PANDU UJI: Hyundai Kona 1.6L N Line Turbo — mampu jadi alternatif popular dalam segmennya?

PANDU UJI: Hyundai Kona 1.6L N Line Turbo — mampu jadi alternatif popular dalam segmennya?

Barisan kenderaan terbaru Hyundai, termasuk seperti yang dapat kita lihat ditawarkan di Malaysia ketika ini, dari banyak segi memisahkan jenama itu dari imej lama yang pernah ditampilkan sebelum ini. Perhatikan saja model-model seperti Elantra dan Sonata misalnya, yang sama sekali berbeza daripada rekaan model generasi sebelumnya. Dan, dalam beberapa model terkini yang ada itu — jangan lupa di sini juga ada i30 dan MPV mewah Staria yang baru saja dilancarkan — SUV kompak atau crossover Kona mungkin mempunyai pakej penampilan yang paling menarik dan lebih mudah dijangkau oleh pembeli.

Sekurang-kurangnya dari segi rupa, Hyundai kini lebih cenderung menghasilkan rekaan yang sangat segar, dengan pendekatan yang terarah kepada sentuhan dan selera yang lebih dekat dengan Eropah berbanding Korea. Ini tentunya dengan mudah boleh difahami; syarikat ini ingin menjadi pemain global, justeru perlu meletakkan nilai dan estetikanya di tahap tertinggi untuk diterima secara meluas. Peralihan ini dapat kita lihat dengan jelas; model-model akan datang Hyundai semuanya mengambil jalan yang sama.

Dan ini jugalah yang menjadikan Kona sangat berbeza. Untuk pasaran Malaysia, terdapat beberapa versi Kona yang sudah diperkenalkan. Ketika dilancarkan secara rasmi pada penghujung Oktober 2020, ia didatangkan dalam versi dengan enjin 2.0L dan juga 1.6L Turbo CBU. Tak lama selepas itu, pada April 2021, Kona facelift 2.0L pula diperkenalkan, dengan menampilkan beberapa penambahbaikan. Kemudian pada Julai 2021, versi yang sedang anda lihat ini, Kona N Line dan Kona 1.6L Turbo facelift pula menjengah pasaran di sini.

PANDU UJI: Hyundai Kona 1.6L N Line Turbo — mampu jadi alternatif popular dalam segmennya?

Sebelum terkeliru, Kona N Line ini bukanlah model yang sama dengan model prestasi Kona N yang ada di pasaran luar. N Line ini hanya membawakan penampilan yang lebih ranggi dan rugged, dengan sedikit sentuhan gaya off-road, tetapi menggunakan sistem janaan yang sama sahaja dengan versi 1.6L Turbo. Tentang angka dan prestasi, kita akan bahaskan kemudian — mari teliti dahulu hal-hal lain yang boleh dipandang dengan mata kasar.

Kalau perasan, tempoh pengenalan model-model ini di Malaysia berlangsung dengan sangat cepat dan singkat. Mungkin, ini disebabkan kesukaran untuk membuat perancangan yang lebih teliti akibat PKP dan pandemik yang melanda sejak awal 2020. Tetapi bagi kes Kona N Line facelift terbaru ini, ia sebenarnya agak baru juga dilancarkan untuk pasaran luar sebelum terus tiba di Malaysia. Ada beberapa perkara yang boleh kita teka daripada perkembangan ini; antaranya Hyundai di Malaysia memang ingin memberi tumpuan kepada model ini untuk merancakkan lagi jualannya di sini.

SUV segmen B ini merupakan kali pertama Hyundai mempertaruhkan wakilnya untuk pasaran tempatan — sebelum ini jenama itu hanya memasarkan Tucson dan Santa Fe yang bersaiz lebih besar. Dan, SUV segmen B memang tidak begitu banyak pemainnya, apa lagi dengan penawaran yang terbaru ketika ini. Bayangkan model-model seperti Honda HR-V dan Mazda CX-3, dan yang paling baru adalah Toyota Corolla Cross. Terlalu sedikit penawaran yang ada untuk sebuah segmen pasaran yang semakin berkembang pesat seperti SUV dan crossover kecil begini.

PANDU UJI: Hyundai Kona 1.6L N Line Turbo — mampu jadi alternatif popular dalam segmennya?

Di mana kedudukan Kona dalam persaingan berkenaan, dan apakah kelebihannya? Sebagai pendatang baru, Kona memang meletakkan perbezaan yang ketara, terutama sekali dari penampilannya. Ya, memang betul rekaan adalah sangat subjektif untuk kita suka atau tidak. Tetapi, seperti yang dilihat pada versi N Line ini, memang jelas ia mengetengahkan sentuhan dan arah tuju imej yang sangat matang dan garang, membezakan dirinya jauh dari pesaing yang ada.

