Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Subaru Levorg 1.6 GT-S diprebiu untuk pasaran M’sia

    Subaru_Levorg_MV_Ext-2

    Sebelum ini ada perkhabaran Subaru Levorg akan menembusi pasaran Malaysia pada masa akan datang. Khabar berkenaan nampaknya semakin nyata apabila model berkenaan kini diprebiu di pusat membeli belah Mid Valley Megamall. Model ini mula memasuki pasaran Thailand pada tahun lalu, muncul buat pertama kali bersama Subaru XV facelift di Thailand Motor Expo.

    Untuk pasaran Malaysia, hanya varian 1.6 GT-S akan ditawarkan, berbeza dengan pasaran Thailand yang turut ditawarkan dengan varian asas 1.6 GT. Menurut Motor Image, pengedar sah Subaru di Malaysia, Levorg akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM199,720. Model yang diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU) ini, bakal diberikan perlindungan waranti lima tahun atau 100,000 km.

    Nama Levorg diambil dari kependekan LEgacy, reVOlution, touRinG, dan pembinaan wagon ini diasaskan dari platform Impreza. Ia dijana oleh enjin boxer empat silinder turbo 1.6 liter dengan sistem pancitan bahan api terus, berupaya menghasilkan kuasa maksimum 170 PS bermula 4,800 hingga 5,600 rpm serta tork maksima 250 Nm bermula 1,800 rpm hingga 4,800 rpm. Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT dengan enam-kelajuan maya dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru.

    Levorg 1.6 GT-S dilengkapi dengan lampu hadapan LED dengan sistem pelarasan sendiri, lampu kedudukan berbentuk-C, lampu kabus halogen, cermin suria berkuasa, cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat membelok, tip ekzos berkembar serta roda aloi berdiameter 18-inci dibaluti tayar bersaiz 225/45R18.

    Subaru_Levorg_MV_Ext-13

    Bahagian dalaman model pasaran Malaysia ini seiras dengan model pasaran Thailand, dilengkapi upholsteri balutan kulit berwarna hitam pada tempat duduk, roda stereng serta tombol gear. Dua skrin ditempatkan pada bahagian tengah atas papan pemuka di mana sebuah skrin merupakan skrin paparan pelbagai info, manakala sebuah lagi skrin memaparkan status sistem pacuan semua roda.

    Ia juga dilengkapi dengan skrin sesentuh untuk sistem infotaimen bersaiz tujuh-inci, serta suis kawalan penghawa dingin automatik dua zon yang ditempatkan dibawah skrin berkenaan.

    Ciri lain yang turut hadir sebagai standard pada Levorg ini termasuk brek parkir elektronik, penukar gear, pedal aloi, roda stereng pelbagai fungsi, pemanas tempat duduk, dan sistem kunci pintar berserta suis penghidup enjin.

    Untuk keselamatan pula, wagon ini dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua dihadapan, tirai dan lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan, Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Pengesan Kenderaan Belakang Subaru (SRVD), ABS dengan Bantuan Brek, kamera undur, sistem pemantau tekanan tayar, serta kerangka penguat berbentuk cincin.

     
     
  • JPJ N.Sembilan bakal dakwa 57 pemandu di mahkamah atas kesalahan guna lorong kecemasan

    AppleMark

    Seramai 57 pemandu kenderaan yang didapati bersalah menggunakan lorong kecemasan di lebuhraya di Negeri Sembilan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2016, bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban bulan depan.

    Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Rosilan Md Sari, kesemua 57 pemandu tersebut telah disaman serta-merta di lokasi, laporan Bernama.

    Selain iu, seramai 47 lagi pemandu yang melakukan kesalahan sama akan dipanggil untuk disoal siasat.

    “Mereka ini dikesan melakukan kesalahan tersebut oleh anggota JPJ yang menyamar dan mengambil gambar mereka ketika kejadian berlaku,” katanya kepada pihak media.

    Rosilan berkata pihaknya juga menerima lebih 60 aduan daripada orang awam melibatkan kesalahan memandu di lorong kecemasan.

    Beliau berkata hanya aduan yang mempunyai maklumat lengkap iaitu berserta gambar, lokasi kejadian dan masa yang akan diperiksa manakala yang tidak lengkap akan ditolak.

    Katanya selain kereta, lori kecil dan bas juga ada dikesan menyalahgunakan lorong kecemasan.

     
     
  • GALERI: Mazda 6 2.2L SkyActiv-D dan spesifikasinya

    Mazda6_SkyactiveD_Ext-3

    Mazda 6 2.2L SkyActiv-D diesel telah pun dilancarkan petang ini bersama model CX-5 2.2L SkyActiv-D. Ia dibawa masuk dari Jepun (CBU), dijual pada harga atas jalan RM202,830 (tanpa insurans) dan didatangkan bersama waranti tiga-tahun atau 100,000km dan servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km.

