Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Miros akan kaji keperluan pemeriksaan berkala mandatori yang lebih kerap bagi pengangkutan awam

    Bus-10-Cars-NSE

    Ekoran kadar kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam khususnya bas persiaran makin membimbangkan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan mengkaji sama ada pemeriksaan berkala mandatori terhadap pengangkutan awam oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) perlu ditambah.

    Menurut Ketua Pengarah Miros Prof Dr Wong Shaw Voon, buat masa ini pemeriksaan berkala mandatori bagi pengangkutan awam hanya diadakan dua kali setahun. Justeru, dengan menambah kekerapan pemeriksaan berkala itu, ia dilihat mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan berkenaan, laporan Bernama.

    “Kita akan mengkaji keperluan untuk menambah kekerapan pemeriksaan kenderaan di Puspakom yang sebelum ini hanya dalam tempoh enam bulan sekali. Kajian perlu dilakukan kerana ia turut mempengaruhi banyak faktor termasuk tambahan kos penyelenggaraan yang akan ditanggung pengusaha sekiranya ia dilakukan lebih kerap,” katanya bagi mengulas isu yang dibangkitkan oleh Bernama ini.

    Pada 10 Julai lalu, sebuah bas persiaran dilaporkan telah merempuh 10 buah kenderaan lain dalam satu kemalangan di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan. Kejadian yang berlaku selepas Terowong Menora pada kira-kira pukul 3 petang itu dipercayai berpunca daripada masalah kegagalan brek bas berkenaan.

    Walau bagaimana pun, Wong berkata kemalangan tersebut tidak boleh dikaitkan dengan keadaan jalan di lebuh raya itu yang dikatakan berbahaya kerana pihak berwajib telah mengambil langkah keselamatan tertinggi untuk menyelenggara laluan berkenaan.

    Namun pengguna jalan raya perlu mempertingkatkan pemanduan berhemah dan bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan pengguna lain apabila melalui kawasan berisiko kemalangan seperti di laluan berhampiran Terowong Menora itu.

    “Pemandu kenderaan awam mahupun persendirian perlu tahu apa yang patut dilakukan sewaktu melalui kawasan curam seperti itu dengan bertindak memperlahankan kelajuan kenderaan mengikut kadar had laju ditetapkan serta menggunakan gear rendah,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi ASX serasi dengan Yuna sejak 4 tahun lalu

    Mitsubishi_Yuna_1

    Pada awal Mei lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan kerjasama mereka dengan Yuna dengan melantik penyanyi dan penulis lagu kelahiran Malaysia yang kini sedang menempa di Amerika Syarikat, sebagai duta jenama untuk kempen SUV kompak Mitsubishi ASX.

    Petang tadi, MMM telah menganjurkan majlis minum petang bersama Yuna yang turut dihadiri oleh pihak media, Kelab Pemilik Mitsubishi ASX (MAMOC) dan pengedar bertauliah MMM di Bangsar Shopping Centre.

    Berada di Malaysia buat seketika sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Yuna sempat meluangkan masa beberapa jam bagi memeriahkan majlis ini dan turut menyampaikan beberapa buah lagu popularnya termasuk ‘Crush’ dan ‘Terukir Di Bintang’.

    Yuna yang turut memiliki ASX sejak tahun 2012, berkongsi cerita mengapa beliau tertarik dengan model SUV ini. “ASX sangat sepadan dengan saya. Saiznya sangat sesuai dengan saya, melindungi saya dengan ciri-ciri keselamatan, dan saya sangat suka dengan bumbung kaca panaromanya. Malah ia memiliki imej yang cukup bergaya,” ujarnya.

    Buat masa sekarang, Yuna menetap di Los Angeles, selain memiliki single terbaharu bersama penyanyi terkemuka USA, Usher, beliau juga bertuah kerana terpilih sebagai salah seorang penyanyi untuk lagu promosi sukan Olimpik 2016 bertajuk ‘Fire’ dan bekerjasama dengan Lenny Kravitz, Diogo Nogeira dari Brazil, Nneka dari Nigeria dan Corrine Bailey Rae dari UK.

    Barisan model Mitsubishi ASX telah diberi nafas baharu dari segi penampilan pada September tahun lalu, dengan sedikit peningkatan dilakukan dan varian asas ASX 2WD GL turut diperkenalkan. Kini ia ditawarkan dengan harga atas jalan (tanpa insurans) RM105,744.31 bagi ASX 2WD GL, RM115,468.71 (ASX 2WD) dan RM129,010.43 (ASX 4WD).

