Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bas ekspres wajib pasang alat pengehad kelajuan serta merta, tiada yang terkecuali – Liow

    express-bus-coach-1

    Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, menggesa penguatkuasaan pemasangan alat pengehad kelajuan pada bas ekspres dan bas antara bandar perlu dilaksanakan secepat mungkin.

    Semalam, beliau mengesahkan perkata ini akan diwajibkan bagi semua bas ekspres di seluruh negara bagi mengatasi kekerapan kes kemalangan yang melibatkan kenderaan awam, khususnya di musim perayaan, laporan Bernama.

    Katanya, peraturan itu akan dikuatkuasakan serta merta, tetapi secara berperingkat-peringkat. Untuk peringkat awal semua bas baharu perlu dipasang dengan alat tersebut tanpa sebarang pengecualian.

    “Arahan kepada semua pihak termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom telah pun dikeluarkan. Semua bas baharu perlu memasang alat pengehad kelajuan ini dan tiada yang terkecuali,” tegasnya.

    Menurutnya, peraturan itu dilaksanakan selepas mendapati sikap sesetengah pemandu bas yang gemar memandu laju tanpa mematuhi had ditetapkan di semua jalan-jalan utama di negara ini mengakibatkan kemalangan yang mengorbankan banyak nyawa.

    Liow berkata, pemasangan alat berkenaan tidak akan mengurangkan keupayaan bas untuk mendaki dan menuruni bukit, sebaliknya hanya berfungsi untuk mengehad kelajuan kenderaan tersebut.

    “Ini adalah kelebihan ‘speed limiter’ kita perkenalkan. Saya telah mengadakan dialog dengan operator lori dan bas. Mereka bersetuju menyokong usaha kerajaan untuk memasang ‘speed limiter’ ini,” katanya.

     
     
  • LRT Jajaran Sri Petaling – Laluan terus Sentul Timur-Putra Heights dibuka secara rasmi bermula semalam

    Pengguna LRT laluan Sri Petaling-Ampang kini boleh menggunakan perkhidmatan tersebut untuk untuk bergerak terus dari Sentul Timur ke Putra Heights bermula semalam, lapor The Sun Daily.

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), dalam satu kenyataaan yang dikeluarkan berkata, dua laluan yang disepadukan dan secara rasminya dinamakan sebagai LRT Jajaran Sri Petaling berkenaan dapat menjimatkan masa perjalanan, secara spesifiknya dari Puchong dan Bandar Kinrara untuk mereka yang menuju ke kawasan sekitar Subang, Subang Jaya dan USJ.

    “Tetapi apa yang lebih bermakna adalah perjalanan terus antara Putra Heights dan Sentul Timur, sepanjang 36 km melalui 29 stesen, yang dinamakan sebagai Jajaran Sri Petaling secara rasmi bermula hari ini,” kata kenyataan berkenaan.

    Menurut Prasarana, dengan lengkapnya perpindahan sistem isyarat LRT pada laluan Sri Petaling-Ampang, Rapid Rail Sdn Bhd iaitu pengendali servis monorail dan LRT di Lembah Klang dan subsidiari Prasarana berkenaan boleh memulakan proses menukar 30 tren yang sudah pun digunakan sejak 1996 semasa ia beroperasi sebagai STAR LRT.

    Bombardier-Innovia-Metro-300

    35 dari sejumlah 50 tren enam koc yang dibeli dari CSR Zhuzhou Electric Locomotive Company telah digunakan sepenuhnya dalam operasi LRT Jajaran Sri Petaling ini.

    Menurut kenyataan berkenaan lagi, 15 set tren selebihnya kini telah diletakkan bersama di fasiliti tempatan milik mereka di Batu Gajah, Perak.

    Tren-tren tersebut akan dihantar ke Rapid Rail secara berperingkat dan kesemua tren untuk LRT laluan Sri-Petaling-Ampang dijangka akan digunakan sepenuhnya awal tahun hadapan.

    Sementara itu, Prasarana turut mengumumkan pembelian 14 set tren empat-koc Bombardier Innovia Metro 300 untuk meningkatkan keselesaan penumpang tren Rapid KL untuk Jajaran Kelana Jaya. Tren-tren berkenaan akan beroperasi secara berperingkat mulai Spetember, menurut kenyataan berkenaan lagi.

     
     
  • Perodua Bezza – 40% lebih cenderung pilih ciri VSC

    Perodua_Bezza_Slides-6-630x420

    Bagi model Perodua Bezza yang akan dilancarkan tak lama lagi, syarikat itu mensasarkan 85% pengguna akan lebih cenderung untuk memilih model dengan enjin 1.3 liter. Daripada jumlah itu, 40% dijangka akan memilih spesifikasi paling lengkap, 1.3 Advance, yang turut dilengkapi dengan sistem transmisi automatik empat-kelajuan.

    Bagaimanapun, tarikan utama bagi model dengan spesifikasi paling tinggi itu ialah ciri Vehicle Stability Control (VSC), kawalan cengkaman dan Hill Start Assist, yang menjadi pelengkap bagi ciri dua beg udara yang turut ditawarkan pada semua varian lain. Ia turut disertakan dengan sistem multimedia maju dengan navigasi, Smart Link dan kamera undur.

    Varian lain yang turut ditawarkan bagi enjin 1.3 liter ialah Premium X, varian pertengahan, yang turut boleh didapati dengan trasmisi manual lima-kelajuan atau automatik. Perodua juga menjangkakan 42 peratus pengguna akan memiliki versi automatik, manakala hanya 3% yang akan membeli versi manual.

    Perodua_Bezza_Slides-8-630x420

    Selebihnya, Perodua meramal hanya 15% pembeli Bezza akan memilih model dengan enjin 1.0 liter, di mana cuma satu varian ditawarkan iaitu Standard G. Bagi pilihan transmisi, 2% terdiri daripada mereka yang memilih manual, manakala 13% lagi kemungkinan besar akan memilih automatik.