    Menurut Mazda, penggunaan diesel Euro 5 adalah disarankan. Namun jika pemiliknya mahu menggunakan biodiesel B10, warantinya masih kekal standard iaitu jarak servis setiap 10,000 km. Namun pemiliknya digalakkan untuk mempercepatkan jarak servis lebih awal daripada yang ditetapkan. Walau bagaimana pun, Mazda sebenarnya tidak menggalakkan penggunaan biodiesel B10 kerana jika ia didapati mendatangkan masalah pada enjin, waranti (jika masih ada) akan terbatal serta-merta.

    Mazda6_SkyactiveD_Ext-22

    Sama seperti CX-5 2.2L SkyActiv-D, ia juga dikuasakan oleh enjin 2.2 liter empat-silinder turbo-berkembar SkyActiv-D. Ia berupaya menjana kuasa sehingga 173 hp pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 450 Nm pada 2,000 rpm. Dan dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan bersama mod manual.

    Bagi memantapkan lagi pengendaliannya, ia turut dilengkapi dengan cakera brek berliang (Ventilated) untuk hadapan dan solid di belakang. Manakala sistem suspensi pula menggandingkan topang MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang.

    Selain daripada unit penjana kuasa, elemen yang ada pada Mazda 6 diesel adalah sama dengan Mazda 6 2.5L SKYACTIV-G. Ia dilengkapi dengan teknologi LED bagi lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu kabus hadapan. Manakala lampu belakangnya adalah kombinasi mentol dan LED. Ia turut menampilkan bumbung matahari berkuasa, bilah pengilap cermin hadapan dengan pengesan hujan, cermin sisi berkuasa dengan indikator membelok dan rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar 225/45/R19.

    Malah ukuran dimensinya juga sama seperti varian unit petrol Mazda 6 2.5L iaitu sepanjang 4,865 mm, selebar 1,840 mm, berketinggian 1,450 mm dan jarak roda 2,830 mm.

    Bagi kabinnya pula, ia turut menampilkan tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan-cara dan enam-cara bagi penumpang hadapan. Malah tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 60:40 dan material kulit dipilih bagi membaluti tempat duduknya, nampak lebih elegan dan sofistikated.

    Mazda 6 diesel juga dilengkapi dengan unit utama Mazda Active Driving Display, butang start/stop enjin, brek parkir elektronik, roda stereng teleskopik boleh laras, pedal penukar gear di belakang roda stereng, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua-zon termasuk corong untuk penumpang belakang, cermin pandang belakang anti-silau serta balutan kulit bagi roda stereng dan tombol gear.

    Mazda6_SkyactiveD_Int-20

    Ia juga dilengkapi dengan paparan skrin sentuh tujuh-inci dengan MZD Connect bagi sistem hiburan bersama pemain CD dan MP3, sistem Bose Surround Sound dengan 11-speaker, sambungan Bluetooth termasuk kit bebas tangan bagi telefon bimbit, Multi-Function Commander Control, sistem navigasi, butang kawalan audio dan sambungan telefon bimbit pada roda stereng, dan dua port bagi USB.

    Seperti mana model terkini Mazda yang lain, 6 diesel ini turut menampilkan Mazda i-Stop Idling Technology tetapi tidak disertakan dengan Mazda i-ELOOP Brake Energy Regeneration System seperti mana ada pada model enjin petrol.

    Bagi aspek keselamatan, ia turut dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Dinamik, Bantuan Brek Kecemasan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Pemantauan Tekanan Tayar, Amaran Penukaran Lorong, Kepekaan Lintasan Trafik di Belakang, Sokongan Brek Bandar Pintar, Pemantuan Titik Buta dan pengingatan pemakaian tali pinggang keledar dan Isofix.

    Ia ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Soul Red Metallic, Snowflake White Pearl, Meteor Grey dan Sonic Silver Metallic. Sekali lagi, ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM202,830 (tanpa insurans).

     
     
  • GALERI: Mazda CX-5 2.2L 2WD SkyActiv-D untuk pasaran Malaysia dan perincian spesifikasinya

    MazdaCX-5_SkyactiveD_Ext-3

    Mazda CX-5 2.2L 2WD SkyActiv-D turut diumumkan memasuki pasaran Malaysia sebagai menambahkan variasi kenderaan penumpang bagi varian enjin diesel. Ia juga merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang pemasangan Bermaz di Kulim, Kedah.

    Ditawarkan pada harga atas jalan RM161,529 (tanpa insurans), model ini juga didatangkan bersama waranti tiga tahun atau 100,000km dan servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km.

    Sama seperti Mazda 6 2.2L SkyActiv-D, CX-5 varian diesel ini turut dijanakan oleh enjin 2.2 liter empat-silinder turbo dua peringkat SkyActiv-D. Unit enjin ini berupaya menjana kuasa sehingga 173 hp pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 450 Nm pada 2,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan bersama mod manual.

