Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pengehad kelajuan bagi bas persiaran dan bas antara bandar perlu dikuatkuasakan segera – Liow

    bus crash bernama

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa penguatkuasaan terhadap pemasangan pengehad kelajuan bagi bas persiaran dan bas antara bandar perlu dilaksanakan segera.

    Beliau turut berkata, sistem itu pernah dilaksanakan seketika dahulu, dan kementeriannya telah mengarahkan Puspakom untuk memastikan semua bas persiaran dan bas antara bandar diperiksa dan perlu memasang sistem ini, laporan News Strait Times

    “Sistem ini sangat penting untuk memastikan semua bas tidak melebihi had laju yang ditetapkan,” ujarnya kepada pihak media.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan semua pengusaha bas supaya tidak menaikkan tambang apabila penguatkuasaan ini dilaksanakan sepenuhnya kelak.

    “Mereka tidak patut menaikkan kadar tambang kerana sistem ini hanya melibatkan kos yang minimal dan ia telah pun diperkenalkan beberapa tahun yang lalu. Cuma ini adalah masanya untuk kita menguatkuasakannya,” tegas Liow.

    Beliau turut menambah, pihaknya akan meminta nasihat daripada Puspakom bagi menetapkan masa yang diperlukan untuk semua pengusaha syarikat bas memasang sistem ini.

     
     
  • Toyota Calya – MPV yang diasaskan dari platform Perodua Axia dilihat sedang diuji di Indonesia

    Toyota-Calya-3

    Sedang kita hangat memperkatakan tentang sedan keluaran pertama keluaran Perodua di Malaysia – Bezza – yang diasaskan dari hatchback Perodua Axia, di Indonesia, Toyota Cayla iaitu MPV kompak yang diasaskan dari platform yang sama (Axia dikenali sebagai Toyota Agya dan Daihatsu Alya di Indonesia) dijumpai sedang diuji diatas jalan raya tanpa sebarang pelekat penyamaran.

    Imej dan video Toyota Cayla berkenaan telah disiarkan oleh AutonetMagz.com dan dikhabarkan bakal dilancarkan pada acara Gaikindo Indonesia International Autoshow (GIIAS) 2016 bulan hadapan. MPV kompak ini juga akan dilancarkan dibawah jenama Daihatsu dengan nama Sigra.

    Imej pertama Toyota Cayla ini telah bocor buat pertama kali di internet Mei lalu. Bersaiz lebih kecil dari Toyota Avanza, Cayla masih mampu untuk memuatkan tujuh tempat duduk, dan bakal bersaing dengan Datsun GO+ di pasaran Indonesia.

    Cayla mungkin merupakan versi produksi kereta konsep Daihatsu UFC-3 yang diperkenalkan pada Indonesia International Motor Show (IIMS) 2014 – yang dibina lebih kecil daripada Daihatsu Xenia, iaitu Toyota Avanza yang di rebadge.

    Seperti juga Datsun GO+ (dikenali sebagai GO+ Panca di Indonesia), Cayla dilaporkan dibina sebagai sebahagian dari program Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia, yang memberikan insentif cukai kepada kereta dengan kecekapan bahan api yang tinggi berkapasiti maksimum 1.2 liter.

    Perincian untuk spesifikasi teknikal juga belum didedahkan, tetapi Cayla dijangka akan dikuasakan dengan enjin 1.2 liter empat silinder 3NR-FE dari Etios, berupaya menghasilkan kuasa 80 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 104 Nm pada takat 3,100 rpm. Ia juga dijangka akan dipadankan dengan sistem transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, sama seperti Axia.

    GALERI: Daihatsu UFC-3 Concept di IIMS 2014

     
     
  • Jajaran LRT Ampang, Sri Petaling dihentikan seketika pada 16 Julai ini bagi naik taraf sistem operasi

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Prasarana Malaysia Berhad telah memaklumkan penggantungan sementara Transit Aliran Ringan (LRT) bagi jajaran LRT Ampang dan Sri Petaling pada 16 Julai ini bagi kerja-kerja perpindahan sistem isyarat tren sepenuhnya. Walau bagaimana pun, syarikat terbabit turut memberitahu, Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk kemudahan para penumpang yang terjejas dengan penutupan kedua-dua stesen ini.

    “Kami akan menyediakan 70 buah bas di 16 zon bagi laluan dari stesen LRT Bandar Puteri, Kinrara BK5, Sri Petaling, Sungai Besi, Bandar Tun Razak, Cempaka, Pandan Indah, Maluri, Chan Sow Lin, Hang Tuah, Sentul Timur, PWTC, Bandaraya, Puchong Prima dan Putra Heights,” ujar Prasarana.

