Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Bezza catat rekod 10,115 unit tempahan setakat 26 Julai, lebih kurang 1,000 unit sehari

    Perodua Bezza Launch Stage

    Sejak dilancarkan pada 21 Julai lalu, Perodua Bezza telah mencatatkan tempahan sebanyak 10,115 unit, setakat pagi ini, 26 Julai 2016. Iaitu lebih kurang 1,000 unit tempahan sehari bagi Bezza ini.

    Malah setakat ini, sebanyak 500 unit Bezza telah diserahkan kepada pembelinya pada hari pertama pelancarannya.

    Menurut Presiden & CEO Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, “Perodua Bezza telah mula diproduksi sejak Jun lalu dan kini sudah mempunyai stok sebanyak 7,000 unit (sehingga 21 Julai). Jadi menjelang 31 Julai ini, kami menjangkakan sebanyak 9,000 unit Bezza sudah bersedia untuk dihantar ke seluruh negara.”

    Bezza ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu 1.0L Standard G, 1.3L Premium X dan 1.3L Advance. ditawarkan dengan dua pilihan enjin baharu iaitu 1.0L VVT-i (dengan ciri VVT-i, dan tambahan 1 hp dan 1 Nm berbanding enjin Axia) dan 1.3L Dual VVT-i, yang lebih maju berbanding enjin 1.3L yang ada pada Myvi.

    Kami juga telah membuat liputan menyeluruh terhadap model sedan pertama yang dibangunkan Perodua ini. Malah kami juga telah memandu ujinya beberapa minggu sebelum ia dilancarkan.

    Juga, jangan lupa untuk menonton video ringkas berkaitan lapan perkara menarik tentang Perodua Bezza.

     
     
  • 100,000 kenderaan elektrik disasar akan digunakan di atas jalan raya menjelang tahun 2020 – Mustapa

    Mustapa

    Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan dan Industri mensasarkan 100,000 unit kenderaan elektrik akan digunakan di atas jalan raya menjelang tahun 2020, lapor The Sun Daily.

    Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini hanya 891 kenderaan elektrik didaftarkan di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan kerajaan akan terus menggalakkan penggunaan kenderaaan cekap tenaga kerana kelebihan-kelebihan yang ada padanya.

    “Salah satu sebab utama mengapa kami menggalakkan penggunaannya adalah kerana ia akan mengurangkan pencemaran karbon dalam negara, seterusnya memberikan persekitan yang lebih baik untuk semua.

    “Keduanya, menggunakan kenderaan elektrik akan mengurangkan kos penyelenggaraan, dengan penjimatan sekitar RM5,000 setiap tahun berbanding kenderaan konvensional,” kata beliau semasa melancarkan motosikal elektrik Treeletrik yang diedarkan oleh Tree Movement (M) Sdn Bhd di Hotel Royale Chulan Hotel semalam.

    Beliau juga menggalakan lebih banyak syarikat tempatan untuk mengeluarkan kenderaan elektronik selari dengan matlamat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau untuk mengurangkan pencemaran karbon.

    Tambah Mustapa lagi kerajaan turut menjangkakan 5,000 motosikal elektrik akan digunakan dijalan raya akhir tahun ini, berbanding hanya 100 unit setakat ini, selepas pelancarannya tempoh hari.

    Dalam masa yang sama, Tree Movement menjangkakan 11,000 unit motosikal-eko Treeletrik akan dijual dalam tempoh 12 bulan pertama dalam pasaran motosikal yang sememangnya sangat sengit. Dua daripada 12 model mereka, T-90 dan T-Cargo (model motosikal penghantaran) dijangka akan dilancarkan akhir September ini.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan Micheal Yap, selain dari kos penyelenggaraan dan bebas pencemaran karbon, motosikal berkenaan turut boleh dicas semula menerusi mana-mana soket plug. Beliau menambah rakyat Malaysia turut menyukai rekaan motosikal berkenaan yang ditawarkan dengan pelbagai rekabentuk seperti skuter, superbike dan Vespa tradisional.