    MazdaCX-5_SkyactiveD_Ext-24

    Bagi menambahkan kecemerlangan pengendaliannya, ia turut dilengkapi dengan cakera brek berliang untuk hadapan dan solid di belakang. Manakala sistem suspensi pula menggandingkan topang MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang.

    Tiada perbezaan dengan CX-5 unit petrol, melainkan ditampilkan dengan emblem SkyActiv-D pada bahagian belakang. Selain itu, elemennya masih dikekalkan termasuk dengan teknologi LED bagi lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu kabus hadapan. Manakala lampu belakangnya adalah kombinasi mentol dan LED. Ia turut hadir dengan bilah pengilap cermin hadapan dengan pengesan hujan, cermin sisi berkuasa dengan indikator membelok dan rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar 225/55/R19.

    CX-5 diesel ini berukuran 4,555 mm bagi panjang, berketinggian 1,840 mm, selebar 1,670 mm dan jarak roda pula 2,700 mm.

    Menjengah bahagian kabinnya, ia turut menampilkan tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan-cara dan manual bagi penumpang hadapan. Malah tempat duduk belakang juga boleh dilipat secara nisbah 20:40:40 dan material kulit turut dipilih bagi membaluti tempat duduknya.

    Selain itu, ia turut ditampilkan dengan butang start/stop enjin, brek parkir elektronik, roda stereng teleskopik boleh laras, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua-zon, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan kemasukan tanpa kunci, kamera undur serta balutan kulit bagi roda stereng dan tombol gear.

    Bagi sistem hiburan, ia dilengkapi dengan paparan skrin sentuh tujuh-inci dengan MZD Connect bagi sistem hiburan bersama pemain CD dan MP3, enam-speaker, sambungan Bluetooth termasuk kit bebas tangan bagi telefon bimbit, Multi-Function Commander Control, sistem navigasi, butang kawalan audio dan sambungan telefon bimbit pada roda stereng, dan dua port bagi USB.

    Bagi aspek keselamatannya, ia didatangkan dengan i-Activsense yang terdiri daripada sistem pencahayaan lampu hadapan, sokongan brek bandar pintar dan pemantauan titik buta, selain ABS, EBD, kawalan kestabilan dinamik dan sistem kawalan cengkaman. Malah turut dilengkapi dengan enam beg-udara SRS, cagak Isofix serta pengesan parkir hadapan dan belakang.

    Dengan harga atas jalan RM161,529 (tanpa insurans), CX-5 2.2L 2WD SkyActiv-D ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Aluminium Metallic, Arctic White, Blue Reflex dan Meteor Grey.

    Menurut Mazda, penggunaan diesel Euro 5 adalah disarankan. Namun jika pemiliknya mahu menggunakan biodiesel B10, warantinya masih kekal standard iaitu jarak servis setiap 10,000 km. Namun pemiliknya digalakkan untuk mempercepatkan jarak servis lebih awal daripada yang ditetapkan. Walau bagaimana pun, Mazda sebenarnya tidak menggalakkan penggunaan biodiesel B10 kerana jika ia didapati mendatangkan masalah pada enjin, waranti (jika masih ada) akan terbatal serta-merta.

     
     
  • DBKL batalkan kenaikan kadar parkir bagi TTDI

    Public-Parking-Lots

    Mulai 18 Julai lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150%. DBKL mempunyai sejumlah 46,100 meter petak parkir di sekitar ibu kota dan 9,916 daripadanya terletak di tempat tumpuan perniagaan (CBD). Kawasan yang terbabit ialah Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar di mana 75% hingga 100% kawasan parkir terbabit sering kali penuh pada waktu puncak.

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz, pelaksanaan kenaikan harga parkir di CBD adalah wajar kerana ia tidak pernah dinaikkan sejak 40 tahun lalu.

    Beliau menegaskan langkah itu perlu diambil bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin buruk berikutan jumlah kenderaan persendirian yang memasuki pusat bandar melebihi jumlah tempat letak kereta yang disediakan oleh DBKL.

    Walau bagaimana pun, terbaru, DBKL memutuskan untuk membatalkan kenaikan kadar parkir ini di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) serta-merta. Keputusan ini diambil selepas pihak DBKL berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pagi tadi, laporan The Star.

    “Selepas mengambil kira pandangan semua pihak, DBKL memutuskan untuk tidak menaikkan kadar parkir di TTDI kerana ia kawasan yang padat dengan kediaman penduduk,” ujar Mohd Amin.

    dbkl parking tow bernama pix

    Di bawah struktur harga baharu ini, caj parkir bagi tempat tumpuan perniagaan itu dinaikkan dari RM0.80 sejam ke RM2 jam untuk sejam pertama. Selepas itu, caj sebanyak RM3 akan dikenakan pada jam kedua dan berikutnya. DBKL juga dikatakan akan terus menguatkuasakan caj parkir baharu ini mengikut peringkat mulai sekarang hingga 1 Ogos ini, dan bergantung pada lokasi, menyaksikan peningkatan antara 100% dan 200%.