    Kesemua bas terbabit akan menuju ke stesen LRT Masjid Jamek dan berakhir di hab bas Pasar Seni, iaitu di bawah stesen LRT Pasar Seni.

    Menurut kenyataan itu juga, dengan perpindahan sepenuhnya sistem isyarat ini, sebanyak enam buah tren baharu akan mula beroperasi di antara Sentul Timur dan Putra Heights, yang bakal dinamakan secara rasmi sebagai LRT Petaling Line pada Sabtu ini.

     
     
  • Exco Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan kutipan tol di LPT2 bukan keputusan tergesa-gesa

    LPT2 highway PT

    Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bermula hari ini bukanlah keputusan tergesa-gesa yang diambil oleh Kabinet, lapor Bernama.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman, pengguna telah menikmati laluan LPT2 sepenuhnya sejauh 184km dari Jabor di Pahang ke Kampung Gemuroh, Terengganu sejak ia dibuka pada 31 Januari tahun lalu.

    “LPT2 beroperasi di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memerlukan kos operasi dan penyenggaraan. Jadi, kutipan tol ini untuk kos penyenggaraan dan menyediakan kemudahan lebih lengkap kepada pengguna seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengguna.

    “Saya yakin apabila pengurusan lebuh raya masuk, tahap keselamatan dan keselesaan R&R akan dapat ditingkatkan dan keputusan pembayaran tol ini bukanlah tergesa-gesa sebab kita bukannya baru buka LPT2 kepada orang ramai. Tetapi dah lebih setahun kita buka dan pembinaan lebuh raya ini dah makan masa selama 10 tahun dari dahulu hingga sekarang, kosnya juga telah meningkat berkali ganda,” jelas Rosli.

    Kadar caj tol yang dikenakan pada LPT2 ini adalah sama dengan kadar yang dikenakan pada LPT1 dari Kuantan ke Karak iaitu RM0.12 sen untuk sekilometer bagi kenderaan kelas satu iaitu kereta. Menurut Rosli kadar berkenaan masih relevan dan tidak membebankan pengguna.

    LPT2 dilengkapi dengan 10 persimpangan bertingkat, tiga R&R serta dua hentian sebelah mempunyai kemudahan seperti tandas, kedai makan dan surau yang sudah beroperasi sepenuhnya.

    “Di R&R kita ada semua kemudahan kecuali stesen minyak yang mana sekarang kita hanya ada stesen minyak sementara di R&R Kijal. Saya difahamkan sudah ada syarikat diberi kelulusan dan syarikat minyak ini dalam proses mendapatkan kelulusan tanah daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk pembinaan stesen minyak di R&R lain.

    “Saya yakin sekurang-kurangnya dua stesen minyak di R&R Perasing dan R&R Paka akan dibina dalam tempoh setahun setengah lagi untuk kemudahan pengguna sebab sekarang permohonan tanah sedang berjalan,” jelas Rosli.

    Rosli turut memberitahu kerajaan Pusat bersetuju untuk membayar balik tuntutan sebanyak RM1.83 bilion oleh kerajaan negeri atas kos pembinaan LPT2 berkenaan dan wang tersebut akan digunakan sebagai dana khas pembinaan LPT3.

    “Kerajaan negeri memang berharap mendapat semula pembayaran tersebut sebab kita berhasrat meneruskan pembinaan LPT3 dari Gemuroh ke Tumpat, Kelantan dan kita harap kita akan dapat gunakan sebahagian wang itu untuk pembinaan LPT3 bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya terutama pada musim perayaan,” katanya.

     
     
  • Honda Malaysia tanggung kos, turut panggil semula model yang dibawa masuk oleh pengimport luar

    Naza_Stream_1-2

    Selain mengeluarkan kenyataan berkaitan kesediaan stok beg udara Takata gantian semalam, Honda Malaysia turut mengumumkan untuk turut memanjangkan panggilan semula ke atas kenderaan Honda yang dibawa masuk oleh pengimport luar, atau model-model reconditioned yang terlibat. Ini bermaksud, semua model Honda yang bukan dibeli dari pengedar sah Honda Malaysia turut layak untuk gantian beg udara ini.

    Syarikat itu menasihatkan agar semua pemilik kenderaan yang terlibat untuk menghubungi pengedar sah Honda terdekat di seluruh negara dengan segera. Ini bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara yang perlu dilakukan bagi membolehkan kenderaan mereka dibaiki oleh Honda Malaysia secepat yang mungkin. Honda Malaysia akan menanggung segala kos gantian beg udara berkenaan.

