Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) supaya mempertimbangkan penyediaan kawasan khas di laluan Terowong Menora bagi kenderaan yang menghadapi masalah untuk berhenti.
Ia dilihat sebagai satu keperluan dan usaha untuk mengurangkan risiko kemalangan terutama membabitkan kenderaan berat seperi bas dan lori, laporan Bernama.
“Bahagian tepi kawasan berkenaan perlu diwujudkan supaya ada tempat untuk kenderaan berhenti sekiranya berlaku kecemasan,” katanya kepada pihak media bagi mengulas kemalangan bas persiaran yang berlaku Ahad lalu.
Walau bagaimana pun, Zambry memuji usaha LLM dan PLUS yang telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan kawasan berisiko itu selamat termasuk memasang lampu LED selain ‘speed breaker’ bagi mengurangkan had laju.
Autodesk VRED Server Node 2016 SR1-SP4 Date: 2016/04/12 16:01:18 Simulation time: 9.755 System time: 3.55258e+06 Frame: 0
Selepas beberapa ketika menjadi bahan spekulasi terutama di Jepun, Mazda 3 wajah baharu akhirnya diperkenalkan secara rasmi oleh pengeluarnya. Menampilkan kemaskini tidak hanya rupa luaran, ia turut melibatkan peningkatan dari aspek teknologi dan kelengkapan lainnya, model dari segmen C berkenaan mula dijual di Jepun bermula hari ini, dikenali dengan nama Axela. Ia ditawarkan dalam dua rekabentuk badan, sedan dan hatchback.
Sekilas pandang, perubahan reka bentuk luaran adalah sangat minimum. Antara yang diberi sentuhan baharu adalah gril depan yang direka semula agar lebih tebal dengan bahagian krom yang menonjol serta logo Mazda pada kedudukan baharu. Juga bahagian liang kemasukan bawah gril bampar yang lebih besar serta lampu kabus rekaan baharu.
Pada bahagian belakang pula, penampilannya hampir tiada perbezaan berbanding versi sebelumnya. Hanya bahagian bibir spoiler kecil butnya yang ditambah. Bagi model hatchback, bahagian lampu pemantul dan lampu kabus menerima rekaan baharu. Selebihnya, Mazda 3 mengekalkan bentuk profil tepi yang sama, dengan cermin sisi yang kini turut disekalikan dengan lampu isyarat LED, menggantikan lampu pada hujung cermin bagi model sebelumnya.
Di bahagian dalam, juga tidak banyak perubahan zahir yang dapat dilihat. Perkara baharu yang diperkenalkan ialah stereng rekaan baharu dan suis brek parkir elektronik seperti yang terdapat pada model CX-5 dan Mazda 6 versi terkini. Ia turut melibatkan sentuhan rekaan baharu pada bahagian konsol tengah, kini dengan penutup gelongsor bahagian pemegang cawan, serta perehat lengan. Bagi yang inginkan penggunaan brek tangan, varian yang lebih rendahnya tetap menawarkan ciri berkenaan.
Menurut Mazda, ciri Active Driving Display turut dipertingkat dengan paparan warna penuh yang lebih cerah untuk lebih mudah dibaca. Ia turut membolehkan sudut paparan, kecerahan dan kandungan paparan juga boleh disimpan dalam memori, sama dengan memori posisi tempat duduk yang tersedia.
Mazda 3 spesifikasi Jepun ini ditawarkan dengan dua varian enjin SkyActiv-D diesel berkapasiti 1.5 liter (tambahan terbaharu bagi model ini) dan 2.2 liter. Antara peningkatan pada enjin diesel berkenaan adalah boost control yang lebih optimum, serta penggunaan penyerap pada pin piston untuk mengurangkan apa yang dikenali sebagai diesel knock.
Selain itu, enjin petrol SkyActive-G 1.5 liter turut ditawarkan sebagai pilihan dan sistem janaan kuasa SkyActiv-Hybrid yang menggunakan enjin SkyActive-G 2.0 liter serta teknologi hibrid daripada Toyota Prius. Bergantung kepada padanan enjin, sistem transmisi yang ditawatkan adalah SkyActive-Drive enam-kelajuan automatik atau SkyActiv-MT manual, manakala transmisi E-CVT hanya pada model hibrid.
Sistem i-Active All-Wheel Drive turut ditawarkan sebagai pilihan, dengan enjin SkyActive-D 2.2L menjadi enjin yang terbaharu dipadankan dengannya. Selebihnya ia turut dilengkapi dengan ciri berkaitan teknologi pemanduan seperti sistem brek janaan semula (i-Loop), henti pegun (i-Stop), sistem sokongan pemandu (i-DM) dan pilihan pemanduan Sport.
