Toyota GR Corolla dijual pada harga bermula RM162k di Amerika Syarikat; Morizo Editon cecah RM225k

Toyota GR Corolla dijual pada harga bermula RM162k di Amerika Syarikat; Morizo Editon cecah RM225k

Selepas Toyota GR Corolla membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat April lalu, Toyota USA kini baru sahaja mendedahkan harga hot-hatch berkenaan, yang diumumkan sekali dengan kemaskini harga bagi semua model yang dijual pada pasaran negara tersebut.

Toyota GR Crolla ditawarkan dalam tiga varian di Amerika Syrikat. Ia bermula dengan varian asas GR Corolla Core dijual pada harga AS$ 35,900 (RM162k), diikuti GR Corolla Circuit Edition dijual pada harga AS$42,900 (RM193k). Manakala model paling hardcore GR Corolla Morizo Edition dijual pada harga AS$49,000 (RM225k).

Toyota GR Corolla ini diasaskan dari kerangka Corolla htachback, tetapi dihasilkan lebih tegar menerusi penambahan pendakap-pendakap badan dan bahan perekat lebih banyak dan hanya diproduksi di fasiliti GR Factory di kilang Motomachi, Jepun, bersama GR Yaris. Ia juga turut menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti GR Yaris.

Toyota GR Corolla dijual pada harga bermula RM162k di Amerika Syarikat; Morizo Editon cecah RM225k

Oleh itu, GR Corolla ini menerima enjin G16E-GTS tiga-silinder 1.6 liter turbo tetapi menerima talaan lebih berkuasa 304 PS (300 hp), berbanding 272 PS pada GR Yaris. Namun daya tork yang dihasilkan untuk kedua-dua versi ini adalah sama iaitu 370 Nm. Enjin berkenaan digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan i-MT, bersama sistem pacuan semua roda GR-Four ala-jentera rali bagi memacu semua roda.

Konfigurasi asal sistem suspensi GR Corolla ini kekal dengan topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang, tetapi diolah semula bagi memberikan trek roda hadapan 60 mm lebih lebar dan trek roda belakang 85 mm lebih lebar berbanding Corolla Hatchback standard, membolehkan ia menawarkan prestasi di selekoh yang lebih baik.

Ini menyebabkan fender hadapan GR Corolla tersebut dilebarkan 20 mm dan fender belakang dilebarkan 30 mm berbanding Corolla hatchback biasa, secara tidak langsung memberikan rupa yang lebih garang.

Bagi model Circuit Edition, ia diberikan penambahan liang udara pada bonet hadapan, spoiler belakang lebih besar, bumbung diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) serta tombol gear yang menampilkan tandatangan “Morizo”, iaitu presiden Toyota, Akio Toyoda (Morizo adalah nama samaran Toyoda ketika berlumba).

Model ini juga datang standard dengan Performance Package (opsyenal untuk model Core), yang diberikan kelengkapan seperti LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang serta sistem brek lebih baik.

Manakala untuk GR Corolla Morizo Edition pula, ia adalah model edisi terhad yang menampilkan perincian lebih ‘jahat’ seperti peningkatan tork sebanyak 30 Nm menjadikan tork maksima 400 Nm, nisbah gear berbeza, menerima rim aluminium forged dari BBS bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2, diberikan tempat duduk semi-bucket pada bahagian hadapan, 30 kg lebih ringan dari GR Corolla biasa dengan membuat beberapa perubahan antaranya dengan membuang terus tempat duduk belakang, dan pelbagai lagi.

Sebelum ini Toyota turut mengumumkan bahawa GR Corolla Morizo Edition ini ditawarkan hanya 200 unit setahun untuk pasaran Amerika Syarikat dan bakal diberikan nombor produksi unik.

Walaupun GR Corolla ini membuat kemunculan sulungnya di Amerika Syarikat kerana pasaran berkenaan tidak menerima GR Yaris, Toyota sebelum ini telah mengesahkan bahawa GR Corolla adalah model global. Ini bermakna tidak mustahil ia turut akan dipasarkan ke Asia Tenggara termasuk Malaysia, seperti model-model GR lain iaitu GR Supra dan GR Yaris.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required