Sesuai dengan semangat N Line yang ingin dibawa, Kona ini nampak tak canggung dengan imej sporty yang dibawa. Ia serba serbi mengena — dengan elemen tirus pada bahagian atas wajah depannya (perhatikan tiga bukaan kecil atas gril dan lampu DRL nipisnya) sebelum membawa kepada rekaan yang lebih luas dan terbuka di bawah. Lampu utamanya — unit LED yang khusus untuk N Line — jika dilihat, diletak pada kedudukan lebih rendah pada bahagian bampar. Rekaan bampar dan juga grilnya juga khas untuk N Line. Ini kemudiannya disudahi dengan bahagian lip depan hitam yang kemas.

Bahagian sisi pula menampakkan unsur maskulin pada kereta ini dengan sedikit “ketulan-ketulan otot” pada bahagian lengkung tayar, dengan satu garis badan yang tajam menuju ke belakang. Melengkapi imej sporty kereta ini ialah bahagian tiang di A dan B di tengah serta bumbungnya digelapkan dengan warna hitam. Di atas juga tersedia landasan pada bumbung, yang mampu menampung beban sehingga 80 kg. Kona dari satu sudut tak hanya ingin menampilkan yang cantik-cantik, sebaliknya semua itu juga ada fungsi dan praktikal untuk kegunaan, bukan hiasan semata-mata. Rim 18-inci yang didatangkan juga unik untuk N Line.

PANDU UJI: Hyundai Kona 1.6L N Line Turbo — mampu jadi alternatif popular dalam segmennya?

Bahagian belakang pula mungkin mengundang pandangan yang berbeza. Jika di depan nampak kemas, ringkas dan tajam, di belakang sebaliknya. Ia nampak sangat sibuk dengan elemen rekaan yang besar-besar yang seperti mengurangkan sedikit “kelikatan” unsur sporty yang ada. Sama juga seperti di depan, bahagian lampunya terbagai kepada dua kedudukan, dengan yang bawah menempatkan lampu isyarat dan lampu undur. Bampar belakang pun khusus untuk N Line, bersekali dengan hujung ekzos berkembar tersebut.

Ukuran dimensi kereta ini versi N Line pula adalah seperti berikut; 4,215 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,575 mm tinggi dan 2,600 mm jarak antara roda. Disebabkan kit tambahan yang dipasangkan padanya, maka ada sedikit perbezaan ukuran keseluruhan jika dibandingkan versi bukan N Line.

Ruang dalaman pula merupakan satu lagi pernyataan yang ingin disampaikan oleh Kona N Line ini. Ada beberapa peralatan yang didatangkan khusus untuk versi ini sahaja. Antaranya yang paling menarik perhatian adalah kerusi yang digunakan. Bukan hanya material balutan yang digunakan, ia datang dengan rekaan berbeza yang mirip “bucket seat” yang akan memberikan sokongan dan keselesaan lebih baik dalam pemanduan. Ini diikuti pula roda stereng dan tombol gearnya. Semua ini untuk menepati rasa dan gaya sporty yang cuba dibawa di luar, dan dilanjutkan pula ke bahagian dalam.

Selebihnya, tataletak kabinnya kemas dan ringkas. Di tengah, ada paparan skrin besar untuk infotainmen dengan sambungan AppleCarPlay dan Android Auto. Untuk paparan maklumat pemanduan pada kluster meter pemandu pula, ia datang dalam saiz 10.25-inci TFT LCD yang jelas. Tidak lupa, ada juga head up display di depan pemandu. Pencahayaan dari lampu suasana yang minimal menyuntik perincian yang mungkin nampak kecil, tetapi tetap mempengaruhi rasa selesa keseluruhan kabin.

Tanggapan yang diperoleh ketika mula-mula masuk dan memandu kereta ini sangat positif, seolah-olah ia membuatkan kita merasa semuanya berada dalam kedudukan yang sepatutnya, dan suasana dalam kabin juga nyaman — material hitam dan gelap memberikan aura tersebut dalam kabin. Kedudukan kerusinya menerbitkan rasa yakin ketika memandu, begitu juga dengan capaian tangan pemandu kepada hal-hal yang sepatutnya semua berada dalam jangkauan yang bersahaja. Stereng unik ini juga memudahkan kendalian — rendahkan kedudukan kerusi ke tahap paling rendah, dan nikmati kestabilan pemanduan yang ditawarkan oleh crossover kecil ini.

Bagaimana pemanduan Kona N Line ini? Rasanya, jika anda lebih pentingkan feel dan maklum balas pemanduan berbanding hal-hal lain dalam sebuah SUV kecil, maka Kona dapat memberikan kepuasan itu. Biasanya, sebuah crossover memang ingin mempertemukan antara praktikaliti SUV dengan keseronokan pemanduan kereta sedan/hatchback. Dan, daripada beberapa model dalam segmen sama yang ada ketika ini, Kona N Line mempunyai keseimbangan yang baik untuk ditawarkan terhadap kedua-dua faktor itu.

