Proton Iriz RX antara pencabar utama di 5 Nations British Rallycross C’ship pusingan 1 & 2 minggu ini

Proton Iriz RX antara pencabar utama di 5 Nations British Rallycross C’ship pusingan 1 & 2 minggu ini

Pusingan pertama dan kedua siri perlumbaan 5 Nations British Rallycross Championship akan berlangsung hujung minggu ini, di litar ikonik untuk disiplin rallycross di UK iaitu Lydden Hill Race Circuit. Senarai pelumba yang akan menyertai dua pusingan pertama musim 2022 berkenaan sudah pun dikeluarkan, dengan nama Ollie O’Donovan dari pasukan Team RX Racing yang akan memandu Proton Iriz RX berada pada kedudukan paling atas senarai tersebut.

Ollie bertanding dalam kategori tertinggi dalam kejohanan ini iaitu kelas Supercar, yang akan menyaksikan pertembungan 14 jentera rallycross berkuasa 600 hp dari pelbagai jenama. Pelumba dari Ireland yang berumur 55 tahun tersebut merupakan nama besar dalam perlumbaan rallycross di UK – bergelar juara dalam kejohanan ini pada tahun 2007, dan sebagai naib juara untuk musim 2021 (hanya kalah 2 mata berbanding juara Derek Tohill), Iriz RX Ollie akan menggunakan nombor ‘2’ sebagai nombor perlumbaan.

Projek penghasilan Proton Iriz RX yang dibangunkan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) dan Tony Bardy Motorsport (TBM) ini tidak mendapat penajaan terus dari Proton. Menurut ketua jurutera Team RX Racing dan juga pemilik TBM, Tony Bardy, projek ini dimulakan apabila Ollie memerlukan jentera baharu selepas berlumba dengan Ford Focus dan Ford Fiesta RX selama 15-tahun.

Proton Iriz RX antara pencabar utama di 5 Nations British Rallycross C’ship pusingan 1 & 2 minggu ini

“Kami ada kereta lain yang dirancang untuk masa hadpaan, tapi Ollie tak nak sama dengan orang lain, dia mahu sesuatu yang berlainan. Saya juga memikirkan perkara yang sama, tapi untuk bermula dari asas ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membina dan membangunkan sesuatu yang benar-benar baru,” kata Tony Bardy.

Menurut Bardy lagi, Iriz dipilih bukan sahaja ia tidak pernah lagi dihasilkan sebagai sebuah jentera rallycross seperti yang dimahukan oleh Ollie, malah MEM telah membuktikan bahawa Iriz kompetitif dengan jentera-jentera rali terkini dan telahpun memenangi banyak perlumbaan rali di UK.

Pembangunan jentera ini dibuat di fasiliti MEM yang terletak di Derbyshire, UK, diasaskan dari jentera rali Iriz R5 yang dibangunkan sebelum ini. Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan ketika jentera ini didedahkan. Namun menurut spesifikasi Supercar RX1 yang telah ditetapkan oleh FIA, jentera-jentera yang bertanding dalam kelas berkenaan perlu dijana oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan sekitar 600 hp, digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda serta ditimbang sekitar 1,300 kg.

Dilihat dari bahagian luar, Iriz RX ini menampilkan kelengkapan aerodinamik yang hampir sama dengan Iriz R5, khususnya pada bampar hadapan dan belakang, serta panel wide body pada keempat-empat ruang roda. Namun apa yang berbeza, Iriz RX ini diberikan lampu ‘dummy’ di hadapan bersama liang udara yang lebih banyak pada gril bawah dan perumah lampu kabus, overfender belakang yang lebih lebar serta spoiler dua tingkat di belakang yang lebih besar diperbuat dari karbon.

Jika anda perasan juga, terdapat liang udara besar pada kedua-dua belah pintu belakang, dan juga penutup but belakang yang telah ditebuk juga untuk aliran udara. Ini sebenarnya adalah untuk sistem penyejukkan enjin jentera lumba berkenaan, kerana radiator kereta rallycross lazimnya dialihkan ke bahagian belakang, bagi mengelakkan ia rosak ketika ‘dog fight’ yang lebih agresif berlaku setiap kali dalam disiplin perlumbaan tersebut.

Menurut Team RX Racing, walaupun Iriz RX ini diasaskan dari Iriz R5, pembinaannya dibuat secara spesifik untuk kegunaan perlumbaan rallycross, bermula dengan kerangka kosong sebuah Iriz produksi.

“Kereta ini berkongsi asas dengan Iriz R5, tetapi turut menampilkan banyak perincian yang unik, dan konsep berkenaan dikembangkan lagi bagi diadaptasi untuk rallycross lebih dari semua kemungkinan yang difikirkan sejak dari mula. Tetapi selepas kereta ini menjalani ujian pertama, ia ada kelajuan. Kereta ini mempunyai cengakaman yang banyak, dan lebih banyak potensi belum didedahkan. Kami semua tak sabar untuk perlumbaan pertama!” kata Tony Bardy lagi.

Perlumbaan yang diadakan di Lydden Hill minggu ini akan berlangsung pada 16 hingga 18 April ini. 5 Nations British Rallycross Championship akan berlangsung sebanyak 10-pusingan tahun ini, dengan pusingan seterusnya akan dibuat di Pembrey (Wales), Mondello Park (Ireland), dan Dreux (Perancis).

Anak Ollie iaitu Patrick O’Donovan turut akan menyertai 5 Nation BRX untuk musim ini, memandu satu lagi jentera pasukan Team RX Racing iaitu Ford Fiesta RX, bekas jentera yang digunakan Ollie untuk musim-musim sebelum ini. Apa yang menarik lagi, Ollie turut akan kembali ke siri European Rallycross Championship musim ini, yang akan bermula di Nyirad, Hungary bulan hadapan, diikuti pusingan di Norway, Sweden, Portugal, Latvia, Portugal dan Belgium.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required