Yamaha R15 V4 – jangkaan harga cecah RM14k apabila tiba di Malaysia? Berbaloi dengan peningkatan diberi?

Yamaha R15 V4 – jangkaan harga cecah RM14k apabila tiba di Malaysia? Berbaloi dengan peningkatan diberi?

Dalam waktu dunia kembali pulih daripada pandemik secara beransur-ansur, pengeluar motosikal juga kembali aktif dengan pengenalan model-model baru. Tidak terkecuali adalah Yamaha, melalui model kapasiti rendah mereka, dengan memperkenalkan R15 Version 4 beberapa hari lepas di India.

Ia menjadi bualan ramai peminat motosikal kerana walaupun merupakan model sports kelas permulaan, diberi dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti kawalan cengkaman, quickshifter serta panel instrumen yang boleh disambung kepada telefon bimbit melalui Y-Connect.

Ada yang mengatakan ciri-ciri ini cukup bagus, namun ada juga membangkang dengan mengatakan ia sepatutnya diganti dengan ciri yang dapat membantu prestasi seperti suspensi ataupun brek yang lebih baik. Itu semua bergantung kepada individu, tetapi kita di sini mahu melihat kepada harganya.

Untuk mewujudkan satu perbandingan yang boleh diterima, kita akan mengambil R15 V4 versi pertengahan yang dilengkapi dengan semua ciri tambahan baru model ini, dan diletakkan bersebelahan dengan R15 V3. Di India, iaitu pasaran pertama dunia yang menerimanya, R15 V4 versi pertengahan ini dijual pada harga 172,800 rupee (RM9,795) sementara R15 V3 pula 159,700 (RM9,052). Bezanya malah tidak mencecah RM750 pun.

Ini adalah sesuatu yang menarik, kerana di India, R15 V3 adalah spesifikasi rendah (fork teleskopik biasa dan bukannya USD seperti di negara kita), sekaligus menjadikan jurang perbezaannya dengan R15 V4 lebih besar. Kemudiannya, selain peningkatan kelengkapan yang dinyatakan awal tadi, R15 V4 ini juga menggunakan panel badan serba baru.

Sebelum anda semua rasa teruja dengan perbezaan harga yang tidak sampai RM750 ini, kita perlu ingat keadaannya mungkin boleh jadi berbeza mengikut negara. Jadi, untuk itu kita lihat pula contoh model NVX di pasaran Malaysia, kerana ia melibatkan peningkatan yang hampir sama seperti R15 V4 iaitu panel badan serba baru dan juga sistem Y-Connect.

Yamaha NVX V1 vs Yamaha NVX V2 Y-Connect

NVX V1 pada tahun 2020 dijual pada harga RM10,088 tidak termasuk insurans, sementara apabila ia diganti dengan NVX V2, dijual pada harga RM10,998 bagi versi Y-Connect. Ini adalah harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha, dan tidak termasuk insurans. Sebagaimana yang boleh anda lihat, perbezaannya adalah hampir RM1k.

Bagimana pula dengan Y16ZR? Baiklah, model ini jika dibandingkan dengan Y15ZR memang melibatkan banyak peningkatan (panel badan, meter, brek, enjin dan sistem tanpa kunci), tetapi ia tidak mempunyai Y-Connect. Beza harga antara Y16 dan Y15 di Malaysia adalah sekitar RM2.7k (RM10,888 vs RM8,168).

Jadi, perbezaan harga manakah yang sesuai kita gunakan untuk menjangka harga R15 V4 apabila ia tiba di Malaysia nanti? Melalui apa yang ditunjukkan di atas, anda juga boleh membuat penilaian sendiri. Jangkaan kami, perbezaan antara NVX boleh diambil sebagai jumlah permulaan, dan perlu ditambah sedikit lagi kerana R15 V4 juga diberikan dengan tambahan sistem kawalan cengkaman serta quickshifter.

Yamaha Y16ZR vs Yamaha Y15ZR

Jumlah yang logik kami kira, mungkin dalam lingkungan RM2k, dan jika begitu, harga R15 V4 pasaran Malaysia boleh mencecah RM14k (R15 V3 sekarang dijual pada harga RM11,988). Enjin R15 V4 masih lagi unit satu silinder VVA 155 cc, tetapi dengan kuasa yang berkurang menjadi 18.4 PS pada 10,000 rpm – mungkin kerana pelarasan yang dibuat untuk menjadikan emisi lebih baik.

Jadi, sekiranya R15 V4 ini masuk ke Malaysia dengan harga RM14k, adakah anda rasa ia berbaloi untuk dibeli? Adakah ramai yang mahukan ciri baru seperti kawalan cengkaman, Y-Connect dan quickshifter pada R15? Honda juga mempunyai model yang boleh bersaing dalam segmen sama, iaitu CBR150R, tetapi harganya lebih mahal daripada R15 V3, iaitu RM12.5k, dan kuasanya juga lebih rendah.

GALERI: Yamaha R15 V4 pasaran India

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required