     
     
  • Honda Freed Hybrid 2016 bakal dilengkapi magnet motor elektrik hibrid bebas bahan nadir bumi baharu

    All-new-2016-Honda-Freed-1

    Daido Steel dan Honda kini merupakan syarikat pertama di dunia yang mencapai aplikasi praktikal untuk menghasilkan magnet neodymium melalui proses pemanasan tanpa mengandungi sebarang bahan nadir bumi, tetapi masih mengekalkan sifat kalis suhu tinggi dan prestasi magnetik tinggi yang diperlukan pada sebuah motor hibrid untuk kereta.

    Magnet neodymium tanpa bahan nadir bumi ini akan diperkenalkan pada Honda Freed Hybrid yang dilengkapi sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual Clutch Drive) Honda dengan Bantuan Motor Bersepadu (IMA) lewat tahun ini. MPV berkenaan juga ditawarkan dalam varian enjin 1.5 liter i-VTEC petrol biasa.

    Teknologi baharu ini membolehkan penggunaan bahan yang berkaitan dengan nadir bumi disingkirkan, yang juga merupakan antara cabaran utama untuk meluaskan penggunaan magnet neodymium. Ia juga akan dapat mengelakkan risiko berkaitan dan mempelbagaikan punca perolehan bahan.

    Magnet neodymium merupakan magnet yang mempunyai daya magnetik yang paling kuat antara semua magnet, dan digunakan dalam motor pacuan untuk kenderaan EV dan hibrid. Magnet ini perlu mempunyai sifat kalis suhu tinggi yang mana campuran bahan nadir bumi berat (disprosium dan/atau terbium) diperlukan untuk mendapatkan sifat tersebut dalam proses penghasilan secara konvensional.

    Walau bagaimanapun, elemen nadir bumi ini terdapat secara tidak tetap di seluruh dunia, dan penggunaannya mempunyai risiko dari segi memperolehinya secara tetap dan kos bahan. Oleh itu, teknologi baharu ini merupakan kejayaan besar buat Honda.

    Daido telah memproduksi magnet neodymium ini secara besar-besaran melalui kaedah ubahbentuk pemanasan, yang berbeza dari kaedah produksi secara pensinteran. Ia membolehkan skala-nanometer butiran kristal dijajarkan secara betul untuk mengesan struktur butiran kristal yang halus sekitar sepuluh kali lebih kecil dari magnet tersinter, membolehkan ia menghasilkan magnet dengan sifat kalis suhu tinggi.

    All-new-2016-Honda-Freed-2

    Untuk magnet baharu ini, Daido mengevolusikan teknologi ubahbentuk pemanasan mereka dan Honda menggunakan pengalaman mereka dalam pembangunan motor pacuan serta mereka semula bentuk magnet berkenaan.

    Honda turut merekabentuk motor baharu yang akan menggunakan magnet baharu ini, dengan mengubah semula bentuk rotor pada motor berkenaan untuk mengoptimakan aliran fluks magnetik. Honda turut mengatakan tork, kuasa dan prestasi kalis suhu adalah sama dengan motor yang menggunakan magnet jenis konvensional.

    Dengan magnet baharu ini, Daido akan memasuki pasaran yang dimonopoli oleh magnet neodymium tersinter. Bermula bulan hadapan, Daido akan memulakan produksi secara besar-besaran dan pembuatan magnet ini akan menggunakan barisan produksi baharu yang disumbangkan oleh kerajaan Jepun. Daido telah pun mendapatkan serbuk magnetik (bahan asas untuk magnet) dari Magnequench serta akan bekerjasama dengan syarikat dari Kanada berkenaan untuk menghasilkan serbuk magnetik asas baharu bagi mendapatkan sifat magnetik yang lebih baik.

     
     
  • Imej Mazda 3 facelift 2016 baharu didedahkan menerusi brosur untuk pasaran Jepun yang bocor

    2016-Mazda-3-facelift-brochure-main-2_BM

    Imej Mazda 3 facelift 2016 telah terdedah sepenuhnya – menerusi imej brosur rasmi yang bocor dari CarDrive. Menerusi brosur berkenaan dapat dilihat gril hadapan telah mendapat rekaan semula dengan logo Mazda kini telah diubah kedudukan. Kemasan krom disekeliling gril berkenaan juga dilihat lebih tebal dihubungkan kepada sepasang lampu hadapan LED baharu. Gril hadapan bahagian bawah juga kini lebih besar, dan dilengkapi dengan sepasang lampu kabus baharu.

    Pada bahagian sisi, dapat disaksikan cermin sisi kini dilengkapi dengan lampu isyarat membelok LED baharu, menggantikan lampu sebelum yang diletakkan di sudut cermin berkenaan. Sedikit perubahan dilakukan pada bahagian belakang model hatchback di mana ia menerima sentuhan semula pada lampu kabus dan elemen reflektor. Walau bagaimanapun, untuk model sedan tiada perubahan dapat dibuat.