     
     
  • MEX buka laluan kontra mulai esok hingga 25 Ogos ini

    MEX-Highway-01

    Maju Expressway Sdn Bhd, pengendali Lebuhraya MEX, telah mengeluarkan kenyataan media, bakal melaksanakan percubaan laluan kontra mulai esok hingga 25 Ogos ini. Ia adalah bagi usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas ekoran daripada peningkatan aliran trafik di lebuhraya tersebut, sekaligus memberikan manfaat kepada pengguna khususnya semasa waktu puncak.

    Laluan kontra akan bermula dari KM11.5 hingga KM7.9 (arah ke Kuala Lumpur) dan dijangka dapat mewujudkan aliran trafik yang lebih lancar untuk semua pengguna Lebuhraya MEX, laporan Bernama.

    Ia akan dibuka pada Isnin hingga Jumaat sahaja bermula pukul 7 pagi sehingga 9 pagi untuk kenderaan ringan sahaja bagi yang datang dari arah Putrajaya menuju ke Jalan Tun Razak.

     
     
  • Lagi 19 pemandu kenderaan yang guna lorong kecemasan dalam insiden di Melaka Mei lalu disaman

    AppleMark

    Lagi 19 pemandu kenderaan, termasuk wanita, telah disaman oleh Mahkamah Melaka semalam ekoran memandu di lorong kecemasan dalam satu insiden di KM228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada 22 Mei lalu sehingga mengakibatkan ambulans tersekat dalam kesesakan trafik dan tiba lewat di lokasi bagi menyelamatkan mangsa kemalangan terbabit.

    Majistret Nor Azizah Yusof memerintahkan saman trafik terhadap 19 tertuduh di antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap seorang, sekiranya gagal membayar saman tersebut, hukuman penjara antara satu dan dua bulan bakal dijatuhkan, laporan The News Strait Times.

    Mereka dituduh mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Dalam rayuan bagi meringankan hukuman, pemandu berkenaan berkata mereka menggunakan lorong kecemasan kerana ingin cepat menuju ke destinasi, menziarahi anggota keluarga sakit tenat, kereta rosak dan mengalami masalah kesihatan.

    Majistret berkata tertuduh tidak sepatutnya memikirkan tentang kepentingan diri sendiri semata-mata dan perlu memikirkan kepentingan semua orang awam terutamanya mangsa yang terlibat dalam kemalangan.

    “Jika semua tidak guna lorong kecemasan, ambulans akan cepat sampai dan bantuan juga sampai cepat. Kesesakan lalu lintas pun dapat dileraikan segera sekiranya kemalangan itu dapat diberikan bantuan segera,” katanya.

    Pada 18 Julai lalu, seramai 20 pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut turut dijatuhkan hukuman saman yang sama, dengan keseluruhan berjumlah RM28,000.

     
     
  • Proton umum bakal lancar Persona 2016 pada Ogos, Saga pada September dan Ertiga pada Oktober

    Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali di dalam satu sidang media mengumumkan bahawa bermula Ogos nanti, pelancaran model baharu syarikat berkenaan akan diteruskan momentumnya.

    Selepas melancarkan Proton Perdana 2016 Jun lalu, Proton Persona 2016 bakal menjadi model baharu seterusnya yang akan diperkenalkan Ogos nanti. Jika semuanya mengikut perancangan, dua lagi model akan mengikut jejak yang sama; iaitu model Saga baharu yang dijangka akan diperkenalkan pada September dan diikuti model MPV yang berdasarkan model Suzuki Ertiga pada Oktober nanti.

    Persona 2016 dibangunkan menggunakan platform Iriz, manakala model Saga kelihatannya bakal menerima wajah baharu yang menyeluruh, termasuk di bahagian luaran dan dalamannya. Kedua-duanya turut menerima peningkatan dari aspek kejuruteraan dan mekanikal yang lebih signifikan.

    Bagi Ertiga pula, ia akan ditawarkan sebagai model dari segmen-B bagi MPV, dan tidak akan bertembung dengan segmen yang diwakili model Exora sedia ada.

     
     
  • Renault pamer model replika Renault R.S. 16 Formula One 2016 dalam siri jelajahnya sehingga 28 Ogos ini

    2016 Renault R.S. 16 Formula One model car_2

    Para peminat tegar F1 dan kereta boleh melihat secara dekat model Renault R.S. 16 Formula One 2016 yang dipamerkan di beberapa bilik pameran terpilih Renault serta lokasi siri jelajah mulai sekarang hingga 28 Ogos 2016.

