Renault Grand Koleos 2025 diperkenal – kembar Geely Xingyue L, 1.5L 3-silinder turbo PHEV dan 2.0L Turbo

Renault Grand Koleos 2025 diperkenal – kembar Geely Xingyue L, 1.5L 3-silinder turbo PHEV dan 2.0L Turbo

Bila dengar nama Renault Koleos, kita di Malaysia dan banyak lagi pasaran tentunya terbayang SUV segmen-C yang merupakan kembar Nissan X-Trail bukan? Namun untuk Renault Grand Koleos 2025 yang diperkenalkan di Busan International Mobility Show 2024 minggu lalu ini, ia bukan lagi kembar X-Trail, tetapi dihasilkan dari Geely Xingyue-L.

Ini merupakan model pertama yang dihasilkan menerusi kerjasama Renault-Geely yang dimeterai sejak Ogos 2021. Sesuai dengan nama yang ditambah dengan ‘Grand’, model ini dihasilkan saiz yang lebih besar dari Koleos sedia ada, menampilkan panjang keseluruhan 4,780 mm dan jarak roda sejauh 2,820 mm. Bertanding dalam kelas segmen-D seperti Kia Sorento dan Mazda CX-8, Renault mendakwa SUV ini hadir dengan jarak roda paling jauh dalam kelasnya, namun masih menampilkan konfigurasi lima-tempat duduk.

Dari luar, Grand Koloes jelas merupakan model rebadge dari Geely Xingyue L dengan berkongsi kerangka badan yang sama dan beberapa perincian lain termasuk lampu hadapan dan belakang. Oleh itu ia juga merupakan model yang diasaskan dari platform CMA rekaan Volvo yang turut mengasakan model seperti Volvo XC40.

Renault Grand Koleos 2025 diperkenal – kembar Geely Xingyue L, 1.5L 3-silinder turbo PHEV dan 2.0L Turbo

Bagi memberikan rupa yang lebih unik berbanding Xingyue L, Grand Koleos ini menerima gril hadapan baharu dengan elemen 3D, bampar hadapan dan belakang, penutup bonet hadapan, pintu tailgate belakang, set rim mengikut tema rekaan terkini Renault, dan logo-logo Geely turut ditukar kepada Renault.

Manakala dalam kabin, Renault memberikan rombakan agak besar pada papan pemuka berbanding Xingyue L kerana Koleos menerima tiga skrin gergasi masing-masing bersaiz 12.3-inci, di mana satu adalah paparan instrumen digital, satu skrin infotaimen utama, dan satu lagi skrin infotainmen untuk penumpang hadapan.

Turut boleh dilihat dalam kokpit Grand Koloes ini adalah perincian yang dikongsi bersama Geely, seperti tombol gear dan juga roda stereng yang sama boleh kita temui pada Proton S70 dan X90.

Antara perician yang ditawarkan mengikut varian termasuk upholsteri kulit Nappa, sistem bunyi Bose dengan 10-pembesar suara, paparan head-up AR 25.6-inci, Apple CarPlay dan Android Auto hubungan tanpa wayar, sistem penghawa dingin tiga-zon dan fungsi arahan suara.

Renault Grand Koleos 2025 diperkenal – kembar Geely Xingyue L, 1.5L 3-silinder turbo PHEV dan 2.0L Turbo

Ia juga turut ditawarkan dalam varian tertinggi Esprit Alpine, datang dengan perincian istimewa seperti rim aloi 20-inci, rekaan gril hadapan berbeza, bumbung hitam, tempat duduk balutan kulit dan Alcantara, serlahan biru dan juga benang jahitan dengan warna bendera Perancis.

Grand Koleos turut berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Xingyue L. Ketika diperkenalkan Renault menawarkan varian dengan enjin petrol sepenuhnya dan juga model hibrid elektrik.

Bagi model petrol penuh, Grand Koleos menerima enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 211 PS dan tork maksima 325 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan untuk model pacuan roda hadapan, dan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan bagi model pacuan semua roda.

Untuk model hibrid yang dijenamakan sebagai E-Tech (sama nama seperti model elektrifikasi Renault lain) pula, ia menerima teknologi Geely yang menggandingkan enjin tiga silinder 1.5 liter supercharger DHE dan sistem hibrid ‘multimode’ unik yang menawarkan tiga kelajuan bagi memacu roda hadapan serta bateri 1.64-kWj.

Secara keseluruhan sistem ini membekalkan kuasa 248 PS, dan memberikan penggunaan bahan api sehingga 50% lebih jimat dari model dengan enjin petrol penuh sekiranya dipandu pada kelajuan 40 km/j ke bawah dengan bantuan elektrik.

Tempahan untuk pelanggan pasaran Korea Selatan telahpun dibuka ketika Renault Grand Koleos ini didedahkan, dan penghantaran pertamanya akan dibuat bermula September ini. Menurut laporan CarNewsChina, Renault turut merancang untuk membawa model ini ke pasaran eksport lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required