Op Selamat 9 dijalankan untuk musim Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kerana kemalangan jiwa di jalan raya dijangka akan meningkat lebih tinggi lagi, kata ketua polis Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik (TEID) persekutuan Datuk Mahamad Akhir Darus dalam laporan New Straits Times.
Pengguna jalan raya, khususnya mereka yang memandu pulang ke kampung halaman masing-masing pada musim perayaan ini perlu mengamalkan pemanduan berhemah jika mahu sampai ke destinsi dengan selamat, kata beliau
“Hidup dan mati ditentukan oleh Tuhan, dan bukan hak kami untuk bercakap sama ada ramai yang akan terkorban atau tidak, tetapi trend menunjukkan angka kemalangan dan kematian mungkin akan terus meningkat pada tempoh masa berkenaan (Op Selamat 9).
“Jika pengguna jalan raya masih mengabaikan undang-undang trafik, tidak menghormati pengguna jalan raya yang lain dan memandu secara berbahaya, kes kemalangan pastinya akan meningkat.” kata Akhir. Beliau menambah Op Selamat merekodkan 330 kematian tahun lalu, meningkat 39.2% berbanding 237 kematian pada 2014.
Antara sebab utama kemalangan maut terjadi ialah hilang kawalan terhadap kenderaan, masuk ke laluan bertentangan, cuba memotong di kawasan yang bahaya serta membuat pusingan berbahaya di simpang.
Ini disebabkan faktor-faktor termasuk memandu secara berbahaya, melanggar undang-undang trafik, sikap yang tidak bertimbang rasa di atas jalan raya dan perbuatan yang mementingkan diri sendiri, tambah Akhir. Statistik menunjukkan 20,458 kemalangan yang tidak melibatkan kematian dicatatkan semasa Op Selamat pada Hari Raya 2015 berbanding 18,484 kes pada tahun lalu, menurut laporan berkenaan.
Untuk Op Selamat 9, yang telah pun bermula pada 29 Jun dan akan berakhir pada 13 Julai nanti, Akhir berkata TEID akan melaksanakan sepenuhnya konsep penguatkuasaan, sambil fokus kepada enam kesalahan utama iaitu penyalahgunaan lorong kecemasan, memotong di garisan kembar, melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Pihak berkuasa juga telah membentuk 14 pasukan kecemasan yang disertai oleh anggota dari pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, St John Ambulance, Jabatan Pertahanan Awam dan Persatuan Bulan Sabit Merah untuk operasi berkenaan, tambah Akhir.
Panggilan semula oleh pengeluar-pengeluar automotif diteruskan diseluruh dunia, kali ini di Jepun. Pelbagai jenama automotif Jepun telah mengeluarkan notis panggilan semula melibatkan 1.3 juta kenderaan di seluruh negara mata hari terbit berkenaan, sebahagian daripadanya turut merancang lebih panggilan semula di luar negara dan menambah lebih dari sejuta unit kenderaan dalam senarai, lapor Automotive News.
Setelah ditekan oleh kerajaan Amerika Syarikat, pembekal beg udara berkenaan – Takata Corp bersetuju untuk mengisytiharkan lebih banyak beg udara keluaran mereka sebagai bermasalah di Amerika bulan lalu. Berikutan perkara berkenaan, Kementerian Pengangkutan Jepun telah mengarahkan lebih banyak beg udara tersebut dipanggil semula.
Mazda dilaporkan telah memanggil semula sekitar 1.57 juta kenderaan keluaran mereka di seluruh dunia, termasuk 490,000 kenderaan di Jepun sendiri. Jenama berkenaan mengatakan model yang terlibat ialah Demio (Mazda 2 untuk pasaran luar),RX-8, dan van Bongo. Panggilan semula pada kesemua model tersebut melibatkan penukaran inflator beg udara pada bahagian penumpang dan pemandu kecuali van Bongo yang hanya melibatkan bahagian pemandu. Mazda mengatakan panggilan semula untuk pasaran luar Jepun akan melibatkan Mazda 2, termasuk untuk pasaran Amerika Syarikat dan China, tetapi tidak menyatakan maklumat terperinci.
Manakala Mitsubishi pula berkata, mereka akan memanggil semula sekitar 520,000 unit kereta. Model yang terlibat termasuk model Delica dan Pajero, sebahagiannya ada yang diproduksi tahun ini. Untuk itu, inflator beg udara bahagian pemandu perlu ditukar. Sekitar 92,000 Delica dan Pajero telah dieksport keluar negara, dan turut akan dipanggil semula kelak. Untuk model eK Wagon, eK Sport, Pajero Mini dan Toppo juga terlibat dalam panggilan semula, tetapi hanya melibatkan penukaran inflator beg udara bahagian penumpang.