Autodesk VRED Server Node 2016 SR1-SP4 Date: 2016/04/12 16:01:18 Simulation time: 9.755 System time: 3.55258e+06 Frame: 0
Mazda 3 terbaharu ini turut menampilkan ciri kawalan G-Vectoring, sebuah teknologi baru yang menurut Mazda akan menyesuaikan tork enjin terhadap input stereng untuk memberikan kawalan bersepadu bagi daya lintang dan lateral pecutan. Ia menjadikan kawalan yang lebih cekap bagi pemanduan seharian serta menghindari kemungkinan pertembungan ketika dalam selekoh.
Di Jepun, Mazda 3 baharu ini dijual pada harga RM1,760,400 yen (RM66,706) hingga 3,310,200 yen (RM125,373), bergantung pada varian.
Autodesk VRED Server Node 2016 SR1-SP4
Date: 2016/04/12 16:01:18
Simulation time: 9.755
System time: 3.55258e+06
Frame: 0
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mensejajarkan senarai pemandu yang disenarai hitam bersama dengan senarai dari pihak polis dan juga Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Ini bagi menghalang pesalah trafik daripada memperbaharui lesen memandu mereka, seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star.
Beliau juga sedar bahawa JPJ tidak boleh menggantung lesen pemandu yang disenarai hitam oleh polis kerana perisian komputer yang digunakan oleh kedua-dua agensi ini serta SPAD adalah berbeza dan tidak selari.
Tambahnya, langkah itu perlu bagi membolehkan JPJ dimaklumkan berkaitan senarai hitam dari pihak polis dan tindakan boleh dikenakan kepada pemandu yang terlibat. Beliau memberi maklum balas terhadap berita yang dilaporkan pada hari Rabu berkenaan sejumlah pemandu kenderaan berat dan komersial yang masih boleh mempebaharui lesen mereka disebabkan data polis bagi pemandu yang disenarai hitam tidak dikongsikan dengan segera bersama JPJ.
“Kementerian juga sedang mempertimbang untuk melaksanakan Automated Awareness Safety System (AWAS), sebuah gabungan antara Automated Enforcement System (AES) dan Demerit Points System (Kejara), yang bertujuan untuk menggantung lesen pemandu yang tidak bertanggungjawab.
“Kami akan mengambil tindakan terhadap pesalah, terutama di bawah program AWAS selepas ia dilancarkan nanti, bersekali dengan sistem Kejara. Kami juga boleh membatalkan lesen mereka,” tambah beliau.
Februari lalu, beliau memaklumkan bahawa sistem AWAS merupakan pendekatan yang lebih holistik untuk membendung dan mengurangkan kemalangan jalan raya. Pindaan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan telah diluluskan untuk mula diperkenalkan, dan kini sedang dalam usaha perlaksanaannya.
Menurut Liow, sejurus selepas sistem AWAS dilaksanakan, sistem demerit akan digunakan terhadap pemandu yang tidak bertanggungjawab di mana kiraan mata mereka akan ditolak bagi setiap kesalahan. Lesen memandu mereka juga boleh digantung sekiranya mata kesalahan terkumpul melepasi had maksimum yang ditentukan.
Terma “Mengubah permainan” bukanlah sesuatu yang luar biasa sejak kebelakangan ini, malah ia semakin banyak berlaku, apabila sesuatu model kereta itu ‘merombak’ segmen yang biasanya dipertaruhkan.
Misalnya Kia Optima K5 facelift yang diperkenalkan di Malaysia dan terbaru, ia turut dilakukan oleh Volkswagen menerusi model terbaharunya, Vento. Dengan elemen yang lebih menonjol, misalnya rekaan yang cukup bergaya bagi K5 dan penjana kuasa yang lebih sofistikated bagi model Polo Sedan facelift, pendahulu dalam segmen ini dilihat lebih mewarnai industri. Begitu juga dengan perubahan yang dilakukan pada Honda Civic generasi ke-10 yang dilihat telah menyuntik kesegaran bagi segmen-C yang sedikit malap.
Inilah yang dikatakan sebagai perubahan dalam permainan, sesebuah kereta itu bukan setakat mampu terjual dalam jumlah yang besar, namun telah mengubah status kebiasaannya dalam industri automotif Malaysia sendiri. Bagai suatu kejutan, apabila pendahulu pengeluar kenderaan di Malaysia sejak sedekad ini rupanya dalam diam-diam merancang untuk menghasilkan model sedan. Malah ia bukan sekadar fantasi atau omong kosong. Nah! Ia sudah menjadi realiti… memperkenalkan Perodua Bezza!