    DBKL turut memperkenalkan had masa untuk parkir iaitu maksimum dua jam di beberapa kawasan terpilih, jika melebihi had masa tersebut, kenderaan akan dikunci tayar atau ditunda. Menurut DBKL, keputusan untuk menaikkan kadar caj parkir bukanlah atas dasar keuntungan, tetapi bagi mengurangkan kesesakan trafik di bandar dan menggalakkan masyarakat berkongsi kenderaan atau menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

    Bagi zon di luar ibu kota, di mana buat masa kini caj yang dikenakan adalah sebanyak RM0.50 sejam, mungkin akan dinaikkan ke RM1.50 atau RM1 setiap jam, bergantung pada zon. Ia termasuk Brickfields, Taman Maluri, Cheras, Wangsa Maju dan Setapak, di mana kawasan tersebut meliputi antara 55% dan 75% kekosongan parkir.

     
     
  • Mitsubishi capai aras jualan 100,000 unit di Malaysia

    CEO of MMM, Mr. Yang with MMM's 100,000th Customer Mr. Lee

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini melepasi angka jualan 100,000 unit kenderaan jenama Jepun itu di Malaysia.

    “Sejak mula bertapak di Malaysia pada 2005, MMM telah berkembang pesat dan kini mencapai angka jualan 100,000 unit kenderaan di sini. Kami berbangga dengan kenderaan yang dihasilkan, dan dapat berkongsi dengan 100,000 pemilik di Malaysia adalah sangat bermakna. Terima kasih di atas segala sokongan berterusan yang diberikan oleh semua,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Yang Won-Chul.

    Penyumbang terbesar kepada pencapaian berkenaan ialah model-model keluaran Mitsubishi seperti Triton 4×4, ASX dan Lancer. “Dengan pencapaian terbaharu ini, MMM akan meneruskan usaha untuk menawarkan model-model menarik untuk pelanggan di Malaysia untuk lebih nilai dan keseronokan pemanduan,” tambah beliau.

    Lee Ju Hin, 31, menjadi pemilik kenderaan ke 100,000 Mitsubishi, dan diraikan di dalam satu majlis di premis pengedar sahnya, Jimisar Autotrade di Kuching, Sarawak. “Saya amat berbangga menjadi pemilik kenderaan Mitsubishi yang ke 100,000. Mitsubishi Triton yang kini menjadi milik saya ini merupakan sebuah trak pikap yang sporty, mempunyai nilai yang baik untuk wang yang dibelanjakan serta dilengkapi ciri menarik. Trak pikap ini akan saya gunakan untuk perjalanan jauh, termasuk ke kawasan pedalaman di mana kenderaan penumpang biasa tidak dapat masuk,” kata Lee.

    MMM akan terus meluaskan rangkaian pengedarnya untuk pasaran yang berpotensi. Setakat ini, Mitsubishi mempunyai 54 bilik pameran (46 daripadanya pusat 3S) dan 53 pusat servis di seluruh negara. Di Malaysia Timur, MMM diwakili oleh rangkaian 12 bilik pamerannya (masing-masing enam di Sabah dan Sarawak).

    Syarikat itu turut menduduki tempat kedua bagi Sales Satisfaction Index (SSI) dan Customer Service Index (CSI) J.D. Power Asia Pacific 2015. Sebelum ini, Mitsubishi mengumumkan penyanyi tersohor tanah air, Yuna sebagai duta jenamanya.

     
     
  • Implementasi biodiesel B10 tidak dibantah, tapi perlukan jaminan pengeluar kenderaan – MAA

    MAA 1H2016 2

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengesahkan satu perbincangan mengenai implementasi penggunaan biodiesel B10 (adunan 10% minyak kelapa sawit metil ester dengan 90% diesel petroleum) telah pun berlangsung semalam, di antara Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan pengeluar kenderaan dan beberapa pihak terlibat.

    Menurut Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad, walau pun pada awalnya ia sepatutnya bermula Jun lalu dan kemudian ditangguhkan ke 1 Julai pula, namun sehingga hari ini, pihak kerajaan belum memberikan tarikh untuk mengimplementasikan penggunaan biodiesel B10

    Difahamkan, penangguhan ini dilakukan kerana pihak kerajaan perlu mendengar pandangan dari pelbagai pihat termasuk pengeluar kenderaan, ahli MAA, persatuan operator bas dan lori, syarikat pembekal bahan api serta kemeneterian lain yang berkaitan.