Subaru juga turut mengeluarkan notis panggilan semula terhadap 290,000 Legacy untuk menukar inflator beg udara sebelah pemandu. Walau bagaimanapun, bukan semua kenderaan yang dipanggil semula terdiri dari jenama buatan Jepun. Mercedes-Benz turut memanggil semula 93,000 unit kenderaan keluarannya dan antara model yang terlibat adalah C-Class dan E-Class.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengatakan sehingga kini, tiada kenderaan dari jenama tersebut untuk pasaran Malaysia dipanggil semula. Berkenaan Mercedes-Benz yang diimport sendiri (grey import), MBM berkata mereka tidak ada cara untuk memeriksanya secara atas talian menggunakan nombor VIN, jadi adalah lebih baik pengguna menghantar sendiri kereta mereka ke pusat servis MBM bertauliah untuk diperiksa.
MBM turut menyatakan, jika ada kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula ini dan pemilik menghantarnya ke pusat servis MBM yang bertauliah, mereka akan menukar komponen yang berkaitan.
Anda juga boleh merujuk sama ada kereta anda terlibat dengan panggilan semula inflator beg udara Takata ini atau tidak pada pautan ini.
Salahguna lorong kecemasan oleh pengguna jalan raya telah dipandang serius oleh pihak berkuasa. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron, pemandu yang didapati menyalahguna laluan kecemasan akan terus dihadapkan ke mahkamah dan boleh dikenakan saman RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut berkata, jabatan itu menerima 429 aduan daripada orang ramai berhubung kenderaan yang menyalahguna laluan kecemasan membabitkan 1,266 kenderaan sepanjang tempoh 22 Mei hingga 24 Jun lalu. Katanya, kebanyakan aduan yang diterima adalah aduan bergambar yang dihantar kepada emel aduan JPJ atau menerusi media sosial, laporan Berita Harian.
“Menerusi aduan yang diterima, kita sudah menghantar nota temu siasat kepada 219 pemilik kenderaan meminta mereka hadir ke mana-mana pejabat JPJ berhampiran untuk direkod keterangan.
“Kita memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pemandu yang melakukan kesalahan ini. “Pemilik kenderaan diberi tempoh 21 hari daripada tarikh notis dihantar dan kebiasaannya mereka yang disoal siasat mengaku melakukan kesalahan itu,” katanya pada sidang media Operasi Khas Motosikal Op Hari Raya Aidilfitri 2016 di laluan motosikal Plaza Tol Sungai Besi, malam tadi.
Beliau turut mengulas mengenai cadangan untuk lima lagi kesalahan utama jalan raya iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak membenarkan kenderaan lain memotong untuk terus dikenakan tindakan mahkamah.
Katanya, ia masih di peringkat kajian. “Setakat ini kita menerima maklum balas yang baik daripada orang ramai berhubung cadangan itu. Kita masih menjalankan kajian secara mendalam bersama pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya berhubung perkara itu.”
Oleh kerana proses itu membabitkan kemampuan mahkamah dan proses pendakwaan, maka perkara itu mesti diambil kira bagi mengelak berlaku kesulitan.
Untuk mereka yang sedang menunggu model Mazda berkuasa diesel, kami mempunyai maklumat untuk anda. Menurut sumber dari Bermaz Motor, hampir kesemua barisan model Mazda SkyActiv-D akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi
Percaya atau tidak, Mazda CX-5, 6, CX-3 dan 2 akan ditawarkan dalam varian diesel tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, Mazda 3 tidak tersenarai untuk dijual dalam versi diesel. Dari segi harga, hanya dua model yang diketahui setakat ini iaitu CX-5 dijangka dijual pada harga RM166k dan Mazda 6 bakal dijual pada harga anggaran RM206k. Model CX-3 dan 2 akan dilancarkan sekali dengan model-model lebih besar tadi, tetapi hanya akan masuk ke bilik pameran kemudian.
Dari empat model berkenaan, hanya CX-5 diesel yang akan diproduksi dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD). Sebenarnya model tersebut kini sudah pun dipasang di kilang Inokom Kulim, Kedah untuk dieksport ke Thailand. Mazda 6 akan hadir dalam bentuk CBU – diimport sepenuhnya dari Jepun bersama CX-3, manakala Mazda tu akan diimport dari Thailand.
Mazda 6 dan CX-5 diesel akan dikuasakan dengan enjin diesel 2.2 liter empat silinder turbo berkembar SkyActiv-D berupaya menjana 175 PS pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 2,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.
Untuk Mazda 3 dan CX-3 diesel pula, ia bakal dijana oleh enjin diesel empat silinder SkyActiv-D 1.5 liter berkuasa 104 hp/270 Nm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik SkyActiv-Drive.