    Sebelum ini, Honda Malaysia menyatakan syarikat itu kini sedang berusaha keras untuk mendapatkan stok bagi beg udara gantian itu secepat mungkin, dan menjangkakan akan mempunyai 100% stok tersedia pada pertengah Ogos nanti. Beg udara sebelah penumpang lebih sukar diperolehi. Untuk itu, kenderaan pelanggan yang sudah dipanggil semula dan melibatkan penukaran kedua-dua beg udara pemandu dan penumpang mungkin tidak dapat dilakukan serentak.

    Syarikat itu juga akan mengurangkan kemasukan kenderaan bagi penyelenggaraan cegahan menerusi pengedar mereka sehingga 50% bermula 20 Julai, untuk memberi ruang kepada lebih ramai pelanggan untuk menukar beg udara terlebih dahulu. Dalam situasi di mana Honda Malaysia tidak dapat menampung jadual penyelenggaraan bagi sesetengah kenderaan, tempoh selenggaranya akan dipanjangkan, dan ini akan diselarikan dengan tempoh jaminan kenderaan yang terlibat. Pusat servis sementara dan bergerak juga akan dibuka.

    Honda Malaysia menyeru pemilik kenderaan Honda yang terlibat di dalam panggilan semula ini membawa kereta mereka ini untuk dibaiki seberapa segera. Pemilik boleh memeriksa status panggilan balik semula melalui semakan VIN atas talian atau dengan menghubungi talian 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut, serta boleh juga mengunjungi pengedar sah Honda berdekatan.

     
     
  • JPJ ketuai sistem bersepadu penyelarasan penguatkuasaan saman bersama PDRM, SPAD – Liow

    liow tiong lai

    Sistem bersepadu penyelarasan penguatkuasaan saman telah diputuskan bakal diketuai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti mana yang disahkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

    Penyelarasan sistem tersebut juga disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini, laporan Bernama.

    “Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron supaya segera mengadakan perjumpaan dengan PDRM dan SPAD bagi membincangkan soal penyelarasan sistem saman ketiga-tiga agensi terbabit,” ujarnya kepada pihak media.

    Katanya lagi, langkah itu penting bagi memastikan penguatkuasaan jalan raya menjadi lebih berkesan tanpa berlaku sebarang pertikaian mengenai pertindihan penguatkuasaan daripada ketiga-tiga agensi berkenaan.

    “Sistem yang ada sekarang sama ada pihak polis, JPJ dan SPAD tidak diselaraskan kerana berasingan. Oleh itu, apabila ada tunggakan saman di pihak polis, JPJ tidak tahu, bila JPJ tidak ada maklumat ini, maka kita tidak dapat membantu polis menyenaraihitamkan lesen pemandu.

    “Kalau pihak polis saman sekali pun, kena hantar ke JPJ juga untuk kita buat senarai hitam lesen pemandu,” katanya.

     
     
  • Hyundai menunda projek trak pikapnya ke tahun 2020

    hyundai-santa-cruz-crossover-truck-concept-1

    Hyundai telah mendedahkan trak pikap konsep unibody Santa Cruz pada Detroit Motor Show 2015 yang lalu. Projek berkenaan kemudiannya dikatakan sedang dalam peringkat kelulusan. Terbaharu, laporan mengatakan projek trak pikap dari pengeluar automotif Korea ini telah ditunda.

    “Ia telah dianjakkan, sebagaimana yang kami faham. Tidak ada apa yang akan berlaku pada bahagian ini sehingga tahun 2020. Kami mempunyai perancangan pada lapangan di mana mereka memerlukan kenderaan ini secara serius, tetapi sehingga kini tiada lagi komitmen untuk memproduksinya. Saya tidak boleh mengesahkan apa dan bila, tetapi ia merupakan mesej yang berlainan. Bukan dalam masa terdekat tetapi kami mula merasakan ada perkembangan untuk perkara ini,” kata COO Hyundai Australia kepada Car Advice.

    Santa Cruz merupakan “trak crossover”, iaitu trak pikap unibody yang berkongsi ciri dengan SUV seperti Tucson dan bukan trak pikap yang lasak menggunakan asas binaan ladder frame seperti Toyota Hilux. Ia dibina dengan formula seperti Honda Ridgeline, yang merupakan trak pikap berasaskan platform dari kereta penumpang, iaitu crossover Honda Pilot yang dijual untuk pasaran Amerika Syarikat.