    Lapan warna baharu ditawarkan untuk model ini iaitu Soul Red Premium Metallic, Machine Gray Premium Metallic, Eternal Blue Mica, Sonic Silver Metallic, Titanium Flash Mica, Deep Crystal Blue Mica, Jet Black Mica dan Snow Flake Pearl.

    2016-Mazda-3-facelift-brochure-6_BM

    Untuk bahagian dalaman, ia masih mengekalkan rupa asalnya dan menampilkan skrin sesentuh sistem infotainmen MZD Connect serta paparan instrumen Mazda terkini. Model pasaran Jepun ini juga turut dilengkapi sistem penghawa dingin dua zon yang mirip kepada sistem pada mazda 6 sedan, berbeza dengan model pasaran Malaysia yang hanya menampilkan sistem penghawa dingin zon tunggal.

    Perubahan yang dapat dilihat menerusi model facelift ini adalah pada roda stereng rekaan baharu serta brek parkir elektronik seperti yang terdapat pada model CX-5 facelift dan 6. Sistem brek parkir elektronik baharu tersebut juga menyebabkan rekaan pada konsol tengah berubah, yang kini dilengkapi ruang storan dengan penutup gelangsar.

    Untuk pilihan enjin pula, model JDM ini menawarkan dua enjin diesel SkyActiv-D (1.5 liter dan 2.2 liter), enjin petrol 1.5 liter petrol SkyActiv-G serta varian hibrid yang dikuasakan dengan enjin 2.0 liter SkyActiv-G digabungkan dengan teknologi hibrid diambil dari Toyota Prius.

    2016-Mazda-3-facelift-brochure-10_BM

    Kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive dan transmisi manual SkyActic-MT serta sistem pacuan semua roda Mazda i-Activ boleh dipilih oleh pembeli, bergantung pada jenis enjin yang pilih. Ciri lain yang turut disertakan pada sistem pacuan termasuk sistem brek regeneratif Mazda (i-ELOOP), i-Stop, sistem sokongan pemandu (i-DM) dan pemilihan mod pemanduan (mod Sport).

    Model yang dikemaskini ini turut dilengkapi dengan sistem Kawalan G-Vectoring Mazda terbaharu, yang didakwa oleh Mazda sendiri dapat mengurangkan sudut putaran stereng semasa membelok, dan juga kadar yang mana memusingkan roda stereng. Ini dapat dicapai dengan menurunkan tork enjin dengan menala semula pemasaan sistem nyalaan, berdasarkan input pada stereng. Sistem ini merupakan sebahagian dari sistem SkyActiv-Vehicle Dynamic Mazda.

    Untuk sistem keselamatan pula, Mazda 3 baharu ini dilengkapi dengan pakej i-Activsense Mazda yang meliputi Lampu hadapan LED Adaptif (ALH), Sokongan Brek Bandar Pintar/Undur (SCBS/R), Kawalan Kelajuan Radar Mazda (MRCC), Sistem Amaran Keluar Laluan (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Laluan (LAS). Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Pengesan Tanda Amaran Trafik (TSR), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

     
     
  • Ford F-150 EcoBoost V6 2017 – 375 hp/637 Nm

    7cc89bde62b545d49bd770a9132a10f2

    Ford akhirnya mendedahkan kuasa kuda sebenar enjin 3.5 liter V6 EcoBoost yang akan menjana trak F-150 2017, menggantikan enjin 3.5 liter EcoBoost sedia ada yang diperkenalkan pada 2009. Enjin V6 baharu ini menghasilkan kuasa dan tork maksima yang lebih tinggi, menjadikan F-150 trak pikap paling berkuasa dalam kelasnya – sama ada berkuasa petrol atau diesel.

    Enjin V6 3.5 liter dengan pengeces turbo berkembar ini menghasilkan kuasa 375 hp dan tork maksima 637 Nm – 10 hp dan 68 Nm lebih berkuasa dari enjin 3.5 liter V6 sedia ada. Enjin baharu ini akan dipadankan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik yang dibina dengan kerjasama General Motors. Walau bagaimanapun, catatan penggunaan bahan api belum lagi didedahkan secara rasmi oleh pihak Ford. Juga dilaporkan, enjin F-150 versi Raptor baharu bakal menghasilkan kuasa sekitar 450 hp.

    Dalam pasaran, F-150 baharu ini bakal bersaing dengan trak-trak pikap lain seperti Chevrolet Silverado 6.2 liter V8 (420 hp/624 Nm) dan Dodge Ram 1500 EcoDiesel (240 hp/569 Nm). F-150 juga bakal bersaing dengan Nissan Titan XD 5.0L V8 diesel (310 hp/752 Nm) yang bersaiz lebih besar walaupun ia bukanlah pencabar dalam kelas yang sama.