    Di dalam sidang media hari ini, Pengarah Urusan Perodua Sales, Dr Zahari Husin berkata punca utama mengapa jangkaan rendah terhadap pembeli yang akan memilih model 1.0 liter ini adalah disebabkan pembeli peringkat kemasukan turut mempunyai model Axia sebagai pilihan mereka. Bagi yang inginkan sebuah sedan, mereka pasti mahukan pilihan enjin yang lebih besar.

    Secara keseluruhannya, Perodua hanya menjangkakan 5% daripada jumlah keseluruhan jualan Bezza nanti adalah daripada model dengan transmisi manual. Bagaimanapun, angka sebenar tertakluk kepada maklum balas pasaran selepas Perodua Bezza mula dijual kelak.

    Perkongsian pasaran Perodua setakat Jun 2016 juga sangat memberangsangkan.

     
     
  • Perodua Bezza – Perincian enjin 1.0L VVT-i, 1.3L Dual VVT-i, transmisi automatik 4-kelajuan dikemaskini

    Perodua Bezza engines 1

    Enjin 1KR-VE 1.0L VVT-i

    Seperti diketahui Perodua Bezza, sedan pertama dari Perodua hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0L dan 1.3L. Apa yang menarik ialah, kedua-dua enjin tersebut tidak sama dengan enjin 1.0L dan 1.3L pada model-model Perodua sedia ada.

    Untuk model 1.0L, Bezza dikuasakan dengan enjin 1KR-VE. Enjin ini pada asasnya sama dengan enjin 1KR-DE pada Axia 1.0L, tetapi menerima pelbagai teknologi dan ciri terbaharu serta dibuat di kilang Perodua sendiri di Rawang. Berbanding enjin lama, enjin baharu ini menerima teknologi pemasaan injap bervariasi-pintar VVT-i (sebelum ini Perodua menggelarnya sebagai DVVT), nisbah mampatan yang lebih tinggi serta daya geseran yang dikurangkan.

    Bermula dengan blok enjin. 1KR-VE menggunakan asas blok yang sama dengan 1KR-DE, tetapi sedikit perubahan dilakukan pada cagak manifold ekzos kerana 1KR-VE menggunakan manifold dengan rekaan yang dipertingkat. Ukuran gerek (bore) dan lejang pada silinder masih lagi sama iaitu 71×84 mm, tetapi rekaan pada omboh telah diubahsuai memandangkan omboh 1KR-VE bakal menanggung nisbah mampatan yang lebih tinggi.

    Bagi tujuan mengurangkan geseran pada bahagian ini, enjin 1KR-VE direka agar ia boleh dilincirkan dengan minyak enjin bergred 0-20W.


    Klik untuk besarkan

    Bahagian kepala silinder merupakan bahagian yang menerima perubahan paling ketara, dimana ia menggunakan unit baharu sepenuhnya. Liang kemasukan direka semula bagi mendapatkan aliran udara yang lebih cekap, manakala perubahan yang dilakukan pada kebuk pembakaran dibuat untuk mendapatkan nisbah mampatan yang lebih tinggi iaitu 11.5 (berbanding 11 pada Axia). Seperti yang disebut tadi, enjin ini turut menerima sistem VVT-i, meliputi perubahan pada komponen pulley aci sesendol dan aci sesondol. Untuk mengurangkan daya geseran pada bahagian ini, lengan jumpelang enjin 1.0L Bezza menerima galas pengguling (roller bearing) serta alas pada penggerak injap (valve lifter) yang menerima kemasan super.

    Sistem pancitan bahan api turut diperkemaskan. 1KR-VE dilengkapi dengan pemancit bahan api yang mempunyai badan lebih panjang, nozel lebih panjang, serta tip pada nozel baharu bagi mendapatkan semburan bahan api dalam kebuk pembakaran yang jauh lebih halus, seterusnya memberikan pembakaran yang lebih baik. Manifold kemasukan juga diubah dengan rekaan lebih panjang, memberikan aliran udara ke kebuk pembakaran yang lebih efisien.

    Berat keseluruhnan enjin ini juga agak ringan kerana keseluruhan binaan enjin ini hanya menggunakan bahan aluminium dan resin.

    Hasilnya enjin Bezza mampu menjana 67 hp pada 6,000 rpm/91 Nm pada 4,000 rpm berbanding Axia yang berkuasa 66 hp pada 6,000 rpm/90 Nm pada 3,600 rpm. Namun, setelah saya memandu uji sendiri Bezza ketika sesi pandu uji media hari ini, kuasa 1 hp dan tork 1 Nm lebih berbanding Axia tersebut tidak terlalu terasa. Tetapi pastinya, sistem berkenaan mampu memberikan penggunaan api yang lebih cekap.

    Perodua Bezza engines 10

    Enjin 1NR-VE 1.3L VVT-i

    Untuk enjin 1.3L pula, ia merupakan enjin baharu sepenuhnya yang digunakan oleh Perodua, menggantikan enjin 1.3L K3-VE yang telah digunakan sejak keluaran pertama Myvi 11 tahun lalu. Enjin baharu yang diberi kod 1NR-VE ini merupakan enjin yang sama boleh ditemui pada Toyota Avanza facelift dan diasaskan pembinaannya dari enjin K3-VE.

    Secara spesifiknya, menurut Perodua enjin pada Bezza ini adalah 70% sama dengan enjin pada Avanza, berbeza sedikit pada talaan (berikutan berat Avanza dan Bezza yang berbeza) serta pada bahagian cagak enjin (Avanza pacuan belakang, manakala Bezza pacuan hadapan). Kilang memproduksi kedua-dua enjin berkenaan juga berbeza, di mana enjin Bezza diproduksi di kilang enjin Perodua, Sendayan Negeri Sembilan, manakala untuk enjin Avanza ia diproduksi di kilang enjin Toyota Karawang Indonesia.

    Berbanding enjin K3-VE hanya mempunyai sistem VVT pada bahagian injap kemasukan sahaja, enjin 1NR-VE ini dilengkapi dengan sistem Dual VVT-i (untuk kedua-dua injap kemasukan dan ekzos) yang memberikan kecekapan pembakaran yang lebih bagus seterusnya menghasilkan kuasa yang lebih besar serta penjimatan bahan api yang lebih baik.