    Dalam bentuk konsep, Santa Cruz menampilkan enjin empat silinder turbo diesel 2.0 liter berkuasa 190 hp/406 Nm, dan didakwa dapat mencapai penggunaan bahan api 12.8 km untuk setiap liter.

     
     
  • Perodua umum tempahan untuk Bezza dibuka

    Open Booking 16 July 2016

    Perodua telah mengumumkan secara rasmi tempahan untuk model sedan pertama mereka – Bezza – akan dibuka bermula Sabtu ini, 16 Julai 2016.

    Pelanggan yang berminat untuk menempah model berkenaan bolehlah mengunjungi mana-mana 181 bilik pameran Perodua seluruh negara pada 16 Julai ini, serta turut berpeluang untuk meraikan sambutan Hari Raya menerusi acara rumah terbuka Aidilfitri Perodua yang turut diadakan pada hari tersebut.

    “Penantian sekian lama bakal berakhir tidak lama lagi setelah kami melancarkan sedan kami sendiri pada 21 Julai 2016 nanti. Sedan ini merupakan kemuncak kerjasama teknologi dan peralihan teknologi selama sedekad dengan rakan kami Daihatsu Motor Co. Ltd,” kata Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    “Dengan tunjuk ajar dari mereka membolehkan kami sekarang berdiri di atas kaki sendiri dengan model baharu ini dan ia merupakan sebuah sedan yang memenuhi keperluan setiap rakyat Malaysia,” kata beliau.

    “Perodua sedan baharu, yang dinamakan Bezza, merupakan model transformasi kedua kami (selepas Axia) dan merupakan kereta yang bersedia untuk pasaran global dengan varian 1.3L Advance dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini,” kata Aminar.

    Perodua Bezza di produksi di kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd yang diikitiraf sebagai kilang EEV, yang dilengkapi dengan fasiliti termoden yang menggunakan kadar automasi melebihi 75%.

    ik-perodua-bezza-fb

    Menurut Aminar nama sedan ini diinspirasikan dari perkataan Bahasa Malaysia iaitu ‘Beza’. Dan ini “merupakan apa sebenarnya sedan EEV pertama Perodua – yang jelas berbeza.” Huruf ‘Z’ berkembar dalam nama Bezza ini juga melambangkan angka 22 – Perodua telah pun berada dalam pasaran selama 22 tahun pada tahun ini.

    Tiga model Bezza akan ditawarkan semasa pelancarannya nanti iaitu model asas 1.0 liter Standard G, model pertengahan 1.3 liter Premium X dan model tertinggi 1.3 liter Advance.

    Model Standard G dan Premium X hadir dengan pilihan transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, manakala model Advance hanya hadir dengan kotak gear automatik. Ini menjadikan Bezza mempunyai lima varian untuk dipilih secara keseluruhan.

    Enjin 1KR-VE pada Bezza berbeza dari enjin 1KR-DE2 pada Axia kerana ia dilengkapi dengan sistem VVT-i (sebelum ini dikenali sebagai DVVT), mempunyai nisbah mampatan yang lebih tinggi, daya geseran yang dikurangkan serta pembakaran dalam kebuk yang lebih efisien. Hasilnya enjin Bezza mampu menjana 67 hp pada 6,000 rpm/91 Nm pada 4,000 rpm berbanding Axia yang berkuasa 66 hp pada 6,000 rpm/90 Nm pada 3,600 rpm.

    Enjin 1.3 liter Bezza juga berbeza dari enjin 1.3 K3-VE Myvi (90 hp/117 Nm). Bezza menggunakan enjin 1NR-VE, (enjin yang sama menjana Toyota Avanza 1.3L) berkuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Varian Advance turut dilengkapi Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) serta Bantuan Mula Mendaki (HSA) yang akan menahan sedan ini selama dua saat dari tergelongsor kebelakang selepas pedal brek dilepaskan semasa mula untuk mendaki jalan curam.

    Kami telah pun menguji secara ringkas Perodua Bezza ini dilitar ujian Perodua di Rawang dan anda boleh membaca ulasannya pada pautan ini. Fakta perincian awalan untuk model ini juga boleh anda baca dipautan ini.

     
     
  • Nombor pendaftaran kenderaan siri V bagi KL boleh ditempah mulai 15 Julai ini sehingga 28 Julai 2016

    W1A (1)

    Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bakal mendapat Nombor Pendaftaran Kenderaan Siri V bagi menggantikan huruf ‘W’ yang digunakan sebelum ini.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri pertama bagi huruf ‘V’ itu akan dibuka pada 15 Julai 2016 sehingga 12.00 tengahari 28 Julai 2016.