Kemalangan maut pertama melibatkan sistem Autopilot Tesla telah dilaporkan, menyebabkan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika (NHTSA) membuka kertas siasatan terhadap Tesla Model S yang terlibat dalam insiden berkenaan. Badan keselamatan berkenaan akan mengesahkan sama ada sistem tersebut berfungsi seperti yang dijangka.
Petikan dari kenyataan yang dikeluarkan di laman web rasmi Tesla menerangkan insiden pada 7 Mei berkenaan – “Kereta tersebut berada pada lebuhraya dengan sistem Autopilot diaktifkan semasa sebuah treler traktor dipandu melintasi lebuhraya berkenaan. Sistem Autopilot dan pemandu nampak langit yang terang pada bahagian bawah treler itu tanpa menyedari treler tersebut sedang melintas, jadi brek langsung tidak digunakan.”
Akibatnya, Model S berkenaan terperosok dibawah treler tersebut, dengan bahagian cermin hadapan berlanggar dengan bahagian bawah treler, menyebabkan kematian pemandu Tesla berkenaan. Laporan polis di Levy County Journal mengatakan bahagian atas bumbung berkenaan “terkoyak terus kerana impak pada rempuhan tersebut.”
Menurut Tesla, jika Model S berkenaan melanggar bahagian hadapan atau belakang treler tersebut, sistem keselamatan pelanggarannya akan mengelakkan kecederaan serius.
Tesla menerangkan sistem Autopilot pada kenderaan mereka masih lagi belum sempurna sepenuhnya, dan memerlukan perhatian dari pemandu.
Sistem berkenaan juga disifatkan sebagai sistem bantuan yang masih memerlukan pemandu sentiasa memegang roda stereng pada setiap masa, kerana pemandu masih perlu membuat pembetulan segera sendiri sekiranya diperlukan.
Laporan berkenaan juga mendedahkan pemandu Tesla yang maut dalam kemalangan tersebut ialah lelaki berumur 40 tahun dari Ohio bernama Joshua Brown. Brown sebelum ini pernah merekodkan dan memuat naik video demonstrasi bagaimana sistem Autopilot pada Model S milik beliau berupaya mengelakkan perlanggaran sisi, semasa beliau sedang mendengar audiobook.
Polis telah mengeluarkan amaran tegas terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan lampu strob tanpa kebenaran, dan ia perlu ditanggalkan serta-merta. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan peranti tersebut akan dirampas pihak berkuasa, laporan The Star.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Datuk Mahamad Akhir Darus, penggunaan lampu tersebut adalah melanggar peraturan. Katanya lagi, beliau sendiri telah beberapa kali terlihat pengguna jalan raya menggunakan lampu strob ini bagi memudahkan mereka melalui kesesakan trafik dengan lebih pantas.
Beliau turut menambah, menjelang Hari Raya ini, polis menjangkakan pertambahan trafik, dan pengguna jalan raya yang menggunakan lampu strob ini boleh memburukkan lagi situasi.
Menurut Asisten Komisioner Ruslan Khalid pula, individu yang melakukan perbuatan demikian akan dikenakan saman dan lampu strob berkenaan akan dirampas serta-merta. “Jika mereka tidak mahu menanggalkan lampu tersebut serta-merta, kemungkinan besar kami akan menyita kenderaan mereka,” tegasnya.
Op Selamat 9 sempena Aidilfitri ini yang telah pun memulakan operasi sejak dua hari lalu turut mdiwujudkan empat subtek (pusat operasi) di empat zon utama negara bagi membantu kelancarannya.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Datuk Mahamad Akhir Darus, empat subtek berkenaan dibahagikan kepada Zon Utara di Sekolah Latihan Asas Sungai Petani, Kedah; Zon Tengah di Batalion (Bn) 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor, Perak; Zon Selatan di Bn 6 PGA Bakri, Muar, Johor dan Zon Timur di Bn 7 PGA Bukit Galing, Kuantan, Pahang.
Laporan Bernama turut menyebut, keempat-empat zon tersebut meliputi keseluruhan kontinjen di Semenanjung Malaysia dan subtek yang terlibat dijadikan sebagai pusat kawalan. Ia berfungsi untuk menyediakan laporan, statistik, carta, maklumat terkini aliran pergerakan trafik dan menjadi koordinasi antara bilik gerakan trafik di Bukit Aman.
Mahamad Akhir berkata penugasan yang dijalankan meliputi kawalan subtek dan pasukan rondaan/pemantau (strike force).