     
     
  • Jentera lumba Mercedes-AMG GT3 dapat sentuhan Linkin Park – sedia gegar Belgium hujung Julai ini

    1amggt3spaliveryjuly2016-1

    Menerusi entri Twitter oleh Team Black Falcon, jentera lumba Mercedes-AMG GT3 telah menerima rekaan khas dari sentuhan band terkemuka Amerika Syarikat, Linkin Park.

    Ini bukan kali pertama kerjasama antara Mercedes-AMG dengan Linkin Park. Kali pertama, kedua-dua pihak ini bekerjasama menghasilkan video promo bagi model C63 pada tahun lalu.

    Dengan kerjasama kali kedua ini, Linkin Park telah memberikan rekaan yang hebat pada penampilan luaran jentera lumba ini. Termasuklah menambah pencahayaan hitam pada bahagian badan jentera ini berserta dengan jaluran tebal berwarna merah dan logo Linkin Park dengan bayangan warna perak menyerlahkan lagi kegarangan imejnya.

    Jentera lumba Mercedes-AMG GT3 ini bakal berentap dalam perlumbaan Spa 24 Hours di Circuit de Spa-Francorchamps, Belgium pada minggu terakhir Julai ini. Team Black Falcon dan Mercedes-AMG turut mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan ketika menyertai perlumbaan 24 jam di Nürburgring awal musim ini.

    Dengan platform Mercedes-AMG GT, Mercedes-AMG GT3 ini juga telah dikurangkan beratnya dengan mengolah beberapa komponen kerangkanya menggunakan gentian karbon. Ini termasuklah bahagian penutup enjin, pintu, sayap hadapan, skirt sisi, peresap belakang dan boot lid.

    Ia dijanakan oleh enjin 6.3 liter V8 naturally-aspirated yang sama dengan Mercedes-Benz SLS AMG GT3. Kuasanya disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan talaan khas untuk perlumbaan. Malah AMG GT3 ini juga menampilkan suspensi wishbone berkembar yang hampir keseluruhannya diperbuat daripada aluminium.

    Bagi bahagian dalamnya, roll-cage diperbuat daripada keluli ketahanan tinggi, manakala tempat duduknya daripada gentian karbon yang memang muat-muat untuk pemandunya. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan roda stereng dan kluster instrumen digital khas untuk sukan lumba.

     
     
  • Sistem Autopilot Tesla dilaporkan gagal berfungsi, terbabit dalam dua lagi kemalangan di Amerika

    Tesla Model X 1

    Selepas kemalangan maut pertama dilaporkan membabitkan sebuah Tesla yang sedang menggunakan mod Autopilot di Florida sebelum ini, kini dua lagi kemalangan dilaporkan di Pennsylvania dan Montana berlaku semasa sistem pemanduan sendiri berkenaan digunakan.

    Dalam kejadian yang berlaku di Pennsylvania, pemilik galeri seni Southfield mendakwa Tesla Model X 2016 miliknya telah melanggar penghadang jalan dan terbabas ke laluan menghala ke utara, melanggar median konkrit dan akhirnya terbalik. Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika (NHTSA) kini sedang menyiasat insiden berkenaan.

    Pemandunya, Albert Scaglione, memberitahu polis bahawa mod Autopilot sedang diaktifkan semasa kemalangan tersebut berlaku. Walau bagaimanapun, Tesla menafikan dakwaan Scaglione tersebut berdasarkan log pada sistem kenderaan berkenaan yang mengandungi perincian setiap kawalan, dan mampu menunjukkan sama ada mod Autopilot berkenaan diaktifkan atau tidak semasa kejadian berlaku.

    Namun, laporan oleh Detroit Free Press menyatakan bahawa penyiasat polis, Dale Vukovich berkata Scaglione mungkin akan didakwa setelah siasatan lengkap kerana “tiada bukti kukuh yang menunjukkan kegagalan sistem Autopilot Tesla gagal berfungsi.”

    Kejadian yang berlaku di Montana pula dilaporkan seorang pemilik Tesla Model X mendakwa sistem Autopilot pada keretanya gagal mengesan penghadang jalan kayu, dan menyebabkan ia melanggarnya dan terbabas.