    “Kami telah menyuarakan kepada kerajaan bahawa kami belum bersedia untuk pelaksanaan ini. Ini kerana kebimbangan paling utama kami ialah kebanyakan ahli MAA menyatakan, dengan B10, mereka tidak dapat memberikan jaminan, itu masalahnya,” ujar Aishah sambil menambah jamiman amat diperlukan sebelum perkara ini dilaksanakan.

    biodiesel 1

    Walau bagaimana pun, beliau turut menambah, “Namun ini bukan bermakna kami membantah penggunaan B10, kami menyokongnya, tetapi jaminan perlu diberikan. Malah kami turut menyarankan agar kerajaan boleh menyediakan kedua-dua bahan api diesel B7 dan B10 di semua stesen minyak seluruh negara sebagai pilihan kepada pengguna.”

    Pengurus Kanan Pemasaran UMW Toyota Motor Mohd Mazwan Mohd Safwan pula berkata, “Kualiti B10 adalah isunya, di mana di kawasan sejuk termasuk tanah tinggi, ia boleh mengakibatkan pemendakan. Justeru, ia menjadi kebimbangan di kalangan pengeluar kenderaan di sini. Di mana pemendakan itu boleh mengakibatkan ia tersumbat pada penapis minyak dan sebagainya, jadi itulah yang kami hendak elakkan.

    “Jadi, ia berkaitan dengan kualiti minyak atau aspek teknikal. Seperti mana yang Datuk Aishah katakan tadi, kami juga berharap agar kerajaan dapat memberikan alternatif, jadi para pelanggan boleh memilih sama ada mahu menggunakan B7 atau pun, sekiranya kerajaan benar-benar mahu mengimplementasikan B10. Ia sangat penting kepada pelanggan untuk memilih,” ujar Mazwan.

    Sebelum ini, beberapa pengeluar kenderaan termasuk BMW Malaysia, Isuzu, Toyota dan Volkswagen telah menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan biodiesel ini. Dalam masa yang sama, MAA juga telah menghantar surat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mendakwa penggunaan biodiesel bergred lebih tinggi dari B7 akan menyebabkan asid tebal metil ester (FAME) bercampur dengan minyak pelincir, seterusnya menyebabkan minyak pelincir tersebut menipis dan berkemungkinan besar menghasilkan enap cemar (sludge) di dalam enjin.

    2016-Malaysian-Bio-diesel-Camerons-drive-2-e1459475144369

    Walau bagaimana pun, Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) menyanggah dakwaan itu dan berkata, tiada masalah pada enjin untuk kenderaan yang menggunakan biodiesel dengan adunan lebih tinggi dari 7%. Kenyataan tersebut dibuat selepas kebimbangan yang dinyatakan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan berhubung implementasi biodiesel B10 untuk sektor pengangkutan di Malaysia.

    Antara penjelasan yang dibuat adalah biodiesel boleh digunakan di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana cold filter plugging point (CFPP) biodiesel B10 dicatatkan di bawah 12 darjah selsius iaitu suhu paling rendah dicatatkan di Cameron Highlands, dan mendapan pada PME adalah lebih dibimbangi dalam kawasan beriklim sederhana berbanding negara bercuaca tropika seperti di Malaysia.

    Menurut MBA lagi, penggunaan biodiesel B10 mempunyai kelebihan untuk meningkatkan pelinciran pada diesel Euro 5 yang mempunyai kandungan sulfur lebih rendah. Difahamkan pengecualian akan diberikan pada stesen minyak di kawasan tanah tinggi iaitu di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang di Sabah, untuk penjualan biodiesel B10 ini.

     
     
  • Kenaikan kadar parkir Kuala Lumpur wajar, tidak pernah berubah sejak 40 tahun lalu – Datuk Bandar

    AppleMark

    AppleMark

    Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz menyifatkan pelaksanaan kenaikan harga parkir di kawasan pusat perniagaan (CBD) Kuala Lumpur adalah wajar kerana ia tidak pernah dinaikkan sejak 40 tahun lalu, memetik laporan Bernama.

    Kenaikan kadar parkir dari RM0.80 kepada RM2 tidaklah sebesar mana. Sepatutnya naik sehingga RM5. Itupun kita antara yang paling rendah, berdasarkan tinjauan kami. Jika dibandingkan, kadar ini sama dengan Bangladesh dan Myanmar, sebab negara lain lebih tinggi,” katanya.

    Beliau menegaskan langkah itu perlu diambil bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin buruk berikutan jumlah kenderaan persendirian yang memasuki pusat bandar melebihi jumlah tempat letak kereta yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Anggaran 3.5 juta kenderaan persendirian masuk ke pusat bandar setiap hari, namun hanya 45,000 tempat letak kenderaan yang tersedia.

    “Kebanyakan orang menggunakan ruang parkir dari pagi hingga ke petang, dan tak beri peluang kepada orang lain. Tempoh dua jam yang dikenakan adalah bagi mencegah pengguna sebegini yang menyumbang kepada kesesakan,” katanya.

