berlangsung cukup lama, atau ia sepatutnya disambungkan lagi?

Kurangkan subsidi minyak, kemudian rendahkan cukai kenderaan?

Cadangan untuk Bajet 2022: apa yang anda mahu – potongan SST, cukai jalan lebih rendah, EV murah?

Ramai rakyat Malaysia yang mahukan harga kenderaan lebih murah, dan salah satu cara untuk mencapainya adalah dengan mengurangkan cukai yang dikenakan kepada kenderaan. Bunyinya macam senang, tapi ia tidak boleh dilaksanakan dengan mudah kerana kerajaan perlu menutup semula kerugian daripada cukai kenderaan dari tempat lain.

Satu idea yang telah dibincangkan sebelum ini adalah untuk menarik semula subsidi minyak, dan ia boleh mengimbangi semula kehilangan pendapatan daripada cukai kenderaan. Dengan cara ini, pengguna perlu membayar bahan api pada harga pasaran, tetapi mereka yang mahu membeli kenderaan baru akan dapat menikmati harga lebih rendah. Secara teknikalnya, rakyat Malaysia akan membayar harga pasaran sebenar untuk kenderaan dan juga bahan api.

Idea ini bagaimanapun ada satu bantahan – ia cuma akan memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai kuasa membeli, contohnya mereka yang mampu membeli kereta baru, sementara bagi orang lain ia cuma memberi kesan negatif. Sekiranya anda sudah memang memiliki sebuah kereta, dan tidak mempunyai perancangan untuk membeli kereta baru, anda terpaksa membayar harga minyak yang lebih tinggi dan pada masa sama tidak menerima sebarang manfaat.

Satu kelebihan kecil adalah harga kenderaan yang lebih murah memudahkan pembeli menaik taraf kepada model yang memberikan penggunaan bahan api lebih baik berbanding model yang mereka miliki sekarang. Sudah tentu, harga bahan api yang tinggi akan memberi lebih banyak kesan, bukan sahaja waktu membayar di pam, tetapi juga hampir semua benda lain, dari segelas teh tarik hinggalah keperluan harian atas alasan “kos pengangkutan yang lebih tinggi.”

Sekali lagi kami nyatakan, ini adalah satu pilihan yang perlu difikirkan betul-betul sebelum dilaksanakan kerana kesannya sangat besar. Pendapat anda macam mana?

Tol lebih murah, kenakan caj kesesakan?

Cadangan untuk Bajet 2022: apa yang anda mahu – potongan SST, cukai jalan lebih rendah, EV murah?

Ini adalah satu lagi subjek yang sensitif. Kami tidak akan menyentuh sebarang janji politik yang telah dibuat sebelum ini, tetapi harga tol sentiasa menjadi topik hangat di kalangan pengguna kenderaan di Malaysia, dengan pelbagai pendapat masing-masing.

Antara cadangan yang pernah diutarakan sebelum ini adalah pengenalan sistem caj kesesakan. Dengan cara ini, jumlah yang anda bayar di tol adalah berbeza mengikut masa. Sebagai contoh, pada waktu sesak harga tol adalah lebih tinggi sementara pada waktu biasa, ia lebih murah.

Dalam beberapa tahun lepas juga kita sudah mendengar banyak kali tol akan dihapuskan terus, tetapi sama ada ia dapat dilaksanakan atau tidak adalah satu topik lain. Ya, tol di beberapa lokasi tertentu telah dapat dihapuskan, tetapi dengan kontrak aktif melibatkan pemegang konsesi, ini bukanlah langkah yang mudah dan melibatkan kos tinggi.

Insentif kenderaan elektrik (EV) dan infrastruktur mengecas yang lebih baik

Cadangan untuk Bajet 2022: apa yang anda mahu – potongan SST, cukai jalan lebih rendah, EV murah?

Dalam masa beberapa bulan yang lepas, kita telah melihat syarikat kereta menunjukkan komitmen mereka untuk memperkenalkan EV di negara jiran, tetapi Malaysia nampak seperti ketinggalan. Di negara seperti Thailand dan Indonesia, kerajaan di sana sentiasa aktif menarik syarikat kereta untuk mendirikan hab EV, dan insentif memainkan peranan penting dalam inisiatif ini.

Sebagai perbandingan, polisi EV Malaysia masih lagi sedang disiapkan dan kita belum mendapat apa-apa yang konklusif; ia sepatutnya diumumkan suku pertama tahun ini. Pada bulan Mei lalu, CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari memberitahu polisi ini dalam proses kelulusan akhir oleh kerajaan dan akan ada banyak insentif cukai ditawarkan kepada syarikat kereta.

Pasaran yang padat dengan EV sudah tentu perlu disokong dengan infrastuktur mengecas yang lebih baik, yang mana dalam keadaan sekarang adalah sangat terhad. Salah satu pengendali rangkaian mengecas EV dalam negara, iaitu ChargEV mempunyai 326 stesen mengecas di 233 lokasi seluruh Malaysia, dan kebanyakannya berada di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Cadangan untuk Bajet 2022: apa yang anda mahu – potongan SST, cukai jalan lebih rendah, EV murah?

Sekali lagi ingin kami nyatakan, insentif khas untuk EV dan infrastruktur mengecas akan melibatkan kos yang banyak bagi kerajaan. Sama ada nilai ini berbaloi dibayar ataupun tidak pada masa ini, ia terpulang kepada pendapat anda.