Nota: Kami tidak dibenarkan memaparkan imej penuh keseluruhan luaran model ini, hanya sedikit sudut-sudut tertentu sahaja.
ASP Hazil Reza Mohd Gazali memeriksa dokumen perjalanan ketika Op Selamat di Bukit Gantang
Sejumlah 35 pemandu bas dan lori telah disaman di KM225.2 Lebuhraya PLUS arah Selatan berdekatan kawasan R&R Bukit Gantang pada malam Selasa di dalam Op Selamat 9/2016.
Memetik laporan Bernama, Komander Zon Utara Lebuhraya dari Jabatan Trafik dan Penguatkuasaan Bukit Aman, ASP Hazil Reza Mohd Ghazali berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah memandu melebihi had laju, membawa lebih muatan (bagi lori) dan lesen memandu tamat tempoh.
“Dua daripada pemandu lori turut ditahan kerana positif ujian dadah jenis kanabis,” ujar beliau dipenghujung operasi berkenaan.
Tambah beliau, operasi yang bermula pada 9.30 malam hingga tengah malam itu melibatkan 35 orang anggota polis bersama petugas Plus Bhd. Sejumlah 35 bas dan 70 lori ditahan untuk diperiksa.
Operasi berkenaan tertumpu kepada lori dan bas kerana menurut beliau kenderaan berat dan komersial seperti ini kerap melakukan kesalahan lalu lintas dan terlibat di dalam kemalangan jalan raya.
Penutupan selama 24 jam sebahagian lorong di kira-kira 150 meter di lorong kiri terowong dari Kajang ke arah East West Link Expressway akan diteruskan mulai Jumaat ini hingga 15 November depan, menurut laporan Bernama.
“Semasa penutupan ini, satu lorong akan disediakan untuk pemandu dari Kajang menuju ke Lebuhraya Link Timur-Barat,”kata kenyataan yang dikeluarkan oleh MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd.
Penutupan laluan di Jalan Cheras berhampiran Taman Midah juga akan dilaksanakan mulai Jumaat ini hingga 15 Ogos dari 11 malam hingga 5 pagi, bagi memudahkan pelancaran jek bumbung dan kerja-kerja berkaitan bagi Stesen MRT Taman Midah.
Semasa penutupan berkenaan, trafik dari KL menuju ke Kajang akan dilencongkan ke laluan dalaman di Stesen Minyak Petronas berhampiran Tanah Perkuburan Kristian Cheras dan keluar ke Jalan Cheras melalui laluan dari McDonald’s, manakala pengguna jalan raya dari Kajang akan dihalakan ke lorong bawah di Stesen MRT Taman Midah yang bakal dibina.
Laluan Jalan Cheras berhampiran Cheras Sentral juga akan ditutup dari 16 hingga 17 Julai bermula dari 12 malam hingga 5 pagi melibatkan penutupan lorong paling kanan di sepanjang Jalan Cheras (menghala ke Kajang) bertentangan Cheras Sentral Mall.
Penutupan tersebut turut melibatkan tiga lorong di sepanjang Jalan Cheras (menghala ke KL) bertentangan Cheras Sentral Mall dari MRT CLQ ke KL.
Pelan pengurusan trafik empat fasa juga akan dilaksanakan di sepanjang Persiaran Surian dari Julai hingga 6 Ogos bermula 11 malam hingga 6 pagi bagi memudahkan pemasangan jejantas pejalan kaki di kawasan Pelangi Astana dan Pelangi Square.
Laluan dari Pizza Hut di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) ke Indah Water Konsortium di sini akan ditutup selama dua bulan setengah mulai 15 Julai ini hingga 30 September depan untuk kerja-kerja pembinaan Stesen MRT TTDI, menurut laporan Bernama.
Laluan berkenaan akan ditutup bermula dari 11 malam hingga 6 pagi, dan lima lorong akan disediakan untuk pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur ke Lebuhraya SPRINT, menurut MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd dalam satu kenyataan yang dibuat.
Sepanjang penutupan laluan itu, pengguna jalan raya dari Jalan Tun Mohd Fuad boleh menggunakan laluan LDP (menghala ke SS2) dan mereka dari Jalan Leong Yew Koh boleh menggunakan laluan bawah persimpangan TTDI ke SS2 untuk ke Lebuhraya SPRINT di Persimpangan Damansara Utama berdekatan Balai Polis.