Beralih pula kepada nadi yang menghidupkan kereta ini. Kona N Line, yang merupakan penawaran paling tinggi model berkenaan di sini, datang dengan enjin Smartstream G1.6L T-GDi yang menghasilkan 198 PS pada 6,000 rpm dan 265 Nm tork dari 1,600-4,500 rpm. Sebagai makluman semula, Smartstream merupakan enjin turbo generasi baru Hyundai yang datang dengan teknologi Continuously Variable Valve Duration (CVVD) yang membantu menjadikan maklum balas injap silinder lebih baik bergantung kepada dinamik pemanduan semasa. Ia juga mengurangkan 34% geseran dalam enjin dan mengurangkan kehilangan tenaga serta memperbaiki penjimatan minyak.

Enjin ini digandingkan pula dengan transmisi Smartstream 7DCT klac berkembar generasi kedua untuk mendapatkan maklum balas yang lebih pantas dan cekap, selari dengan aspirasi sporty yang turut ingin diterjemahkan kepada pemanduan kereta ini. Mod pemanduan yang tersedia pula termasuk Eco, Sport, Normal, manakala mod cengkaman terdiri daripada Snow, Mud, Sand.

Sepajang meluangkan masa dengan Kona N Line ini, ia ada daya tarikan sendiri, terutama dari aspek pemanduannya. Langsung tidak membosankan, kuasa yang disalurkan, maklum balas pedal dan juga gear yang pantas serta kestabilan yang dapat dirasakan pada kereta kecil ini membuatkannya benar-benar bersedia untuk perjalanan apa pun. Penggunaan dalam bandar mudah, kerasa saiznya yang kompak. Perjalanan jauh juga menunjukkan kemampuannya untuk menyediakan keselesaan yang maksimum, penjimatan yang lebih baik serta keseronokan di jalan lama, bila-bila saja ia diinginkan.

Apa pula kekurangan yang ada? Dari bab kabin, disebabkan versi N Line ini menggunakan kerusi empuk yang tebal binaannya, ruang dalaman dirasakan sedikit sempit, misalnya jika ingin dibandingkan dengan Toyota Corolla Cross atau Honda HR-V. Tetapi, sokongan yang diberi oleh kerusi ini dalam memeluk badan ketika memandu pula adalah sangat baik. Kedua, melihat kepada rekaan dan duduk letak lampu depan dan belakang yang berada di dua kedudukan atas dan bawah membuatkan sedikit gusar.

Oleh kerana lampu bahagian bawahnya terletak pada paras biasa kedudukan bampar kenderaan, apa yang dikhuatiri adalah sekiranya berlaku perlanggaran, kerosakan dan kos yang akan terlibat tentulah lebih tinggi. Bayangkan, jika yang terkesan itu hanya bampar, maka itu agak straightforward. Tetapi pada Kona N Line ini, paras bampar itu jugalah terletak lampunya, yang mungkin akan terkesan dengan mudah ketika kereta terlibat dalam perlanggaran.

Kemudian, ada satu lagi perkara yang menjadi kelebihan bagi Kona N Line ini. Ia juga datang lengkap dengan pakej keselamatan Hyundai SmartSense. Dalamnya terdiri daripada ciri seperti Smart Cruise Control (SCC) dengan Stop & Go; Forward Collision-Avoidance Assist (FCA); Blindspot Collision-Avoidance Assist (BCA); Safey Exit Warning (SEW); High Beam Assist (HBA); Driver Attention Alert (DAW) dengan Leading Vehicle Departure (LVD); Lane Keeping Assist (LKA) dan Lane Following Assist (LFA).

PANDU UJI: Hyundai Kona 1.6L N Line Turbo — mampu jadi alternatif popular dalam segmennya?

Harganya bagaimana pula? Dengan tanda harga RM156,888, mungkin kedengaran agak tinggi untuk sebuah crossover. Tetapi perlu diingat, unit yang dipasarkan di Malaysia ini merupakan CBU dari Korea Selatan, dengan buatan dan pemasangan yang tidak mengecewakan. Sebagai perbandingan, lihat juga calon crossover paling baru yang dilancarkan untuk pasaran tempatan, Toyota Corolla Cross yang paling mahal (anggaran untuk versi hibrid yang bakal dilancarkan kelak ialah RM137k), namun ini adalah harga bagi unik pemasangan tempatan model berkenaan.

Agak banyak perbezaan harganya, tetapi tentulah kedua-dua model ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jika ada satu perkara yang perlu dinyatakan berkaitan Kona N Line ini, hal itu adalah bagaimana Hyundai memberi tumpuan terhadap aspirasi sporty kereta ini (dengan matlamat untuk menarik perhatian golongan muda dan urban) dan perkara itu dilakukan dengan sangat baik sebenarnya (tidak lupa pakej keselamatan aktif yang lengkap). Selain harga, Kona N Line menawarkan kelainannya yang segar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required