Honda WR-V dilancar di Indonesia – SUV 1.5L NA lebih kecil daripada HR-V, pesaing Ativa, harga dari RM82k

Honda WR-V dilancar di Indonesia – SUV 1.5L NA lebih kecil daripada HR-V, pesaing Ativa, harga dari RM82k

Model serba baru Honda WR-V akhirnya diperkenalkan buat kali pertama di Indonesia. SUV kompak ini adalah versi produksi bagi model konsep SUV RS Concept yang ditunjukkan di negara itu hujung tahun lalu, dan diletakkan di bawah HR-V (segmen B), dan merupakan seteru bagi Daihatsu Rocky dan Toyota Raize – kembar Perodua Ativa.

Meskipun rekaan akhir WR-V ini lebih “biasa” berbanding SUV RS Concept, ia masih lagi nampak ranggi. Ukurannya adalah 4,060 mm panjang dan 1,780 mm lebar, menjadikannya 5 mm lebih pendek berbanding Ativa, tetapi 70 mm lebih lebar. Dengan ukuran tinggi 1,608 mm, WR-V terletak 27 mm lebih rendah berbanding Ativa, manakala jarak roda 2,485 mm pula menjadikannya 40 mm lebih pendek berbanding SUV Perodua tersebut.

Di bawah hud WR-V ini terletak enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC NA sama seperti City dan HR-V versi asas, dan dipadankan bersama transmisi automatik CVT untuk menghasilkan 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm.

Memegang badan kenderaan ini kepada jalan adalah tetapan suspensi MacPherson di hadapan, dan torsion beam di belakang, sementara brek pula terdiri daripada unit cakera berliang di hadapan dan dram di belakang. Dua varian WR-V ini ditawarkan untuk pasaran Indonesia, iaitu E sebagai yang asas dengan rim 16 inci, sementara RS mendapat rim 17 inci dua tona.

Melihat kepada kelengkapan, WR-V E datang dengan sistem pemula enjin kawalan jarak jauh, butang pemula enjin, skrin sesentuh 7.0 inci, kamera undur dengan pandangan beberapa sudut, empat pembesar suara, panel pendingin hawa digital, tempat duduk balutan fabrik dan empat beg udara dengan VSA.

Varian RS yang lebih sporty pula ditambah dengan lampu utama LED dengan DRL LED, pengunci kenderaan automatik, panel meter dengan skrin digital 4.2 inci di tengah, enam pembesar suara, tempat duduk yang dibalut gabungan kulit dan fabrik, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, pendingin hawa elektronik serta cermin sisi lipat sendiri.

Pakej keselamatan Honda Sensing tidak datang secara standard pada varian RS, dan untuk mendapatkannya, pelanggan perlu memilih varian RS Sensing. Varian paling tinggi ini ditambah dengan ADAS bersama LaneWatch (kamera pada cermin sisi kiri), enam beg udara serta lampu utama automatik.

WR-V dijual di Indonesia pada harga bermula 271.9 juta Rupiah (RM82,395), diikuti 289.9 juta Rupiah (RM87,865) untuk RS dan 309.9 juta Rupiah (RM93,939) untuk RS Sensing. Warna yang ditawarkan adalah Taffeta White (E sahaja), Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl, Stellar Diamond Pearl (RS sahaja) dan Ignite Red Metallic (RS sahaja). Bagi mendapatkan bumbung warna hitam pada warna Ignite Red Metallic, pelanggan perlu membayar tambahan 2.5 juta Rupiah (RM757).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required