    Liang kemasukan dan kebuk pembakaran juga menerima perubahan untuk memberikan aliran campuran bahan api dan pembakaran yang lebih sempurna. Tambahan lagi, manifold kemasukan turut dipanjangkan bagi menambahkan kecekapannya.


    Klik untuk besarkan

    Dengan penambahbaikkan yang dibuat pada enjin 1.3 liter 1NR-VE ini, ia mampu menghasilkan kuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm. Berbanding K3-VE yang hanya berkuasa 90 hp dan tork maksima 117 Nm.

    Untuk varian 1.3L Advance, ia dilengkapi dengan sistem Henti Melahu (Eco Idle) yang akan mematikan enjin dan menghidupkannya kembali secara automatik ketika kereta berhenti seketika (contohnya ketika berhenti di lampu isyarat atau menunggu giliran keluar simpang) bagi memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien. Ia juga dilengkapi dengan sistem ‘regenerative brake‘ yang akan memberikan cas tambahan kepada bateri ketika nyah pecutan (sama seperti sistem cas semula pada kereta hibrid) untuk menampung kuasa yang diperlukan oleh bateri bagi operasi sistem Henti Melahu.

    Oleh itu, untuk varian 1.3L Advance ini, ia dilengkapi unit alternator dan motor penghidup yang lebih besar dan lasak, serta bateri yang berkapasiti jauh lebih besar dari varian lain.

    Perodua Bezza engines 13

    Sistem transmisi juga menerima talaan semula untuk memberikan kecekapan serta ‘feel‘ pemanduan yang lebih memuaskan. Peredam yang mempunyai jarak pergerakan yang lebih panjang dipadankan padu unit torque converter. Ini bertujuan untuk memanjangkan lagi tempoh ‘lock-up’ pada gear tiga dan empat, membolehkan pertukaran gear yang lebih stabil berikutan tempoh masa kedudukan yang lebih lama pada dua gear terakhir berkenaan. Tempoh masa potongan penghantaran bahan api ketika pedal pendikit dilepaskan (semasa nyah pecut) juga ditambah, bagi memberikan penjimatan bahan api yang lebih lagi.

    Hasil gabungan enjin-enjin baharu dan kotak gear yang dikemaskini ini, membolehkan Bezza mencapai penggunaan bahan api yang lebih baik. Menurut Perodua, model 1.3L automatik mampu mencatatkan penggunaan bahan api 21 km untuk setiap liter, dan model 1.0 liter manual pula mencatatkan 22.8 km untuk setiap liter. Model 1.0 liter varian automatik pula mampu mencatatkan penggunaan bahan api 21.3 km setiap liter dipandu dengan mod ECE, berbanding Axia yang hanya mencatatkan 20.1 km untuk setiap liter petrol.

    Kami telah pun menguji secara ringkas Perodua Bezza ini di litar ujian Perodua di Rawang dan anda boleh membaca ulasannya pada pautan ini. Fakta perincian awalan untuk model ini juga boleh anda baca di SINI.

    GALERI: Enjin 1.0L 1KR-VE

    GALERI: Enjin 1.3L 1NR-VE

     
     
  • Perodua Bezza – senarai elemen varian demi varian

    Perodua Bezza, sedan pertama dari Perodua, telah pun dibuka tempahan mulai hari ini, dan harganya juga telah diumumkan. Ia ditawarkan dengan tiga varian iaitu 1.0L Standard G, 1.3L Premium X dan 1.3L Advance, ia dijual pada harga yang begitu kompetitif.

    Malah ia turut ditawarkan dengan waranti lima tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Bagi yang inginkan gaya lebih menarik dan mungkin nampak sporty, Perodua turut menawarkan pakej aksesori GearUp yang ditawarkan pada harga antara RM900 hingga RM2,600.

    Bezza ditawarkan dengan enam pilihan warna termasuk dua warna baharu hanya untuk varian 1.3L iaitu Ocean Blue, Sugar Brown, dan kesemua varian turut mendapat pilihan empat warna sedia ada iaitu Lava Red, Black Ebony, Glittering Silver dan Ivory White.

    Bagi menambahkan keterujaan anda terhadap model ‘kejutan’ dari Perodua ini, kami ingin memberikan gambaran yang lebih tepat untuk setiap variannya.

    Bezza 1.0 Standard G (kiri) & Bezza 1.3 Advance (kanan)

    Perodua Bezza Standard G

    Model asas Standard G ini didatangkan dengan enjin 1.0 liter 1KR-VE VVT-i (67 hp/91 Nm), dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Kedua-dua automatik dan manual ini turut menerima elemen yang sama.

    Elemen

    • Rim aloi 14-inci
    • Tempat duduk balutan fabrik
    • Roda stereng Polyurethane
    • Sistem audio dengan USB
    • Slot bagi telefon bimbit (di konsol belakang)
    • Perehat kepala tidak boleh dilaras pada tempat duduk belakang
    • Tempat duduk belakang boleh dibaringkan 60:40
    • Bukaan but jarak jauh
    • Cermin sisi manual
    • Indikator isyarat yang dipasang pada badan kenderaan
    • Pengesan undur
    • Cermin tingkap berkuasa
    • Dua beg udara (pemandu dan penumpang hadapan)
    • ABS dengan EBD

    Harga

    • 1.0 G Manual – RM37,300
    • 1.0 G Automatik – RM39,300

    Perodua Bezza Premium X

    Varian pertengahan pula ialah Premium X, yang didatangkan dengan enjin 1.3 liter 1NR-VE Dual VVT-i (94 hp/121 Nm). Seperti varian Standard G, ia juga didatangkan dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Bagi Premium X, ia dilengkapi dengan elemen seperti berikut:

    Elemen

    • Sistem audio dengan USB dan Bluetooth
    • Slot telefon bimbit dengan port pengecasan 5V/2A USB charging port (pada konsol belakang)
    • Perehat kepala boleh laras untuk tempat duduk belakang
    • Kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin
    • Butang pembuka but pada bahagian but
    • Pemegang pintu krom
    • Indikator pada cermin sisi
    • Lampu kabus belakang
    • Pengesan parkir hadapan
    • Pelindung tingkap kuasa dari tersekat bagi bahagian pemandu
    • Kekemasan trim premium (hitam berkilat, kekemasan perak, fabrik pada bahagian panel pintu dalam)
    • Rantai kunci

    Harga

    • 1.3 X Manual – RM42,800
    • 1.3 X Automatik – RM44,800

    Perodua Bezza Advance

    Akhir sekali, bagi varian spesifikasi tertinggi Advance turut berkongsi penjana kuasa yang sama seperti Premium X, tetapi hanya dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan. Malah Advance juga dilengkapi dengan lebih banyak elemen yang lebih terkini, termasuk:

    Elemen

    • Rekaan berbeza bagi roda 14-inci
    • Tempat duduk balutan kulit
    • Roda stereng balutan kulit dengan kawalan sistem multimedia
    • Sistem Henti Melahu (Eco Idle)
    • Skirting sisi
    • Cermin sisi boleh laras secara berkuasa
    • Pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan
    • Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC)
    • Kawalan Cengkaman
    • Bantuan mula mendaki
    • Sistem Multimedia system dengan navigasi, Smart Link dan kamera undur
    • Kekemasan trim yang lebih terperinci

    Harga

    • 1.3 Advance Automatik – RM50,800

    GALERI: Perodua Bezza 1.3 Advance

    GALERI: Perodua Bezza 1.3 Premium X

    GALERI: Perodua Bezza 1.0 Standard G

     
     
  • Perodua catat perkongsian pasaran pada kadar 35.5% setakat Jun 2016, 97,730 unit kenderaan sudah terjual

    Perodua_Bezza_Slides-2

    Setakat Jun 2016, Perodua sudah menjual sejumlah 97,730 unit kenderaan daripada jumlah keseluruhan yang dijual dalam pasaran iaitu 274,293 unit. Angka berkenaan memberikan Perodua perkongsian pasaran sebanyak 35.5%.

    Dalam tempoh sama juga, perkongsian pasaran pengeluar kenderaan nasional mencatatkan 48%, manakala kenderaan bukan nasional pada kadar 52%. Pada tahun ini, Perodua mensasarkan jualan sejumlah 216,000 unit kenderaan.

    Dengan jangkaan jumlah unit yang didaftarkan sekitar 3,000 unit Perodua Bezza pada bulan Julai, syarikat itu mensasarkan 10,000 unit Bezza akan didaftarkan bagi tiga bulan pertama selepas pelancarannya. Angka itu dijangka mencapai 7,700 bagi bulan-bulan selepas itu. 7,700 juga adalah jumlah pengeluaran bulanan Perodua Bezza.

    Perodua juga mensasarkan akan menerima 15,000 tempahan secara purata bagi tiga bulan pertama selepas perasmiannya nanti.

     
     
  • Perodua Bezza – sedia masuk pasaran eksport

    Perodua_Bezza_GearUp-32

    Perodua Bezza dibangunkan dengan memenuhi standard global dan sudah siap sedia untuk memasuki pasaran eksport. Bermula dari spesifikasi yang ditawarkan, sehinggalah kepada penarafan lima bintang bagi ujian ASEAN NCAP, semuanya mencerminkan kesungguhan itu.

    “Selepas pelancarannya pada 21 Julai nanti, Perodua akan menumpukan sepenuh perhatiannya untuk memenuhi permintaan dalam pasaran domestik terlebuh dahulu. Walaupun begitu, sebagai sebuah produk, ia bersedia untuk memasuki pasaran eksport, terutama pasaran luar di mana Perodua sudah bertapak,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh kepada paultan.org pada pertemuan media pagi ini.

    Untuk rekod, Perodua kini sudah memasuki enam pasaran eksport di seluruh dunia, dengan pasaran terbesarnya adalah di Sri Lanka. Ini diikuti Mauritius dan kemudiannya Indonesia (model Perodua Myvi yang dilabel semula sebagai Daihatsu Sirion).

    Bagi pasaran tempatan, sebelum pelancarannya minggu depan, Perodua sudah mempunyai sejumlah 7,000 unit model Bezza yang sedia diserahkan kepada pelanggan, dengan kira-kira 500 unit dijangka akan didaftarkan pada 22 Julai nanti, sehari selepas pelancarannya.

    “Untuk itu, kami akan memenuhi keperluan dan permintaan pasaran tempatan terlebih dahulu. Bagi pasaran eksport, masih belum diputuskan bila kami akan menghantar model terbaru ini. Yang pasti, bukan dalam tahun ini kerana kita ingin beri tumpuan kepada pasaran domestik terlebih dahulu. Apa pun, Perodua Bezza memang sudah siap sedia untuk dieksport,” jelas Pengarah Urusan Perodua, Dr. Zahari Husin pula.

     
     
  • Perodua Bezza – bodykit dan aksesori GearUp

    Perodua_Bezza_GearUp-2

    Turut ditawarkan sebagai pilihan bagi Perodua Bezza ialah aksesori GearUp, yang terdiri daripada empat penawaran pakej yang berbeza.

    Pertama ialah pakej Dynamic Body Kit. Terdiri daripada empat elemen tambahan; kit bampar depan, kit bampar belakang, kit sisi badan dan spoiler belakang. Ia ditawarkan pada harga RM2,000 bagi Semenanjung Malaysia manakala di Sabah & Sarawak ialah RM2,045.

    Kedua, Dynamic Seat Covers & Door Trim. Merangkumi dua elemen utama iaitu pelapik tempat duduk eksklusif dan trim pada bahagian pintu eksklusif. Pakej ini ditawarkan pada harga RM900 bagi Semenanjung manakala RM920 bagi Sabah & Sarawak.

    Perodua Bezza GearUp price list1

    Pilihan ketiga, Dynamic Package. Ia melibatkan penggunaan kit badan dinamik serta pelapik tepat duduk serta trim bahagian pintu dinamik. Harga bagi pakej ini ialah RM2,600 di Semenanjung dan RM2,655 di Malaysia Timur.

