Toyota Land Cruiser 300 Liberty Walk – harga kit bermula RM24k, penghantaran bermula Januari nanti

Toyota Land Cruiser 300 Liberty Walk – harga kit bermula RM24k, penghantaran bermula Januari nanti

Pembuat kit badan lebar dari Jepun untuk model-model eksotik, Liberty Walk nampaknya turut tidak mahu ketinggalan dengan produk hype terbaharu Toyota, iaitu SUV ‘gedabak’ Land Cruiser generasi baharu yang dikenali sebagai 300 Series. Dengan kerjasama Sphere Light, ini dia kit badan Toyota Land Cruiser 300 Liberty Walk, yang menjadikan SUV kelihatan seperti Gorila tersebut, kepada seekor King Kong!

Kit ini nampaknya masih mengekalkan bampar hadapan asal LC300, namun Liberty Walk memberikan gril baharu dengan elemen sarang lebah di bawah, serta dua bar di atas yang mengapit skrip ‘Liberty Walk’ di tengah bagi menggantikan logo Toyota. Bahagian bawah bampar turut diberikan dagu tambahan yang lebih labuh, dan turut menempatkan lampu nyalaan siang LED tambahan di bawah bersama skid plate yang kelihatan lebih agresif.

Apron baharu pada bahagian bawah bampar berkenaan turut dihasilkan lebih lebar, kerana ia perlu disesuaikan dengan overfender lebih lebar pada setiap ruang roda yang kelihatan seperti otot-otot serta turut diberikan liang udara di bahagian yang menghadap ke belakang.

Skirt sisi lebih labuh turut dihasilkan bagi diselarikan rekaannya, bersama kemasan tambahan pada bahagian bawah bampar belakang menampilkan diffuser yang lebih menyerlah bersama dua ruang untuk outlet tip ekzos dengan kemasan krom sekeliling.

Toyota Land Cruiser 300 Liberty Walk – harga kit bermula RM24k, penghantaran bermula Januari nanti

Kit ini turut disertakan dengan bonet hadapan yang diperbuat dari material gentian karbon kering, dan spoiler ekor itik pada bahagian bawah cermin belakang yang juga diperbuat dari gentian karbon. Tidak dinyatakan saiz rim yang perlu dipadankan bersama kit badan ini, namun memandangkan rim standard LC 300 sudah berdiameter 20-inci, rim dalam gambar ini mungkin berdiameter 23- atau 24-inci.

Menurut Liberty Walk, kit asas untuk Toyota Land Cruiser 300 (tidak termasuk set roda) ini adalah 627,000 yen, atau sekitar RM24k. Harga ini juga tidak termasuk kos lain seperti penghantaran, pemasangan dan sebagainya. Penghantaran pertama kepada pelanggan dijangka akan dibuat pada Januari nanti.

Toyota Land Cruiser 300 ini telah dilancarkan di Jepun pada Jun lalu. Sehingga kini, lebih dari 20,000 unit telah ditempah, tetapi dengan masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor, Toyota terpaksa mengehadkan kapasiti produksi mereka sehingga menyebabkan ada pelanggan varian tertentu yang perlu menunggu selama empat tahun bagi menerima SUV mereka selepas menempahnya.

Toyota juga sebelum ini telah memberikan syarat kepada pelanggan untuk tidak menjual semula Land Cruiser 300 dalam masa 12 bulan selepas dibeli, bagi mengelakkan SUV ini dieksport ke luar Jepun oleh pihak ketiga, dan dikhuatiri akan digunakan oleh pengganas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required