    Tampil menyerlah dan berani, model replika tersebut hadir dengan pelekat berwarna kuning dan hitam seperti jentera Renault R.S. 16 Formula One 2016. Ia akan dipamerkan sepanjang minggu di setiap bilik pameran yang mengambil bahagian dan lokasi siri jelajah.

    Jadual siri jelajah jentera Renault R.S. 16 Formula One 2016 adalah seperti berikut:

    Screen Shot 2016-07-25 at 6.17.06 PM

    Sepanjang pameran itu juga, turut dianjurkan pelbagai aktiviti sepanjang hujung minggu yang terbuka kepada orang ramai. Orang ramai juga boleh mengetahui dengan lebih lanjut dan memandu uji rangkaian penuh kereta Renault yang bergaya serta kontemporari. Ini termasuklah crossover urban Captur yang versatil, sedan elegan Fluence dan Clio GT Line yang sporty.

    Pelanggan yang menyertai sesi pandu uji akan menerima hadia serta-merta. Mereka juga layak menjadi salah seorang daripada 10 orang pemenang bulanan bertuah untuk membawa pulang Model Kenderaan Renault Sport yang eksklusif.

    Siri jelajah jentera Renault R.S. 16 Formula One 2016 anjuran pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars (TCEC) merupakan sebahagian daripada kempen ‘Renault – Motorsports Is in Our DNA’.

    Sah sehingga 31 Ogos 2016, kempen promosi ini turut menyediakan banyak tawaran menarik melibatkan kenderaan Renault yang terpilih. Di samping peluang untuk memenangi hadiah eksklusif Pasukan Renault Sport Formula One™ seperti tiket-tiket Grandstand dan satu Lawatan Garaj Renault pada acara Malaysian Grand Prix 2016.

     
     
  • PLUS naik taraf R&R Rawang (arah utara), ditutup mulai 27 Jun ini sehingga 19 Jun 2017

    R&R

    PLUS Malaysia Berhad telah mengeluarkan kenyataan media berhubung dengan penutupan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang (arah utara) mulai 27 Julai ini. Penutupan ini bagi membolehkan pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf R&R tersebut yang berlangsung selama setahun. Ia dijangka akan dibuka semula untuk kegunaan orang ramai pada 19 Jun 2017.

    Sehubungan itu, kemudahan awam seperti medan selera, gerai makanan dan minuman, surau, tandas awam, serta kawasan meletak kenderaan ringan di R&R terbabit ditutup kepada orang ramai bagi membolehkan kerja-kerja menaiktaraf tersebut dijalankan.

    Walau bagaimanapun, kemudahan lain seperti stesen minyak, motel dan cawangan Sate Kajang masih dibuka dan beroperasi seperti biasa.

     
     
  • Pikap Konsep Proton – ‘render’ oleh Theophilus Chin

    proton-pick-up-theo-render_BM

    Proton telah mendedahkan model konsep trak pikap mereka buat pertama kali pada Karnival Alami Proton tahun lalu, dan kini ia telah mendapat sentuhan dari pakar rendering, Theophilus Chin. Imej yang menerima sentuhan Theo ini menggambarkan bagaimana rupa trak pikap berkenaan sekiranya ia benar-benar dihasilkan untuk produksi, dan dia juga “berminat untuk menjadikannya lebih berbentuk seperti sebuah trak.”

    Oleh itu, Theo telah mengadaptasi beberapa ciri pada rekaan konsep asli dari Proton berkenaan dengan cermin hadapan yang lebih tegak, cermin ‘quater window’ di belakang tiang-A ditiadakan, tiang-C yang lebih tebal yang akan turut memanjangkan jarak roda trak ini, dan juga bumbung yang lebih tinggi untuk mendapatkan ruang kelegaan kepala yang lebih selesa serta jarak dari papan pemuka ke gandar.


    Imej render dari Theophilus Chin (kiri), dan konsep asli Proton (kanan)

    Saiz hud enjin juga dibesarkan, gril hadapan dikecilkan, bampar hadapan dikedalamkan lagi, garisan badan pada pintu telah disambungkan ke dapra hadapan, serta lampu telah ditukar kepada lampu yang lebih menyerupai lampu kenderaan produksi.