Pengguna jalan raya dari Kepong ke Lebuhraya SPRINT (menghala ke KL) boleh menggunakan jejambat dan membelok ke kiri di Persimpangan Damansara Utama untuk ke Lebuhraya SPRINT manakala pemandu di Lebuhraya SPRINT ke TTDI akan dilencongkan ke Persimpangan TTDI dan membuat pusingan ‘U’ sebelum lampu isyarat untuk ke Jalan Tun Mohd Fuad.
“Pemandu di Lebuhraya LDP dari SS2 ke Jalan Damansara (menghala ke KL/Lebuhraya SPRINT) akan dilencongkan ke Persimpangan Bandar Utama untuk membuat pusingan ‘U’. Mereka dikehendaki menggunakan jejambat di Persimpangan TTDI menuju ke SS2 untuk ke Lebuhraya SPRINT di Persimpangan Damansara Utama,” menurut kenyataan berkenaan.
Manakala untuk laluan dari Pizza Hut ke Pintu Masuk B Stesen MRT TTDI pula, aliran kontra akan dilaksanakan untuk laluan tersebut.
Pengguna jalan raya dari LDP/TTDI menghala ke KL/Lebuhraya SPRINT akan dialihkan ke lorong bertentangan dan satu lorong lalu lintas akan disediakan bagi setiap arah manakala persimpangan Jalan Wan Kadir dan Jalan Wan Kadir 3 dan Jalan Damansara akan ditutup buat sementara waktu dan tidak boleh digunakan semasa tempoh aliran kontra berkenaan.
Pelan Pengurusan Trafik (TMP) waktu malam juga akan dilaksanakan di persekitaran Persimpangan TTDI mulai Jumaat (15 Julai) ini hingga 30 September bagi memudahkan kerja-kerja mengecat, memasang kabel dan binaan untuk Stesen MRT TTDI.
Penutupan laluan itu melibatkan jalan susur penuh dari Jalan Leong Yew Koh yang membawa kepada Jalan Damansara (KL/Lebuhraya SPRINT) dan laluan bawah di Persimpangan TTDI serta Jalan Leong Yew Koh sedia ada untuk Lebuhraya LDP.
Pelan pengurusan trafik juga akan melibatkan penutupan pusingan ‘U’ ke TTDI dan penutupan jalan masuk ke Jalan Damansara dari SS2.
Volkswagen Group telah mengeluarkan notis panggilan semula terbaharu untuk Porsche 918 Spyder yang memerlukan tali pinggang keledar model berkenaan diperiksa semula dan berkemungkinan bermasalah. Menurut Porsche, kesilapan pada manual pemasangan telah memindahkan kedudukan asal skru yang memegang cagak tali pinggang keledar dan cagak penggulung tali pinggang keledar berkenaan.
Proses pembaikkan bukanlah semudah menanggalkan dan memasang semula skru tersebut, kerana komponen berkenaan merupakan komponen yang hanya boleh digunakan sekali sahaja, dan ianya tidak sama. Porsche menyatakan “fungsi tali pinggang keledar mungkin akan terjejas semasa berlakunya kemalangan,” oleh itu semua unit 918 Spyder perlu dipanggil semula. Mereka juga turut menambah kesalahan pada katalog komponen berkenaan akan dibuat pembetulan.
918 Spyder pernah dipanggil semula sebelum ini. Tahun lalu, hypercar dengan unit janakuasa plug-in hybrid ini dipanggil semula berhubung masalah sistem penyejukkan berisiko untuk gagal berfungsi kerana kerosakan pada sistem pendawaiannya, yang melibatkan kereta yang diproduksi sebelum April 2015. Satu lagi panggilan semula berasingan pula dibuat berikutan masalah pada lengan kawalan gandar belakang dan satu lagi komponen lain pada bahagian casis.
Didedahkan sebagai model konsep pada tahun 2010, versi produksi 918 Spyder telah diperkenalkan pada Frankfurt Motor Show 2013 sebelum menembusi pasaran pada tahun 2015. Ia dikuasakan dengan enjin tanpa induksi paksaan 4.6 liter V8 digabungkan dengan sepasang motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 887 hp dan tork maksima gergasi 1,275 Nm.
Kuasa berkenaan dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar PDK, berupaya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 340 km/j.Pek bateri litium-ion 6.8 kWh mampu untuk membawa 918 Spyder dalam mod elektrik sepenuhnya dalam jarak 19 km di bawah ujian lima-kitaran EPA.