    Menurut kenyataan media tersebut, orang ramai boleh menyemak panduan dan syarat-syarat lanjut mengenai tempahan nombor plat ‘V’ menerusi laman web rasmi JPJ.

    Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata abjad ‘V’ untuk Kuala Lumpur akan mula digunakan pada tarikh yang belum diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ini bermaksud nombor pendaftaran Wilayah Persekutuan yang menggunakan abjad pada penghujung nombor (diperkenalkan pada September 2013) tidak akan digunakan lagi.

    Menurut Aziz, orang awam lebih selesa dengan sistem nombor pendaftaran tradisional yang hanya menggunakan abjad pada permulaan nombor berbanding abjad pada permulaan dan penutup nombor. “Ini adalah berdasarkan banyak pembatalan dalam bidaan nombor pendaftaran KL buat masa sekarang. Jadi saya berharap abjad ‘V’, akan membuatkan orang ramai teruja,” kata beliau.

     
     
  • Mazda memperkenalkan teknologi SkyActiv-Vehicle Dynamic – G-Vectoring Control pada Mazda 3 facelift

    Jika anda seorang peminat manga atau siri anime Initial D, anda tentu biasa dengan aksi Fujiwara Takumi meletakkan secawan air pada pemegang cawan yang ditempatkan pada papan pemuka AE86 beliau, dan memandunya dengan laju tanpa menumpahkan sedikit pun air di dalam cawan tersebut. Aksi berkenaan sebenarnya menunjukkan bagaimana lancarnya teknik pemanduan Takumi dalam mengawal peralihan daya-G pada keretanya bagi mengekalkan pergerakan dinamik kereta agar sentiasa stabil sepanjang pemanduan.

    Tetapi, dengan teknologi automotif berkembang begitu pesat sekarang, cukuplah dengan teknik pemanduan ‘biasa-biasa, anda masih boleh memandu dengan lancar seperti pemandu profesional. Mazda kini telah mengumumkan teknologi G-Vectoring Control terbaharu mereka buat pertama kali yang diletakkan di bawah sistem SkyActiv-Vehicle Dynamic menerusi model Mazda 3 facelift yang baharu sahaja diperkenalkan.

    Teknologi baharu ini direka untuk meningkatkan deria pemandu terhadap hubungan mereka dengan kereta, seperti konsep yang digelar Jinba Ittai – iaitu hubungan yang menyatukan antara kuda dengan penunggang. Untuk mencapainya, teknologi ini menghubungkan kawalan antara enjin, transmisi, casis dan badan SkyActiv Mazda untuk memberikan perasaan yang lebih terus dan semula jadi kepada pemandu.

    Untuk teknologi G-Vectoring Control (GVC), tiada komponen hardware ditambah, di mana sistem ini masih menggunakan penggerak dan penderia sedia ada untuk sistem dinamik pemanduan lain seperti ABS-EBD, VSC dan sebagainya. Ia cuma menerima perisian baharu yang akan mengawal tork dari enjin berdasarkan input dari tindak balas stereng, untuk mengawal daya-G arah sisi dan arah membujur.

    P1J12779s_BM

    Secara asasnya, ia berfungsi seperti sistem kawalan cengkaman di mana sistem berkenaan akan memotong kuasa dari enjin apabila mengesan kenderaan mula kehilangan cengkaman. Untuk sistem GVC pula, ia akan mengawal pendikit enjin – dan mungkin akan menambah kuasa jika perlu – untuk mengoptimakan beban pada setiap roda, menjadikan pergerakan kenderaan yang lebih lancar dan lebih cekap.

    Apabila pemandu menghampiri selekoh dan mula memusingkan roda stering, GVC akan memotong tork dari enjin. Ini akan menyebabkan berat dan daya-G dari belakang dialihkan kehadapan seterusnya meningkatkan cengkaman pada roda hadapan, dan turut meningkatkan tindak balas kereta. Ini akan mengelakkan pemandu dari membuat pembetulan stereng yang tidak perlu semasa mula memusing stereng, yang akan menyebabkan pergerakan seperti jongkang-jongkit.

    Setelah pemandu selesai masuk ke selekoh dan mengekalkan sudut pusingan stereng yang malar, tork dari enjin akan disalurkan semula untuk mengalihkan berat dan daya-G kembali ke bahagian belakang, seterusnya meningkatkan kestabilan kereta. Hasilnya, pergerakan kereta akan dirasakan lebih mudah untuk diagak semasa mula masuk dan keluar semula dari selekoh, serta input dari stereng akan menjadi lebih lancar.