    Pilihan yang keempat dan terakhir, Stylish Package. Ia terdiri daripada kit badan dinamik, pelindung sisi pintu dan visor pintu.

    Jika anda membeli Perodua Bezza, semua kos tambahan bagi pakej aksesori berkenaan akan termasuk di dalam pinjaman pembelian kenderaan yang dimohon, tanpa anda perlu mengeluarkan kos berasingan. Semua pakej GearUp ini turut diberikan jaminan enam bulan. Harga yang dinyatakan adalah termasuk GST dan kos buruh.

     
     
  • Perodua Bezza – MIROS umum varian Advance menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang

    Perodua-Bezza-ASEAN-NCAP-1_BM

    MIROS hari ini mengumumkan hasil ujian Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) untuk suku ketiga 2016 melibatkan Perodua Bezza – sedan pertama keluaran syarikat pengeluar automotif kedua negara berkenaan.

    Keputusan yang diumumkan semasa sesi pandu uji media model berkenaan di Ibu Pejabat Perodua, Rawang menunjuk Bezza varian Advance yang dilengkapi dengan dua Amaran Pemakaian Tali Pinggang (SBR) hadapan dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) berjaya memperoleh 15.38 markah dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), membolehkan ia diiktiraf dengan penarafan ASEAN NCAP lima-bintang. Walau bagaimanapun untuk varian lain yang lebih rendah dan tidak lengkapi dengan dua ciri tadi hanya menerima penarafan empat-bintang

    Dengan dilengkapi cagak ISOFIX tempat duduk kanak-kanak pada bahagian belakang secara standard pada untuk semua varian juga membolehkan Bezza menerima markah yang baik dalam kategori Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (AOP) – memenuhi 85% sekaligus menerima penarafan empat-bintang untuk kategori berkenaan.

    Perodua-Bezza-ASEAN-NCAP-2_BM

    “Perodua telah mencapai kejayaan yang besar menerusi produksi sedan terbaharu mereka. Ia merupakan sedan pertama keluaran Perodua dan ia juga merupakan model pertama Perodua yang dilengkapi dengan ESC. Tambahan pula, ia juga turut mendapat pengiktirafan Kereta Cekap Tenaga (EEV), selari dengan Dasar Automotif Negara. Dengan semua ciri terbaik dan memperolehi penarafan ASEAN NCAP lima-bintang untuk model yang dilengkapi ESC, Perodua Bezza semestinya mempunyai nilai yang kompetitif berbanding model sekelasnya,” kata Pengerusi ASEAN NCAP Prof. Dr. Wong Shaw Voon.

    “ASEAN NCAP telah mengeluarkan konsep ‘Keselamatan Mampu Milik’ pada 2014 lalu. Secara prinsipal, konsep berkenaan akan memastikan walaupun ia sebuah kereta yang paling murah, ia masih boleh mencapai keperluan asas dalam ASEAN NCAP. Axia merupakan salah satu kereta yang menerima penarafan empat-bintang yang menepati konsep berkenaan. Saya percaya Bezza telah lebih kehadapan berbanding keperluan asas dengan dilengkapi VSC dan dua amaran pemakaian tali pinggang hadapan pada varian tertinggi, tetapi masih menawarkan harga mampu milik kepada pengguna,” tambah Ketua Setiausaha ASEAN NCAP Khairil Anwar Abu Kassim.

     
     
  • Perodua Bezza ditawarkan dengan harga cukup kompetitif – bermula RM37k hingga RM51k

    Perodua Bezza price list official

    Apabila Perodua secara diam-diam hadir dengan kejutan ‘melahirkan’ sedan pertama mereka yang diberi nama Bezza, ia menerima pelbagai respons dari rakyat Malaysia. Rata-ratanya berpendapat Perodua Bezza bakal memberikan persaingan yang sengit terhadap Proton Saga baharu yang bakal diperkenalkan oleh Proton tidak lama lagi.

    Namun Perodua yang memang sentiasa optimis dengan percaturannya dalam industri automotif tempatan kini mula mengembangkan sayapnya menelusuri kategori sedan pula. Menurut Perodua, sedan di bawah segmen-A ini merupakan kemuncak kerjasama teknologi dan peralihan teknologi selama sedekad dengan rakan kami Daihatsu Motor Co. Ltd.

    Perodua Bezza diproduksi di kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd yang diikitiraf sebagai kilang EEV, yang dilengkapi dengan fasiliti termoden yang menggunakan kadar automasi melebihi 75%.

    Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, nama sedan ini diinspirasikan dari perkataan Bahasa Malaysia iaitu ‘Beza’. Dan ini “merupakan apa sebenarnya sedan EEV pertama Perodua – yang jelas berbeza.” Huruf ‘Z’ berkembar dalam nama Bezza ini juga melambangkan angka 22 – Perodua telah pun berada dalam pasaran selama 22 tahun pada tahun ini.

    Perodua direncanakan bakal melancarkan Bezza pada 21 Julai ini. Ditawarkan dengan tiga model iaitu 1.0L Standard G, 1.3L Premium X dan 1.3L Advance. Berbaki kurang seminggu dari majlis pelancarannya, harga bagi barisan Bezza telah diumumkan.

    Bezza ditawarkan dengan lima varian dan harga atas jalan (berserta insurans) adalah seperti berikut:

    • Standard G (1.0 G manual) – RM37,300
    • Standard G (1.0 G automatik) – RM39,300
    • Premium X (1.3 X manual) – RM42,800
    • Premium X (1.3 X automatik) – RM44,800
    • Advance (1.3 AV automatik) – RM50,800

    Ia turut hadir dengan waranti lima tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Bezza ditawarkan dengan enam pilihan warna termasuk dua warna baharu hanya hanya untuk varian 1.3L iaitu Ocean Blue, Sugar Brown, dan kesemua varian turut mendapat pilihan empat warna sedia ada iaitu Lava Red, Black Ebony, Glittering Silver dan Ivory White.