    Sehingga kini, tiada lagi apa-apa pengesahan untuk memproduksi trak pikap ini dari Proton. Mengapa Proton membina model konsep trak pikap ini? “Mudah, lihat bagaimana berjayanya Proton Jumbuck (Arena untuk pasaran Australia), tiada sebab bagi kami untuk tidak melihat segmen yang telah memberikan keuntungan kepada kami satu ketika dahulu,” kata Ketua Pereka Proton Azlan Othman.

    Bagaimana pula pandangan anda terhadap imej yang menerima sentuhan Theophilus ini? Kongsikan bersama kami pada ruang komen di bawah.

    GALERI: Model konsep Proton Pikap berasaskan Proton Exora

     
     
  • Toyota Alphard dan Vellfire – model spesifikasi Malaysia telah dipamerkan di Mitsui Outlet Park

    MOP-Toyota-alphard-ext-12

    Generasi ketiga Toyota Alphard dan adik-beradiknya Toyota Vellfire masih belum dilancarkan di Malaysia, tetapi kita telah mengetahui spesifikasi dan harga seperti mana yang telah didedahkan oleh UMW Toyota.

    Menjelang pelancarannya, UMW Toyota juga telah mempamerkan Toyota Alphard 3.5 dan Toyota Vellfire spesifikasi Malaysia, di bilik pameran Toyota di Mitsui Outlet Park pada hujung minggu lalu.

    Namun varian Alphard 3.5 Executive Lounge tiada di sini.

    Toyota Alphard 3.5

    Bagi Toyota Alphard spesifikasi Malaysia, ia dijual pada harga atas jalan RM419,900 termasuk GST dan insurans. Kita mendapat Alphard bagi kerangka tanpa-Aero, tetapi dilengkapi dengan roda Aero iaitu bersaiz 18 inci (tayar 235/50R18), iaitu lebih besar berbanding roda tanpa-Aero untuk model JDM.

    Untuk bahagian luarannya, Alphard turut menerima lampu utama LED larasan auto (dengan lampu selekoh dan lampu nyalaan siang LED), spoiler belakang yang disambung dengan LED, lampu kabus (hadapan dan belakang), bumbung matahari dan moonroof kabin belakang.

    Dalam kabinnya, dengan bentangan warna kuning cair (beige), ia turut ditampilkan dengan tujuh tempat duduk bersama konfigurasi 2-2-3, dengan barisan kedua turut menampilkan tempat duduk ‘captain’ bersama perehat kaki Ottoman. Bagi barisan pertama tempat duduk turut menerima perehat kaki Ottoman juga. Kedua-dua pintu gelangsar berkuasa, begitu juga dengan but.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem infotaimen bersama skrin sentuh DVD-AVN tujuh-inci, navigasi dan lapan-speaker, roda stereng pelbagai-fungsi, kekemasan kayuan berwarna coklat, skrin hiburan 10.2-inci di belakang, corong dan kawalan penghawa dingin di belakang dan teknologi nanoe Panasonic.

    Alphard serba baharu ini dijanakan oleh enjin 3.5 liter V6 DOHC dengan Dual VVT-i yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 271 PS pada 6,200 rpm dan tork 340 Nm pada 4,700 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan sequential shifter.

    Toyota Vellfire 2.5

    Vellfire pula dilengkapi enjin 2.5 liter 16V DOHC dengan Dual VVT-i bersama padanan transmisi CVT. Ia berkeupaya menghasilkan kuasa sehingga 180 PS pada 6,000 rpm dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM355,000 dengan insurans.

    Sama seperti Alphard, ia turut didatangkan dengan kerangka tanpa-Aero tetapi rodanya telah dipertingkatkan ke 18-inci dengan roda Aero, berbanding spesifikasi JDM. Kit luaran sama seperti Alphard – lampu utama LED larasan auto (dengan lampu selekoh dan lampu nyalaan siang LED), spoiler belakang yang disambung dengan LED, lampu kabus (hadapan dan belakang), bumbung matahari dan moonroof kabin belakang.

    Bahagian dalamnya juga sama dengan Alphard, tetapi Vellfire menerima kekemasan hitam dan kayuan berwarna hitam juga.