    Kedua-dua penumpang dalam kenderaan dilaporkan selamat dalam insiden berkenaan, walaupun Tesla berkenaan mengalami kerosakan yang teruk. Seorang rakan pemandu berkongsi gambar selepas kemalangan dalam forum Tesla Motor Club dan menceritakan pengalaman pemandu berkenaan seperti berikut:

    Kedua-dua orang dalam kenderaan selamat. Ia berlaku pada lewat malam, Autopilot tidak mengesan penghadang kayu di jalan, 20 penghadang kayu dilanggar, tayar pada sebelah penumpang hadapan tercabut. Had laju ialah 55 bs/j, dia telah memandu pada kelajuan 60 bs/j dengan menggunakan Autopilot. Keretanya hancur secara keseluruhan. Kawasan kejadian tidak mempunyai isyarat telefon bimbit, ia sejauh 100 batu dari hotel. Kami dalam kumpulan Wechat seramai 50 orang. Saya bangun pagi ini dan ternampak dia berjaya mendapatkan internet dan meminta pertolongan dari kumpulan Wechat untuk menghubungi Tesla bagi mendapatkan bantuan.

     
     
  • Honda Grom 2017 – Tampan dan sekaligus genit

    Honda Grom 2017 3

    Honda Grom, motosikal saiz kecil yang tampil dengan imej sporty mula diperkenalkan untuk pasaran dunia secara rasmi pada 2014. Sejak itu, ia mendapat perhatian umum, dan segmen sama turut mendapat saingan pengeluar lain, misalnya Kawasaki dengan model Z125 Pro.

    Bagi Honda Grom 2017, ia menerima banyak kemaskini yang menjadikannya tampak lebih matang dan garang. Masih kekal dengan enjin 125 cc empat lejang dengan silinder tunggal, perubahan paling ketara adalah pada reka bentuknya.

    Panel sisi termasuk pada tangki petrol yang bersekali, lampu utama LED, palang pemegang yang lebih sporty, kedudukan ekzos yang lebih rendah, dan tempat duduk lebih tinggi antara perubahan penampilan utama yang dilakukan.

    Turut diberi kemaskini adalah reka bentuk tempat duduk penumpang belakang untuk memberi lebih keselesaan ketika menunggang berdua.

    Nadi penjana Honda Grom 2017 ini kekal sama; enjin 125 cc dengan padanan kotak gear empat-kelajuan dengan penghasilan kuasa di bawah 9 hp, motosikal ini direka untuk menawarkan kelincahan tunggangan, malahan agak sukar untuk sesiapa pun untuk tidak ‘berseronok’ ketika mengendalikannya.

    Untuk pasaran antarabangsa, Honda Grom 2017 akan mula beredar pertengahan Ogos nanti.

     
     
  • VIDEO: Wawancara Kasma Daniel, penunggang Malaysia yang tamat latihan Yamaha VR46 Mastercamp

    Kasma Daniel Kasmayudin, 16, dari Skudai, Johor menjadi ‘wakil’ pelumba motosikal dari Malaysia yang baru saja tamat daripada mengikuti program latihan Yamaha VR46 Mastercamp yang bertempat di Tavullia, Itali. Di bawah program berkenaan, beliau menjalani sesi latihan bersama empat lagi pelumba muda Asia di bawah kendalian pelumba lagenda MotoGP dunia, Valentino Rossi.

    Program yang mula dianjurkan pada 2014 itu menyaksikan Rossi berkongsi pengalamannya di litar lumba bersama peserta yang terlibat, dalam usaha mengembangkan bakat pada pelumba-pelumba muda yang berpotensi dan terpilih untuk mengikuti program berkenaan.

    Tonton video wawancara bersama Kasma Daniel berkaitan pengalamannya ketika di sana. Selain beraksi di dalam perlumbaan Petronas Cub Prix, Daniel turut bersaing di dalam perlumbaan Asia Road Racing Championship (ARRC) bersama pasukan Yamaha Finson Motorsport.

    Malaysia kini mempunyai satu lagi sebab untuk berbangga, kali ini untuk pelumba muda ini. Semoga beliau mampu berkembang dan mengharumkan nama negara di peringkat yang lebih tinggi selepas ini.

     
     
  • Aplikasi Mobile Cop digunakan sepenuhnya dalam Op Selamat 9/2016 bagi bantu polis kesan pesalah trafik

    polis operasi PT

    Aplikasi Mobile Cop yang sebelum ini pernah digunakan sebagai percubaan pada musim perayaan Tahun Baru Cina lalu, turut diimplementasikan sepenuhnya dalam Op Selamat 9/2016. Malah ia dilihat mampu memberikan impak positif dalam mengesan pesalah trafik, laporan Utusan Malaysia.

    Menurut Komander Subtek Zon Selatan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintenden Gan Chip Pho, sebanyak 5,000 alat khas yang menggunakan aplikasi Mobile Cop diedarkan kepada petugas trafik sepanjang Op Selamat di seluruh negara.

