Hyundai Sonata facelift 2023 didedah – muka seakan Staria, papan pemuka baharu dengan skrin lengkung

Hyundai Sonata facelift 2023 didedah – muka seakan Staria, papan pemuka baharu dengan skrin lengkung

Hyundai Sonata generasi ke-lapan yang muncul buat pertama kali pada 2019 sudahpun menampilkan rupa yang paling garang antara model-model generasi sebelumnya. Nampaknya untuk versi facelift 2023, sedan segmen-D berkenaan tampil dengan imej yang lebih ‘jahat’ dari sebelum ini!

Sebelum ia membuat kemunculan sulung di khalayak umum pada 30 Mac nanti di Korea Selatan sempena acara Seoul Mobility Show, Hyundai terlebih dahulu mendedahkan imej-imej serta perincian awalan bagi model yang disegarkan ini. Seperti yang anda boleh lihat, Sonata facelift ini menerima perubahan rekaan yang agak menyeluruh pada bahagian muka, belakang dan juga dalam kabin.

Untuk muka, Sonata kini menerima asas rekaan seperti MPV gergasi Hyundai Staria. Ia diberikan lampu nyalaan siang LED yang sangat tipis seperti mata Space Cop Gaban/Robocop yang merentangi sepenuhnya bahagian muka. Lampu utama pula disorokkan pada bahagian bampar hadapan.

Rekaan ini bukan sahaja melibatkan bahagian lampu dan bampar, malah fender dan juga bonet hadapan juga perlu ditukar bagi memberikan rupa yang berlainan. Dengan rekaan baharu juga memerlukan logo ‘H’ senget pada gril hadapan ‘Parametric Jewel’ sebelum ini dipindahkan pada muncung bonet hadapan.

Hyundai Sonata facelift 2023 didedah – muka seakan Staria, papan pemuka baharu dengan skrin lengkung

Selain nampak lebih garang, rekaan ini turut membuatkan Sonata nampak lebih aerodinamik dengan bahagian hadapan kini lebih rendah dan tajam. Ia masih diberikan versi N-Line yang lebih agresif, menampilkan lencana N-Line dan elemen gril hadapan yang berbeza.

Fender hadapan Sonata ini bukan sahaja menampilkan rekaan berbeza pada bahagian lampu, bahagian lekuk yang bersambung dengan garis badan pada pintu kini direka seakan mempunyai liang udara. Kemasan krom sekeliling tingkap sisi masih ada, namun ia tidak lagi diberikan jalur krom yang bersambung pada fender sehingga lampu hadapan. Hyundai turut memberikan rekaan rim aloi baharu untuk Sonata facelift ini.

Di belakang, jalur LED merah yang sebelum ini merentangi sepenuhnya penutup but belakang telah diletakan lebih tinggi dan diberikan panel kemasan bar hitam, yang turut menempatkan corak checkered serta loga ‘H’ senget di tengah. Jalur berkenaan bersambung dengan grafik LED pada lampu belakang utama yang kini berbentuk-T (atau bentuk-H sekira dilihat sepenuhnya dari belakang).

Sirip ‘vortex generator’ pada bahagian atas lampu belakang tersebut masih ada, dan ia bersambung dengan kemasan spoiler ‘ekor itik’ bersepadu pada penutup but. Rekaan bampar juga berubah dengan diberikan liang udara yang diletakkan sendeng pada kedua-dua sisi bersama kemasan diffuser yang berbeza.

Bagi model N-Line, ia hadir dengan spoiler ekor itik yang lebih signifikant, rim aloi berdiameter 19-inci, serta dua tip ekzos berkembar masing-masing diposisikan pada setiap sisi. Hyundai menyatakan bahawa secara keseluruhan rupa luaran baharu Sonata ini memberikan kadar penggunaan bahan api lebih baik serta lebih stabil ketika pemanduan kelajuan tinggi berbanding pesaing dalam segmen yang sama.

Pada bahagian dalaman, Sonata facelift ini turut menerima rekaan papan pemuka baharu. Ia kini diberikan skrin berkembar bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrument digital dan sistem infotainmen yang direka tanpa perumah, serta melengkung bagi memberikan sudut pandang lebih baik kepada pemandu.

Ia juga kini turut menampilkan liang penghembus udara yang merentangi sepenuhnya dan panel kawalan pendingin hawa baharu di tengah. Roda stereng empat jejari sebelum ini tidak digunakan lagi, digantikan dengan roda steren tiga-jejari yang nampak lebih sporty.

Sonata facelift masih menampilkan sistem shift-by-wire yang menyisihkan tombol gear konvensional. Namun ia kini tidak menggunakan suis tekan yang diletak pada konsol terowong, tetapi menggunakan panel kawalan pada kolum stereng, di belakang roda stereng, terletak di bawah tombol suis pengelap cermin.

Hyundai Sonata facelift 2023 didedah – muka seakan Staria, papan pemuka baharu dengan skrin lengkung

Rekaan ini bukan sahaja memudahkan tangan pemandu mencapai tombol gear dengan lebih dekat, malah menurut Hyundai ia turut memberikan ruang storan dan pemegang cawan lebih besar serta perehat tangan yang lebih selesa pada konsol terowong.

Hyundai turut menyatakan kabin Sonata facelift menampilkan “tingkat taraf yang signifikant untuk pengalaman penumpang dengan kombinasi warna dalaman penuh citarasa bagi menambahbaik rasa sporty dan karekter premium secara serentak.”

Masih belum ada perincian berkenaan spesifikasi teknikal didedahkan, dan kesemua maklumat berkenaan dijangka akan diumum ketika pendedahan penuhnya nanti.

Untuk Sonata sedia ada, ia ditawarkan dalam satu versi hibrid, dan tiga unit rangkaian kuasa petrol berbeza bergantung varian dan pasaran. Bagi model Sonata Hybrid, ia dipadankan dengan enjin Smartstream G2.0 GDi HEV berkuasa 152 PS/188 Nm, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 38 kW/205 Nm bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 195 PS dan memberikan penggunaan bahan api sehingga 20.1 km/l.

Model hibrid ini menerima kotak gear automatik enam-kelajuan dengan Active Shift Control (ACS), serta model produksi hibrid pertama di dunia yang menerima panel solar pada bumbung bagi menambah bekalan elektrik pada bateri hibrid.

Versi asas petrol pula hadir dengan enjin 1.6 liter turbo bersama sistem suntikan bahan api terus (T-GDI), berkuasa 185 hp dan tork maksima 241 Nm. Ia diikuti model dengan enjin NA 2.5 liter Smartstream bersama sistem suntikan bahan api terus, menjana 191 hp dan tork maksima 245 Nm. Kedua-dua enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan, memacu roda hadapan.

Manakala versi paling berkuasa adalah Hyundai Sonata N-Line, yang menerima enjin turbo 2.5 liter dengan sistem suntikan bahan api terus menghasilkan 285 hp dan tork maksima 422 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan.

Hyundai Sonata generasi ke-lapan ini sudahpun dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2020. Ia hadir hanya dalam satu varian iaitu 2.5 Premium yang diberikan enjin NA 2.5 liter, dijual pada harga atas jalan RM206,888. Namun dengan jumlah yang agak sukar untuk kita lihat di atas jalan raya serta halatuju Hyundai Malaysia yang lebih kearah kenderaan elektrik (EV), adakah model facelift ini turut akan di bawa ke pasaran tempatan?

GALERI: Hyundai Sonata 2020 pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required