Toyota Raize hanya dapat 1 Bintang dalam ujian NCAP Amerika Latin; hanya diberi 2-beg udara, tiada ADAS

Kembar kepada Perodua Ativa dan Daihatsu Rocky, Toyota Raize hanya menerima penarafan 1 Bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Amerika Latin (Latin NCAP) yang dibuat baru-baru ini.

Menurut Latin NCAP, Raize menerima markah 40.54% dalam perlindungan penumpang dewasa, 71.57% untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, 58.7% untuk perlindungan pejalan kaki dan pengguna jalan raya yang terdedah, serta 58.14% dalam bantuan keselamatan.

Dalam laporan ini juga menyatakan impak dari pelanggaran hadapan menunjukkan struktur yang tidak stabil dan hanya memberikan perlindungan marginal pada dada pemandu. Manakala impak pelanggaran sisi pula menunjukkan perlindungan kecil pada dada dan ada komponen yang berkaitan masuk ke dalam kawasan penumpang, meningkatkan risiko kecederaan kepada penumpang.

Menurut Latin NCAP lagi, oleh kerana perlindungan kepala sisi tidak standard, Raize diberikan markah sifar dalam ujian hentaman tiang sisi dan dikenakan penalti kerana kekurangan perlindungan kepala di barisan hadapan dan belakang.

Toyota Raize hanya dapat 1 Bintang dalam ujian NCAP Amerika Latin; hanya diberi 2-beg udara, tiada ADAS

Walau bagaimanapun, hasil ujian yang dilakukan oleh Latin NCAP ini tidak boleh dikaitkan dengan Perodua Ativa di Malaysia kerana model yang dijual di rantau berkenaan sememangnya dibekalkan dengan aspek keselamatan yang rendah. Raize tersebut diimport dari Indonesia dan bukan dari Jepun, di mana ia hanya dibekalkan dengan dua beg-udara, sistem ESC serta tanpa sebarang sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

?Adalah mengecewakan kerana Toyota sekali lagi terlibat dalam penjualan kereta dengan keselamatan rendah untuk negara tertentu di rantau ini, seperti Raize. Kami tahu bahawa jenama itu boleh mencapai prestasi yang lebih baik dalam keselamatan kenderaan, jadi kami sangat menyeru syarikat itu untuk mempertimbangkan semula strategi peralatan keselamatannya dan mensubjekkan modelnya kepada penilaian keselamatan supaya pengguna mengetahui prestasi sebenar mereka,” kata pengerusi Latin NCAP, Stephan Brodziak.

Bagi Perodua Ativa di Malaysia, varian paling asas 1.0T X sudahpun dibekalkan dengan enam-beg udara dan juga beberapa fungsi sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan pengayuh basikal, amaran dan perlindungan keluar lorong, Kawalan salah pijak pedal dan juga amaran gerak kenderaan hadapan.

Dalam ujian ASEAN NCAP yang dibuat pada 2021 menggunakan protokol terkini yang lebih ketat, Perodua Ativa menerima penarafan 5-Bintang untuk kesemua empat kategori ujian iaitu Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), bantuan keselamatan serta keselamatan kepada penunggang motosikal (termasuk pemerhati titik buta dan perlindungan pejalan kaki).