“Di pusat kawalan subtek kekuatan terdiri daripada dua pegawai polis yang berpangkat Supt dan DSP yang bertindak sebagai Ketua Operasi dan Timbalan Ketua Operasi manakala di pusat kawalan pula ada urus setia dengan kekuatan 15 anggota dan pegawai yang bertugas mengikut syif.
“Mereka ini bertugas dengan pusingan tugas 12 jam setiap syif memantau pergerakan aliran trafik,” katanya.
Mahamad Akhir berkata Op Selamat kali ini menggunakan pendekatan ‘total enforcement’ dan ‘services’ serta memberi tumpuan di kawasan ‘black spot’ bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut dan melancarkan aliran trafik.
“Penekanan op kali ini memfokuskan penguatkuasaan undang-undang jalan raya tanpa sebarang kompromi terutamanya kesalahan (memandu di) lorong kecemasan dan potong barisan,” katanya.
Susulan itu, polis telah mengenal pasti sebanyak 78 lokasi ‘black spot’ di sekitar Jalan Persekutuan yang banyak berlaku kemalangan.
Mahamad Akhir berkata dalam konteks op ini, pihaknya menggembleng usaha bersepadu melalui ‘Emergency Response Team’ yang terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Telekom Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Proton sebelum ini telah berjaya masuk semula ke pasaran Chile, dan kini mensasarkan untuk menjadikan negara Amerika Latin berkenaan sebagai hab. Pengeluar kereta nasional tersebut juga kini sedang berusaha untuk menjadikan Saga sebagai Teksi di sana.
Bernama melaporkan Duta Malaysia di Santiago telah bermesyuarat dengan Persatuan Teksi Chile minggu lalu. Persatuan teksi berkenaan mahu menggunakan Proton Saga sebagai teksi, kata duta Malaysia ke Chile Datuk Dr Mohamad Rameez kepada agensi berita tersebut. Jika ia berjaya, pastinya penggunaan Saga teksi ini akan meningkatkan jualan Proton di sana.
Proton masuk semula ke pasaran Chile setelah sekian lama menghentikan eksportnya ke negara berkenaan (Wira dan Satria di jual di Chile pada era 90’an), dan mensasarkan untuk menjual 1000 unit Preve tahun ini. Selain dari Preve, Exora dan Saga turut akan dieksport dalam versi pemanduan sebelah kiri ke negara Amerika Latin berkenaan. Ia diedarkan oleh Andes Motor, iaitu salah sebuah syarikat dari Kaufmann Group.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Rameez berkata Proton sebelum ini telah menyerahkan MPV Exora kepada kedutaan Malaysia minggu lalu, sebagai salah satu usaha mempromosikan Malaysia dan pelancongan kepada rakyat Chile. Badan Exora berkenaan telah dibalut dengan gambar-gambar tempat menarik di Malaysia, menara berkembar Petronas serta logo Visit Malaysia.
“Kereta berkenaan turut dipamerkan semasa acara promosi pelancongan Malaysia dan ASEAN di Santiago. Melalui promosi inovatif untuk Malaysia ini, selain dapat menjimatkan kos kerajaan, ia juga membantu untuk mempromosikan Proton kepada rakyat Chile,” kata Mohd Rameez.
BMW Malaysia secara rasminya memperkenalkan BMW 4 Series Coupe dan Gran Coupe yang dikemaskini dengan penawaran enjin baharu. Sejumlah lima varian ditawarkan, termasuk dua model M Sport, dan harga bermula dari RM297,800.
Seperti yang dinyatakan tadi, kemaskini dilakukan terhadap pilihan enjin. Kesemua varian kini menerima enjin petrol B48 2.0 liter aluminium empat silinder menampilkan teknologi turbo BMW TwinPower. Ia dipadankan dengan kotak gear dari ZF lapan-kelajuan automatik torque coverter. Kemaskini ini adalah sama seperti yang dilakukan pada model 3 Series LCI.
Untuk model asas 420i Coupe, enjin berkenaan berupaya menjana 184 hp dan tork maksima 270 Nm (tidak berubah seperti sebelum ini). Pecutan dari 0-100 km/j pula dapat dicapai dalam masa 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 236 km/j. Bacaan kecekapan bahan api pula dicatatkan pada 5.5 liter untuk setiap 100 km, berdasarkan kitaran ujian EU.
Enjin pada model 430i Coupe yang menggantikan model 428i Coupe sebelum ini pula berupaya menjana 252 hp (naik 7 hp) dan tork maksima 350 Nm. Ini menjadikan pecutan 0-100 km/j lebih pantas 1.7 saat berbanding sebelum ini dan kelajuan maksima bertambah lagi 14 km/j. Angka kuasa kuda yang sama juga dicatatkan pada model 430i Gran Coupe, dengan pecutan 0-100 km/j dicatatkan 0.1 saat lebih perlahan berbanding model 430i Coupe.
