Datsun ‘mati’ buat kali kedua selepas satu dekad – operasi pengeluaran redi-Go di India dihentikan terus

Datsun ‘mati’ buat kali kedua selepas satu dekad – operasi pengeluaran redi-Go di India dihentikan terus

Kira-kira sedekad yang lalu, Nissan menghidupkan kembali jenama Datsun – berbanding sebelum itu Datsun dikenali sebagai jenama import Nissan di luar Jepun, nyawa kedua yang diberikan berkenaan memperkenalkan Datsun sebagai jenama bajet Nissan. Namun nampaknya jangka hayatnya kali ini juga tidak panjang kerana operasi kilangnya yang memproduksi Datsun redi-Go di Chennai, India telahpun dihentikan, lapor Autocar India.

Penutupan kilang ini dibuat selepas dua tahun Nissan mengesahkan bahawa mereka akan mengecilkan operasi Datsun secara berperingkat. Kilang Datsun di Indonesia telahpun ditutup pada 2020, diikuti dengan penutupan operasinya di Rusia. Langkah berkenaan menyebabkan pengeluaran model hatchback Datsun Go dan MPV Go+ dihentikan, manakala penutupan kilang di India ini menghentikan penghasilan model terakhir Datsun iaitu redi-Go.

“Sebagai sebahagian strategi transformasi global Nissan, syarikat kini memfokuskan model-model dan segmen-segmen penting yang memberikan manfaat paling banyak kepada pelanggan, rakan pengedar dan perniagaan. Produksi Datsun redi-Go telah dihentikan di kilang Chennai,” jelas Nissan dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Namun Nissan memberikan jaminan bahawa khidmat lepas jualan dan sokongan waranti bagi kereta-kereta Datsun sedia ada masih akan diberikan kepada pemilik menerusi pengedar-pengedarnya di India. “Kami boleh memastikan semua pemilik Datsun sedia ada dan akan datang bahawa kepuasan pelanggan kekal keutamaan kami, dan kami akan terus menyediakan khidmat selepas jualan pada tahap tertinggi, ketersediaan alat ganti dan sokongan jaminan daripada rangkaian pengedar nasional kami.”

Datsun ‘dihidupkan’ semula pada 2012 sebagai jenama kos-rendah bagi pasaran penting baharu yang sedang “berkembang pesat”, sama seperti jenama bajet untuk Renault iaitu Dacia yang dilihat agak berjaya di Eropah. Datsun Go diperkenalkan di India pada 2014, dengan harga yang sangat murah dan mengejutkan, dijual tidak sampai 400,000 rupee (RM22,700). Namun model berkenaan mendapat penilaian yang rendah dengan laporan-laporan kualitinya yang rendah serta menerima penarafan sifar-bintang dalam ujian pelanggaran Global NCAP.

Model-model seterusnya termasuk Datsun on-Do dan mi-Do diasaskan dari model Lada di Rusia turut gagal memberikan jualan memberangsangkan, kerana kebanyakkan pembeli tidak mahu memiliki kereta yang jelas nampak sebagai sebuah kereta bajet. Operasi Datsun kemudiannya terpaksa dikecilkan susulan pelbagai masalah yang berlaku dalam Nissan termasuk skandal yang melibatkan bekas pengerusinya iaitu Carlos Ghosn dan juga jualan yang turun mendadak.

Jualan global tertinggi pernah dicatatkan oleh Datsun adalah 90,000 unit pada 2016, lapor Nikkei, dan ia hanya mampu menjual 6,400 unit kenderaan setahun pada 2021, iaitu tahun penuh terakhirnya.

Strategi Nissan berubah selepas itu dengan menghasilkan model-model bajet tetapi masih dengan jenama ‘Nissan’ – contohnya SUV Nissan Magnite yang sepatutnya dijual dengan jenama Datsun (masih menggunakan gril signatur oktagon Datsun), tetapi kemudiannya dijual dengan lencana Nissan dan kini menunjukkan angka jualan yang memberangsangkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required