Sementara menunggu hasil siasatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang sedang dijalankan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan proses penggantungan lesen serta 26 permit bas yang dipegang syarikat Qistna Express Sdn Bhd. Bas persiaran tersebut telah merempuh 10 kenderaan lain di kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora pada Ahad lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah, tindakan itu dilakukan ekoran pelanggaran syarat keselamatan mandatori oleh syarikat tersebut, berdasarkan laporan audit SPAD pada 12 Julai lalu, laporan Bernama.
Katanya lagi, tindakan yang dikenakan ke atas syarikat terbabit adalah sebagai peringatan tegas kepada pengendali bas ekspres lain, agar mematuhi Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD setiap masa dalam mengutamakan keselamatan pengguna.
Menurutnya SPAD juga akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan kesemua pengendali bas menjalankan operasi dengan kenderaan yang dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan lalu lintas serta keselamatan jalan raya.
Malah bas persiaran tersebut didapati memiliki sebanyak 63 saman trafik dan 49 daripadanya adalah atas kesalahan memandu melebihi had laju. Selain itu, PDRM turut berkata bas tersebut juga dikesan mempunyai sembilan saman melibatkan kesalahan memandu di lorong kanan secara perlahan.
Bas berkenaan datang dari arah Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur, secara tiba-tiba melalui bahagian tengah laluan lebuh raya itu lalu merempuh tiga kereta di hadapannya akibat kegagalan brek. Pemandunya yang berusia 51 tahun telah ditahan reman di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas tuduhan memandu secara cuai.
Semak identiti pemandu kenderaan berat dengan lebih kerap dan berterusan. Ini merupakan saranan Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat untuk mengenal pasti pemandu yang bermasalah dan mempunyai rekod saman lalu lintas tertunggak.
Langkah ini akan membolehkan tiga agensi utama iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.
“EAIC menyokong penuh penguatkuasaan undang-undang yang serius terhadap para pengguna jalan raya yang telah menyalah gunakan lorong kecemasan di lebuh raya dan jalan-jalan utama,” ujar Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam seperti yang dilaporkan Bernama.
Tegasnya lagi, tindakan tegas perlu dikenakan supaya pemandu yang cenderung melakukan kesalahan berulang atau melanggar undang-undang agar dapat dikesan dengan segera dan tindakan yang sewajarnya dapat diambil, seperti menggantung lesen memandu dan sebagainya.
Beliau mengulas kejadian bas yang merempuh 10 buah kenderaan lain berdekatan Terowong Menora Ahad lalu yang kemudiannya disahkan mempunyai 63 saman tertunggak di atas pelbagai kesalahan.
Susulan daripada perkembangan diperingkat global oleh Yamaha yang memanggil semula semua model YZF-R25 yang dikilangkan dari 2014 hingga 2016, pengedarnya di Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengeluarkan notis panggilan semula model berkenaan di laman web rasminya.
Panggilan semula itu adalah berkaitan dua masalah yang dikenal pasti – pemasangan plat tekanan klac dan pam minyak pada model berkenaan.
Panggilan semula ini melibatkan model YZF-R25 dengan nombor pengenalan kenderaan PMYRG151OE-000XXXX hingga PMYRG151OF-000XXXX, begitu juga dengan unit dengan nombor kerangka (frame number) PMYRG1510G-0004321 hingga PMYRG1510G-0006357. HLYM akan memaklumkan sendiri semua pemilik model berkenaan yang terlibat, bermula awal Ogos nanti.
Selepas menerima notis itu nanti, pemilik dikehendaki untuk menghubungi pusat servis sah Yamaha berdekatan untuk membuat temu janji untuk menukar komponen yang berkaitan. Sementara itu, mana-mana pemilik Yamaha YZF-R25 boleh menghubungi HLYM menerusi emel [email protected] atau WhatsApp +6017-357 9965 untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Setakat ini, HLYM masih belum memaklumkan berapa jumlah sebenar motosikal yang terlibat di dalam panggilan semula ini. HLYM juga memohon agar pemilik-pemilik sedia ada model berkenaan untuk bertenang sementara syarikat melalukan panggilan semula ini secara berperingkat.
Setelah imejnya yang sedang diuji tersebar sebelum ini, kini MPV Nissan Serena generasi kelima baharu secara rasminya didedahkan. Seperti dijangka, Serena baharu ini bukan sahaja menampilkan rupa yang lebih segar, malah turut dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri terkini.