    “Kita telah gunakan aplikasi ini sepenuhnya dalam Op Selamat kali ini, dan ia ternyata sangat berkesan. Misalnya di pintu masuk sempadan negara, sekiranya pesalah trafik mahu ke luar negara, mereka perlu selesaikan terlebih dahulu saman tersebut baru boleh ke luar negara kerana data mereka sudah dimasukkan dalam sistem, begitu juga dengan pesalah trafik dari luar negara,” katanya.

    Menurut Chip Pho, selain membantu memberi data pesalah trafik dan pengguna jalan raya secara terus, alat yang dilengkapi gambar itu mudah digunakan.

     
     
  • Toyota Allion dan Premio facelift didedahkan di Jepun

    alon1606_05-e1468237044725_BM

    Model untuk pasaran Jepun – Toyota Allion bersama kembarnya yang lebih mewah Toyota Premio, telah menerima facelift sekali lagi. Ini merupakan facelift kedua diberikan kepada model yang dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2007 berkenaan. Allion dan Premio diasaskan dari model Avensis untuk pasaran Eropah, untuk pasaran Jepun, pasangan kembar ini diletakkan dalam posisi antara Corolla Axio dan Camry.

    Kedua-dua model ini menerima sentuhan semula yang agak drastik pada bahagian muka dengan lampu hadapan lebih tirus (lampu bi-beam LED untuk varian tertinggi dan pilihan opsyenal untuk varian lain), gril hadapan yang lebih besar serta bampar hadapan yang lebih sporty. Buat pertama kali juga muka hadapan Allion dan Premio direka dengan rekaan seiras. Yang membezakan kedua-duanya ialah motif corak pada gril hadapan di mana Premio menerima motif bar krom melintang, manakala Allion menerima motif mesh.


    Toyota Allion (kiri) dan Premio (kanan)

    Walau bagaimanapun, bahagian belakang Premio dan Allion masih lagi berbeza antara satu sama lain. Allion menerima sepasang lampu belakang ‘one-piece‘ (tiada lampu tambahan pada penutup but belakang) dengan motif ‘enam-mata’, manakala Premio pula menerima lampu belakang ‘two-piece‘ dengan grafik berbentuk-C dan kelihatan seperti Camry pasaran Malaysia generasi sebelum ini (XV40). Lampu kombinasi Kedua-dua model menerima teknologi LED secara standard.

    Bahagian dalaman menyaksikan perubahan dilakukan dengan sentuhan semula pada konsol tengah dan tuil gear, stereng tiga-jejari baharu seperti yang terdapat pada Camry XV50 terbaharu serta paparan instrumen yang direka semula menempatkan skrin paparan pelbagai informasi TFT bersaiz 4.2-inci. Balutan upholtsteri baharu berwarna perang dan tema warna beige untuk bahagian dalaman turut ditawarkan sebagai pilihan opsyen.

    prem1606_02_BM

    Sistem keselamatan turut ditingkat taraf di mana kesemua varian kecuali varian paling asas Allion A15 dan A18 serta Premio 1.5F dan 1.8x menerima pakej Toyota Safety Sense C sebagai ciri standard. Pakej berkenaan terdiri dari Sistem Pra-Pelanggaran (PSC), Amaran Keluar Laluan (LDA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB). Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) turut dilengkapkan sebagai ciri standard, sementara beg udara sisi dan tirai hadir sebagai opsyen.

    Toyota Allion dan Premio facelift hadir dengan tiga pilihan enjin iaitu 1.5 liter VVT-i (109 PS/136 Nm), 1.8 liter Valvematic (143 PS/173 Nm) dan 2.0 liter Valvematic (152 PS/193 Nm). Kesemua enjin ini dipadankan dengan kotak gear Super CVT-i automatik. Hanya model 1.8 liter menerima pilihan pacuan empat-roda, tetapi kuasa enjinnya telah diturunkan kepada 131 PS/161 Nm.

    GALERI: Toyota Allion facelift

    GALERI: Toyota Premio facelift

     
     
  • Singapura bakal padankan kadar tol di pintu masuk

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Kementerian Pengangkutan Singapura menyatakan bahawa republik itu akan terus memadankan mana-mana kadar kenaikan tol yang berlaku di Malaysia, menurut laporan Channel NewsAsia.

    Menurut Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, dasar yang diamalkan sejak dulu adalah untuk memastikan Malaysia mempertimbangkan maklum balas Singapura sekiranya Malaysia merancang untuk menaikkan kadar tol di pintu masuknya. Beliau menjawab soalan yang diajukan di Parlimen Singapura sama ada kementeriannya akan menyelaraskan semula bayaran Vehicle Entry Permit (VEP) dan kadar tol bagi kenderaan yang memasuki Singapura.