    Manakala Alphard 3.5 Executive Lounge (RM519,900 OTR dengan insurans) yang fotonya tidak dipaparkan dalam artikel ini, menerima tempat duduk balutan kulit semi-aniline dengan pilihan warna kuning cair atau hitam buat Alphard 3.5 Executive Lounge. Malah turut didatangkan dengan tempat duduk VIP untuk barisan kedua dengan Ottoman serta penghawa dingin.

    Executive Lounge juga menampillan beberapa elemen yang dipertingkatkan termasuk unit huburan DVD-AVN lapan-inci dengan sistem audio JBL 17-speaker dan paparan electro multi-vision dan roda stereng VIP.

    Klik untuk besarkan imej

    Semua varian Alphard dan Vellfire menerima tujuh beg udara (hadapan, sisi hadapan, tirai dan lutut pemandu), VSC, kawalan cengkaman, ABS, bantuan mula mendaki dan pengesan parkir (hadapan dan belakang). Bagi pilihan warna luaran, Putih Mutiara Mewah, Putih Mutiara, Perak Metalik dan Hitam untuk Alphard, manakala Vellfire pula menerima Burning Black (deep purple), Putih Mutiara, Perak Metalik dan Hitam.

    Pembelian model-model ini turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun dan tanpa perbatuan terhad.

    Lihat video yang dipaparkan menerusi laman Facebook UMW Toyota ini untuk lebih lanjut mengenai kedua-dua model berkenaan.

    GALERI: Toyota Alphard 3.5

    GALERI: Toyota Vellfire 2.5

     
     
  • VIDEO: Mandat biodiesel B10 semakin hampir

    Implementasi penjualan biodiesel B10 (diesel dengan campuran minyak kelapa sawit dengan nisbah 90:10) di Malaysia sebelum ini telah menimbulkan pelbagai kontroversi berhubung kesesuaian penggunaannya pada enjin diesel moden, khususnya enjin yang direka untuk menggunakan diesel bersulfur rendah seperti Euro 5.

    Penjualan diesel B10 sepatutnya bermula pada Jun lalu, tetapi ia telah ditangguhkan sehingga diberitahu. Pada sesi taklimat Persatuan Automotif Malaysia (MAA) minggu lalu, Presidennya Datuk Aishah Ahmad berkata tiada tarikh yang ditetapkan lagi untuk implementasi rasmi program berkenaan, kerana kerajaan masih mendengar aduan dari pihak-pihak yang terlibat.

    Namun, disebalik penangguhan berkenaan, rancangan untuk memperkenalkan B10 kini sedang dalam langkah untuk mencapai jalan penyelesaian, menurut CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Madani Sahari. Dalam video temubualnya bersama Bloomberg TV Malaysia, beliau berkata perbincangan masih dibuat dengan semua pihak yang terlibat dan diharap akan menyelesaikan isu berkenaan.

    Jun lalu, MAA menghantar surat ke Kementerian Perdangangan dan Industri (MITI), mendakwa penggunaan biodiesel dengan gred lebih tinggi dari B7 akan menyebabkan asid tebal metil ester (FAME) bercampur dengan minyak enjin, menyebabkan minyak berkenaan menipis dan boleh menyebabkan terjadinya enapan di dalam enjin. Dinyatakan majoriti ahlinya telah dinasihatkan oleh prinsipal mereka bahawa waranti enjin akan terbatal sekiranya enjin-enjin mereka beroperasi menggunakan biodiesel bergred lebih tinggi dari B7, poin yang dibangkitkan sekali lagi semasa taklimat minggu lalu.

     
     
  • Kia Picanto facelift baharu tembusi pasaran Malaysia secara senyap-senyap, tanpa pelancaran rasmi

    Kia-Picanto-FL-01_BM

    Kia Picanto versi facelit terbaharu telah pun tiba ke pasaran Malaysia, secara senyap-senyap. Picanto generasi kedua yang diberikan nafas baharu ini boleh dijumpai di beberapa pengedar Kia dalam negara – gambar yang disiarkan ini adalah sumber dari Aaron Ong, yang menyiarkannya di laman Facebook Kia Picanto Owners Club Malaysia. Dikhabarkan tiada pelancaran akan dibuat untuk model facelift ini, tetapi harga hatchback kompak ini dilaporkan sama seperti model pre-facelift, iaitu bermula dari harga atas jalan tanpa insuran RM61,888.