Bahagian hadapan MPV ini menampilkan muka rekaan signatur V-Motion terbaharu Nissan dengan gril dua bahagian dan garisannya bersambung dengan garisan pada hud hadapan. Sepasang lampu hadapan baharu direka dengan rekaan dua tingkat mengapit gril dan hud baharu bersama lampu kabus baharu.
Serana baharu juga menerima tema warna dua ton dan tiang-D yang dicat hitam, memberikan gambaran seolah-olah bumbung MPV ini terapung. Tiang-A Serena turut direka dengan lebih kurus berbanding sebelum ini tetapi tidak menjejaskan ketegaran strukturnya. Garisan yang memisahkan tingkat lampu hadapan terus bersambung ke profil sisi MPV ini melalui pintu hadapan dan terus ke rel pintu gelangsar belakang.
Pada bahagian belakang menyaksikan lampu kombinasi kini lebih pendek dari sebelum ini supaya ia tidak kelihatan sarat apabila digabungkan rekaan “bumbung terapung”. Bahagian tengah antara lampu berkenaan yang telah dihitamkan turut menempatkan logo Nissan di bahagian tengah. Kemasan krom merentasi pintu tailgate belakang turut dipadankan untuk membahagikan antara bahagian yang dihitamkan dan juga bahagian yang dicat dengan warna badan.
Ciri-ciri yang dinyatakan diatas adalah untuk Serena varian asas (berwarna biru). Untuk varian Highway Star(berwarna merah), ia dilengkapi dengan kit badan yang meliputi bampar hadapan yang lebih agresif dan lebih kemasan krom untuk menyerlahkan lagi rekaan gril V-Motion. Varian Highway Star turut dipadankan dengan skirt sisi, roda aloi baharu, bampar belakang baharu serta cermin sisi dengan kemasan hitam.
Bahagian kabin Serena kini lebih anggun dari sebelum ini, sama seperti imej spyshot yang tersebar. Bahagian tingkat atas papan pemuka MPV ini dilengkapi dengan paparan instrumen yang lebar dan menampilkan paparan digital baharu.
Liang penghawa dingin baharu mengapit skrin sesentuh unit infotaimen manakala suis kawalan unit penghawa dingin diletakkan pada bahagian bawah skrin berkenaan. Pada bahagian paling bawah ruang tengah ini pula menempatkan tuil penukar gear, brek parkir elektronik serta butang penghidup enjin. Keseluruhan ruang tengah berkenaan pula dikelilingi oleh kemasan krom.
Menurut Nissan, Serena baharu ini “mempunyai ruang dalaman paling lebar dalam kelasnya,” dan majoriti ruangan berkenaan adalah pada bahagian belakang MPV tujuh tempat duduk ini. Untuk varian Highway Star, bahagian belakang berkenaan boleh diakses menerusi pintu gelangsar berkuasa elektrik dan ia boleh dibuka semudah menggelangsarkan kaki anda pada bahagian bawah pintu (kunci pintar perlu berada dalam poket anda).
Ciri lain yang terdapat dalam Serena baharu ini termasuk tempat duduk “graviti sifar” dari sedan Teana, yang dipasang pada tempat duduk baris pertama dan kedua. Tempat duduk baris ketiga pula didakwa telah direka untuk memaksimakan keselesaan seperti tempat duduk hadapan dan membantu menyerap kelesuan ketika perjalanan yang panjang.
Dari segi keselamatan pula, Serena dilengkapi dengan sistem brek kecemasan Nissan, Amaran Keluar Laluan, Monitor Pandangan Sekeliling dan Cermin Pandang Belakang Pintar secara standard. Untuk bantuan pemanduan, MPV ini dilengkapi dengan Bantuan Parkir Pintar dan juga ProPILOT, iaitu sistem pemanduan automatik dari Nissan yang mengawal pedal pendikit, brek dan roda stereng secara automatik semasa memandu di lebuhraya, tidak kira pada keadaan trafik sesak atau tidak.
MPV ini dikuasakan dengan unit janakuasa S-Hybrid dari model generasi sebelum ini, menggunakan enjin petrol MR20DD 2.0 liter pancitan bahan api terus CVTC berkembar berkuasa 147 PS pada takat 5,600, dan tork maksima 210 Nm pada takat 4,400 rpm.
Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic dan dibantu oleh motor ECO yang mengawal fungsi Idling Stop dan bertindak sebagai unit alternator semasa nyah pecutan. Motor berkuasa 1.8 kW/200 A berkenaan juga membolehkan fungsi “bantuan tork” berfungsi, memberikan tork tambahan 50 Nm ketika badan MPV dipecut dari kedudukan pegun.