    Bagi yang inginkan gaya lebih menarik dan mungkin nampak sporty, Perodua turut menawarkan pakej aksesori GearUp yang ditawarkan pada harga antara RM900 hingga RM2,600.

    Bezza hadir dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0 liter tiga-silinder dan 1.3 liter empat-silinder. Kedua-duanya adalah unit enjin baharu bagi Perodua, termasuk 1KR-VE 1.0L yang tidak sama pada Axia iaitu 1KR-DE2.

    Perodua Bezza leaflet

    Klik untuk besarkan imej

    Enjin KR turut menerima pemasaan injap bervariasi VVT-i (sebelum ini dikenali sebagai DVVT), dengan nisbah mampatan yang lebih tinggi, geseran yang berkurangan dan pembakaran yang lebih baik – bagi memberikan penjimatan lebih efisien untuk penggunaan bahan api, lebih baik dari Axia. Enjin ini mampu memberikan kuasa sehingga 67 hp pada 6,000 rpm dan tork 91 Nm pada 4,400 rpm berbanding Axia hanya 66 hp pada 6,000 rpm dan tork 90 Nm pada 3,600 rpm.

    Perodua mendakwa penggunaan bahan apinya sekitar 21.3 km/l bagi sedan 1.0L, berbanding 20.1 km/l bagi Axia, kedua-duanya dengan automatik empat-kelajuan dan memiliki mod ECE. Bagi varian manual lima-kelajuan pula dengan 22.8 km/l.

    Manakala enjin 1.3 liter baharu pula bukan yang sama seperti Myvi (K3-VE, 90 hp, 117 Nm). Unit 1NR-VE ini mampu memberikan kuasa sehingga 94 hp pada 6,000 rpm dan tork 121 Nm pada 4,000 rpm.

    Penggunaan bahan api sedan 1.3L ini adalah sekitar 21.7 km/l bagi MT dan 22.0 km/l untuk AT empat-kelajuan. Varian AT lebih jimat kerana ia turut didatangkan dengan Eco Idle (sistem henti melahu), kereta pertama keluaran Malaysia yang menampilkan auto start-stop. Dengan adanya ciri ini juga, Perodua mendakwa ia akan memberikan lebih kilometer dari setiap liter petrol.

    Tambahan bagi Eco Idle pada 1.3 Advance, janaan semula pembrekan adalah standard. Semasa kereta dipacu dan dibrek, kuasa tenaga akan digunakan untuk mengecas bateri kereta, bermakna semasa kereta bergerak, bebanan pada alternator dan enjin dapat dikurangkan.

    Bezza 1.0L Standard G dan 1.3L Premium X, setiap satunya didatangkan dengan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan dan manual lima-kelajuan. Manakala 1.3L Advance hanya transmisi automatik lima-kelajuan.

    Malah Perodua turut mengumumkan tempahan bagi Bezza mula dibuka mulai hari ini iaitu 16 Julai 2016. Pelanggan yang berminat untuk menempah model berkenaan bolehlah mengunjungi mana-mana 181 bilik pameran Perodua seluruh negara.

    Kami telah pun menguji secara ringkas Perodua Bezza ini di litar ujian Perodua di Rawang dan anda boleh membaca ulasannya pada pautan ini. Fakta perincian awalan untuk model ini juga boleh anda baca di SINI.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Camry generasi baharu mula diuji

    CP4I3492-e1467811700475_BM

    Toyota telah mula melakukan ujian jalan raya untuk Toyota Camry generasi berikutnya, yang dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Dengan penggunaan platform berkenaan, Camry baharu ini dijangka bakal mengekalkan dimensi seperti model sedia ada tetapi mendapat peningkatan dari segi berat keseluruhan yang lebih ringan serta ketegaran badan yang lebih kukuh.

    Gambar versi prototaip yang sedang diuji ini diambil oleh jurugambar risikan bebas kami di Ann Arbor, Michigan, dan berkemungkinan merupakan Camry versi pasaran Amerika Syarikat. Rupa model berkenaan sama sekali berbeza dengan versi untuk pasaran rantau Asia Tenggara (walaupun pasaran Thailand menerima Camry versi ESport).

    CP4I3534-e1467811306542_BM

    Rekaan pada lampu belakang juga kelihatan berbeza, tetapi seperti yang dinyatakan tadi, ini merupakan model pasaran Amerika Syarikat dan mungkin tidak relevan dengan apa yang bakal diterima untuk pasaran Malaysia.

    Khabar angin juga mengatakan varian yang menggunakan enjin 3.5 liter V6 mungkin akan digantikan dengan enjin 2.0 liter turbo dari Lexus NX. Varian 2.0 liter dan 2.5 liter dijangka masih dikekal, begitu juga dengan varian hibrid 2.5 liter.

     
     
  • JPJ keluarkan 965 saman dalam Op Khas Motosikal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi

    JPJ_roadblock_Motor

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengadakan Op Khas Motosikal di sekitar ibu negara dan Selangor malam tadi. Daripada 1,136 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 965 daripadanya dikenakan saman pelbagai kesalahan, laporan laporan, Utusan Malaysia

    Menurut Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Datuk Md. Ziki A. Rahman, 20 kenderaan telah di­sita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala 593 kes melibatkan kesalahan di bawah Peraturan 22 akta yang sama.

    “Empat kenderaan dikenakan perintah di bawah Seksyen 61(1) iaitu notis arah periksa kenderaan selain dua kes di bawah peruntukan Seksyen 63(1) yang menyebabkan lesen memandu ditahan kerana masalah berkaitan teknikal kenderaan,” ujarnya.

    Operasi yang bermula pukul 8 malam itu juga turut menahan lapan individu yang didapati positif dadah dan 40 kes di bawah Puspakom kerana kenderaan tidak diselenggara

    “Kesalahan paling banyak dilakukan adalah lesen memandu kompeten (CDL) tamat tempoh dengan 183 kes direkodkan, diikuti 178 kes tamat tempoh lesen kenderaan motor (LKM) dan tiada insurans manakala 63 kes membabitkan pemandu tanpa lesen CDL,” katanya.