    Model versi dikemaskini ini telahpun didedahkan pada Januari tahun lalu sebelum membuat kemunculan sulung di Geneva Motor Show tahun yang sama. Untuk pasaran ASEAN pula, hatchback segmen-A ini mula menembusi pasaran Indonesia Ogos tahun lalu. Tiada perubahan besar disaksikan, dengan sedikit perubahan dilakukan pada bahagian luar – terutamanya pada bahagian muka depan dan bahagian belakang.

    Rekaan bampar hadapan kini lebih bulat, dan gril hadapan yang sebelum ini sememangnya besar, diperbesarkan lagi. Gril “hidung harimau” bahagian atas pula kini telah direka semula. Picanto kini menerima lampu hadapan halogen dengan lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus projektor baharu ditempatkan pada perumah yang mendapat sentuhan semula.

    Bahagian belakang hatchback ini kini menerima lampu kombinasi LED, manakala rekaan bampar pula kini tampak lebih berpetak, dilengkapi lampu kabus dan lampu undur yang direka seiring dengan rekaan baharu. Picanto facelift turut menerima roda aloi dua ton berdiameter 14-inci baharu.

    Bahagian dalaman juga tidak menerima apa-apa perubahan besar. Paparan instrumen menampilkan grafik meter baharu dan kemasan berwarna perak, manakala komputer trip dan butang reset telah dialihkan ke roda stereng, yang juga menampatkan suis kawalan audio yang direka semula. Unit pemain audio utama kini menampilkan rekaan yang lebih mudah, dengan pengurangan pada suis kawalan. Liang penghawa dingin juga dikelilingi dengan kemasan berwarna perak, bersama sarung tuil gear baharu untuk kotak gear empat kelajuan automatik.

    Tiada perubahan mekanikal ditampilkan, di mana Picanto masih dikuasakan dengan enjin 1.25 liter empat silinder Kappa II Dual CVVT berkuasa 87 PS/120 Nm. Sebelum ini, Picanto ditawarkan dengan dua pilihan transmisi iaitu empat kelajuan automatik dan lima kelajuan manual, tetapi dikhabarkan varian manual akan digugurkan untuk versi facelift ini.

    GALERI: Kia Picanto facelift di IIMS 2015

     
     
  • Mitsubishi Lancer menerima wajah baharu di China?

    2017-lancer-5-1_BM

    Mitsubishi dilihat sedang membuat facelift yang agak drastik kepada model Lancer generasi sedia ada. Rekaan berkenaan mengadaptasi rekaan ‘Dynamic Shield’ Mitsubishi terkini seperti yang diserlahkan menerusi model-model Mitsubishi terkini seperti Outlander. Bahagian profil sisi walau bagaimanapun, menyerlahkan ia masih dibina berdasarkan platform Lancer GS sedia ada.

    Bahagian dalaman turut menerima beberapa perubahan kecil, tetapi boleh dikatakan ia masih kelihatan seiras dengan bahagian dalam Lancer sedia ada. Maklumat yang kami terima, facelift baharu ini dibuat oleh rakan kongsi Mitsubishi di China eksklusif untuk pasaran berkenaan sahaja, dan tidak akan menembusi pasaran lain termasuk Malaysia.

    Sebelum ini, Lancer versi facelift untuk pasaran global telah diperkenalkan di Amerika Syarikat pada Oktober 2015, manakala versi pemanduan sebelah kanan mula diperkenalkan di Australia pada Disember 2015.

    Lancer generasi berikutnya berkemungkinan besar akan dibina berdasarkan platform segmen-C dari Nissan. Pembangunan berkenaan telah diumumkan pada lewat 2014, walau bagaimanapun pada pertengahan 2015, Mitsubishi mendakwa projek berkenaan masih lagi pada peringkat permulaan dan mereka mungkin akan membangunkan model baharu secara sendiri jika tiada perkembangan pada projek tersebut. Projek ini sudahpun diumumkan sebelum Nissan mengambil keputusan untuk mengambil alih Mitsubishi awal tahun ini

     
     
  • Nissan Teana dinaiktaraf untuk pasaran China; menampilkan Apple CarPlay, lampu utama LED

    China-Nissan-Teana-1

    Nissan telah menyebarkan beberapa foto model facelift bagi Teana untuk pasaran China, di mana ia bakal dilancarkan tidak lama lagi. Model semasa bagi Nissan Teana L33 telah pun dilancarkan di Malaysia pada tahun 2014.