420i Coupe dilengkapi dengan roda aloi 17-inci, upholsteri balutan kulit Dakota, kemasan Satin Silver Matte, roda stereng balutan kulit, skrin paparan 6.5 inci dengan sistem BMW Radio Professional, hubungan Bluetooth dan USB serta sistem pembesar suara HiFi.
Model 420i Coupe turut boleh dipilih dengan pakej Sport Line yang terdiri dari roda aloi jejari berkembar 18-inci, bar gril kidney kemasan hitam berkilat dan suspensi M Sport. Perubahan pada bahagian dalaman termasuk kemasan hitam berkilat digabungkan dengan elemen Coral Red, roda stereng sport balutan kulit lengkap dengan penukar gear serta tempat duduk sport.
Manakala untuk model 430i Coupe Sport pula, ia dilengkapi dengan pakej Sport Line sebagai ciri standard (dalaman dan luaran), dengan pakej M Sport ditawarkan sebagai pilihan opsyenal. Pakej M Sport terdiri dari roda aloi jejari berkembar 18-inci M Sport, suspensi M Sport adaptif dan pakej aerodinamik M.
Bahagian dalaman 430i Coupe menampilkan ciri seperti kemasan Aluminium Hexagon dengan serlahan Estoril Blue, roda stereng M balutan kulit lengkap dengan penukar gear, tempat duduk sport dan sistem kunci pintar Comfort Access BMW. Sebagai ciri tambahan, ia turut dilengkapi dengan sistem Navigation System Professional dan Connected Drive suite BMW (Panggilan Kecemasan Pintar, BMW Teleservice, Concierge Services dan Remote Services).
Akhir sekali, 430i Gran Coupe didatangkan secara standard dengan pakej M Sport. Model ini dilengkapi dengan ciri yang sama dengan 430i Coupe M Sport, dibezakan dengan sistem pembesar suara HiFi, di mana model ini dilengkapi dengan sistem bunyi surround Harman Kardon. Sistem infotaimen dan sistem sokongan lain adalah sama dengan sistem pada 430i Coupe M Sport.
Untuk harga, 420i Coupe dijual pada harga RM297,800, dan RM317,800 untuk model yang dilengkapi pakej Sport Line. Model 430i Coupe Sport dijual pada harga RM356,800, manakala untuk versi opsyenal M Sport, ia dijual pada harga RM386,800. Akhir sekali untuk model 430i Gran Coupe M Sport, ia dijual pada harga RM416,800.
Kesemua harga yang disebutkan adalah harga atas jalan tanpa insuran dan termasuk perlindungan waranti lima tahun dengan perbatuan tanpa had, program servis berkala percuma dan program waranti tayar 24-bulan BMW (hanya sah untuk tayar yang mendapat pengiktirafan star-mark BMW). Waranti tayar turut melindungi kos pemasangan serta timbangan semula tayar berkenaan.
Sempena Aidilfitri ini, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) turut tidak ketinggalan dalam menawarkan tol percuma mulai tengah malam pada hari raya pertama iaitu 6 Julai mulai jam 12.01 pagi sehingga pukul 11.59 malam.
Ketua Pegawai Operasinya Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata perjalanan bebas tol tersebut adalah untuk dinikmati oleh semua kelas kenderaan di semua enam plaza tol Lebuhraya Latar, laporan Bernama
Ini merupakan kali ketiga LATAR memberikan tol percuma kepada para pengguna yang juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat.
Ia juga bertujuan meraikan dan menghargai sokongan para pengguna setia lebuh raya. Dengan adanya insentif tol percuma ini diharapkan agar dapat meringankan beban perbelanjaan para pengguna semasa musim perayaan ini.
Ahmad Fuad turut berkata pasukan ‘Expert dan Ronda Latar’ bersiap sedia 24 jam bagi membantu pengguna dalam sebarang situasi kecemasan.
Malah pusat khidmat pelanggan turut disediakan di samping lorong tambah nilai ‘touch n go’ yang akan beroperasi sepenuhnya selama 24 jam bagi memudahkan pengguna untuk menambah nilai kad ‘touch n go’ mereka.
Proton telah mengesahkan model Perdana yang berasaskan Accord, yang digunakan oleh Kerajaan, tidak terlibat dengan panggilan balik beg udara Takata di negara ini.
Perdana sebelum ini adalah versi rebadged Accord generasi kelapan. Walau bagaimana pun, Perdana tersebut diproduksi pada tahun 2013. Program panggil balik ini telah dikemukakan oleh Honda Malaysia dengan melibatkan model Accord (2003-2011), dan buat setakat ini ia tidak melibatkan model Perdana tersebut.