Tingkat taraf lain yang turut ditampilkan pada Serena generasi baharu ini adalah pengukuhan struktur sekitar pintu belakang dan penambahbaikan komponen pada sistem suspensi seperti penyerap hentak yang lebih besar, yang didakwa Nissan ia membolehkan “refleks yang lebih tajam semasa peralihan sisi,” contohnya ketika menukar laluan secara drastik.
Nissan Serena generasi kelima ini diproduksi di Nissan Motor Kyushu, dan akan menembusi pasaran Jepun pada hujung Ogos ini dengan harga asas ditetapkan di bawah 3 juta yen (RM114,463). Nissan telah menjual sebanyak 1.5 juta unit Serena sejak ia mula diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1991
Selepas beberapa bulan Wearnes dilantik sebagai pengedar baharu bagi Aston Martin di Malaysia, syarikat ini akhirnya telah membuka bilik pameran sementaranya di Kuala Lumpur.
Terletak di 204, Jalan Ampang, fasiliti yang dikendalikan oleh bekas pengedar Volkswagen ini sepatutnya beroprasi pada akhir tahun lalu, manakala bilik pameran tetap dibina di kawasan berkenaan yang sepatutnta dibuka pada April lalu, namun perancangan tersebut terpaksa diubah.
Bagi bilik pameran sementara ini, ia mempamerkan Vanquish sejak Jun lalu. Malah Wearnes turut membuka pusat servis sementara di Taman Perindustrian Lingui di Sungai Buloh. Pelanggan yang ingin melihat model yang dipamerkan di bilik pameran boleh menghubungi 03-2161 2221 untuk temujanji. Manakala pemilik Aston Martin yang ingin menghantar kenderaan untuk diselenggara boleh menghubungi 03-6157 6993 untuk temujanji.
Aston Martin Kuala Lumpur turut menyenaraikan modelnya iaitu Vanquish, DB9, Vantage dan Rapide, selain DB11, menerusi laman web rasminya. Walau bagaimana pun tiada perkhabaran mengenai Vantage GT8 dan GT12 selain Vanquish Zagato, Vulcan dan Lagonda Taraf.
Hyunda Elantra Sport 2017 telah pun dikhabarkan bakal hadir di pasaran sedunia tidak lama lagi. Kembar bagi model Avante Sport ini ditampilkan dengan enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder yang sama dipadankan pada Veloster Turbo. Ia boleh menghasilkan kuasa sehingga 200 hp dan 258 Nm, iaitu kurang 1 hp dan 7 Nm berbanding Veloster Turbo dan Avante. Jentera ini turut didatangkan dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau dual-clutch tujuh-kelajuan.
Elantra Sport ini turut berkongsi suspensi belakang multi-link baharu yang sama dengan Avante. Ia bagi menggantikan palang suspensi torsion dan membuatkan ia lebih mantap daripada segi pengendaliannya.
Walau bagaimana pun, Hyundai belum mengumumkan lagi sama ada Elantra Sport ini bakal ditawarkan dengan pilihan pakej ekstrem seperti Avante Sport iaitu bagi palang anti-olengan, pegas dan penyerap hentak.
Namun Avante Sport dan Elantra Sport masih berkongsi rekaan luaran dan dalaman yang telah dipertingkatkan, membuatkan imejnya nampak lebih classy dan bergaya. Ia turut ditampilkan dengan corong udara yang besar, panel peresap belakang, roda yang dipertingkatkan dan efek yang penuh sporty pada sekeliling badannya. Malah untuk bahagian kabinnya, ia turut menampilkan tempat duduk sport dengan rekaan yang lebih agresif dan roda stereng leper di bawah dengan jahitan merah.
Biar pun dianggap sebagai pesaing kepada Honda Civic Turbo dan Mazda 3 2.5L, namun sebenarnya kehabatan Elantra Sport ini dikatakan lebih mirip dengan Volkswagen Jetta GLI. Dengan kuasa kuda yang hampir sama iaitu 201 hp bagi Jetta GLI, Elantra Sport ini turut dianggap sebagai ‘Jetta GLI’ versi Korea. Walau bagaimana pun, penganalisis automotif antarabangsa menganggap Elantra Sport menang dari sudut penggayaan luaran dan dalamannya.
Buat masa ini Hyundai belum mengesahkan bilakah ia akan melancarkan model ini di peringkat antarabangsa. Malah harganya juga belum didedahkan lagi. Mungkin Hyundai mahu membuat sedikit pembaharuan atau perubahan untuk model ini sebelum ia benar-benar bersedia dilancarkan.