    Mengulas tentang maklum balas orang awam tentang kesesuaian masa melaksanakan sistem itu berikutan sistem pengangkutan awam masih dalam penambahbaikan, beliau menyatakan; “Kami tak boleh kawal. Menurut dasar yang ditetapkan, pengangkutan awam ialah di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Ruang parkir dikawal oleh pihak berkuasa tempatan dan akan ditangani dengan baik.”

    “Keputusan telah pun dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan saya telah pun melaporkan perkara ini kepada beliau. Sekarang kami sedang berjumpa dengan semua anggota Parlimen Kuala Lumpur,” katanya.

    Semalam, DBKL melaksanakan kenaikan harga parkir sehingga 150 peratus di daerah CBD termasuk Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

     
     
  • Jualan kenderaan Jun 2016 meningkat sebanyak 29.5% berbanding Mei, TIV keseluruhan catat penurunan 14%

    June 2016 sales BM

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini mengeluarkan data jualan kenderaan di Malaysia bagi bulan Jun 2016. Secara keseluruhan, ia mencatatkan peningkatan 29.5% atau 13,175 unit lebih tinggi berbanding Mei.

    Hal ini disebabkan aktiviti kempen-kempen yang giat dan agresif oleh syarikat pengeluar sempena Hari Raya serta pengenalan model baharu. Bagi bulan Jun, sebanyak 50,981 unit kenderaan penumpang telah terjual, manakala bagi kenderaan komersial pula, ia mencatatkan 6,377 unit. Secara keseluruhannya, sejumlah 57,358 unit kenderaan dijual pada bulan Jun 2016.

    Angka ini sedikit menurun jika dibandingkan dengan data bagi Jun 2015; kenderaan penumpang mencatatkan 50,694 unit jualan manakala kenderaan komersial sejumlah 6,742 unit jualan. Jumlah jualan bagi bulan yang sama tahun lalu ialah 57,436 unit.

    Bagaimanapun, jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk tempoh sama (Year-To-Date) bagi jualan kenderaan keseluruhan, menurun sebanyak 14%. Data setakat Jun 2016 ialah 275,459 unit berbanding setakat Jun 2015 yang mencatatkan 327,664 unit yang terjual.

    Berkaitan pengeluaran kenderaan pula, Jun 2016 mencatatkan jumlah keseluruhannya 40,928 unit, menurun jika dibandingkan dengan tempoh sama pengeluaran bagi tahun lalu yang mencatatkan 51,309 unit.

    Bagi bulan Julai 2016, MAA menjangkakan jumlah jualan kenderaan akan menurun berbanding bulan Jun 2016. Antara sebab yang disifatkan akan memberi kesan itu adalah permintaan rancak terhadap kenderaan berakhir pada penghujung Jun 2016 serta jumlah hari bekerja yang singkat disebabkan cuti Hari Raya.

     
     
  • ANIH tutup Hentian Sebelah Lanchang lima bulan

    Karak-highway-01-850x490

    ANIH Berhad selaku pemegang konsesi Lebih Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) akan menutup sepenuhnya Hentian Sebelah Lanchang di kedua-dua arah selama lima bulan bermula 25 Julai ini, seperti yang dilaporkan Bernama.

    Di dalam satu kenyataannya, pihak ANIH memaklumkan bahawa penutupan berkenaan adalah disebabkan kerja-kerja naiktaraf pembinaan tandas baharu, laluan pejalan kaki serta pembaharuan lanskap di hentian itu.

    Sehubungan itu, pengguna dinasihati menggunakan kemudahan alternatif di Hentian Sebelah Maran dan kawasan rehat & rawat (R&R) Temerloh bagi kedua-dua arah untuk menggunakan kemudahan yang disediakan, jika perlu.

     
     
  • Mazda 6 2.2L SkyActiv-D diesel kini di M’sia – RM202k

    Mazda-6-diesel

    Bermaz Motor Sdn Bhd, pengedar rasmi Mazda di Malaysia telah mengumumkan model-modelnya dalam varian enjin diesel termasuklah Mazda 6 2.2L SkyActiv-D. Barisan model penjana kuasa diesel ini akan dilancarkan secara rasminya pada malam ini.

    Seperti mana model CX-5 diesel, Mazda 6 diesel juga dikuasakan dengan enjin 2.2 liter empat-silinder turbo-berkembar SkyActiv-D. Unit enjin ini berupaya menjana kuasa sehingga 173 hp pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 450 Nm pada 2,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan bersama mod manual.

    Selain daripada unit penjana kuasa, elemen yang ada pada Mazda 6 diesel adalah sama dengan Mazda 6 2.5L SKYACTIV-G. Ia dilengkapi dengan teknologi LED bagi lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu kabus hadapan. Manakala lampu belakangnya adalah kombinasi mentol dan LED. Ia turut menampilkan bumbung matahari berkuasa, cermin sisi berkuasa dengan indikator membelok dan rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar 225/45/R19.