Begitu juga dengan Perdana 2016, yang dilancarkan baru-baru ini. Menurut Proton, mereka juga telah mengendalikan semua ujian perlanggaran yang diperlukan bagi memastikan ia tidak membabitkan isu berkenaan beg udara ini.
Kami ingin mengingatkan semua pemilik kenderaan agar menyemak status adakah kenderaan anda terlibat dengan panggilan balik beg udara Takata ini. Di sini, ada maklumat yang diperlukan tentang program panggilan balik dari pengeluar kenderaan yang terlibat.
Harga bahan api untuk bulan Julai 2016 sudah pun kami terima, dan disahkan harga untuk RON 95, RON 97 dan diesel akan naik bermula esok, 1 Julai 2016. Sebelum ini, harga bahan api kekal tidak berubah sejak April 2016.
Untuk Julai 2016, harga RON 95 dijual pada harga RM1.75 setiap 1 liter (naik 5 sen berbanding Jun 2016), RON 97 dijual pada harga RM2.10 setiap liter (naik 5 sen), diesel dijual pada harga RM1.60 untuk setiap liter (naik 5 sen) dan diesel Euro 5 dijual pada harga RM1.70 (naik 5 sen).
BMW Malaysia telah menyemak semula harga bagi model CKD BMW X^ xDrive351 M Sport. Apabila model pemasangan tempatan ini dilancarkan di Malaysia pada September lalu, ia dijual pada harga RM666,800, iaitu RM52,000 lebih murah berbanding versi CBU yang diperkenalkan pada April 2015.
Kini, sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-100, harganya menyusut sebanyak RM38,000, menjadikannnya RM628,800, harga atas jalan tanpa insurans, lengkap dengan lima-tahun waranti tanpa had perbatuan, termasuk program servis berjadual percuma dan juga program waranti tayar BMW.
Tiada perubahan mekanikal atau komestik pada model ini. BMW X6 xDrive35i M Sport ini dijanakan oleh enjin petrol 3.0 liter enam-silinder yang memiliki semua ciri BMW EfficientDynamics. Ia bagi memastikan SAC baharu ini menawarkan prestasi lebih hebat dan penjimatan bahan api yang telah dipertingkatkan.
Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 306 hp dan tork puncak 400 Nm. Model ini berkeupayaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.4 saat dengan pecutan maksimum 240 km/j.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi sport Steptronic lapan-kelajuan untuk penukaran gear yang lancar dan penjimatan bahan api. Ia turut mencatat purata penggunaan bahan api 8.6l/100km dan emisi CO2 200g/km.
Antara ciri lain yang turut ditampilkan ialah BMW EfficientDynamics termasuklah fungsi Launch Control dan jangkaan rangkaian kuasa. Selain dilengkapi dengan Air Curtains, Air Breathers dan corong udara untuk meningkatkan aliran udara dan mengurangkan penggunaan bahan api.
Ia juga membawakan reka bentuk ekstrovert yang menggabungkan karekter versatil model-model BMW X dengan BMW coupé yang sporty. Jika dilihat dari arah hadapan, model ini didominasi oleh gril ‘kidney‘ yang lebar sehingga ke lampu utama Adaptive LED serta lampu kabus LED sebagai ciri standard.
Selain itu, ia juga memiliki garis bumbung yang rata dan menyerlahkan lagi imejnya dengan kehadiran pakej M Sport yang dipasang sebagai ciri standard terdiri daripada pakej M Aerodynamics dan Suspensi Adaptive M. Ia juga hadir bersama rim aloi ringan jejari-berkembar M bersaiz 20-inci.
Kabin BMW X6 CKD ini juga menampilkan imej yang premium termasuk kemasan eksklusif dan upholstery kulit Dakota. Bahagian kokpit juga berorientasikan kepada pemandu bersama ciri-ciri seperti paparan instrumen multi-fungsi dengan teknologi panel hitam.
Garis horizontalnya memanjang dari panel instrumen ke bahagian pintu. Sekali gus menyerlahkan ambien kabin yang mewah dan selesa. Ciri-ciri lain yang ada di ruang kabin termasuklah pendingin hawa empat zon dan lampu ambien eksklusif yang diletakkan pada ketinggian bahu.
Untuk menyerlahkan lagi aspek-aspek dinamik BMW X6 CKD ini, pakej M Sport turut menampilkan tempat duduk sporty yang boleh dilaras secara elektrik bersama fungsi memori untuk kerusi hadapan.
Stereng M balutan kulit turut dilengkapi butang pelbagai fungsi, pedal penukar gear, dan tuil pilihan kedudukan gear Sport.