    Menurut Md. Ziki, lain-lain kesalahan adalah 27 kes seperti tidak pamer ‘P’, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan kesalahan teknikal.

    Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md. Taib memberi­tahu, pihaknya merekodkan 130 kes pemandu tiada lesen CDL diikuti 75 kes tamat tempoh lesen kenderaan motor (LKM) dan tiada insurans. Katanya, “Kita juga mengesan 59 kes lesen CDL tamat tempoh dan 28 kes kesalahan berkaitan nombor pendaftaran.”

     
     
  • Dilema seorang penunggang motosikal – Tentang keselamatan dan sikap pengguna jalan raya

    Kurang lebih sejak lima tahun lalu, saya jarang-jarang lagi menunggang motosikal. Tetapi, sebelum tempoh itu, motosikal menjadi sebahagian daripada denyut nadi dalam urusan harian; satu-satunya mod pengangkutan yang jimat dan pantas, terutama kalau ingin meredah di tengah-tengah Kuala Lumpur.

    Saya menunggang motosikal sebagai cara paling mudah untuk bergerak, sebagai pengguna biasa dan tidak lebih daripada itu. Hidupkan enjin, dan jalan. Oh, brek kena ‘makan’ juga, kalau tidak, parah.

    Lama dulu, motosikal Honda EX-5 saya hilang, dalam kawasan pagar rumah! Inilah antara masalah bila ada motosikal yang tahan lasak; orang suka curi. Motosikal gantian selepas mendapat pampasan insurans selepas itu ialah sebuah Modenas Kriss 110 terpakai. Lama juga menggunakannya. Tetapi, entah apa silapnya, Modenas Kriss berkenaan selalu ditimpa masalah.

    Macam-macam masalah mekanikal yang akhirnya menyaksikan ia hanya tersadai dan berhabuk di parkir bawah rumah pangsa tempat saya tinggal. Sudahnya, dalam keadaan rosak itu, saya jual kepada seorang yang tidak dikenali; cuma RM800 dan dia tersenyum puas. Sejak itu, saya tidak memiliki motosikal sendiri lagi.

    Pengalaman berada di atas jalan raya sebagai seorang penunggang motosikal pula ada waktunya sangat meresahkan. Saya pernah saksikan sendiri seorang penunggang wanita hampir dilanggar, hanya dipisahkan oleh jarak yang sangat-sangat tipis, oleh sebuah Proton Wira yang sengaja ingin melanggar lampu merah di persimpangan besar Kerinchi (berdekatan pintu masuk Universiti Malaya).

    Di dalam satu kejadian lain, saya juga pernah melihat bagaimana seorang penunggang skuter tersembam kerana motosikalnya melanggar air bertakung akibat banjir yang agak dalam, sementara motosikalnya pula separa ditenggelami air. Ini berlaku di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur, betul-betul di persimpangan Jalan Templer.

    Federal-Highway-motorcycle-lane-107-850x531

    Saya sangat yakin penunggang-penunggang lain pasti pernah menyaksikan atau terlibat sendiri di dalam kejadian-kejadian yang lebih teruk daripada ini. Saya kembali memikirkan hal-hal ini sejak tergerak hati untuk memiliki semula sebuah motosikal. Kebetulan pula, minggu ini saya menerima beberapa buah motosikal bagi tujuan ulasan tunggang uji.

    Beberapa perkara yang saya sedari semula; untuk seorang penunggang biasa dan kurang pengalaman seperti saya berada di atas jalan raya, tak boleh teragak-agak atau takut-takut menunggang. Perlu yakin, tetapi jangan terlebih yakin. Kena peka selalu.

    Di dalam beberapa kesempatan juga, saya kembali menggunakan laluan motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan; sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya dan Kuala Lumpur sendiri. Walaupun tidak dinafikan ia sangat berguna untuk mengasingkan pengguna motosikal daripada kenderaan lain, namun ada banyak perkara yang tidak menyenangkan tentang laluan ini. Saya tak yakin keadaannya kini lebih baik berbanding ketika saya kerap melaluinya sebelum ini.

    Federal-Highway-motorcycle-lane-106-630x394

    Permukaan jalan tidak sekata dan berlubang dan air bertakung masih ada di mana-mana. Tiang lampu yang sepatutnya memberi amaran untuk penunggang memerlahankan motosikal kerana ada selekoh atau terowong di depan, seperti yang terdapat berdekatan perismpangan Hotel Hilton Petaling Jaya juga tidak berfungsi.

    Laluan yang agak sempit (bayangkan jika anda menunggang motosikal yang saiz dan kapasiti enjinnya besar) juga mungkin menjadi sebab mengapa segelintir penunggang tidak mahu menggunakan laluan berkenaan dan masuk ke laluan utama lebuhraya itu. Ini belum lencongan yang asal boleh dan merbahaya pada sesetengah tempat.

    Jika beralih kepada laluan utama pula, ia mengundang bahaya yang lain pula. Saya menunggang motosikal, dan saya juga memandu kereta. Mungkin hal ini memberi sudut pandang yang agak berbeza ketika di atas jalan, harapnya menjadi satu kelebihan.

    Di laluan utama misalnya, seperti di Lebuhraya Persekutuan (penunggang motosikal tidak seharusnya berada dilaluan itu), saya selalu perhatikan pertimbangan penunggang motosikal adakalanya silap. Kita menganggap pemandu kereta dapat melihat kita selalu, tetapi itu sebenarnya silap. Dalam situasi biasa, seorang pemandu hanya akan mampu memberi reaksi yang wajar bila dia dapat melihat dan sedar kedudukan seorang penunggang. Jika anda mencelah dengan gopoh, berada di titik buta dan sebagainya, inilah antara hal yang akan mendatangkan masalah.

    Pucuk pangkal semua permasalahan ini sebenarnya sudah diketahui umum, iaitu sikap masing-masing dalam kalangan pengguna jalan raya. Saya akan mulakan dengan diri saya sendiri terlebih dahulu, baik sebagai penunggang motosikal mahupun ketika memandu kereta untuk selalu lebih mengutamakan keselamatan sendiri dan juga orang lain di sekeliling. Ketika berada di atas jalan raya, jangan kalut! Rileks-rileks sudah.

