
Hyundai-Sime Darby Motor (HSDM) telah mengemaskini senarai harga baharu bagi semua model Hyundai yang masih berada di pasaran Malaysia, selepas berakhirnya pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 30 Jun 2022. Walau bagaimana pun, masih terdapat beberapa model yang belum diumumkan harga baharunya dan kami akan mengemaskini artikel ini apabila mendapat maklumat yang diperlukan.
Seperti dijangka, harganya memang naik, sehingga RM10,520, atau 6.29%. Bagi model Elantra, untuik varian 1.6 Premium, harganya lebih RM10,000 tanpa pengecualian SST, kini mencecah RM168,888 atas jalan tanpa insurans.
Untuk Santa Fe pula, SUV pemasangan tempatan (CKD) ini diumumkan mengalami kenaikan sehingga RM8,000. Di mana varian 2.2D Executive SE kini berharga RM196,888 dan RM215,888 untuk 2.2D Executive Plus SE.

Manakala Kona pula dinaikkan harga hingga RM4,500 untuk empat varian yang ditawarkan, dengan model spesifikasi penuh 1.6 TGDI N-Line kini dijual pada harga RM161,388. Versi semua-elektrik crossover terbabit pula mengalami kenaikan harga yang lebih tinggi, dengan e-Lite dan e-Plus (kedua-duanya dengan bateri 39.2 kwh) kini lebih RM7k, sementara e-Max (bateri 64 kWh) pula kini RM208,348 (+RM8,460).
Satu lagi barisan kenderaan elektrik (EV) yang ditawarkan iaitu Ioniq 5, kini dinaikkan harga sebanyak RM10,520 tanpa pengecualian SST. Varian Max (dengan bateri 72.6 kWh) menyaksikan kenaikan yang paling tinggi, sementara varian Plus dan Lite (kedua-duanya dengan bateri 58 kWh) pula masing-masing naik hingga RM8,520 dan RM7,920.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan jentera yang lebih besar, Grand Starex 11-tempat duduk kekal pada harga RM165,999 untuk varian Executive Plus memandangkan MPV ini dikategorikan sebagai kenderaan komersil dan tidak menerima manfaat dari pengecualian SST. Namun, berbeza dengan Staria yang menerima pengecualian SST sebelum ini dan dijual pada harga RM358,888. Tetapi mulai 1 Julai 2022, ia dinaikkan harga sebanyak RM7,880, kini RM366,768.