    Perkara ini berbangkit berikutan rancangan Malaysia untuk memperkenalkan sistem VEP bagi kenderaan dari luar yang memasuki negara ini melalui Tambak Johor dari Singapura. Sistem berkenaan kini dalam fasa ujian, yang akan berakhir 15 Julai nanti, yang bakal menyaksikan bayaran VEP sebanyak RM20 akan dikenakan bermula 16 Julai ini. Pendaftaran kenderaan bagi sistem VEP itu akan berlangsung sehingga akhir tahun.

    Kadar bayaran VEP Singapura bagi kenderaan yang berpendaftaran luar ialah SGD$35 (RM103) sehari. Sementara kadar bagi Goods Vehicle Permits (GVP) bagi kenderaan barangan berpendaftaran luar ialah SGD$40 (RM118) sebulan. Sebagai tambahan, sepuluh hari percuma (setiap tahun) akan diberikan bagi setiap kenderaan luar, dan tiada bayaran dikenakan pada hujung minggu, pada hari cuti umum Singapura dan ketika memasuki pulau itu antara jam 5 petang dan 2 pagi dari Isnin hingga Jumaat.

    Khaw menyatakan Singapura selalu menyokong rangkaian pengangkutan yang terbuka bersama Malaysia. Menyentuh berkaitan tol di Tambak Johor dan Lingkaran Kedua, beliau memaklumkan bahawa kedua-duanya diperkenalkan pada tahun 1998 sebagai maklum balas kepada keputusan Malaysia untuk mengenakan tol di kedua-dua arah.

    “Prinsip yang sama akan dilaksanakan sebagai maklum balas kami terhadap bayaran yang dikenakan oleh Malaysia. Jika ia mendiskriminasi kenderaan-kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura, kami akan padankannya juga di Singapura. Kami akan mengesahkan reaksi yang bagaimana yang akan diambil selepas Malaysia melaksanakan kadar bayaran berkenaan dan selepas maklumat terperinci berkaitannya diperolehi,” jelas Khaw.

     
     
  • Pemansuhan lesen PSV mungkin titik permulaan berkuburnya sekolah memandu di Malaysia

    1621930_729785283725324_4998449407029119539_n

    Pengendali sekolah memandu merasakan cadangan SPAD untuk memansuhkan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk pemandu teksi dan pemandu aplikasi perkongsian kenderaan atas talian tahun hadapan mungkin permulaan berakhirnya era sekolah memandu, lapor The Sun Daily.

    “Untuk permulaan PSV dan seterusnya, kami tidak akan terkejut jika SPAD dan kerajaan akan memansuhkan pula tanggungjawab sekolah memandu untuk latihan lesen kenderaan barang-barang (GDL),” kata setiausaha Persatuan Institut Memandu Johor Teoh Kock Kee.

    Teoh menyatakan sekolah memandu telah membuat sumbangan yang besar kepada kemahiran keselamatan jalan raya serta tahap perkhidmatan pemandu kenderaan perdagangan, dan ada usaha sebelum ini dari konsortium persendirian untuk mengambil alih segmen latihan vokasional berkenaan.

    “Selama bertahun-tahun, kami telah bekerjasama secara rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Selain itu kami telah memperbaiki banyak aspek untuk latihan pemandu teksi, bas dan lori di fasiliti kami,” kata Teoh lagi.

    Sementara itu Presiden Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (Mapim) Datuk Hanafi Mat Zin telah mempersoalkan kebolehan SPAD melatih pemandu teksi untuk membawa penumpang.

    “Kami khuatir adakah SPAD mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk melatih pemandu teksi pada sikap dan tingkah laku yang betul,” kata Hanafi.

    Walau bagaimanapun, Mapim bersetuju dengan cadangan pemansuhan lesen PSV oleh SPAD berkenaan dan menyatakan, “Selama ini, lesen PSV tersebut merupakan latihan yang tidak mendatangkan apa-apa.”

    Y.S Chan yang telah mendaftar untuk kursus PSV pada tahun 2000 selepas memegang lesen berkenaan sejak tahun 70’an berkata, “Tiada apa-apa yang diperolehi dari penerangan dan arahan pemanduan di sekolah memandu, dan sebahagian pemandu (pelatih) yang telah gagal ujian objektif walau bagaimanapun turut memperolehi lesen PSV mereka.”

    Chan yang juga berpengalaman selama 40 tahun dalam industri automotif dan pengangkutan berpendapat, kerajaan bukan hanya perlu memansuhkan lesen PSV, tetapi perlu juga mencari mekanisma baru yang lebih baik contohnya lesen Pemandu Perkhidmatan Awam (PSD) untuk semua pemandu yang membawa penumpang berbayar.