    Menurut Mazda, helah sebenarnya yang digunakan dalam G-Vectoring Control ini adalah, sistem berkenaan bertindak balas dengan cepat dan tepat sehingga pemandu tidak sedar kesannya – ketika nyah pecut bacaan daya-G dicatatkan pada atau di bawah 0.01G. Sistem ini membolehkan perasaan semula jadi ketika memandu kereta berkenaan dipertingkatkan, sebagaimana ia bertindak balas bersama dengan deria manusia.

    01_W_E_text_160426

    Sistem ini turut mempertingkatkan kestabilan dalam laluan lurus. Kita mungkin tidak sedar, walaupun dalam laluan lurus, kita masih lagi membuat pembetulan pada roda stereng. Pembetulan ini walaupun dilihat begitu kecil, ia akan mendatangkan kelesuan kepada pemandu terutamanya dalam jarak perjalanan yang jauh.

    GVC juga mempertingkatkan kesan terhadap pembetulan stereng yang kecil, seterusnya mengurangkan jumlah pembetulan roda stereng yang perlu dilakukan. Peralihan daya-G yang lebih lancar turut mengurangkan pergerakan badan dan kepala penumpang dalam kenderaan, seterusnya memberikan perjalanan yang lebih selesa untuk semua orang di dalam kereta.

    Mazda turut menambah, kerana sistem ini telah pun mempertingkatkan pengendalian dan kestabilan menerusi beban menegak pada tayar yang dioptimakan, ia akan lebih efektif jika digunakan dalam keadaan jalan yang basah atau bersalji, serta permukaan jalan yang teruk dan dapat menstabilkan kenderaan semasa pergerakan mengelakkan halangan yang dilakukan secara agresif. Sistem ini menawarkan perasaan ketika memandu yang lebih bagus serta cengkaman tayar pada jalan yang lebih baik dalam apa jua keadaan, memberikan perasaan selamat yang lebih terjamin.

    GALERI: Mazda 3 facelift 2016

     
     
  • CEO Aston Martin periksa sendiri 1,000 unit DB11

    001-aston-martin-db11-1

    Andy Palmer, Ketua Pegawai Eksekutif Aston Martin akan memeriksa sendiri 1,000 unit pertama model Aston Martin DB11. Ini adalah sebagai tanda terima kasih dan bagi memastikan kumpulan pertama model berkenaan dikeluarkan tanpa sebarang kekurangan.

    Turut akan disertakan ialah lencana khusus pada bahagian enjin dalam jumlah terhad terbabit. Aston Martin DB11 merupakan model yang sangat penting bagi pengeluar British itu memandangkan ia adalah model serba baharu yang dikeluarkan sejak Palmer menggalas jawatan berkenaan pada 2014.

    DB11 ialah model kesepuluh di dalam barisan kenderaan ikonik DB yang dikeluarkan oleh Aston Martin, bermula dengan DB1 yang diperkenalkan pada 1984. Memandangkan siri DB ini yang paling berjaya dalam sejarah pengeluaran kenderaan syarikat itu, jangkaan terhadap DB11 oleh pemerhatinya sangat tinggi.

    Ini bukanlah kali pertama seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat automotif mengambil langkah yang luar biasa untuk memastikan pengeluaran modelnya menjadi sangat sempurna. Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk dilaporkan pernah tidur di atas lantai kilangnya semata-mata untuk berbuat yang terbaik ketika ingin memperkenalkan Tesla Model X.

    Di Malaysia, Aston Martin Kuala Lumpur baru sahaja membuka bilik pameran sementaranya di Jalan Ampang.

     
     
  • Honda Malaysia umum beg udara gantian untuk bahagian hadapan bagi model terlibat sudah ada stok

    Honda airbag

    Honda Malaysia telah mengumumkan beg udara ganti telah pun tersedia stoknya dan mana-mana pemilik kenderaannya yang terlibat dengan penggantian beg udara bahagian hadapan buatan Takata yang disebabkan masalah inflator, boleh segera berkunjung ke pusat servis Honda bertauliah.

    Buat setakat ini, Honda Malaysia telah menghantar surat pemberitahuan kepada lebih 240,000 pemilik kenderaan yang terlibat, makluman menerusi e-mel kepada lebih 35,000 pemilik dan sebaran mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada lebih 126,000 pelanggannya. Malah turut melakukan inisiatif lain termasuk mengiklankan kempen panggilan balik ini serta liputan daripada pihak media bagi hebahan mengenainya.