Ia juga didatangkan dalam warna Alpine White, Flamenco Red, Carbon Black dan Space Grey. Manakala pilihan warna upholstery kulit Dakota ialah hitam, merah dan coklat.
Porsche Panamera 2017 secara rasminya diperkenalkan buat pertama kalinya di Berlin. Coupe empat pintu generasi kedua ini menampilkan rekaan yang lebih anggun, karekter bahagian luaran yang lebih tajam, dengan dimensi yang lebih panjang dan dinamik, bahu yang lebih lebar dan garis bumbung yang kini 20 mm lebih rendah pada bahagian belakang.
Ia juga lebih besar dari model sebelum ini, diukur dengan dimensi 5,049 mm (+34 mm) panjang, 1,937 mm (+6 mm) lebar dan 1,423 mm (+5 mm) tinggi, serta jarak roda yang telah dipanjangkan 30 mm kepada 2,950 mm. Walaupun ketinggiannya kini lebih rendah, Panamera nampak lebih rendah dan panjang. Ini adalah kerana garis bumbung baharu yang didakwa Porsche mengubah seluruhnya imej kereta ini. Perubahan lain yang turut dibuat adalah pada bahagian overhang, yang dikurangkan pada bahagian hadapan, dan ditambah pada bahagian belakang.
Panamera generasi baharu ini dilengkapi lampu hadapan LED dengan empat poin lampu nyalaan siang LED, dan ditawarkan dalam tiga versi. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan lampu LED tiga dimensi, dan dipenuhi oleh lampu brek empat-poin. Sayap belakang untuk model Panamera Turbo kini dipisahkan untuk dilebarkan, seterusnya memperolehi kawasan permukaan tambahan.
Seperti yang dibayangkan sebelum ini, komponen yang dibina dari bahan aluminium kini ditingkatkan bagi mendapatkan berat yang ideal. Komponen berkenaan terdiri dari bahagian luaran, sisi badan, bonet, bumbung dan dapra.
Semasa pengenalan ini, tiga varian enjin turbo berkembar dengan sistem pancitan bahan api terus baharu ditawarkan iaitu Panamera Turbo, Panamera 4S dan Panemera 4S Diesel – di mana varian diesel ini merupakan varian yang pertama kali diperkenalkan – dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda setiap masa dan kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan Porsche PDK.
Panamera Turbo dilengkapi dengan enjin turbo berkembar V8 4.0 liter yang berkuasa 550 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 770 Nm dicapai antara 1,960 dan 4,500 rpm, 30 PS dan 70 Nm lebih berkuasa dari model terdahulu. Dengan kuasa berkenaan, Panamera Turbo mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat (3.6 saat jika dengan pakej Sport Chrono) dan mencapai kelajuan maksima 306 km/j.
Varian ini juga merupakan Porsche pertama dilengkapi dengan kawalan silinder adaptif di dalam enjin. Jika ia beroperasi pada kadar hanya sebahagian beban, sistem berkenaan akan mengubah operasi lapan-silinder kepada empat-silinder sahaja, mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 30%.
Untuk model Panamera 4S 2.9 liter V6, ia berkuasa 440 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 550 Nm bermula 1,750 hingga 5,500 rpm, peningkatan 20 PS dan 30 Nm berbanding model sebelum ini. Ini membolehkan Panamera 4S memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.4 saat (4.2 saat dengan pakej Sport Chrono) dan kelajuan maksima 289 km/j.
Untuk varian Panamera 4S Diesel pula, ia dijana oleh enjin diesel lapan silinder baharu, digandingkan dengan sistem pacuan empat roda sepenuh masa. Enjin berkenaan turut dilengkapi dua unit pengecas turbo geometri bervariasi (VTG), beoperasi dengan susunan pengecasan berpusat, tetapi berturutan, yang membolehkan ia beroperasi sebagai enjin turbo tunggal atau turbo berkembar, bergantung pada situasi.
Pada kelajuan enjin rendah ke sederhana, keseluruhan gas ekzos dihalakan hanya menerusi salah sebuah pengecas turbo, yang meningkatkan respon pendikit – manakala sebuah lagi pengecas turbo hanya akan berfungsi apabila kelajuan enjin mencecah 2,700 rpm atau lebih.
Dengan kuasa 422 PS pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 850 Nm bermula 1,000 hingga 3,250 rpm, Porsche mendakwa ini merupakan enjin diesel paling berkuasa yang pernah dipadankan pada model produksi Porsche. Ia juga merupakan kereta berkuasa diesel produksi paling laju di dunia setakat ini dengan mampu mencatatkan kelajuan maksima 285 km/j. Pecutan dari 0-100 km/j pula dicatakan pada 4.5 saat (4.3 saat jika dengan pakej Sport Chrono).