    Pemansuhan lesen PSV ini akan digantikan dengan sistem kad pemandu SPAD manakala latihan untuk pemandu teksi serta pemandu aplikasi perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Grab dan Uber akan dijalankan oleh operator jaringan pengangkutan atau konsultan latihan dari luar untuk pemegang permit teksi individu.

    Cadangan ini merupakan salah satu dari 11 inisiatif di bawah model e-hailing dan transformasi untuk industri teksi yang akan dipertimbangkan oleh Kabinet, dan telah menerima kelulusan dari Jawatankuasa Ekonomi Khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

     
     
  • Enjin Mazda 2.5T SkyActiv-G boleh disuaikan pada 6, 3

    2017-mazda-cx-9-1

    Model serba baharu Mazda CX-9 telah pun didedahkan di Los Angeles Auto Show tahun lalu, secara tidak langsung turut memperkenalkan enjin baharu 2.5 liter SkyActiv-G pengecas turbo empat-silinder.

    Menurut CarAdvice, yang mendapat sumber dari jurutera pembangunan kenderaan Mazda Amerika Utara, Dave Coleman, di majlis pelancaran CX-9 baharu di Australia, berkata, enjin turbo baharu ini juga boleh disuaikan pada Mazda 6 dan 3.

    “Ia boleh disuaikan pada kebanyakan model kenderaan kami, dan ia juga boleh digunakan bagi model diesel, dan pakej yang sama dengan 2.5 liter naturally-aspirated. Pada asasnya, ruang besar yang digunakan untuk ekzos pancarongga, turut boleh memuatkan turbo. Ia juga memerlukan ruang yang sama,” ujar Coleman.

    Enjin 2.5 liter turbo pada CX-9 boleh menghamburkan kuasa sehingga 250 hp dan tork puncak 420 Nm, ia boleh menggunakan petrol oktana-93 di US, tetapi berkuasa 228 hp dan 420 Nm dengan petrol RON 91 di Australia.

    Ternyata ia mengatasi output yang dihasilkan oleh enjin 2.5 SkyActiv-G naturally-aspirated iaitu 185 hp dan 250 Nm. Enjin tanpa turbo itu kini hanya boleh didapati pada Mazda 6 dan CX-5 untuk pasaran Malaysia.

    Walau bagaimana pun, Coleman turut berkata, “Keputusan untuk pembanguan enjin baharu bukan saya yang buat, sebaliknya bahagian perancangan produk yang akan membuat keputusan.”

     
     
  • Terengganu mohon kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan LPT3 – kos RM2.4b

    LPT2_PTBM

    Bagi memudahkan perjalanan pengguna jalan raya dari Tumpat dan Besut, Terengganu memohon kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pembinan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang disambungkan ke LPT2.

    Kos pembinaan LPT3 sepanjang 170 kilometer ini dijangka menelan belanja sebanyak RM2.4 bilion.

    Menurut Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman, dengan adanya LPT3, ia diharapkan dapat mengurangkan kesesakan dari Kampung Gemuruh di Kuala Terengganu hingga ke Besut yang sering berlaku terutamanya pada musim perayaan, laporan Bernama.

    “Perdana Menteri telah meluluskan pembinaan LPT3 dan ia dalam peringkat mengenal pasti lokasi dan menyiapkan reka bentuk oleh pihak dipertanggungjawabkan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya kepada media.

    Sambung Ahmad Razif lagi, LLM perlu mengambil langkah supaya satu jalan alternatif dibina dari Kuala Terengganu ke Besut melalui LPT3 itu supaya pengguna jalan raya tidak lagi menghadapi kesesakan.

    Beliau berkata kesesakan jalan raya yang sering berlaku di laluan Besut ke Kuala Terengganu telah dimaklum kepada Perdana Menteri sejak perayaan Aidilfitri tahun lalu.

    Ini berikutan pengguna jalan raya dari hujung LPT2 dekat Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu terpaksa mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk ke Besut yang jaraknya hanya kira-kira 95 kilometer sahaja.

    Dalam masa yang sama, Ahmad Razif turut berkata, kerajaan negeri juga sedang memohon peruntukan daripada kerajaan Pusat untuk menaik taraf beberapa jalan utama di negeri berkenaan termasuklah di jalan pantai dari Kuala Terengganu ke Besut melalui Penarik, Setiu dinaik taraf menjadi empat lorong.

    Katanya, buat masa ini pembinaan jalan pantai empat lorong dari Kemaman hingga Kuala Terengganu hampir siap kecuali di beberapa kawasan di Kijal dan Dungun yang masih belum dinaik taraf sepenuhnya.

    “Sekiranya siap, pembinaan akan ditumpukan untuk jalan empat lorong dari Seberang Takir, Kuala Terengganu ke Besut pula,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025