Zeekr 009 – MPV elektrik mewah dari Geely Auto, lebih besar dari Toyota Alphard, jarak gerak cecah 700 km

Zeekr 009 – MPV elektrik mewah dari Geely Auto, lebih besar dari Toyota Alphard, jarak gerak cecah 700 km

Selepas memperkenalkan “Shooting brake EV” 001 tahun lalu, jenama kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) di bawah payung Geely Auto iaitu Zeekr memperkenalkan produk keduanya – ini dia Zeekr 009, iaitu sebuah MPV mewah yang juga digerakkan sepenuhnya dengan kuasa elektrik.

Menurut laporan CarNewsChina, 009 ini menampilkan dimensi panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda sejauh 3,205 mm. Jadi saiz MPV dari Zeekr ini jelas lebih besar dari Alphard kerana model keluaran Toyota berkenaan hanya dihasilkan dengan dimensi panjang 4,945 mm, lebar 1,850 mm serta jarak roda 3,000 mm.

Zeekr 009 ini juga merupakan MPV pertama yang dihasilkan menerusi platform Sustainable Experience Architecture (SEA) dari Geely. Sebelum ini platform yang dibangunkan khusus untuk EV berkenaan telah pun menjadi asas kepada Zeekr 001, crossover kompak smart #1, SUV berprestasi Lotus Eletre, trak pikap EV Radar RD6 dan pelbagai lagi.

Zeekr 009 – MPV elektrik mewah dari Geely Auto, lebih besar dari Toyota Alphard, jarak gerak cecah 700 km

Berbanding Alphard yang direka seakan van, Zeekr 009 ini tampil dengan muncung hadapan lebih panjang dan rekaan badan lebih tegap, serta set rim dan juga gril dalam kemasan perak yang sangat besar membuatkan ia nampak seperti SUV dari Amerika Syarikat. Gril berkenaan direka tanpa liang udara, sebaliknya menerima elemen jejari menegak yang unik.

Sebenarnya jejari tersebut turut menerima sejumlah 154 jalur LED, yang diberi nama “lampu air terjun” oleh Geely. Lampu hadapan utama MPV ini terletak pada bahagian tengah bampar, manakala jalur LED berbentuk ‘cakar’ diatasnya adalah lampu nyalaan siang.

MPV ini juga menerima tiang-A unik yang turut diberikan cermin, membolehkan titik buta di bahagian berkenaan dikurangkan. Ia dipadankan dengan pintu gelangsar untuk kabin belakang, namun rekaan pembuka pintu hadapan dan belakang yang nampak bercantum, ia seolah-olah menerima pintu jenis “suicide door”.

Zeekr 009 – MPV elektrik mewah dari Geely Auto, lebih besar dari Toyota Alphard, jarak gerak cecah 700 km

Profil sisi MPV ini juga nampak “bersih” dengan garis badan tegak ke belakang tanpa “simpang siur”, serta diberikan jalur perak yang agak tebal pada sebelah atas tingkap sisi. Manakala pada tiang-C, ia diberikan kemasan yang seiras dengan gril hadapan, dan nampak seiring dengan rekaan jejari pada set rim.

Di belakang, lampu utamanya direka menegak dan kelihatan bersambung dengan rel pintu gelangsar, bersama grafik LED berbentuk-T, bersambung dengan grafik LED dengan motif cakaran yang lebih kecil pada bar lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang. Secara keseluruhan bahagian belakang MPV ini juga nampak minimalis dengan hanya menampilkan garis-garis melintang bersama satu jalur perak merentangi sepenuhnya bahagian bawah bampar.

Tiada lagi gambar penuh bahagian dalam untuk MPV ini disiarkan. Namun dari cermin hadapan yang begitu besar, dapat dilihat ia diberikan skrin sesentuh bersaiz besar yang berdiri sendiri pada bahagian tengah papan pemuka. Secara asasnya, Zeekr 009 diberikan enam tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-2. Namun bagi model lebih mewah, ia turut ditawarkan dengan pilihan hanya dua tempat duduk di kabin belakang seperti Lexus LM350.

Zeekr 009 – MPV elektrik mewah dari Geely Auto, lebih besar dari Toyota Alphard, jarak gerak cecah 700 km

MPV ini juga menerima bumbung suria pada tempat duduk baris pertama, manakala penumpang di baris kedua dan ketiga pada kabin belakang menerima bumbung panaromik yang lebih besar untuk menikmati pemandangan langit.

Zeekr masih belum mendedahkan perincian berkenaan unit rangkaian kuasa MPV ini, kecuali mengesahkan bahawa ia boleh bergerak sejauh 700 km untuk satu cas penuh. Dengan menggunakan platform SEA, tidak mustahil ia boleh ditawarkan dalam versi pacuan belakang dengan sebuah motor elektrik, dan juga versi pacuan semua roda dengan dua motor elektrik (satu pada gandar hadapan, satu pada gandar belakang).

Sebagai contoh Zeekr 001, model berkenaan hadir dalam versi pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal berkuasa 272 hp, serta versi AWD dengan dua buah motor elektrik menawarkan kuasa keseluruhan 544 hp. Zeekr 001 juga ditawarkan dengan bateri 86 kWj atau 100 kWj, yang memberikan jarak gerak 536 km sehingga 732 km.

Zeekr 009 ini akan membuat penampilan sulungnya di Chengdu Motor Show 2022 bermula 26 Ogos ini. Ia bakal dilancarkan secara rasmi untuk pasaran China sebelum akhir tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required