Mod pemanduan pada Panamera boleh dipilih dengan Mode Switch opsyenal pada Sport Response Button. Mode Switch berkenaan diperkenalkan buat pertama kali pada model 918 Spyder, yang digunakan untuk memilih pemanduan (Normal, Sport, Sport Plus atau Individual) menerusi suis putaran pada roda stereng. Sport Response Button diletakkan pada bahagian tengah suis berkenaan.
Kereta baharu ini juga menerima stereng bahagian belakang baharu, yang diambil dari 918 Spyder dan 911 Turbo, serta prestasi brek juga dipertingkatkan. Sistem suspensi udara adaptif juga dibekalkan dengan teknologi tiga-kebuk baharu dan Porsche Active Suspension Management (PASM kawalan penyerap hentak elektronik). Turut dibekalkan, Sistem Porsche Dynamic Chassis Control Sport (PDCC Sport) yang dipertingkat, Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) dan penstabilan oleng aktif serta sistem stereng elektromekanikal baharu.
Persembahan pada bahagian dalaman turut dipertingkatkan, dan selain dari suasana mewah dan perlalatan yang dipertingkat (opsyen termasuk bumbung panaromik boleh buka, tempat duduk dengan pengurut badan, lampu suasana dan sistem bunyi 3D dari Brumester), ia turut dilengkapi dengan sistem digital yang banyak.
Porsche Advanced Cockpit seperti yang terdapat pada model 918 Spyder turut diterapkan pada Panamera dengan perincian yang lebih tinggi. Porsche mengatakan walaupun tahap sistem komunikasi, keselesaan dan bantuan yang lebih canggih, fungsi yang berbeza dapat digunakan dengan lebih jelas dan mudah.
Permukaan panel dan paparan interaktif baharu menampilkan ciri permukaan sensitif-sentuh menggantikan instrumen dengan suis kawalan konvensional. Panel kawalan baharu pada konsol tengah berkenaan membolehkan pengguna mengawal pelbagai fungsi dan liang penghawa dingin juga boleh dilaras secara elektronik dengan pengalih sensitif-sentuh.
Untuk paparan instrumen pula, ia menampilkan paparan 7-inci yang di tempatkan terus di hadapan pemandu untuk ergonomik yang ideal. Takometer (masih lagi analog) yang diletakkan diantara dua paparan tadi dikatakan direka diinspirasikan dari model 356 A 1955.
Skrin sesentuh bersaiz 12.3 inci diletakkan pada bahagian tengah papan pemuka, sistem Porsche Communication Management (PCM) generasi seterusnya yang menampilkan navigasi atas talian,iaitu fungsi atas talian dari Porsche Connect, sistem telefon pintar bersepadu menerusi Apple Car Play dan sistem kawalan suara yang berfungsi dengan input bahasa semula jadi.
Bahagian belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40 memberikan tahap versatil yang lebih baik. Ruang but berkapasiti 495 liter, meningkat kepada 1,304 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Ciri bukaan elektrik untuk but juga didatangkan secara standard.
Pelbagai sistem bantuan ditawarkan antaranya bantuan penglihatan malam, yang menggunakan kamere imej suhu untuk mengesan orang dan haiwan bersaiz besar yang dipaparkan pada penunjuk amaran di dalam kokpit dan juga Porsche InnoDrive yang turut disertakan dengan kawalan kelajuan adaptif. Sistem kawalan kelajuan berkenaan berupaya untuk mengira dan mengaktifkan pecutan dan nyah pecutan yang optima dan juga pemilihan gear yang mengambil fasa dalam jarak sehingga tiga kilometer.
Di Eropah, tempahan untuk Panamera generasi kedua ini telah pun dibuka. Walau bagaimanapun, ia hanya akan sampai ke bilik pameran pada November nanti.
Saban tahun Petronas tidak pernah gagal dalam menampilkan iklan sempena Hari Raya Aidilfitri yang menyentuh hati dan perasaan. Untuk tahun ini, Petronas telah mula menyiarkan iklan rayanya bertajuk “Vroom Vroom” bagi menyemarakkan lagi semangat Aidilfitri.
Video berdurasi selama lima minit itu mengisahkan nasib seorang bapa dan anaknya yang diusir dari rumah mereka pada suatu malam. Masa kian berginjak, si anak sudah dewasa dan mengambil alih tugas menjaga bapa yang kian uzur.
Menurut Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abd Rahman, “Vroom Vroom menggambarkan bagaimana nilai-nilai sederhana boleh memberi inspirasi dan mempengaruhi nilai-nilai yang baik seperti kesabaran, kemaafan dan kekeluargaan. Kami berharap ia dapat memperlihatkan potensi untuk menusuk jauh ke dalam hati setiap warga Malaysia.”