Toyota GR Corolla Rally Concept muncul di SEMA 2022 – tunjuk potensi Corolla sebagai jentera rali!

Toyota GR Corolla Rally Concept muncul di SEMA 2022 – tunjuk potensi Corolla sebagai jentera rali!

Tidak seperti GR Yaris, GR Corolla bukan model homologasi khas yang dibuat oleh Toyota untuk menyertai Kejohanan Rally Dunia (WRC). Namun dengan enjin dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four yang sama seperti GR Yaris, tentu sahaja GR Corolla ini boleh dijadikan jentera rali bukan?

Jadi, ini dia – Toyota GR Corolla Rally Concept yang didedahkan di acara SEMA 2022 berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat, menunjukkan potensi GR Corolla untuk dijadikan kereta rali.

Model konsep ini diasaskan dari GR Corolla dalam varian Circuit Edition untuk pasaran AS. Ia masih dijana oleh enjin asal G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo yang menghasilkan 304 PS (300 hp) dan tork maksima 370 Nm dalam keadaan standard. Enjin tersebut diperkemas dengan sistem ekzos custom sepenuhnya dari MagnaFlow, bersama penuras udara aliran tinggi dari GR.

Toyota GR Corolla Rally Concept muncul di SEMA 2022 – tunjuk potensi Corolla sebagai jentera rali!

Manakala rupa luaran GR Corolla Rally Concept ini pula dihasilkan dengan inspirasi dari jentera WRC GR Yaris Rally1. Ia diberikan kit badan tiga-inci lebih lebar (menjadikan ia enam-inci lebih lebar dari asal) yang diperbuat dari logam 20-tolok. Fender flare yang lebih lebar ini bukan sahaja memberikan kesan downforce yang lebih baik kepada GR Corolla berkenaan, malah ia turut berfungsi untuk mengeluarkan udara kotor dari ruang roda.

Ia juga dipadankan dengan splitter udara pada bampar hadapan sepanjang 4.5-inci dan juga skirt sisi – kedua-duanya dibina dengan bahan komposit karbon. Di belakang, GR Corolla ini menerima spoiler bersaiz gergasi dari material gentian karbon, memberikan dua elemen downforce.

Skup udara besar yang diletakkan pada kedua-dua sisi cermin suku belakang pada GR Corolla ini bukan bertujuan untuk aspek kosmetik, tetapi ia berfungsi untuk mengalirkan udara sejuk terus ke penyejuk minyak dan transmisi yang terletak di kabin belakang.

Toyota GR Corolla Rally Concept muncul di SEMA 2022 – tunjuk potensi Corolla sebagai jentera rali!

GR Corolla ini menerima suspensi rali boleh laras sepenuhnya Tein Gravel, manakala ruang roda yang jauh lebih besar berkenaan diisi dengan set roda terdiri dari rim OZ Racing bersaiz 17-inci dan lebar 8j, bersama tayar gravel Continental VikingContact 7 bersaiz 215/60R17.

Menurut Toyota, set brek asal GR Corolla yang terdiri cakera 14-inci berliang dan bertebuk bersama angkup empat omboh ini sudah pun memadai untuk kegunaan perlumbaan rali. Namun ia diberikan angkup brek tambahan dari Willwood untuk roda belakang, khas untuk brek tangan hidraulik bagi memudahkan kawalan pada laluan SS rali.

Kabin GR Corolla ini masih mengekalkan perincian sebuah kereta jalan raya biasa, diadun dengan kelengkapan-kelengkapan jentera rali. Karpet dan panel-panel pintu tidak dibuang, tetapi tempat duduk asal hadapan telah ditukar menggunakan tempat duduk bucket perlumbaan OMP lengkap dengan tali keledar.

Posisi tuil gear juga diubah sedikit bagi memberikan capaian yang lebih baik kepada pemandu, manakala tuil brek tangan hidraulik pula diletakkan di sebelahnya, sementara brek tangan manual untuk parkir pula masih dikekalkan. Apa yang menarik, walaupun kabin GR Corolla Rally Concept ini menerima roll cage penuh, tempat duduk belakang masih lagi dikekalkan dan tidak dicabut keluar.

Ruang but belakang digunakan untuk diletakkan tayar gantian lengkap dengan jek, dan dapat dilihat satu kill switch turut diletakkan pada bahagian berkenaan berfungsi untuk mematikan terus bekalan elektrik dari bateri sekiranya berlaku kecemasan. Kelengkapan jentera rali lain yang turut dipadankan pada GR Corolla ini termasuk sistem pemadam kebakaran perlumbaan dari OMP dan juga set intercom rali dari ZeroNoise bagi memudahkan pemandu dan juruarah berinteraksi.

Toyota kembali menyertai semula WRC pada tahun 2017 selepas mengundurkan diri pada tahun 1999. Jentera terakhir yang digunakan oleh Toyota sebelum “tidur” selama 18 tahun dari perlumbaan berkenaan adalah Toyota Corolla GT-Four WRC – jadi sekiranya Toyota kembali ke WRC masih dengan Corolla, jentera yang digunakan mungkin menampilkan rupa yang hampir sama seperti GR Corolla Rally Concept ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required