    Bagi rekaan luaran, model facelift Teana ini menampilkan bahagian hadapan dan lampu utama yang direka semula, dengan LED digunakan pada lampu utama dan juga lampu nyalaan siang LED. Malah lingkaran gelap pada lampu utama turut menyerlahkan lagi gaya dinamiknya.

    Untuk kekemasan dalamannya, tiada perubahan, namun konsol tengahnya kini dilengkapi dengan unit infotainmen yang dipertingkatkan termasuk menampilkan Apple CarPlay bagi telefon, muzik dan navigasi.

    Bagi penjana kuasanya, Teana pasaran China ini masih menggunakan enjin 2.0 liter dan 2.5 liter, yang mampu menghambur 150 hp, meningkat 9 hp berbanding sebelum ini, manakala unit 2.5 liter pula 186 hp. Kuasa bagi kedua-dua varian disalurkan menerusi transmisi boleh laras berterusan.

     
     
  • GALERI: Lexus ES 250 Luxury edisi terhad – dua warna eksklusif, kekemasan dalaman Bamboo, 50 unit

    Lexus_ES250_Ext-5

    Lexus Malaysia telah memperkenalkan Lexus ES 250 Luxury dengan dua warna edisi terhad pada Jun lalu. Model edisi terhad ini hanya ditawarkan sebanyak 50 unit bagi setiap satu warna iaitu – Deep Blue Mica (biru gelap) dan Sleek Ecru Metallic (champagne).

    Bagi dalaman, model edisi terhad ini juga menampilkan kekemasan eksklusif Bamboo, yang ditambah baik dari Birdseye Maple yang dipadankan pada ES biasa. Kekemasan Bamboo ini dipadankan dengan skim warna dalaman Topaz Brown.

    ES 250 Luzury dijanakan oleh enjin 2.5 liter 2AR-FE Dual VVT-i yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 181 hp dan tork 235 Nm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan. Selain warna yang unik ini, semua elemen lain masih sama dengan ES 250 Luxury biasa.

    Dengan harga atas jalan yang sama iaitu RM293,900 tanpa insurans, varian dalam barisan ES ini terletak di antara pertengahan ES 250 Premium (RM275k) dan ES 300h (RM371k).

    Lexus_ES250_Int-30

    ES 250 Luxury memiliki beberapa perbezaan elemen berbanding Premium, termasuk lampu tinggi dan rendah bagi lampu utama LED, but berkuasa, pencahayaan ambien, navigasi, skrin tengah “Electro Multi-Vision” spesifikasi tertinggi dengan Remote Touch Controller, tirai matahari manual bagi pintu (standard tirai matahari belakang berkuasa bagi semua), Lexus Premium Audio, kulit semi-aniline, pelaras ketinggian kusyen pemandu, butang pelaras bahagian bahu tempat duduk penumpang dan tempat duduk dengan memori untuk tempat duduk penumpang hadapan (Premium : hanya pemandu).

    Bagi aspek keselamatan, ES didatangkan dengan 10 beg udara, ABS/EBD, VSC, Bantuan Mula Mendaki dan sistem amaran tekanan tayar sebagai standard, tetapi Luxury turut ditambah dengan Pemantauan Titik Buta dan Kepekaan Trafik Lintasan belakang.

     
     
  • MINI JCW Pro Edition diperkenalkan – model paling berkuasa, terhad 20 unit eksklusif untuk pasaran M’sia

    MINI JCW Pro Edition (2)

    MINI Malaysia hari ini memperkenalkan MINI JCW Pro Edition baharu. Hanya ditawarkan secara eksklusif terhad kepada 20 unit sahaja untuk pasaran Malaysia, MINI JCW Pro Edition diasaskan dari MINI 5-Pintu dan merupakan model paling laju dan berkuasa pernah dibangunkan dalam barisan tersebut.

    MINI JCW Pro Edition baharu dijual dengan harga atas jalan tidak termasuk insuran RM 255,888.00 dan hadir bersama waranti perbatuan tanpa had dengan servis berjadual percuma selama empat tahun.