    Klik bagi besarkan imej perbandingan varian petrol dan diesel bagi Mazda 6

    Malah ukuran dimensinya juga sama seperti varian unit petrol 2.5L iaitu sepanjang 4,865 mm, selebar 1,840 mm, berketinggian 1,450 mm dan jarak roda 2,830 mm.

    Bagi kabinnya, ia turut menampilkan tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan-cara dan enam-cara bagi penumpang hadapan. Malah tempat duduk belakang juga boleh dilipat secara nisbah 60:40 dan material kulit dipilih bagi membaluti tempat duduknya, nampak lebih elegan dan sofistikated.

    Mazda 6 diesel juga dilengkapi dengan unit utama Mazda Active Driving Display, butang start/stop enjin, brek parkir elektronik, roda stereng teleskopik boleh laras, pedal penukar gear di belakang roda stereng, kawalan kelajuan, penghawa dingin dua-zon termasuk corong untuk penumpang belakang, cermin pandang belakang anti-silau serta balutan kulit bagi roda stereng dan tombol gear.

    Ia juga dilengkapi dengan paparan skrin sentuh tujuh-inci dengan MZD Connect bagi sistem hiburan bersama pemain CD dan MP3, sistem Bose Surround Sound dengan 11-speaker, sambungan Bluetooth termasuk kit bebas tangan bagi telefon bimbit, Multi-Function Commander Control, sistem navigasi, butang kawalan audio dan sambungan telefon bimbit pada roda stereng, dan dua port bagi USB.

    Seperti mana model terkini Mazda yang lain, 6 diesel ini turut menampilkan Mazda i-Stop Idling Technology tanpa Mazda i-ELOOP Brake Energy Regeneration System seperti mana ada pada model enjin petrol.

    Bagi aspek keselamatan, ia turut dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Dinamik, Bantuan Brek Kecemasan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Pemantauan Tekanan Tayar, Amaran Penukaran Lorong, Kepekaan Lintasan Trafik di Belakang, Sokongan Brek Bandar Pintar, Pemantuan Titik Buta dan pengingatan pemakaian tali pinggang keledar dan Isofix.

    Mazda 6 2.2L SkyActiv-D diesel ini dibawa masuk dari Jepun (CBU), dijual pada harga atas jalan RM202,830 (tanpa insurans). Ia ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Soul Red Metallic, Snowflake White Pearl, Meteor Grey dan Sonic Silver Metallic.

    Mazda6 2.2L SkyActiv-D ini turut didatangkan dengan waranti tiga tahun atau 100,000km dan servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km.

     
     
  • Mazda perkenal CX-5 2.2L SkyActiv-D – harga RM162K

    CX-5 Front

    Bermaz Motor hari ini memperkenalkan barisan kenderaan diesel yang dilengkapi enjin SkyActiv-D. Ini termasuk model crossover CX-5 2.2L 2WD SkyActiv-D dan dijual pada harga RM161,529. Langkah ini selari dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Mazda di Jepun terhadap barisan kenderaan yang lebih menarik dan cekap dengan sambutan yang sangat menggalakkan.

    Ia juga merupakan model pemasangan tempatan (CKD) di kilang pemasangan Bermaz di Kulim, Kedah bagi membolehkan pengguna menikmati pakej harga yang lebih berbaloi.

    Enjin SkyActiv-D 2.2L ini menghasilkan 420 Nm tork, setara dengan enjin petrol 4.0L V8. Namun, dalam masa sama, ia memberikan 20% lebih penjimatan bahan api. Enjin diesel yang dibangunkan Mazda ini juga telah menemukan penyelesaian dan tidak lagi menghadapi masalah ketika menghidupkan enjin dalam keadaan sejuk.

    Masalah utama bagi enjin diesel ialah ia tidak mempunyai cukup haba untuk pembakaran sempurna dalam keadaan sejuk, dan kerap mengalami misfiring ketika memanaskan enjin. Penyelesaian konvensional adalah dengan meningkatkan nisbah mampatan. Namun, langkah ini mempunyai satu masalah lain; tekanan dan suhu yang terlalu tinggi untuk enjin yang menyebabkan pembakaran tidak lengkap. Penyelesaian umumnya adalah dengan melambatkan ignition, tetapi penggunaan bahan api akan menjadi lebih teruk.

    Penyelesaian Mazda pula adalah dengan mengawal dengan tepat suntikan minyak dan memperbaiki bukaan dan penutupan injap ekzos. Penyuntik multi-hole piezo digunakan bagi paten suntikan yang pelbagai. Ketepatan jumlah suntikan dan pemasa ini akan membolehkan kawalan campuran yang optimum, membawa kepada pembakaran maksimum.

    Sistem bukaan injap boleh ubah (variable valve lift, VVL) digunakan bagi injap ekzos. Kitaran pembakaran tunggal memadai untuk meningkatkan suhu; gas ekzos kemudiannya disalurkan semula ke dalam silinder untuk menaikkan lagi suhu, yang kemudian memperbaiki menghidupkan enjin ketika sejuk.