Kereta sport flagship Toyota – Supra – bakal membuat kemunculan semula setelah generasi keempatnya dihentikan produksi pada tahun 2002. Menurut laporan Autocar, Supra generasi kelima akan membuat kemunculannya sejurus sahaja BMW Z5 diperkenalkan, di mana kedua-dua jentera ini dibina secara kerjasama antara Toyota dan BMW. Toyota juga sebelum ini telah dilihat mendaftarkan tanda dagangan ‘Supra’ dan difailkan di Pejabat Harta Intelek EU.
Kedua-dua pengeluar berkenaan telah pun bekerjasama membina platform kereta sport terbaharu ini sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z5 dan Supra dilakukan secara berasingan. BMW Z5 sebelum ini dilihat sedang diuji diatas jalan raya, dan Autocar turut menyatakan pembinaan Supra juga berada dalam peringkat yang sama.
Pembinaan Supra generasi terbaharu ini juga diinspirasikan dari model konsep FT-1 yang pernah dipamerkan di Detroit Auto Show 2014, dan akan diletakkan di atas model 86 dalam barisan kereta sport Toyota. Nama Supra sebelum turut diletakkan pada kedudukan tertinggi setelah ia dipisahkan dari Celica Supra (Celica XX), dan pasangan kembar Corolla AE86 Levin dan Sprinter Trueno berada dibawahnya.
Oleh itu, Supra generasi baharu ini bakal dijual pada harga yang lebih mahal dari 86 dan dibayangkan bakal menerima unit janakuasa yang kompleks dan binaan menyerupai supercar.
Toyota Supra dan BMW Z5 dijangka akan menggunakan sistem hibrid menggabungkan enjin binaan BMW (berkemungkian enjin petrol enam-silinder sebaris) dan motor elektrik yang dikuasakan oleh kapasitor super serta memacu semua roda. Kedua-dua jentera ini juga bakal menerapkan kepakaran BMW dalam pembinaan komponen gentian karbon, seperti yang terdapat pada BMW i3, i8 dan 7 Series G12.
Ahli lembaga BMW untuk jualan dan pemasaran Ian Robertson telah menyatakan sebelum ini walaupun kedua-dua jentera ini berkongsi banyak komponen dalam pembinaannya, BMW dan Toyota bersetuju untuk meletakkan Z5 dan Supra dalam dua pasaran kereta sport yang berbeza. “Satu perkara yang pasti sekarang ialah platform yang boleh membuatkan kedua-dua syarikat bekerja,” katanya.
“Kereta-kereta ini sendiri tidak perlu diletakkan pada kedudukan yang sama. Platform berkenaan boleh diasingkan kepada dua kedudukan. Kerja-kerja konsep, platform yang boleh dibawa dan kini kami mempunyai dua pasukan jurutera yang boleh dibanggakan – satu dari Jerman, satu dari Jepun – di mana mereka akan berjuang dan berselisih pendapat untuk kereta yang mereka mahu.”
Apabila ditanya adakah platform berkenaan boleh diubah jarak rodanya antara kedua-dua buah jentera, Robertson menjawab, “Tiada lagi satu platform adalah satu paltform sekarang. Kebanyakkan platform terkini kami adalah boleh diubah.”
Robertson turut menyatakan walaupun tiada lagi keputusan dibuat untuk produksi, hanya sebuah kilang yang akan digunakan untuk memproduksi kedua-dua buah kereta – berkemungkinan di Amerika Syarikat atau Eropah, bukan di Jepun. “Salah satu langkah untuk peringkat seterusnya adalah membuat keputusan siapa yang akan membina kereta – syarikat mana dan di negara mana. Kami perlu mencari di mana pasarannya dan sama ada ia adalah pasaran terbesar untuk kedua-dua syarikat.”
Walaupun divisi kereta mewah Toyota – Lexus – mempunyai akses untuk menyertai kerjasama ini, pegawai senior Lexus telah menafikan kemungkinan berkenaan. “Toyota merupakan bahagian lain,” kata bos Lexus Eropah Alain Uyttenhoven. “Kami merupakan sebuah syarikat dan ketua kami adalah Akio Toyoda, dan kami boleh melakukannya. Untuk masa sekarang, kami tidak akan mempunyai platform yang sama antara BMW dan Lexus. Secara jujur, walaupun, kami mempunyai akses sepenuhnya pada Toyota.”