    Bahagian luaran model edisi terhad JCW Pro Edition baharu dapat dibezakan dari model 5 pintu biasa menerusi kit aerodinamik MINI JCW Pro. Kit berkenaan terdiri daripada splitter pada bahagian hadapan, skirting sisi, bampar belakang dan spoiler belakang. Kit ini bukan sahaja berperanan sebagai menaikkan aspek astetika semata-mata, MINI mendakwa ia turut meningkatkan aspek aerodinamik kereta ini.

    Model ini juga hanya hadir dengan pilihan warna badan tunggal Midnight Black Metallic. Bahagian bumbung diberikan MINI JCW Pro Roof Décoriaitu grafik petak-petak berwarna merah dan hitam. Ciri luaran lain yang turut dipadankan adalah perumah cermin sisi MINI JCW Pro Wing Mirror Caps dan MINI JCW Pro Side Scuttles (ketutup sisi) yang sepadan dengan panel tepinya.

    MINI JCW Pro Edition (5)

    MINI JCW Pro Edition baharu juga dilengkapi dengan rim aloi ringan MINI JCW Pro jejari bersilang berdiameter 18-inci dengan kemasan hitam. Rim berkenaan dibaluti dengan tayar run flat yang boleh bergerak sejauh 80km pada kelajuan 80km/j walaupun dalam keadaan tayar pancit.

    Model edisi terhad ini masih dikuasakan dengan enjin B48 2.0 liter turbo empat silinder tetapi ditala semula dengan Kit Talaan Semula MINI JCW Pro untuk mengekstrak kuasa tambahan dari enjin. Kit berkenaan turut disertakan dengan peredam injap yang ditala semula untuk memberikan respon enjin yang lebih baik. Gabungan ini menjadikan kuasa standard 192hp asal meningkat kepada 211hp manakala tork asal 280 Nm meningkat kepada 300Nm.

    MINI JCW Pro Edition baharu juga didatangkan dengan MINI JCW Pro Valve Silencer bersama kemasan paip ekzos karbon. Sistem peredam ekzos berkenaan hadir dengan dua mod iaitu “Sport” untuk bunyi penuh semasa pemanduan harian dan “Track” yang lebih kuat, untuk pemanduan dalam litar lumba. Flap ekzos berkenaan mampu menghasilkan bunyi letusan api, dioperasikan secara tanpa wayar menerusi dua klik pada butang kawalan Bluetooth 4.0.

    Tiada perubahan dilakukan pada sistem transmisi, di mana kuasa dari enjin dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear Sports automatik enam-kelajuan.

    MINI JCW Pro Edition (1)

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia Han Sang Yun ketika memperkenalkan MINI baharu berkata, “John Cooper Works memang terkenal kerana tampil bergaya dan memiliki keghairahan sebenar terhadap kehidupan. MINI JCW Pro Edition mampu mengekspresikannya – sama ada ketika mengambil selekoh tajam apabila memandu ke seluruh negara atau menawarkan prestasi garang di atas litar lumba, jentera ini menyerlahkan kualiti pengendalian seperti sebuah go-kart yang cukup sinonim dengan MINI. Namun, ia juga sebuah kereta yang praktikal untuk kegunaan harian.”

    “Dari litar lumba ke jalan biasa, ia dapat menerangkan tentang MINI JCW Pro Edition dengan sempurna. Kereta ini membawa bersama warisan sukan bermotor sejak zaman kegemilangannya memenangi perlumbaan Monte Carlo sehinggalah ke podium-podium Rali Paris-Dakar dengan penuh rasa bangga,” kata Han.

    Aksesori MINI JCW Pro turut boleh dibeli berasingan dengan harga tidak termasuk pemasangan seperti berikut:

    MINI JCW Pro Aerodynamic Kit – RM 16,283.43
    MINI JCW Pro Tuning Kit with Valve Silencer System – RM 10,000.00
    MINI JCW Pro Carbon Tailpipe Trim – RM 3,000.00
    MINI JCW 18” Cross-Spoke Light Alloy Wheels in Jet Black – RM 14,858.00
    MINI JCW Pro Roof Décor – RM 650.00
    MINI JCW Pro Wing Mirror Caps – RM 690.00
    MINI JCW Pro Side Scuttles – RM 690.00

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025