    Mazda CX-5 SkyActive-D dipadankan dengan transmisi automatik SkyActive-Drive enam-kelajuan dan sistem pacuan 2WD. Ia dijual pada harga RM161,529 tidak termasuk insurans. Pilihan warnanya ialah Aluminium Metallic, Arctic White, Blue Reflex dan Meteor Grey. Ia juga lengkap dengan semua ciri keselamatan Mazda i-Activeness, termasuk Rear Cross-Traffic Alert (RCTA), Smart City Brake Support (SCBS) dan Blind Spot Monitoring (BSM).

    Selain model ini, Bermaz turut membawa masuk Mazda6 2.2L SkyActiv-D versi CBU. Sebuah lagi model, Mazda CX-3 1.5L SkyActiv-D juga akan dibawa masuk untuk tujuan penilaian.

    Penawaran terbaharu Mazda ini turut didatangkan dengan waranti tiga tahun atau 100,000km dan servis percuma selama tiga tahun atau 60,000km.

     
     
  • Lebuhraya DASH, SUKE diteruskan seperti yang dirancang, mula dibina tahun depan – Noh Omar

    DASH-01

    Cadangan laluan Lebuhraya DASH

    Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar telah mengesahkan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) akan dilaksanakan seperti dirancang walaupun berdepan pelbagai halangan.

    Katanya, pembinaan kedua-dua lebuhraya itu dengan kos kira-kira RM9.87 bilion adalah sebahagian daripada lima projek lebuh raya yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan di Selangor, laporan Bernama.

    Kedua-dua lebuhraya itu dijadualkan mula dibina pada tahun hadapan selepas selesai proses pengambilan tanah. Walau bagaimanapun, terdapat bantahan daripada sesetengah pihak hingga ada yang membawanya ke peringkat mahkamah.

    “Bagaimanapun, pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah maklumkan dalam mesyuarat bahawa mereka akan teruskan projek itu dengan mengambil kira masalah rakyat tempatan. Kita harap bila lebuhraya ini siap, ia akan bantu kurangkan kesesakan,” katanya kepada pihak media semalam.

    Noh berkata selain DASH dan SUKE, Kerajaan Persekutuan bakal membina Lebuhraya Putrajaya-KLIA (MEX2) tahun depan dan sedang melaksanakan projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).

     
     
  • Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian sefahaman Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi

    AppleMark

    Hari ini Malaysia mencatat satu lagi sejarah apabila menandatangani Memorandum Pesefahaman (MoU) dengan Singapura bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

    MoU berkenaan ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur Singapura, Khaw Boon Wan yang juga Menteri Pengangkutan negara itu. Ia turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, laporan Bernama.

    Laluan berkembar HSR yang dicadangkan, sepanjang 350 km, akan menghubungkan Bandar Malaysia di pinggir Kuala Lumpur dan Jurong East di Singapura. Projek berkenaan bakal memendekkan masa perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur dari empat jam dengan menaiki kereta kepada hanya 90 minit, yang dilaporkan sebelum ini dengan kelajuan melebihi 300 km sejam.

    HSR-stations-proposed

    Ia bakal menelan belanja sekitar RM60 bilion hingga RM65 bilion dan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

    Kedua-dua kerajaan itu akan menawarkan tender antarabangsa pada Ogos 2016 untuk melantik rakan kongsi pembinaan bersama.

    MoU itu merupakan hasil perbincangan mendalam antara kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), serta kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura sejak projek itu mula diumumkan oleh Perdana Menteri kedua-dua negara pada Februari 2013.

    MoU itu memuktamadkan keputusan penting perjanjian projek berkenaan, termasuk aspek teknikal, model komersial, pelepasan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ), urusan keselamatan, rangka kerja kawal aturan selain pengurusan projek.

     
     
  • Benelli TnT25 Black Edition – Harga kekal RM12,990

    2016-Benelli-TnT25-Black-Edition2-e1468842126243-850x780

    Pengedar motosikal jenama Benelli tempatan, Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd mengumumkan Benelli TnT25 Black Edition kini sudah mula ditawarkan. Dengan pakej penampilan Matte Black yang lebih menawan, rekaan grafik Tornado Naked yang menghiasinya juga diberi sentuhan baharu.

    Bagaimanapun, spesifikasi keseluruhannya kekal tidak berubah. Model berkenaan dilengkapi enjin silinder tunggal yang menghasilkan 25.2 hp pada 9,000rpm dengan 21.5 Nm tork pada 7,500rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan.

    Dengan pengenalan warna Matte Black baharu ini, warna hijau sedia ada tidak lagi ditawarkan. Yang tinggal sebagai pilihan ialah warna merah. Harga jualan bagi model berkenaan masih sama, iaitu RM12,990 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan GST.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025