Sementara itu, terdapat hujah yang mengatakan EV sekarang hanyalah mainan bagi orang kaya dan berkemampuan, dan sebarang langkah yang diambil berkenaan segmen ini (serta kos tinggi yang terlibat) hanya akan memberi manfaat kepada mereka sahaja, dan bukannya rakyat biasa. Walaubagaimanapun, jika tidak dilaksana, kita akan ketinggalan dan duduk di takuk sama.

Ini adalah satu isu mana yang datang dahulu: ada yang berkata EV tidak boleh diharap selagi insfrastruktur mengecas yang komprehensif belum dibangunkan, tetapi perlukah kita membangunkannya jika tiada EV mampu milik yang boleh dibeli oleh kebanyakan pengguna biasa?

Penyelesaian mudah (sekadar lontaran kata) adalah untuk merangkumi kedua-dua belah aspek: sediakan insentif yang lebih untuk menjadikan EV mudah dimiliki, dan pada sama bangunkan insfratruktur mengecas sebagai sokongan. Masalahnya, adakah ini sesuatu yang patut dilakukan oleh kerajaan pada masa sekarang di Malaysia? Cuba anda bincangkan di bawah.

Polisi Automotif Negara (NAP) yang lebih jelas

Cadangan untuk Bajet 2022: apa yang anda mahu – potongan SST, cukai jalan lebih rendah, EV murah?

Pada bulan Februari tahun lepas, Polisi Automotif Negara (NAP) 2020 telah dilancarkan dan ia banyak memberi sasaran kepada membangunkan negara ke arah menjadi peneraju dalam pengilangan, kejuruteraan dan teknologi automotif, sekaligus menguatkan NAP 2014 sebelum ini.

Sementara pelan rancangannya meliputi perkara seperti Next Generation Vehicles (NxGVs), Mobility as a Service (MaaS) dan Industry 4.0, ia tidak memberi berita menarik kepada orang biasa yang cuma mahu tahu sama harga kereta akan berkurang ataupun tidak.

Kemudiannya pada bulan Julai, NAP 2020 telah diberitahu akan distruktur semula untuk memastikan sektor automotif negara terus kompetitif akibat daripada pandemik Covid-19, tetapi sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi.

Pada waktu itu, menteri perdagangan dan industri antarabangsa, Datuk Seri Azmin Ali berkata, langkah tersebut akan melihatkan kerajaan menguatkan lagi langkah untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam segmen berteknologi tinggi dan kenderaan mesra alam, serta pembangunan tenaga kerja mahir tempatan. Seperti yang dinyatakan bagi EV, insentif adalah satu cara untuk menarik bakal pelabur, jadi ia perlu lebih jelas dalam NAP.

Sistem cukai jalan baru?

Cadangan untuk Bajet 2022: apa yang anda mahu – potongan SST, cukai jalan lebih rendah, EV murah?

Sebenarnya sudah agak lama cukai jalan kenderaan di Malaysia dikira berdasarkan kapasiti enjin. Sekarang, sistem ini boleh dianggap lapuk kerana tidak mengambil kira penggunaan bahan api atau pengeluaran karbon kenderaan.

Sebelum ini sistem tersebut mungkin masuk akal, tetapi sekarang dengan trend penggunaan enjin kecil dan penambahan kuasa elektrik, ia telah menjadikan sistem ini seperti satu jenaka. Sebagai contoh, kereta premium dengan enjin turbo moden dikenakan cukai jalan lebih rendah berbanding kereta bajet yang lebih kecil tetapi menggunakan enjin pembakaran dalaman NA yang lebih besar. Itu belum pula mengambil kira kadar berbeza yang dikenakan untuk SUV dan kenderaan yang didaftarkan di Sabah dan Sarawak.

Sekiranya kerjaan mahu mempromosikan lebih banyak penggunaan kereta mesra alam, langkah memberikan mereka cukai jalan yang lebih rendah kedengaran lebih wajar. Di Eropah, cukai jalan dikenakan mengikut tahap emisi CO2 kenderaan, jadi, lebih rendah kadarnya, lebih rendah lah juga cukai jalan.

Jadi, apa agaknya sistem cukai jalan yang anda rasa ideal? Adakah kita patut terus gunakan sistem berasaskan kapasiti enjin, atau bertukar kepada sesuatu yang lebih relevan seperti emisi, berat, umur, kegunaan atau mungkin kombinasi antara aspek ini? Cuba berikan pendapat di bawah.

Adakah terdapat perkara lain berkenaan automotif yang mahu anda tanya?

Cadangan untuk Bajet 2022: apa yang anda mahu – potongan SST, cukai jalan lebih rendah, EV murah?

Selain cadangan, adakah terdapat perkara lain yang mahu anda tanya? Pengangkutan awam lebih baik, atau mungkin langkah ke arah teksi EV untuk membantu pandangan masyarakat terhadap perkara ini?

Walaubagaimanapun, anda perlu ingat bahawa negara sekarang bukanlah berada dalam keadaan yang paling bagus (termasuk kewangan) sekarang, dan mungkin ada isu penting lain yang perlu diuruskan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan di atas. Lagi satu, perkara yang dimahukan seseorang mungkin bukan perkara yang diperlukan untuk semua sekarang.

Jadi, dengan terdapatnya tempat untuk kita menawarkan cadangan ini, apa kata kita nyatakan sahaja. Sementara itu, kongsikan juga pandangan serta cadangan anda bersama kami di ruangan komen di bawah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required