    Tonton juga video tunggangan kami di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, dan lihat sendiri sama ada ia benar-benar selamat atau sebaliknya. Dan, jangan lupa kongsikan juga pandangan atau pengalaman anda berkenaan perkara ini. Kami sangat mengalu-alukan maklum balas anda.

     
     
  • Pahang tunggu JPJ warta siri nombor pendaftaran VIP

    rr-vip-plate

    Kerajaan negeri Pahang kini sedang menunggu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewartakan penggunaan siri nombor pendaftaran kenderaan khas VIP sebelum mereka membuat permohonan rasmi kepada agensi berkenaan.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan menguatkuasakan pemberian nombor itu selepas pewartaan dibuat oleh JPJ dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan, seperti yang dilaporkan Bernama.

    “Kami belum buat secara rasmi. Kami difahamkan apabila diluluskan nanti, ia tidak hanya tertakluk kepada kelulusan sahaja, tetapi nombor pendaftaran berkenaan perlu diwartakan terlebih dahulu,” jelas beliau.

    Safian turut menambah, kerajaan negeri berharap segala urusan berkaitan nombor pendaftaran kenderaan khas VIP itu akan dapat diselesaikan sebelum Oktober tahun ini.

    Terdahulu, kerajaan negeri Pahang akan memperkenalkan penggunaan siri nombor pendaftaran kenderaan khas VIP 1 hingga VIP 9999 untuk mengumpul dana bagi tujuan promosi dan penganjuran Tahun Melawat Pahang 2017.

     
     
  • JPJ, PDRM dan SPAD akan bincang penyelarasan sistem saman selewat-lewatnya Jumaat depan

    AppleMark

    AppleMark

    Berikutan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertemu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi membincangkan mengenai penyelarasan sistem saman untuk ketiga-tiga agensi itu, selewat-lewatnya pada Jumaat depan, menurut laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron, langkah penyelarasan sistem saman berkenaan akan membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil secara bersepadu, terancang dan berkesan oleh JPJ, SPAD dan PDRM bagi mengelakkan pesalah jalan raya yang terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang.

    “Ketika ini JPJ, SPAD dan PDRM mempunyai sistem berasingan dalam menjalankan operasi penguatkuasaan jalan dan ketiga-tiga agensi ini tidak mempunyai jalinan yang membolehkan untuk akses sistem saman antara satu sama lain dan perkara ini menimbulkan masalah untuk bertindak,” katanya.

    Beliau menjelaskan perkara berkenaan ketika ditanya mengapa tiada tindakan dari JPJ ke atas pemandu dan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di KM265.8 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora dekat Ipoh baru-baru ini, berikutan pemandu dan bas berkenaan mempunyai saman tertunggak pelbagai kesalahan sejak 2011 lagi.

    Menurut Nadzri lagi, kesemua saman terhadap pemandu dan bas ekspres itu bukan daripada JPJ tetapi dikeluarkan oleh pihak polis.

    “Kesemua pemandu dan bas ekspres yang beroperasi di seluruh negara ketika ini bebas daripada senarai hitam jabatan itu,” kata Nadzri lagi.

    Setakat ini, saman yang dikeluarkan oleh JPJ terhadap bas ekspres berkenan, cuma atas kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), jelas Nadzri.

    Seperti yang diketahui, terdapat kekangan bagi JPJ mengambil tindakan terhadap pesalah AES kerana sistem itu masih dalam proses pindaan untuk digabungkan dengan sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

    Bus-10-Cars-NSE

    Dalam perkembangan lain, pihak SPAD turut menyambut baik cadangan mengenai penyelarasan sistem saman yang membabitkan agensinya bersama JPJ dan polis itu.

    “Usaha bersepadu ini sangat baik dan sudah tentu kami menyokong, dan kami juga sebenarnya juga merangka penyelesaian seperti sistem bersepadu yang membabitkan tiga agensi penguat kuasa ini bagi mengelakkan pertindihan penguatkuasaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

    Buat masa ini SPAD sukar mengambil tindakan terhadap pemandu dan pengendali bas ekspres yang melakukan kesalahan trafik berikutan tidak mempunyai maklumat mengenai saman yang dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa lain kerana ketiadaan sistem bersepadu

    “Justeru, SPAD akan mengeluarkan lesen kepada pengusaha bas ekspres berdasarkan rekod dan pemeriksaan kami sendiri yang didapati pemandu dan kenderaan itu tidak memiliki kesalahan jalan raya,” kata Azharudddin lagi.

    Pihak Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pula berpendapat kemalangan yang kerap berlaku boleh mengikis keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan bas sebagai pengangkutan utama mereka.

    Presiden FOMCA Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata kekerapan berlakunya kemalangan membabitkan bas, dikhuatiri menjejaskan usaha kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam terutamanya bagi perjalanan yang jauh dan ketika musim perayaan.

    bus crash bernama

    Menurut beliau lagi kerajaan serta agensi penguat kuasa perlu lebih tegas dalam melaksanakan tugas mereka kerana ia melibatkan keselamatan nyawa ramai penumpang dan pengguna memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam yang diyakini selamat

    FOMCA juga berharap standard UNECE (Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Eropah) untuk perkhidmatan bas di Malaysia akan dikuatkuasakan secara meluas terutamanya tempat berlabuh, superstruktur dan tali pinggang keledar untuk penumpang.

    “Kemalangan bas ekspres akibat kecuaian dan tahap keselamatan yang rendah seperti masalah teknikal bas juga perlu disifarkan,” katanya lagi.

    Dalam pada masa yang sama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) telah pun menghantar sepasukan penganalisa kemalangan ke lokasi kejadian berhampiran Terowong Menora selain memeriksa bas yang terlibat dalam kemalangan itu.

    Ketua Pengarah Miros Prof Dr Wong Shaw Voon berkata pihaknya masih lagi menganalisis kemalangan itu, laporan lengkap akan diserahkan kepada Menteri Pengangkutan dalam masa terdekat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025