    Model yang terlibat dengan kempen ini ialah Accord (buatan tahun 2003-2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

    Klik untuk besarkan imej

    Pemilik model yang terlibat juga boleh menyemak status kenderaan anda dengan menggunakan kaedah semakan VIN menerusi laman web rasmi Honda Malaysia. Apa yang diperlukan ialah nombor VIN, atau pun lebih dikenali sebagai nombor casis. Ia boleh didapati menerusi kad pendaftaran JPJ, atau buku servis Honda, atau pada kenderaan itu sendiri. Lihat plat berwarna biru sama ada pada tiang tengah bahagian penumpang atau pun pada petak enjin.

    Pemilik kenderaan Honda juga boleh mendapatkan pengesahan mengenai perkara ini dengan menghubungi Honda Malaysia di talian 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut.

    Buat setakat ini, Honda telah melakukan panggilan balik yang melibatkan jutaan kenderaannya di seluruh dunia berhubung dengan inflator beg udara. Sebanyak lebih 100 insiden yang membabitkan kecederaan dan 13 kes kematian telah dicatatkan berlaku di seluruh dunia ekoran beg udara buatan Takata ini.

    Malah tiga kematian juga dilaporkan berlaku di Malaysia, yang membabitkan Honda City dari generasi yang sama. Iaitu yang berlaku di Sabah yang melibatkan City tahun 2006 pada April, insiden kedua pula pada 1 Mei di Kedah (City 2003) dan terbaru di Kota Damansara pada 26 Jun lalu yang membabitkan perlanggaran kecil antara Honda City 2005 dengan sebuah Mercedes-Benz.

     
     
  • Op Selamat 9 terbaik setakat ini – PDRM

    AppleMark

    AppleMark

    Op Selamat 9 sempena Aidilfitri yang berakhir semalam disifatkan sebagai yang terbaik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini apabila mencatatkan penurunan jumlah kematian akibat kemalangan dalam tempoh 14 hari perlaksanaannya bermula 29 Jun lalu, menurut laporan BH Online.

    Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, sepanjang tempoh operasi berkenaan, hanya 299 kematian dicatatkan berbanding 330 pada Op Selamat 7 sempena Aidilfitri tahun lalu.

    “Sebanyak 20,294 kes kemalangan dicatatkan sepanjang operasi ini dengan 273 kemalangan maut yang mengakibatkan sejumlah 299 kematian. “Buat kali pertama walaupun jumlah kenderaan meningkat secara mendadak, jumlah kemalangan maut dan kematian menurun berbanding Op Selamat tahun lalu sempena Aidilfitri,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media Op Selamat 9 di Bukit Aman.

    Sementara itu dalam laporan berasingan oleh Bernama, PDRM turut menyifatkan pengguna jalan raya di negara ini sebagai ‘degil’ setelah lebih 50,000 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi yang sama.

    Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Mustafa Bakri Salleh, pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan merekodkan jumlah saman tertinggi berbanding pengguna di lebuh raya lain.

    “Sehingga semalam kita telah mengeluarkan sebanyak 50,014 keping saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna di lebuh raya.

    “Menerusi jumlah itu, kita dapati kesalahan had laju masih tinggi biarpun pelbagai amaran dan peringatan yang diberikan, pengguna masih gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di kawasan lebuh raya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Operasi had laju di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

    Walau bagaimanapun, Mustafa Bakri berkata kesalahan pengguna menggunakan lorong kecemasan pula menunjukkan trend penurunan melibatkan semua laluan.

    “Walaupun masih ada pengguna yang menggunakan lorong kecemasan namun ia menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelum ini, faktor kesedaran membantu mengurangkan jumlah tersebut,” katanya.

    Mengenai operasi had laju yang dibuat di LPT2 berkenaan, Mustafa berkata sebanyak 112 saman telah dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi yang bermula pukul 9 pagi dan berakhir pukul 1 tengah hari tadi.

    Dalam tempoh itu, sebanyak 71 saman dikeluarkan kepada pengguna di LPT2 kerana gagal mematuhi had laju, manakala 19 lagi atas kesalahan nombor pendaftaran kenderaan serta tiada lesan memandu, jelas Mustafa.

    Dalam operasi berkenaan, pihak PDRM turut memasang perangkap had laju dan mengadakan sekatan jalan raya bagi mengesan pesalah trafik dalam operasi itu yang disertai seramai 50 pegawai dan anggota dari Bukit Aman dan Terengganu.

    “Sepanjang operasi itu kita turut merekodkan 156 km/j kelajuan paling tinggi yang dilakukan pemandu di laluan tersebut,” jelas Mustafa lagi.

     
     
  • Prasarana saran mantapkan nilai sosial pengendali bas supaya dapat raih rasa hormat penumpang

    metrobus-fb-pix-2-850x452

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di dalam satu kenyataan meminta International Bus Benchmarking Group (IBBG) mengingatkan pengendali perkhidmatan bas henti-henti agar memberikan tumpuan terhadap pemantapan nilai sosial supaya ia seimbang dengan usaha untuk menjana pendapatan.

    Bercakap pada mesyuarat tahunan IBBG, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, pengendali perkhidmatan bas perlu memberi fokus terhadap menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penumpang untuk meraih rasa hormat orang-ramai dan memupuk kesungguhan kerajaan supaya kedua-dua pihak ini memberi sokongan kepada perkhidmatan bas awam di Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    “Nilai sosial merupakan jantung dan jiwa bagi perkhidmatan bas awam. Ya, menjana keuntungan kita adalah suatu perkara penting, tetapi ia mestilah dilakukan dengan turut melihat kepada sisi kemanusiaan dalam perkhidmatan kita,” katanya.

    Dengan memberi penekanan terhadap nilai sosial dalam menjalankan operasi perniagaan dan perkhidmatan, maka akan wujudlah kefahaman dan rasa hormat dalam kalangan pengendali perkhidmatan dan penumpang.

    IBBG merupakan sebuah badan khusus yang mengendalikan satu program menyeluruh dalam penetapan tanda aras kepada operasi dan konsortium bas di kawasan bandar. Ketika ini, ia dianggotai oleh 15 organisasi skala sederhana dan besar dari seluruh dunia.

    Ditubuhkan pada 2004, IBBG bermatlamat untuk menyediakan forum bagi perkongsian pengalaman, membandingkan prestasi dan mengenal pati amalan terbaik.

    Mesyuarat tahunan tiga hari itu, yang bermula semalam, dihadiri para pegawai tertinggi syarikat pengendali perkhidmatan bas dari bandar raya tuan rumah, Barcelona, Brussels, Istanbul, London, New York, Paris, Seattle, Singapura dan Vancouver serta wakil daripada London Imperial College.

    Beliau berharap para pakar akan memanfaatkan sepenuhnya mesyuarat itu untuk membincangkan secara lebih mendalam inisiatif ke arah memberi penekanan terhadap nilai sosial dan usaha lain bagi meningkatkan standard perkhidmatan bas awam.

     
     
  • JPJ Selangor keluarkan 3,621 saman dalam Ops HRA 2016 – kesalahan utama tidak memiliki lesen

    JPJ_Roadblock1

    Sejak hari pertama Op Hari Raya (HRA) 2016 dilancarkan pada 29 Jun lepas sehingga 12 Julai lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 3,621 saman yang melibatkan pelbagai kesalahan.

    Menurut Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib, dengan jumlah itu, ia melibatkan peningkatan sebanyak 1,522 saman berbanding tempoh sama tahun lepas, laporan Bernama.

    Jumlah keseluruhan kesalahan di Selangor sepanjang operasi tersebut bagi tahun ini ialah 3,801 daripada sejumlah 4,561 kenderaan yang diperiksa dengan 1,858 kenderaan telah diambil tindakan.

    “Antara kesalahan utama yang dikesan ialah pemandu tidak mempunyai lesen memandu kompeten iaitu seramai 693 orang,” katanya kepada pihak media.

    Nazli turut berkata berkata dengan ketiadaan lesen memandu ini, ia diibaratkan satu ‘ancaman’ kepada pengguna jalan raya lain kerana mereka tidak memahami peraturan jalan raya yang dikuatkuasakan, malah kebarangkalian untuk terlibat dalam kemalangan adalah tinggi.

    “Daripada 58 pemandu dan penunggang motosikal yang diperiksa, seramai 14 orang dikesan positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan. Manakala sebanyak 99 notis dikeluarkan kepada pemilik kenderaan manakala 120 notis diberikan terus kepada pesalah jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan,” ujarnya.

    Kesalahan lain seperti gagal mematuhi lampu isyarat (162 notis), memotong garisan (128), menggunakan telefon bimbit (41) dan tidak pakai tali pinggang (6).

    Bagi bas ekspres pula, sebanyak enam kesalahan melibatkan pemandu bas dan sembilan notis saman telah dikeluarkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025